Pages

Ads 468x60px

Monday, June 09, 2014

Pindaan Undang-Undang Syariah: Syor hukuman lebih berat

Oleh Mohd Nasaruddin Parzi | mnasaruddin@bh.com.my [9/11/2013]

Kuala Lumpur: Satu bentuk hukuman lebih menggerunkan wajar dikuatkuasakan segera selaras pindaan Undang-Undang Syariah yang akan dilaksana kelak.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata hukuman lebih berat perlu kerana hukuman terlalu ringan akan menyebabkan ia dipandang enteng oleh pesalah.

Bagaimanapun, katanya, bentuk hukuman baru itu perlu ada batasannya, dengan mengecualikan hukuman mati.

“Ia (hukuman baru nanti) perlu berupaya menggerunkan pesalah berbanding yang sedia ada, terlalu ringan sehingga dipandang enteng mereka (pesalah),” katanya dalam satu kenyataan, semalam.



Tangani jenayah

Beliau berkata, peningkatan bidang kuasa jenayah syariah adalah selari dengan kedudukan Mahkamah Syariah yang setaraf dengan Mahkamah Sivil selepas pindaan perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Musa mengulas kelulusan Pejabat Peguam Negara (JPN) supaya undang-undang syariah dipinda untuk hukuman penjara, denda dan sebat lebih berat serta tidak lagi terikat kepada ‘356’ iaitu maksimum tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan.

Kelulusan JPN itu dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, kelmarin dan memaklumkan satu mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syariah Sivil Malaysia dipengerusikan Penasihat Undang-Undang JPN, Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman akan diadakan bagi menyelaras hukuman syariah di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Musa berkata, peningkatan bentuk hukuman bukan saja khusus untuk kesalahan jenayah syariah, bahkan membabitkan kesalahan matrimonial atau kekeluargaan seperti lafaz cerai luar mahkamah dan poligami tanpa kebenaran mahkamah.

“Dengan peningkatan (hukuman) ini, ia secara tidak langsung dapat menyelesaikan masalah berkaitan kekeluargaan umat Islam,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kelulusan Pejabat Peguam Negara (JPN) itu satu pengumuman dinanti oleh peguam dan pendakwa syarie, pegawai penguat kuasa agama serta masyarakat Islam.

Katanya, sudah hampir 30 tahun Mahkamah Syariah terikat dengan batasan hukuman ‘356’ yang dibataskan oleh Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) 1984

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text