Pages

Ads 468x60px

Friday, July 14, 2006

Serban: Hujah Hakim Didakwa Hina Rasulullah - Pemuda PAS

Serban: Hujah hakim didakwa hina Rasulullah PDF
Fri | Jul 14, 06 | 11:35:27 AM
Oleh Azamin Amin

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Hrkh )- Pemuda PAS hari ini menyatakan rasa kecewa dan kesal di atas hujah Hakim Mahkamah Persekutuan, Dato' Abdul Hamid Mohamed berkenaan keputusan 'kes serban' 12 Julai lalu.

Hakim tersebut dipetik antara lain sebagai berkata; "Islam bukan sekadar memakai serban dan janggut. Arab Jahiliah, termasuk Abu Jahal, memakai serban dan berjanggut. Tidak hairanlah bagi Rasulullah yang lahir dan membesar dalam masyarkat itu, berbuat demikian."

Sambil menyifatkannya sebagai menghina Rasulullah, Naib Ketua Pemuda PAS, Mazlan Aliman berkata, perkara tersebut akan dipanjangkan kepada para mufti, seterusnya akan mengarahkan Pemuda PAS seluruh negeri membuat laporan polis berhubung dengan kenyataan terbabit.

"Pemuda PAS akur dan menghormati keputusan mahkamah, tetapi hujah penghakimannya tidak relevan dan menghina Nabi," katanya sewaktu sidang media di Taman Melewar pagi tadi.

Malah, katanya, hujah tersebut begitu prejudis terhadap penganut Islam yang kini telah pun dihina dengan pelbagai tohmahan dan tuduhan tidak berasas yang jelas menjejas imej Islam.

"Hakim bukan kebal, dan tidak boleh bercakap sesuka hati terutama perkara yang menyentuh ajaran Islam," katanya.

"Jika terbukti menghina ajaran Islam, hakim ini mesti dikenakan tindakan," katanya yang juga tidak menolak kemungkinan membawa perkara ini kepada Majlis Raja-raja.

Beliau turut menunjukkan beberapa keratan akhbar arus perdana yang menyiarkan hujah hakim tersebut kepada wartawan pada sidang media tersebut, dan turut menerima banyak panggilan telefon dan sistem pesanan ringkas (SMS) daripada orang awam yang cukup tersinggung dan marah dengan kenyataan tersebut.

Rabu lalu (12 Julai), Mahkamah Persekutuan memutuskan peraturan sekolah melarang pelajar Islam memakai serban tidak melanggar Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan berhubung kebebasan agama.

Keputusan itu merujuk kes rayuan tiga pelajar memohon pengisytiharan bahawa penyingkiran mereka daripada Sekolah Kebangsaan Felda Serting Hilir, Jempol, Negeri Sembilan atas alasan memakai serban sembilan tahun lalu sebagai tidak sah dan batal.

Hakim tersebut dipetik sebagai berkata, antaranya ialah "Saya tahu Rasulullah memakai serban. Tetapi baginda juga menunggang unta..."

"Adakah itu bermakna bahawa menunggang unta itu satu amalan lebih alim daripada bergerak menaiki kapal terbang?"

Beliau juga dilaporkan berkata, "serban telah menjadi sebahagian daripada pakaian rasmi negara ini. Apa yang turut menarik ialah sehingga sekarang pun tidak ramai daripada mufti dan hampir tiada hakim Mahkamah Syariah memakai serban."

Rakyat, suatu ketika digemparkan dengan kenyataan seorang pemimpin tertinggi yang dianggap menghina Rasulullah berkaitan soal janggut, beliau yang dipetik sebagai berkata " janggut Rasullullah tidak dipotong sebab zaman itu tidak ada pisau cukur" dan pemimpin tersebut sehingga kini pemimpin tersebut tidak didakwa ataupun dikenakan sebarang tindakan.

Katanya, PAS akan melancarkan kutipan derma dalam masa terdekat di seluruh negara bagi membantu keluarga ketiga-tiga pelajar terbabit yang tidak mampu membayar kos penghakiman kes tersebut yang katanya, hampir RM100,000.00

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text