Pages

Ads 468x60px

Saturday, February 20, 2010

kes mal tertunggak

Berita Harian Online
105,300 kes mal masih tertunggak
Oleh Zanariah Abd Mutalib
zanariah@bharian.com.my

Kesalahan khalwat sebanyak 12,984 pula catat jumlah tertinggi di Mahkamah Syariah 2009

PUTRAJAYA: Sebanyak 105,300 daripada 176,305 kes mal iaitu membabitkan aspek kekeluargaan Islam masih tertunggak di Mahkamah Syariah seluruh negara sehingga hujung tahun lalu, dengan kes tuntutan cerai mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 18,264 kes.



Bagi kes jenayah syariah, sebanyak 34,802 daripada 48,819 kes masih tertunggak, dengan kes khalwat mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 12,984 kes.

Pengarah Bahagian Pendaftaran, Keurusetiaan dan Rekod, Jabatan Kehakiman Syariah, Mohd Syakir Abdul Hamid, berkata sebanyak 71,005 kes mal dan 14,017 kes jenayah syariah diselesaikan tahun lalu dengan Selangor mencatatkan kes penyelesaian tertinggi iaitu 8,878 daripada 34,852 kes.

Mohd Syakir berkata, sebanyak 35 jenis kes mal dikendalikan Mahkamah Syariah termasuk tuntutan nafkah, jagaan anak, dan harta sepencarian serta permohonan wakaf dan wasiat.

Katanya, kes jenayah syariah pula sebanyak 88 jenis, termasuk zina, sumbang mahram, minum arak dan menghina agama.

Beliau berkata, pihaknya mengambil pelbagai langkah bagi memastikan kes syariah dapat diselesaikan segera walaupun banyak masalah terpaksa dihadapi, bukan berpunca daripada mahkamah.

"Pada peringkat awal, kita mewajibkan dua pihak yang bertelagah menyelesaikan pertikaian mereka secara sulh iaitu perdamaian secara sukarela antara kedua pihak tanpa memerlukan khidmat peguam.

"Melalui sulh yang dikendalikan oleh Majlis Sulh di bawah Jabatan Kehakiman Syariah, kes boleh diselesaikan dengan lebih cepat, menjimatkan wang dan harmoni dalam masa sehari," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini.

Mohd Syakir berkata, mahkamah juga memberi opsyen supaya perbicaraan diadakan pada waktu malam sekiranya pihak terbabit tidak dapat hadir pada hari seterusnya.

"Selain itu, kita juga tetapkan penangguhan sesuatu kes yang berpunca daripada hakim hanya boleh dilakukan atas sebab penting saja, termasuk sakit atau ada kematian," katanya.

Beliau berkata, bermula tahun ini, semua kes syariah harus diselesaikan dalam tempoh 180 hari berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.

Beliau turut meminta masyarakat terutama wanita mendapatkan khidmat nasihat perundangan daripada Biro Bantuan Guaman sebelum memfailkan sesuatu kes cerai di mahkamah memandangkan golongan itu kurang arif mengenai hak mereka.

"Banyak kes isteri memfailkan permohonan lafaz cerai daripada suami namun suami tidak bersetuju tetapi beliau tetap memohon mengikut Seksyen 47, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam sedangkan suami ada hak (untuk tidak menceraikan) dan tidak boleh dipaksa.

"Justeru, kes itu kemudian dirujuk kepada Jawatankuasa Pendamai atau Hakam dan ini pastinya akan memakan masa sedangkan pemohon daripada awal lagi boleh memfailkan permohonan fasakh atau taklik," katanya.


No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text