Pages

Ads 468x60px

Wednesday, June 14, 2006

Kesan Perkahwinan Misyar


PERNIKAHAN misyar terus hangat diperkatakan seolah-olah ada pihak yang ingin membudayakan konsep perkahwinan sebegitu di negara ini. Meskipun ada yang menentang, tidak kurang juga yang beranggapan perkahwinan misyar perlu diperkenalkan dengan alasan dapat melindungi wanita yang tidak berkahwin seperti ibu tunggal dan sudah berusia.


Berikutan itu, Wanita Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (Wanita JIM) terpanggil untuk membicarakan isu berkenaan menerusi wacana bertajuk Nikah Misyar: antara Hukum dan Keperluan Sosial yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Perunding Syarie Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM), Alias Othman, berkata pernikahan misyar boleh menimbulkan pelbagai implikasi terhadap institusi kekeluargaan termasuk hak dan tanggungjawab suami serta masa depan keluarga yang dibina..

"Apa yang perlu diingat iaitu isu asal, yang mana nikah misyar itu meletakkan syarat tambahan lulus semasa akad nikah yang bermaksud isteri reda tidak diberi nafkah zahir. Sebenarnya, kerelaan itu tidak membatal, menggugur atau memansuhkan hak tanggungjawab dan kewajipan lain, seperti hak isteri tanggungjawab suami, hak suami tanggungjawab isteri termasuk hak anak-anak.

"Ketika akad nikah, undang-undang Islam memberi hak kepada suami dan isteri mengenakan syarat yang tidak bercanggah dengan tujuan nikah atau lebih terjamin. Contohnya, isteri mensyaratkan suami wajib menanggung nafkahnya sekiranya isteri jatuh miskin, selain itu isteri turut mensyaratkan mendapatkan izin terbuka dalam hal yang menjadi hak suami, misalnya keluar rumah untuk bekerja serta suami pula mensyaratkan dibenarkan berpoligami. Syarat itu tetap berkuat kuasa," katanya.

Selain Alias, dua panel yang hadir membentangkan hujah mengenai isu pernikahan misyar ialah Pensyarah Kuliah Ilmu Wahyu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Mohammad Akram Laldin dan Timbalan Presiden Universiti Kolej Sains Perubatan, Prof Dr Hatta Shaharom.

Bagaimanapun, Alias berkata, kesan positif daripada perkahwinan misyar itu hanya akan dapat dikecapi jika konsepnya tidak disalah gunakan. Antara kesan positif itu ialah memberi perlindungan, penjagaan kesihatan dari sudut fizikal, mental dan emosi anak kepada ibu tunggal serta anak yatim.

Perkahwinan itu juga seharusnya dapat memberi perlindungan kepada ibu tunggal yang sering mendapat pandangan kurang menyenangkan daripada masyarakat sekeliling, selain memenuhi keperluan seks wanita berkenaan, sekali gus menghindari perlakuan zina, mengangkat status sosial dalam masyarakat bagi sesetengah wanita dengan mendapat gelaran 'isteri' dan menghalang daripada terjadinya keruntuhan akhlak dalam diri anak yang tidak mendapat perhatian keluarga.

Begitu pun, beliau berkata, pernikahan misyar boleh disalahgunakan termasuk menceraikan isteri sewenang-wenangnya, mempergunakan wanita lewat kahwin yang memiliki harta sendiri, perbelanjaan perkahwinan yang terlalu tinggi dan mengenakan syarat perkahwinan yang tidak munasabah.

"Secara keseluruhannya unsur negatif berlaku sekiranya misyar itu dijadikan helah untuk mengelak daripada melaksanakan tanggungjawab dalam perkahwinan, wanita dijadikan mangsa untuk melepaskan nafsu sehingga mengakibatkan penghinaan ke atas wanita, seolah-olah lelaki itu menjadi parasit dalam kehidupan wanita.

"Antara lain dalam impak negatif juga ialah lelaki mengabaikan tanggungjawab mendidik anak, sekali gus memberi pengaruh tidak elok kepada si kecil dan generasi baru sehingga mengakibatkan mereka cacat emosi berikutan tidak mendapat kasih sayang seimbang daripada ibu bapa," katanya.

Beliau berkata, apabila misyar dijadikan sebagai satu amalan, ditambah pula bernikah dengan menggunakan wali hakim yang sangat mudah dilakukan seperti di negara jiran, dikhuatiri pernikahan misyar akan menjadi satu aliran dalam masyarakat. Kesan lebih besar ialah institusi keluarga turut akan hancur sehingga mengakibatkan keruntuhan akhlak dan moral di kalangan masyarakat.

FAKTA
Pengimbangan antara kesan positif dan negatif

- Tidak membenarkan misyar kepada semua orang
- Jika ada, mengehadkan misyar kepada golongan tertentu atau yang perlu
- Menentukan syarat yang menjamin keadilan untuk semua pihak.

FAKTA
Kesan hak dan tanggungjawab

  • Hak isteri tanggungjawab suami
    - Nafkah batin
    - Didikan agama
    - Perlindungan dari semua aspek
    - Memelihara kehormatan atau maruah isteri
    - Harta pesaka selepas suami meninggal
    - Harta sepencarian
    - Menempatkan hak sebagai isteri jika dipoligamikan

  • Hak suami tanggungjawab isteri
    - Taat
    - Membenarkan berpoligami
    - Dijaga maruahnya
    - Pesaka selepas isteri meninggal
    - Harta sepencarian
    - Nafkah suami itu disara sendiri, bukan dari harta isteri dan bukan kewajipan isteri.

  • Hak anak
    - Nafkah minum, makan, pakai dan tempat tinggal
    - Perlindungan sempurna
    - Pendidikan, pembelajaran dan pelajaran
    - Kasih sayang
    - Komunikasi dan rekreasi
    - Kesihatan fizikal mental dan emosi sempurna
    - Pesaka daripada ibu bapa selepas meninggal

  • No comments:

     

    Sample text

    Sample Text

    Sample Text