Pages

Ads 468x60px

Saturday, January 28, 2006

Wanita PKR cadang penambahbaikan Rang Undang-undang Keluarga Islam 2005

Wanita PKR cadang penambahbaikan Rang Undang-undang Keluarga Islam 2005
Wednesday, January 25 @ 11:07:04 MYT - Harakah online

Memorandum wanita PKR berhubung isu Rang Undang-undang Keluarga Islam
Wilayah-wilayah Persekutuan kepada Yang Di-Pertuan Agong,
Menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri; Dato' Seri Mohammed Nazri
Aziz dan Dato' Abdullah Mat Zin.

Setelah Pindaan Undang-undang Keluarga Islam (RUUKI) diluluskan dalam
Dewan Negara 22 Disember lalu, ia telah mendapat bantahan daripada
kumpulan-kumpulan wanita dan kemudiannya daripada berbagai pihak.
Keadaan menjadi bertambah keliru apabila penjelasan tidak begitu
kedengaran daripada Kementerian-kementerian dan menteri-menteri yang
berkaitan pindaan yang telah dibuat.
Selepas suasana menjadi sedikit tenang, perbincangan dan dialog mula
diadakan dan keadaan menjadi lebih jelas dan ada pihak yang pada
awalnya membuat bantahan, sudah mula faham dan merasa mereka telah
terheret ke dalam kemelut yang dimulakan oleh sesetengah pihak dengan
memainkan isu tersebut.

Wanita Keadilan telah mengikuti perkembangan isu pindaan Rang
Undang-undang Keluarga Islam Wilayah-wilayah Persekutuan (RUUKI)
dengan penuh teliti, dan setelah merujuk kepada pakar undang-undang
dan perlembagaan, kami mendapati ada beberapa perkara yang perlu
ditangani bagi memastikan Pindaan RUUKI akan memberikan kesejahteraan
kepada semua yang terbabit dalam institusi keluarga dan tidak
mendiskriminasi dan menindas mana-mana pihak.

Latar belakang

Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (Akta 303)
ini telah dikuatkuasakan pada 29 April 1987, tiga tahun selepas ia
digubal. Ia telah dipinda dua kali iaitu pada tahun 1992 dan juga
tahun1994 dengan pindaan kepada perkataan yang digunakan dalam seksyen
dan juga satu pindaan tambahan kepada Akta ibu yang asal. Pindaan yang
diluluskan baru-baru ini merupakan pindaan kali ketiga yang
membabitkan 27 fasal dan lain-lain pindaan kecil.

Pindaan pada Rang Undang-undang Keluarga Islam Wilayah-wilayah
Persekutuan 2005 sebenarnya adalah berpandukan kepada Enakmen Keluarga
Islam (Negeri Selangor) yang telah diluluskan dan digunapakai semenjak
tahun 2003. Seksyen-seksyen yang menyentuh tentang peruntukan
poligami, fasakh, harta sepencarian dan lain-lain sudah dilaksanakan
di negeri Selangor semenjak tahun 2003.

Pindaan kepada beberapa seksyen (seksyen 23, 53, 107) dan subseksyen
RUUKI telah menimbulkan kebimbangan kalangan pertubuhan-pertubuhan
wanita khususnya mengenai perkara-perkara yang berikut:

1) : Memperluaskan hak suami untuk memfasakhkan perkahwinan.
2) : Memudahkan suami untuk berpoligami Memaksa isteri memilih sama
ada menuntut nafkah atau harta sepencarian apabila suami berpoligami.
3) : Membenarkan suami menuntut harta sepencarian ke atas harta isteri
apabila suami berpoligami.
4) : Membenarkan suami mendapatkan perintah Mahkamah menghalang isteri
melupuskan hartanya.

Wanita Keadilan Rakyat telah meneliti pindaan-pindaan berkaitan dan
mengakui bahawa terdapat perkara-perkara yang menimbulkan rasa sangsi
mungkin akan berlaku ketidakadilan dalam perlaksanaannya terhadap
wanita.

