Pages

Ads 468x60px

Thursday, January 12, 2006

Wanita minta pandangan mereka dikaji

Wanita minta pandangan mereka dikaji

KUALA LUMPUR: Pertubuhan wanita semalam mahu kerajaan mendapatkan pandangan mereka apabila mengkaji dan meminda semula Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 yang akan menjadi asas perundangan sama di semua negeri.

Sambil mengalu-alukan keputusan Kabinet menangguh pewartaan undang-undang itu, mereka meminta kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi mendapatkan maklum balas rakyat, khususnya wanita, di seluruh negara.

Pengarah Eksekutif Sisters-in-Islam (SIS), Zainah Anwar, berkata orang Islam perlu diberikan layanan sama seperti yang diberikan kepada orang bukan Islam ketika penggubalan Akta Perkahwinan dan Perceraian 1976.

"Kami mengalu-alukan keputusan itu kerana undang-undang yang tidak adil itu tidak boleh menjadi asas kepada undang-undang keluarga Islam bagi seluruh negara," katanya kepada Berita Harian ketika dihubungi lewat petang semalam.

Beliau mengulas keputusan Kabinet menangguh pewartaan undang-undang itu yang diluluskan Dewan Negara pada 22 Disember lalu dan disifatkan pertubuhan wanita dan juga beberapa Senator wanita sebagai tidak adil terhadap wanita.

Malah, Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, sebelum berlepas ke Makkah minggu lalu meminta supaya pihak berkuasa tidak tergopoh-gapah menguatkuasakan undang-undang itu ia masih perlu diperhalusi dan diperbetul untuk kebaikan bersama.

Mengulas lanjut, Zainah berkata, negeri yang menerima pakai atau mewartakan undang-undang sama juga perlu menangguhkan pelaksanaannya.

Presiden Majlis Pertubuhan Wanita Kebangsaan (NCWO), Datuk Dr Sharifah Hapsah Syed Shahabudin, pula menyifatkan keputusan Kabinet itu membuktikan bahawa kerajaan mengambil kira pandangan rakyat, khususnya wanita.

Sambil menyatakan beliau sudah menjangkakan keputusan itu, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sememangnya memahami harapan rakyat dan akan membuat perubahan perlu dalam semua isu sejajar konsep Islam Hadhari.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kita mempunyai Kabinet yang memahami harapan rakyat . Saya tidak terkejut apabila beliau membuat keputusan menangguh penwartaan dan menunggu Shahrizat kembali dari Makkah untuk perbincangan lanjut. Saya memang yakin beliau akan bersikap adil," katanya.

Keputusan Kabinet itu juga dialu-alukan Pengarah Eksekutif Women's Aid Organisation (WAO), Ivy Josiah, yang menyifatkan kerajaan prihatin kepada rintihan rakyat.

Katanya, semua negeri juga perlu menangguh pelaksanaan undang-undang berkenaan sehingga kerajaan menggubal undang-undang baru.

"Amat baik sekali kerana ia menunjukkan kerajaan mendengar suara bantahan rakyat dan berbuat sesuatu bagi menghentikan undang-undang buruk itu," katanya.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text