Pertikai hukum sunat boleh jejas aqidah - ulama |
Oleh Rizal Tahir
KOTA BHARU, 14 Julai (Hrkh) - Biar pun ada pihak tidak mahu isu larangan pakai serban disensasikan, namun ia tidak mampu membendung rasa kecewa dan marah umat Islam, lebih-lebih lagi menyentuh amalan sunnah Rasulullah s.a.w.
Pelbagai pihak ketika ditemui di sini terkejut kerana hakim yang beragama Islam dalam penghakiman kes tersebut dikatakan mempersenda amalan sunnah yang sepatutnya dijunjung tinggi umat Islam.
Bekas pensyarah Akademik Islam Universiti Malaya, Ustaz Mohamad Mustafa berkata, hujah yang dirujuk dalam penghakiman dalam kes terbabit cukup dikesali dan boleh menggelirukan umat Islam.
"Memang diakui memakai serban adalah amalan sunat, tetapi apabila kita cuba memperlekeh hukum sunat itu ia boleh mendorong kepada rosak aqidah.
"Apa-apa hukum yang sunat, kita tidak boleh memperlekehnya dan cuba membanding pula dengan situasi agama lain," katanya yang juga Ketua Pengelola Unit Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan.
Menurutnya, cara mahkamah membuat perbandingan, orang jahiliah memakai serban dengan serban orang Islam amat tidak wajar kerana ia dalam konteks berlainan.
"Macam juga ibadat haji, orang jahiliah juga mengerjakan haji cara dia. Adakah kita nak samakan haji kita dengan haji orang jahiliah," katanya kesal.
Hakim Mahkamah Persekutuan, Dato' Abdul Hamid Mohamed dalam penghakiman bertulis Rabu lepas dilaporkan menolak rayuan tiga bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Felda Serting Hilir, Jempol, Negeri Sembilan yang disingkirkan dari sekolah kerana memakai serban sembilan tahun lalu.
Hakim tersebut dipetik sebagai berkata, Islam bukan sekadar memakai serban dan janggut. Arab Jahiliah termasuk Abu Jahal juga memakai serban dan berjanggut.
Mahkamah Persekutuan turut memutuskan peraturan sekolah melarang pelajar Islam memakai serban tidak melanggar Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan berhubung kebebasan agama.
Berikutan keputusan itu, Pengerusi Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa Nasional, Prof Madya Mohd Ali Hassan dilaporkan meminta isu tersebut tidak disensasikan.
Mohamad berkata, biar pun kita akur dengan undang-undang yang ditetapkan di sekolah, namun apabila ada pihak mempertikaikan ibadat sunat ia tidak boleh dibiarkan kerana boleh menggelirukan umat Islam.
"Hukum yang sunat memang tidak menjadi kewajiban untuk dilaksanakan, tetapi kalau ada orang mengamalnya ia patut dipuji. Kita juga ingin bertanya mengapa hukum yang wajib iaitu melaksanakan undang-undang Islam juga tidak dilaksana sekiranya kita hendak persoalan hukum sunat atau wajib," ujarnya.
Peguam syarie, Wan Azimin Wan Adnan berkata, hujah penghakiman yang digunakan dalam kes pemakaian serban tiga pelajar sekolah di Negeri Sembilan boleh menggelirukan orang ramai.
"Sepatutnya alasan penghakiman lebih tertumpu kepada fakta undang-undang berkaitan dengan kes dan bukannya membuat huraian mengenai hukum sunat yang diamalkan umat Islam," katanya.
Sarjana Syariah, Ustaz Mohd Saiba Yaacob, 37 turut berhujah apabila orang Islam yang akil baligh mempertikaikan amalan sunnah, ia boleh membawa kepada rosak aqidah dan menjadi fasik.
Oleh itu menurutnya, perkara itu tidak boleh didiamkan begitu sahaja biar pun nampak kecil pada sesetengah orang yang tidak menjadikan agama sebagai amalan harian kehidupan mereka.
Kata beliau sepatutnya dalam isu tersebut pelbagai pihak perlu mempertahankan pendirian pelajar terbabit kerana sanggup melakukan amalan sunnah.
"Kita juga hairan pelajar yang disifatkan warak dengan amalan sunat pula dibuang dari sekolah dan pelajar yang teruk disiplinnya dipertahankan.
"Ini jelas bertentangan dengan prinsip Islam Hadhari yang sering dijaja pemimpin negara sekarang," katanya.
Anggota Jawatankuasa Persatuan Muslim India Kelantan, Musa Amin, 47 berkata, amalan songsang yang cuba mempersendakan agama kini semakin berleluasa kerana pemimpin negara juga tidak berminat kepada Islam.
No comments:
Post a Comment