Di bawah adalah saranan Wanita Keadilan Rakyat, tentang bagaimana lima
perkara di atas boleh di atasi:

1. Pindaan pada seksyen 23 (teks sebenar selepas pindaan):
Poligami:

23 (3) Permohonan untuk kebenaran hendaklah dikemukakan kepada
Mahkamah mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertai dengan
suatu iqrar menyatakan alasan-alasan mengapa perkahwinan yang
dicadangkan itu dikatakan patut atau perlu, ...

23 (4) Apabila menerima permohonan itu, Mahkamah hendaklah memanggil
pemohon, isteri atau isteri-isteri yang sedia ada, bakal isteri, wali
kepada bakal isteri, dan mana-mana orang lain yang difikirkan oleh
Mahkamah boleh memberi keterangan mengenai perkahwinan yang
dicadangkan itu supaya hadir apabila permohonan itu didengar, yang
hendaklah dilakukan dalam Mahkamah tertutup,......

23 (9) Tiap-tiap Mahkamah yang memberi kebenaran atau memerintahkan
supaya perkahwinan itu didaftarkan di bawah seksyen ini hendaklah
mempunyai kuasa atas permohonan mana-mana pihak kepada perkahwinan-

(a) untuk menghendaki seseorang untuk membuat pembayaran nafkah kepada
isteri atau isteri-isteri yang sedia ada; atau,

Untuk memerintahkan supaya apa-apa aset yang telah diperolehi oleh
pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka
dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil
jualan itu dibahagikan.

Perkataan "iqrar" dalam seksyen (3) yang menggantikan perkataan
"akuan" sebelum ini merupakan pindaan yang tepat. Ini kerana iqrar
lebih kuat kesannya berbanding akuan. Ia menunjukkan satu pengakuan
yang dibuat menyatakan kewajipan terhadap seseorang berkaitan sesuatu
hak yang telah didefiniskan di bahagian awal Akta 303. Ia secara jelas
mengukuhkan lagi pemberian alasan untuk berkahwin yang diberikan oleh
suami.

Subseksyen (4) yang telah menambahkan bilangan pemberi keterangan
mengenai perkahwinan yang dipohon dengan memasukkan "bakal isteri,
wali kepada bakal isteri, dan mana-mana orang lain yang difikirkan
oleh Mahkamah boleh memberi keterangan mengenai perkahwinan yang
dicadangkan", akan dapat memastikan permohonan lebih telus dan adil.

Penambahan kepada bilangan pihak yang boleh dipanggil ke Mahkamah
dapat mengelakkan mana-mana pihak tertipu. Ia juga memberi ruang yang
besar untuk Hakim dalam menilai kelayakan seseorang lelaki utnuk
berpoligami.

Bagi menjaga kepentingan pihak isteri-isteri dan suami, jika ada pihak
yang tidak berpuashati setelah Mahkamah membuat keputusan, mereka
boleh membuat rayuan, seperti yang terkandung dalam subseksyen (6)
mengikut tatacara yang diperuntukkan di bawah Akta Tatacara Mal
Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1998, (Akta 585).

Pindaan ini sangat tepat kerana sebarang rayuan perlulah mengikut
peruntukan Undang-undang yang digunapakai sekarang dan tidak lagi
merujuk kepada Enakmen Pentadbiran sepertimana tercatat di dalam Akta
ibu yang asal.

Dengan ini, Wanita Keadilan Rakyat mencadangkan seperti berikut:

Dalam subseksyen (3), perkataan "atau" ditukar semula kepada "dan"
kerana ia akan menguatkan ciri-ciri keadilan dan ketelusan yang ada
dalam subseksyen sebelum dan seterusnya.

