Pages

Ads 468x60px

Sunday, July 16, 2006

Syor gubal akta lindungi akidah umat

Syor gubal akta lindungi akidah umat

BH-16/7/2006
KETUA Hakim Syarie, Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman mencadangkan supaya Akta atau Enakmen Perlindungan Akidah digubal untuk memberi kuasa kepada pihak berkuasa agama melindungi umat Islam daripada murtad.

Beliau yang juga Ketua Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) berkata, akta dan enakmen itu membolehkan tindakan awal dibuat bagi menyelamat dan memulihkan umat Islam yang cenderung untuk murtad.

Katanya, akta merujuk kepada pelaksanaan bagi Wilayah Persekutuan, manakala enakmen membabitkan negeri.

"Dalam akta itu boleh diperinci kuasa yang boleh diberikan serta bagaimana dan siapa yang patut memberi kaunseling," katanya di sini, semalam.

Sebelum ini, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria menyatakan kira-kira 100,000 umat Islam di negara ini dilaporkan murtad. Mufti itu mendakwa angka berkenaan diperoleh daripada kajian sekumpulan Melayu profesional dan intelektual yang diserahkan kepadanya tahun lalu.

Susulan itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mustapa Abdul Rahman mengesahkan pihaknya sudah mengadakan dua pertemuan dengan Harussani pada Isnin dan Selasa lalu bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Sementara itu, Profesor Datuk Dr Abdul Monir Yaacob dari Universiti Malaya berkata, umat Islam mengikut hukum syarak tidak diberikan pilihan atau kebebasan menukar agama atau menukar kepercayaannya kepada agama lain.

Katanya, prosedur dalam enakmen di sesetengah negeri kini membolehkan orang yang murtad ditahan serta diberi nasihat dan kaunseling.

Beliau turut mencadangkan supaya satu peruntukan undang-undang khas mengenai pertukaran agama dibuat, membabitkan peruntukan perkara seperti pembahagian harta, nafkah dan wasiat supaya ia lebih jelas dan mudah ditadbir mahkamah.

Timbalan Ketua Bahagian Penasihat (Syariah) Pejabat Peguam Negara, Dr Hassan Abdul Rahman pada seminar itu turut mengakui ketiadaan undang-undang jelas dan khusus mengenai pertukaran agama menyebabkan ketidaktentuan dari segi status dan kesan ke atas pihak yang terbabit.

Dalam perkembangan sama, bekas Hakim Mahkamah Khas, Datuk Faiza Thamby Chik, berkata mengikut tafsirannya dalam konteks Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan, orang Melayu tidak boleh menukar agama Islam kepada agama lain kerana perlembagaan mentakrifkan Melayu sebagai penganut agama Islam.

Katanya, Perkara 11 (1) mengenai kebebasan beragama pula menyatakan setiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya.

"Jadi jika orang Melayu masuk agama Kristian, dari segi Perlembagaan adakah beliau masih Melayu?

"Perlembagaan juga hanya menyebut setiap orang bebas menganuti dan mengamalkan agamanya, iaitu bermakna kebebasan mengamalkan agama masing-masing.

"Kalau ada pendapat bahawa ada kebebasan menukar agama, itu tidak benar, perlembagaan tidak menyebut kebebasan menukar agama.

"Bagaimanapun, jika seorang mualaf mahu keluar Islam, mereka boleh mengemukakannya kepada pejabat agama atau mahkamah syariah dan keputusan terserah kepada pihak berkuasa agama atau mahkamah terbabit," katanya.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text