Pages

Ads 468x60px

Friday, July 14, 2006

Peguam Pembela Islam' Tangani Isu Murtad

Peguam Pembela Islam' tangani isu murtad PDF
Thu | Jul 13, 06 | 03:55:40 PM
Oleh Maslan Yusoh

KOTA BHARU, 13 Julai (Hrkh) - Peguam-peguam muslim sepakat menubuh jawatankuasa bertindak dikenali sebagai 'Peguam Pembela Islam' dengan menggunakan sekretariat Persatuan Peguam Syarie Malaysia pada perjumpaan khas yang diadakan di Kuala Lumpur semalam.

Perjumpaan itu dihadiri lebih 100 peguam yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kelulusan dalam bidang syarie dan sivil, di mana mereka juga terdiri dari kalangan penyokong PAS, Umno, Parti Keadilan Rakyat dan ahli Abim.

Jawatankuasa bertindak terbabit diketuai Zainul Zakaria dan dianggotai 15 peguam lain termasuk Kamar Ainiah, Zainul Rijal Abu Bakar, Haji Mohamad Buruk dan Dato' Zaiton Othman mewakili Persatuan Peguam Muslim Malaysia.

Peguam Syarie, Wan Azimin Wan Adnan ketika dihubungi berkata, badan itu akan bergerak menemui pemimpin utama negara termasuk Sultan dan Yang Dipertua Agong serta mengadakan taklimat ke setiap negeri dalam tempoh empat minggu.

Difahamkan perjumpaan khas itu diadakan ekoran kes menukar agama (murtad) yang dituntut Azlina Jailani, 42 atau lebih dikenali Lina Joy bagi memadamkan perkataan Islam pada Mykadnya.

Sebelum ini permohonan itu ditolak Jabatan Pendaftaran Negara kerana ia terlebih dahulu perlu dirujuk ke Mahkamah Syariah.

Pada 19 September lalu Mahkamah Rayuan juga menolak dengan majoriti 2-1 terhadap rayuan yang dikemukakan Lina Joy melalui peguamnya, Dato' Dr Cyrus Das.

Kes itu kemudian dibawa pula Mahkamah Persekutuan. Hakim perbicaraan di dalam penghakimannya berdasar kepada Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan menegaskan seseorang Melayu itu hendaklah menganut agama Islam hingga akhir hayatnya.

Kes tersebut kemudiannya dibawa semula ke mahkamah untuk rayuan dan dijangka diputuskan pada 28 Julai ini.

Kes murtad kini semakin diberi perhatian selepas Mufti Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria mendedahkan terdapat kira-kira 100,000 orang Islam yang murtad di negara ini berdasarkan kajian yang dilakukan golongan profesional.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text