Dalam subseksyen (9), perkataan-perkataan "mana-mana pihak" diganti
kepada "isteri atau isteri-isteri yang sedia ada". Apabila isteri atau
isteri-isteri sedia ada memohon dibahagikan harta sepencarian sebaik
suami berpoligami adalah demi menjaga kepentingan isteri atau
isteri-isteri yang sedia ada. Harta sepencarian bahagian isteri yang
sedia ada tidak akan bercampur dengan aset selepas berkahwin. Dengan
itu, apabila suami berpoligami, isteri boleh membuat tuntutan harta
sepencarian.

Dalam subsekyen (9) (a), perkataan "atau" di hujung ayat dibuang bagi
mengelakkan kekeliruan kerana ia boleh bermaksud salah satu, sehingga
timbul dakwaan, memaksa isteri memilih sama ada menuntut nafkah atau
harta sepencarian apabila suami berpoligami.

Walaupun dari segi pentafsiran dan bacaan teks undang-undang,
perkataan "atau" di situ boleh membawa maksud Mahkamah berkuasa
berbuat kedua-dua (a) dan (b).

Dalam subseksyen (9) (b), istilah "usaha bersama" digantikan dengan
harta sepencarian. Ini boleh mengelakkan pentafsiran yang keliru
seperti harta bagi isteri yang tidak bekerja. Apatah lagi istilah
harta sepencarian sudah diberi takrifannya di awal akta.

Menambah subseksyen (9) (c) yang berbunyi; "untuk memerintahkan supaya
dibuat taksiran aset suami di awal perkahwinan yang kedua dan
perkahwinan yang seterusnya". Ini bagi memastikan aset suami pada awal
perkahwinan diketahui dan selepas itu dapat dibahagikan dengan saksama
harta sepencarian apabila berlaku poligami atau perceraian.

Dengan cadangan di atas, kami percaya ia akan meredakan kebimbangan
sesetengah pihak bahawa pindaan yang dibuat akan memudahkan suami
untuk berpoligami. Sebenarnya, pindaan yang diluluskan adalah lebih
baik berbanding dengan peruntukan yang longgar tentang keizinan
isteri. Ia lebih menjamin kesejahteraan kaum wanita secara umumnya dan
isteri-isteri yang terlibat khususnya.

2. Pindaan pada seksyen 53 (teks sebenar selepas pindaan):

Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh

53 (1) Seseorang permpuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang
berkenaan, berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat
suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas
satu atau lebih daripada alasan-alasan yang berikut, iaitu—

Berdasarkan perbahasan di kalangan para fuqaha', setiap suami atau
isteri berhak dari segi Syarak untuk memohon fasakh. Permohonan fasakh
hanya akan diluluskan sekiranya Mahkamah berpuashati dengan
alasan-alasan yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan.
Menurut fuqaha', hak-hak selepas fasakh diberikan kepada isteri
walaupun suami yang membuat permohonan fasakh, jika Mahkamah mendapati
"punca" kepada permasalahan yang menyebabkan tuntutan fasakh
diluluskan bukanlah datangnya daripada isteri tetapi sebenarnya suami.

Namun, dalam pindaan pada seksyen 53, tiada disebut akan hak-hak
selepas fasakh tersebut seperti hadanah, harta sepencarian, nafkah
(nafkah tertunggak, nafkah anak-anak). Ketiadaan peruntukan berkaitan
hak-hak tersebut boleh membuka ruang bagi suami mengabaikan
tanggungjawabnya.

Kami mencadangkan yang berikut:

Memasukkan subseksyen yang menggariskan hak-hak wanita/lelaki selepas
fasakh diberikan oleh Mahkamah.

