Pages

Ads 468x60px

Friday, June 09, 2006

Hak jaga anak diserah bapa kandung

Hak jaga anak diserah bapa kandung

UM 9/6/06

PUTRAJAYA 8 Jun - Perebutan hak jagaan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun antara ibu angkat dan bapa kandung berakhir apabila Mahkamah Persekutuan hari ini memerintahkan kanak-kanak itu kekal bersama bapanya.

Perintah itu dibuat selepas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Siti Norma Yaakob yang mengetuai sidang bersama Hakim Datuk Arifin Zakaria dan Hakim Datuk Nik Hashim Nik Ab. Rahman menemuramah kanak-kanak itu selama setengah jam dalam kamar hakim.

Hakim Siti Norma mencapai keputusan sebulat suara bersama Hakim Arifin dan Hakim Nik Hashim ketika menolak rayuan ibu angkat, P. Amarapathi yang merayu untuk mendapatkan hak jagaan ke atas kanak- kanak itu yang juga merupakan anak saudaranya.

Hakim Siti Norma berkata, untuk kebaikan kanak-kanak itu, mahkamah berpendapat beliau perlu kekal bersama bapa kandungnya, P. Muniandy, 41, di kampung mereka di Jitra, Kedah.

"Kami menggesa supaya waris dan saudara mara tidak mengganggu kehidupan kanak- kanak ini. Biarkanlah (dia bersama bapanya). Dia baru berusia 12 tahun, masih jauh lagi perjalanan hidupnya,'' kata beliau.

Amarapathi, 37, seorang suri rumah, merayu di Mahkamah Persekutuan selepas rayuannya di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Melaka yang menolak permohonannya untuk mendapat hak jagaan ke atas anak saudaranya.

Kanak-kanak itu diberikan untuk dijaga oleh Amarapathi pada 6 Mei 1994, mengikut adat kepercayaan penganut Hindu supaya perayu dikurniakan anak apabila mengambil anak angkat.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text