Pages

Ads 468x60px

Saturday, January 21, 2006

Najib minta rakyat supaya bertenang

Najib minta rakyat supaya bertenang
Oleh Veena Rusli
BH*21/1/2006


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mahu isu penghantaran memorandum kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dilakukan 10 menteri Kabinet kelmarin, tidak berulang kerana ia boleh mencetuskan reaksi tidak disenangi rakyat.



"Sudah tentu ini boleh mencetuskan keresahan kerana ia amat sensitif dan tidak wajar dilakukan. Malah, amat tidak sesuai dibuat dalam bentuk itu (memorandum)," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas isu itu sebelum menghadiri majlis makan malam Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Perancis (MFCCI) di sini, malam tadi.

Sambil menasihatkan rakyat supaya bertenang, Najib berkata, Perdana Menteri mesti diberi peluang menyelesaikan isu itu tanpa sebarang tekanan.

Katanya, rakyat negara ini pernah melalui banyak pengalaman dalam menangani isu besar menyentuh sensitiviti pelbagai kaum.

Sementara itu, dalam ucapannya, Najib menyarankan komuniti perniagaan Malaysia-Perancis meningkatkan hubungan dagang dan pelaburan bagi mewujudkan suasana saling menguntungkan.

Sambil menegaskan Perancis sebagai antara rakan dagang utama Malaysia, beliau berkata, usaha agresif mesti digerakkan untuk meneroka peluang baru tanpa mengabaikan kerjasama sedia ada.

Beliau berkata, antara bidang baru yang berpotensi diteroka bersama dalam bentuk perkongsian pintar ialah pendidikan, pembangunan budaya, bioteknologi, teknologi maklumat (IT) dan perkhidmatan.

"Kita turut berminat mendalami kepakaran Perancis dalam industri hiliran pertanian dan berharap ia dapat dibawa ke negara ini, seiring hasrat Malaysia membangunkan sektor itu.

"Pada masa sama, kita mahu meneruskan persefahaman yang sudah lama terbentuk dengan Perancis dalam bidang pembangunan infrastruktur, pertahanan, pengangkutan, telekomunikasi serta tenaga," katanya.

Najib berkata, penurunan drastik jumlah pelaburan langsung asing (FDI) Perancis ke negara ini tahun lalu iaitu kepada RM13.3 juta bagi 11 bulan pertama, berbanding RM137.4 juta sepanjang 2004, adalah agak mengecewakan.

Malah, katanya, dagangan dua hala yang direkodkan turut menampakkan penyusutan iaitu daripada RM12.6 bilion pada 2004 kepada RM11.5 bilion bagi tempoh Januari-November tahun lalu.

"Kita mesti mencari jalan memperbaiki keadaan ini dan Malaysia berikrar menyediakan persekitaran perniagaan yang selesa serta mesra pelabur, termasuk bagi rakan dagang dari Perancis," katanya.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text