3. Pindaan pada seksyen 107 (teks sebenar selepas pindaan):

Perintah larangan terhadap pelupusan harta sepencarian

107 (1) Mahkamah boleh atas permohonan mana-mana pihak kepada
perkahwinan— jika sesuatu prosiding hal ehwal suami isteri masih belum
selesai di Mahkamah; atau dalam prosiding tersebut Mahkamah boleh
membuat perintah di bawah seksyen 122 membuat suatu perintah melarang
isteri atau suami, mengikut mana-mana yang berkenaan, daripada
melupuskan apa-apa aset yang telah diperoleh mereka, secara usaha
bersama atau usaha satu pihak semata-mata, semasa perkahwinan mereka
berkuat kuasa jika Mahkamah berpuas hati adalah perlu untuk...

Kuasa yang diberikan kepada Mahkamah untuk menghentikan pelupusan aset
oleh mana-mana pihak sebelum selesai prosiding adalah wajar kerana ia
menjaga kepentingan kedua-dua pihak ke atas aset yang diperolehi
sepanjang perkahwinan mereka.

Pemilikan harta secara mutlak dalam tempoh perkahwinan perlu
dibuktikan terlebih dahulu. Kemudian harta sepencarian juga perlu
ditaksirkan bahagian masing-masing sebelum dibahagikan. Dengan itu,
bukan suami sahaja berhak mendapatkan perintah Mahkamah, malah isteri
juga berhak mendapatkan perintah Mahkamah menghalang pelupusan harta.

Kami mencadangkan yang berikut:

i. Ayat "melupuskan apa-apa aset yang telah diperoleh mereka" dalam
seksyen 107,

"......membuat suatu perintah melarang isteri atau suami, mengikut
mana-mana yang berkenaan, daripada melupuskan apa-apa aset yang telah
diperoleh mereka, secara usaha bersama atau usaha satu pihak
semata-mata, semasa perkahwinan mereka berkuat kuasa jika Mahkamah
berpuas hati adalah perlu untuk..." digantikan dengan "melupuskan
apa-apa aset yang diperolehi sepanjang perkahwinan mereka"

Penutup
Wanita Keadilan Rakyat berpendirian bahawa :

Meyakini Undang-undang Keluarga Islam digubal dan digarap berasaskan
Al Quran, Sunnah dan juga pandangan jumhur ulama dan bertujuan memberi
keadilan kepada semua pihak di dalam mana-mana keluarga. Justeru itu,
ia tidak boleh dilihat dari satu perspektif semata-mata, dan menjaga
kepentingan satu pihak sahaja.

Pindaan yang dibuat merupakan inisiatif positif bagi memertabatkan
Undang-undang Keluarga Islam (UUKI). Penambahbaikan perlu disegerakan
dan seterusnya diwartakan.

Keseragaman di seluruh negeri-negeri dalam Malaysia wajar dilaksanakan
selepas pewartaan RUUKI 2005 ini dengan perlaksanaannya oleh
negeri-negeri tetapi pengawasannya berada di Peringkat Pusat,
sepertimana Kod Tanah dilaksanakan di negeri-negeri.

Dengan itu, pembelaan dan keadilan diberikan kepada semua dan tiada
individu-individu yang akan mengambil kesempatan menggunakan Enakmen
mana-mana negeri yang longgar untuk lari dari pertanggungjawaban.
Mahkamah Syariah perlu dinaiktarafkan sesuai dengan kuasa yang
diberikan kepadanya.

Usaha perlu ditingkatkan bagi memperluaskan pendidikan mengenai
Undang-undang Keluarga Islam kepada masyarakat menggunakan segala
medium yang sesuai agar semua mengetahui hak-hak masing-masing yang
termaktub di dalamnya.

Akhir sekali, seluruh isu Pindaan RUUKI telah menghasilkan perkara
yang positif serta menginsafkan semua bahawa menjadi tanggungjawab
semua pihak untuk memastikan undang-undang yang digubal menjaga
kepentingan semua dan memberikan keadilan tanpa mengira gender, ras
dan kaum.

Memorandum ini mengalu-alukan sokongan (endsorsement) daripada semua
pihak dari pelbagai petubuhan.-wn.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text