Pages

Ads 468x60px

Monday, May 29, 2006

HORMATILAH SENSITIVITI WANITA

HORMATILAH SENSITIVITI WANITA

Pendapat
UM 29/5/2006

Wanita Islam Malaysia perlu waspada terhadap sebarang fatwa yang boleh menggugatkan hak dan kedudukan istimewa yang diberikan oleh Allah kepada mereka sebagai makhluk yang dijadikan sebagai amanah di muka bumi.

Sikap golongan cendekiawan Islam yang hanya melihat gejala maksiat berpunca daripada kedudukan wanita yang mempunyai status bujang dan janda menunjukkan bahawa mereka kurang menyedari sejarah wanita Islam dibendung dan diperbodohkan oleh golongan lelaki sejak kurun ke-10.

Wanita Islam di Malaysia perlu menyedari bahawa sikap segelintir ulama mempengaruhi Khalifah Al-Hakam di abad ke-10 membendung hak dan kebebasan wanita menuntut ilmu dan menunaikan hak-hak dan tanggung jawab yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepada mereka adalah faktor utama kepada penghapusan keindahan ajaran Islam berkaitan dengan peranan wanita.

Ulama perlu menggunakan fikiran yang waras dalam memberi sebarang fatwa berkaitan dengan hak dan tanggungjawab suami dalam menunaikan tugas dan tanggungjawab. Poligami bukan merupakan satu kegiatan yang digalakkan oleh Islam. Usah dijadikan sebagai isu yang terpenting. Penderitaan wanita Islam Malaysia dalam menghadapi kecuaian suami dalam menentukan tanggungjawab utama yang diwajibkan oleh Allah kepada mereka terhadap isteri-isteri dan anak-anak semakin hari kian memuncak.

Persatuan-persatuan wanita dan badan bukan kerajaan (NGO) yang sering melakukan kajian terhadap kecuaian lelaki dalam tanggungjawab terhadap rumah tangga dapat merasai dan memahami kecuaian lelaki Islam dalam mengendalikan urusan rumah tangga.

Perkahwinan bukan merupakan salah satu alternatif utama yang dapat menghalang berlakunya maksiat dalam masyarakat. Punca maksiat yang menular dalam masyarakat bukan hanya berpunca daripada wanita tidak berkahwin. Ia mempunyai hubungan yang paling rapat dengan keimanan dan kekosongan jiwa umat Islam dalam mengharungi kehidupan dalam alam globalisasi.

Sikap meringankan tanggungjawab lelaki dalam menunaikan nafkah hidup kepada isteri kedua adalah merupakan satu fatwa yang boleh menyemarakkan penganiayaan kepada wanita yang memiliki harta dan kedudukan. Ini memberi peluang kepada ramai lelaki Islam menangguk di air yang keruh.

Hak dan keistimewaan yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepada wanita usah dipertikaikan. Sikap ulama yang sering mengeluarkan fatwa tanpa memahami kontek masyarakat dan permasalahan yang berhubung kait dengan sikap dan kelemahan lelaki menyebabkan golongan intelektual wanita menunjukkan sikap yang dingin dan penentangan terhadap mereka.

Konteks sosiobudaya dan ekonomi masyarakat perlu dikaji secara matang. Sebarang fatwa yang ingin dikemukakan oleh ulama perlu berdasarkan kepada realiti kehidupan masyarakat seharian.

Ulama Malaysia perlu mempelajari kesilapan yang dilakukan oleh ulama-ulama dari negara Islam yang lain dalam soal berkaitan dengan hal ehwal peribadi wanita dan kedudukannya.

Tidak kesemua fatwa yang dikeluarkan oleh ulama dari negara Arab boleh diguna pakai di Malaysia kerana kontek budaya dan sosioekonomi mereka berbeza dengan negara ini.

Membina

Wanita berhak berkahwin dengan lelaki pilihannya dan bagaimana mereka hendak membina hidup sama ada mengorbankan hak dan keistimewaan yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepada mereka kerana terlalu cintakan lelaki atau ingin mengelak diri daripada maksiat.

Ini bukan merupakan satu isu besar yang perlu dibahaskan oleh para ulama. Ia merupakan hak individu yang perlu dihormati. Sikap terlalu gopoh mengeluarkan fatwa yang boleh mengakibatkan penganiayaan terhadap wanita adalah merupakan satu lumrah kepada golongan ulama lelaki di negara Islam.

Islam tidak pernah mengajar umat Islam supaya meringankan hak dan keistimewan wanita. Khalifah Umar al-Khattab yang terkenal sebagai orang paling arif dalam soal hukum-hakam pernah ditentang oleh wanita apabila beliau ingin menurunkan harga mahar kahwin kerana ramai lelaki tidak berkahwin lantaran terlalu mahal mahar perkahwinan.

Tentangan wanita dihormati oleh beliau dan beliau meminta maaf kepada wanita kerana kurang menyedari hak wanita yang dibicarakan oleh Allah s.w.t. dalam al-Quran.

Wanita Islam masa silam terlalu sensitif terhadap hak dan keistimewaan yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepada mereka. Oleh itu para sahabat dan ulama berhati-hati dalam mengeluarkan fatwa berkaitan dengan hak peribadi wanita.

Wanita Islam perlu menyedari bahawa jika soal berkaitan dengan mahar wanita tidak boleh dipertikaikan, maka kenapa hak dan tanggungjawab memelihara isteri yang merupakan satu kewajipan lelaki yang diwahyukan oleh Allah s.w.t. ingin diringankan oleh ulama? Di manakah keadilan terhadap wanita?

Adakah setiap aspek berkaitan dengan maksiat berkaitan dengan wanita yang tidak berkahwin, di manakah logik dan rasional dalam memberi hukum-hakam berkaitan dangan hak peribadi wanita Islam?

Kemajuan wanita dalam ilmu pengetahuan dan memiliki harta dan kewangan merupakan salah satu keistimewaan negara Malaysia. Kebebasan wanita dalam memilih corak hidup tanpa membebankan negara perlu direstui oleh ulama Malaysia. Maksiat perlu ditangani dengan kegiatan yang berunsur kerohanian bukan dalam bentuk yang begitu sempit sehingga menyempitkan dada dan keharmonian wanita.

Dalam konteks alam globalisasi masa kini pengisian jiwa dengan kerohanian amat penting. Jika dada dan jiwa diisi dengan ruh agama maka kegembiraan hidup tidak akan berlandaskan kepada hawa nafsu. Kenapa perlu wanita berkorban hak dan keistimewaan hanya untuk membendung maksiat?

- DR. SAODAH ABDUL RAHMAN, Oxford, Britain.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text