Pages

Ads 468x60px

Wednesday, January 18, 2006

MIC mahu hak bukan Islam dilindungi

MIC mahu hak bukan Islam dilindungi


KUALA LUMPUR: MIC akan mengemukakan satu memorandum kepada Perdana Menteri minggu depan berhubung cadangan pindaan undang-undang membabitkan penduduk bukan Islam, terutama yang berkaitan pertukaran agama, bagi mengelakkan isu itu terus dipolitikkan dan menimbulkan kontroversi.

Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata beliau mahu menemui Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi secepat mungkin kerana isu yang dibangkitkan adalah sensitif dan boleh menjejaskan persefahaman dan perpaduan antara kaum.

"Agama tidak pernah menjadi masalah di negara ini. Kita akui Islam adalah agama rasmi dan pada masa sama, amalan agama lain diberi kebebasan. Kontroversi timbul apabila berlaku pertukaran agama harus ditangani segera.

"Cadangan MIC ini merangkumi pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan tetapi tidak menyentuh mengenai undang-undang Islam, sebaliknya hanya mengemukakan beberapa perubahan apabila pelaksanaan undang-undang Islam itu membabitkan hak seorang bukan Islam.

"Antara isu yang perlu ditangani ialah berhubung hak keluarga dari segi perundangan apabila seseorang anggotanya memeluk agama Islam tanpa pengetahuan mereka," katanya pada sidang media selepas perjumpaan mingguan beliau dengan masyarakat di ibu pejabat MIC, di sini semalam.

Samy Vellu berkata, kes pendaki Everest, Koperal M Moorthy atau Mohammad Abdullah yang memeluk Islam tetapi tidak diketahui keluarganya, wajar menjadi pengajaran.

Kelmarin, Samy Vellu mengadakan perbincangan hampir dua jam dengan delegasi Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh selain pakar perundangan serta akademik di pejabatnya bagi bertukar pendapat berhubung isu yang sama.

Akhir Disember lalu, majlis itu menggesa subseksyen tertentu Perlembagaan Persekutuan dipinda supaya dijelaskan secara nyata bahawa mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa mendengar kes membabitkan mereka yang bukan beragama Islam.

Samy Vellu berkata, peruntukan Syariah di beberapa negeri turut menyentuh hak individu yang bukan beragama Islam, umpamanya undang-undang mengatakan anak seseorang yang memeluk agama Islam secara langsung dianggap turut memilih agama itu, mungkin sukar diterima.

"Justeru, MIC mahu proaktif dalam isu ini bagi memastikan sebarang kelemahan dalam undang-undang sedia ada dikemas kini segera.

"Saya akan membincangkan isu ini dengan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting dan menteri lain yang bukan beragama Islam sebelum mesyuarat Kabinet hari ini.

"Kita akan mencari rumusan bagi masalah ini berteraskan persefahaman permuafakatan dalam Barisan Nasional (BN)," katanya.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text