Pages

Ads 468x60px

Tuesday, May 30, 2006

Mahkamah Syariah terima bukti DNA

BH-30/5/2006
KAEDAH pembuktian forensik termasuk DNA diterima pakai dalam pembuktian kes di Mahkamah Syariah sejajar peruntukan Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin.


Beliau berkata, Undang-undang Keterangan Mahkamah Syariah menetapkan cara pembuktian kes oleh pihak pendakwa dilakukan secara 'iqrar' (pengakuan pelaku), 'as shahadah' (keterangan saksi) dan 'bayyinah' (kaedah apa bentuk keterangan yang merujuk kepada wujud perlakuan atau perbuatan itu).

"Dalam kes yang membabitkan dakwaan perempuan bahawa beliau dihamilkan oleh seseorang suspek, keterangan boleh dikemukakan kepada mahkamah termasuk menggunakan ujian DNA.

"Sekiranya mahkamah berpuas hati pembuktian itu menunjukkan kepada suspek berkenaan sebagai pelakunya, kes boleh disabitkan dan suspek dikenakan hukuman. Jika sebaliknya, suspek akan dibebaskan," katanya menjawab soalan Senator Dr Mohd Puad Zarkashi di Dewan Negara semalam.

Abdullah berkata, dalam prinsip pengadilan kes zina, sumbang mahram dan hamil luar nikah, pertuduhan dibuat pihak pendakwa dan mahkamah hanya mendengar asas pertuduhan itu dan memberi peluang kepada pihak terbabit membentangkan kes masing-masing.

Katanya, dalam kes jenayah, pendakwa perlu membuktikan wujudnya kes prima facie kes terlebih dulu dan sekiranya mahkamah berpuas hati barulah suspek diperintahkan membela diri.



Menjawab soalan tambahan Mohd Puad, Abdullah berkata, penubuhan Jabatan Pendakwa Syarie di peringkat Persekutuan seperti Jabatan Peguam Negara memerlukan penyeragaman mahkamah dan undang-undang syariah di semua negeri.

Katanya, masih ada negeri yang belum menyeragamkan semua lima undang-undang syariah Persekutuan yang diluluskan Parlimen.

"Apabila selesai penyeragaman itu, kita akan bergerak lebih jauh lagi untuk mewujudkan jabatan berkaitan pada peringkat Persekutuan," katanya.

Menjawab soalan Senator Datuk Rizuan Abd Hamid berhubung kes pasangan Islam dan bukan Islam yang bersekedudukan sehingga mendapat anak luar nikah yang kemudian didaftarkan hospital, Abdullah berkata sukar untuk tindakan diambil jika kes tidak dilaporkan.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text