Pages

Ads 468x60px

Wednesday, January 25, 2006

Mahkamah Syariah tak "double standard": PM


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Seremban yang memutuskan Nyonya Tahir bukan Islam ketika kematiannya, membuktikan Mahkamah Syariah adil dalam menentukan status agama seseorang.

Perdana Menteri berkata, Mahkamah Syariah membuat keputusan itu berasaskan kepada fakta dan selepas orang bukan Islam dibenarkan mengemukakan hujah serta membuat tuntutan pembelaan.

"Saya setuju (Mahkamah Syariah tidak mengamalkan 'double standard') kerana dulu orang anggap bukan Islam tidak boleh hadir dalam perbicaraan di Mahkamah Syariah, tetapi mereka sebenarnya boleh hadir serta mengemukakan hujah.

"Apa yang berlaku di Seremban membuktikannya. Orang bukan Islam boleh hadir, boleh kemukakan hujah dan boleh tuntut pembelaan.

"Itulah tanda keadilan. Bukan nak pejam mata dan tak mahu fikir fakta langsung (memihak kepada Islam semata-mata), tanpa peduli faktanya.

"Itulah tuduhan yang dilemparkan kepada Mahkamah Syariah (sebelum ini), tapi Alhamdulillah... terbukti ada keadilan di mahkamah berkenaan," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam. Turut hadir, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Mahkamah Tinggi Syariah Seremban kelmarin yang memutuskan Nyonya, 89, yang status agamanya mencetuskan kontroversi ketika meninggal dunia Khamis lalu, bukan Islam ketika kematiannya.



Abdullah yang juga Presiden Umno berkata, dalam Islam, Allah memerintah umatnya bertindak adil ketika mengenakan hukuman antara manusia.

"Firmannya bermaksud: "Apabila kami menghakimi antara manusia, hendaklah kamu adil". (Ini menjelaskan) keadilan dalam Islam menjadi satu nilai yang tinggi," katanya.

Terdahulu, beliau berkata, mesyuarat sebulat suara menyokong pendirian beliau meminta sembilan menteri menarik balik memorandum yang dikemukakan kepadanya dan memutuskan Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, tidak akan dipinda.

"Ahli MT nyatakan sokongan mengenai pendirian yang saya ambil berkaitan memorandum yang dihantar oleh menteri bukan Islam supaya ia ditarik balik. Pendirian saya berhubung Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan tidak akan dipinda juga mendapat sokongan," katanya.

Mesyuarat semalam katanya, turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi dan ahli Umno yang membantu kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dari Umno pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir, baru-baru ini.

Selain itu, Abdullah berkata, mesyuarat juga memutuskan Perhimpunan Agung Umno akan diadakan selepas Aidil Fitri tahun ini.

"Banyak kerja yang perlu dilakukan antaranya kempen meramaikan ahli dan pendaftaran ahli Umno dikemaskini bersesuaian dengan kedudukan ahli.

Mengenai Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), beliau berkata, ia masih diperhalusi sebelum diserahkan kepada Kabinet.


©The New Straits Times Press (M) Berhad 

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text