Pages

Ads 468x60px

Sunday, July 16, 2006

Portal E-Syariah Telah Mengatasi Lebih 900 Portal dan Laman Web Kerajaan Yang Lain


10 Julai, Putrajaya – Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah melakar satu lagi sejarah tersendiri apabila telah menerima anugerah Portal Kerajaan Elektronik Terbaik dalam satu kajian "Benchmarking and Comparative Study of Malaysia Government Portals and Websites 2005" di Hotel Shangri-La Putrajaya.

Kajian yang dijalankan oleh Multimedia Development Corporation Sdn. Bhd. (MDEC) melalui panel antarabangsa yang dilantik, menyaksikan Portal E-Syariah telah mengatasi lebih 900 portal dan laman web kerajaan yang lain. Hasil kajian tersebut telah dibentangkan pada Mesyuarat Koordinasi Aplikasi Perdana (FCC) yang ke 23 dan juga pada Mesyuarat Ketua Setiausaha Kerajaan Kementerian dan Ketua Perkhidmatan yang mana kedua-duanya telah dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Samsudin Bin Osman, Ketua Setiausaha Negara. Sehubungan dengan itu, Mesyuarat FCC telah mengesyorkan untuk menganugerahkan Portal E-Syariah untuk mendapat tempat terbaik bagi kategori Aplikasi Perdana Kerajaan Elektronik.



Y.A.A Datuk Sheikh Ghazali bin Hj Abdul Rahman menerima anugerah Portal Kerajaan Elektronik Terbaik daripada En. Badlisham Ghazali, Ketua Pegawai Eksekutif MDeC.

Hadiah kecemerlangan tersebut telah disampaikan oleh En. Badlisham Ghazali, Ketua Pegawai Eksekutif MDeC. JKSM diwakili oleh Yang Amat Arif Datuk Sheikh Ghazali B. Hj. Abdul Rahman, Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie jabatan ini. Majlis penyampaian pengiktirafan tersebut berlangsung bersempena dengan seminar "Telehealth & E-Government Flagship : Flagship Lessons Learnt, Best Practices & Transformation" di hotel yang sama.



Bergambar kenangan… (dari kiri) Tuan Mohamad B. Hj. Abdullah – Ketua Pendaftar JKSM, Y.A.A Datuk Sheikh Ghazali B. Hj. Abdul Rahman (Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie JKSM), Y. Bhg. Dato' Hassan Nawawi (Datuk Bandar Ipoh), Y. Bhg. En. Badlisham Ghazali (Ketua Pegawai Eksekutif MDeC) dan En. Haris Kasim (Pen. Pengarah Cawangan Pusat Sumber JKSM).

Datuk Sheikh Ghazali B. Hj. Abdul Rahman ketika ditemui selepas majlis berkenaan menyatakan rasa syukur ke hadrat Allah s.w.t dan terharu dengan pengiktirafan tersebut. "Nampaknya usaha JKSM untuk memartabatkan kehakiman syariah di negara ini melalui penggunaan ICT telah diterima umum. Portal yang bersifat interaktif ini seharusnya dimanfaatkan oleh warga Islam di negara ini dan menjadikannya sebagai salah satu rujukan" ujar Datuk Sheikh Ghazali B. Hj. Abdul Rahman.

Tambahnya lagi, dengan adanya anugerah ini, JKSM akan dari masa ke semasa mempertingkatkan dan mengemaskini lagi kandungan Portal E-Syariah ini dari masa ke semasa agar sentiasa relevan dengan keperluan komuniti Islam negara ini khasnya.

Bagi kategori Portal Kerajaan Terbaik pula telah dimenangi oleh Portal Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). MBI diwakili oleh Y. Bhg. Dato' Hassan Nawawi, Datuk Bandar Ipoh.

Kepada Majlis Bandaraya Ipoh, warga kerja JKSM mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas penganugerahan yang diterima bagi kategori Portal Kerajaan Terbaik.



Sijil Anugerah Cemerlang Portal Kerajaan Elektronik Terbaik




No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text