Pages

Ads 468x60px

Monday, May 29, 2006

Pro dan kontra isu perkahwinan misyar - Forum Utusan

Pro dan kontra isu perkahwinan misyar

TIDAK SOKONG

SAYA ingin mengulas saranan Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi Abdul Majid supaya kaum lelaki dibenarkan mengamalkan perkahwinan misyar bagi mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin.

Istilah misyar (dalam bahasa Arab) bermakna travellers atau pengembara. Nikah misyar ini membenarkan suami isteri tidak tinggal bersama dan suami tidak perlu menyediakan keperluan kewangan kepada isterinya.

Misyar telah diamalkan di kalangan Sunni di Mesir seawal tahun 1825. Dalam dunia moden ini ia disahkan di Arab Saudi dan kemudiannya di Mesir.

Misyar tidak pernah dipraktikkan pada zaman Nabi Muhammad s.a.w.

Oleh yang demikian ramai umat Islam yang mengikut ajaran asal junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. menganggap misyar ini amalan bidaah. Sila rujuk laman http://en.wikipedia.org/wiki/Nikah_Misyar untuk definisi misyar ini.

Masalah yang diketengahkan bahawa kini semakin ramai janda dan gadis yang tidak berkahwin, pada pandangan saya bukanlah satu keadaan yang mudah ditaksir sebegitu sahaja.

Ia sukar untuk dinilai oleh masyarakat. Ia bergantung pada seseorang gadis atau janda itu sendiri. Ada di antara mereka telah membuat keputusan untuk tidak berumahtangga atas sebab-sebab sendiri.

Gejala maksiat dan zina juga merupakan satu keadaan di mana individu atau dua pihak telah membuat pilihan untuk menjerumuskan diri mereka dengan perbuatan sedemikian.

Kehinaan ini boleh berlaku walau dalam apa keadaan sekalipun. Pasangan yang telah berumahtangga tetapi masih mengamalkan pergaulan bebas juga berpotensi menjerumuskan diri dengan gejala maksiat dan zina.

Merujuk kepada ayat 19 dari Surah An-Nisaa, ''Hai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mempusakai wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebahagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, terkecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata. Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian jika kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak" jelaslah bahawa seseorang isteri mempunyai kedudukan yang penting di sisi agama Islam.

Status ini juga dapat dilihat dari ayat 228, Surah Al-Baqarah "... Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang makruf".

Saya ingin menarik minat pembaca pada perbicaraan terbaru di United Kingdom melibatkan Mrs. Miller dan dalam satu kes yang lain, Mrs. McFarlane.

Kedua-dua mereka telah mendapat pampasan wang yang banyak hasil perbicaraan penceraian mereka dengan suami jutawan masing-masing.

Berita mengenai kes mereka disiarkan di dalam akhbar The Guardian, 25 Mei 2006. Dalam kes Mrs. Miller, beliau telah ditinggalkan setelah suaminya menemui wanita lain.

Walaupun kedua-dua kes ini tidak melibatkan undang-undang kekeluargaan Islam, pengajaran yang dapat diambil ialah, mahkamah di United Kingdom telah memberikan penghormatan kepada kaum isteri yang diceraikan.

Kalau di United Kingdom, pihak mahkamah membela nasib isteri-isteri bukan Islam yang bertanggungjawab dan kemudian diceraikan, mengapa di Malaysia kita cuba meminta kaum wanita bertolak ansur dengan hak isteri tanpa pembelaan yang adil mengikut Islam?

Saya amat percaya dengan timbulnya saranan nikah misyar ini, ramailah suami yang sedang mempunyai hubungan rahsia tersenyum gembira.

Saya juga dapat membayangkan kegusaran hati para isteri yang tahu suami curang mereka tersenyum simpul.

Saya tidak bercadang menyarankan apa-apa kepada Majlis Fatwa tetapi meminta agar berlaku adil kepada isteri-isteri yang telah meletakkan sepenuh hati dan tenaga mereka dalam membentuk rumah tangga yang sejahtera.

Saya cuma ingin menyarankan para isteri beragama Islam yang cekal dan tulus ikhlas supaya banyak membaca tentang kedudukan seorang isteri di sisi Islam.

Satu bahan bacaan bertajuk Winning the Heart of Your Wife ditulis oleh Ibraahim Ibn Saaleh al-Mahmud dapat memberikan penerangan yang adil untuk para isteri.

- DR. NORRIZA HUSSIN,

Nottingham,

United Kingdom.

SOKONG

SAYA berpendapat, perkahwinan misyar elok diharuskan di Malaysia bagi pihak yang layak.

Ia harus dinilai mengikut kes, dan tidak boleh dibuat hukum secara umum. Perkara ini mestilah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Lihat sahaja pelajar-pelajar kita yang menuntut di luar negara. Meskipun mereka tidak mengetahui konsep misyar, ramai juga yang berkahwin ketika belajar.

Mereka berkongsi elaun sara hidup, tanpa meletakkan beban nafkah zahir kepada suami semata-mata. Ini wajar memandangkan cabaran yang wujud di luar negara agak berat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menolak bulat-bulat konsep perkahwinan ini, semata-mata kerana takutkan implikasi negatif yang mungkin timbul.

Apakah implikasi tidak mampu berkahwin tidak cukup negatif, hinggakan kita lebih rela orang menjalinkan hubungan secara haram?

- SISWA SELATAN,

Bristol,

United Kingdom.

SOKONG

SELEPAS membaca pandangan tokoh-tokoh agama khususnya Mufti Perak yang menganggap perkahwinan jenis ini tidak boleh dihalalkan di Malaysia kerana dianggap mempermainkan kesucian ikatan perkahwinan, tergambar di kepala saya betapa tokoh agama kita di Malaysia dibandingkan dengan Perhimpunan Perundangan Islam di rantau Arab dan ulama tersohor Dr. Yusof Al-Qardawi yang sepakat mengatakan perkahwinan misyar adalah sah. Istilah 'tidak boleh dihalal' tidak jauh ertinya dengan 'haram'.

Kenapa dalam setiap perbincangan tentang perkahwinan kebanyakan tokoh agama terlampau memihak kepada menjaga kira-kira 50 peratus wanita yang bernasib baik mempunyai hanya seorang suami berpangkat dengan anak-anak dan nafkah zahir dan batin yang melimpah?

Adakah kira-kira 50 peratus lagi yang telah jadi 'andartu' tidak layak atau tidak berhak diberikan perlindungan oleh tokoh-tokoh agama di Malaysia khususnya dalam hak kekeluargaan? Bukankah setiap tokoh atau pemimpin sepatutnya adil kepada semua?

Sebenarnya di sisi Allah semua hambanya adalah sama dan yang membezakan hanyalah ketakwaan.

Namun setiap wanita tidak kira betapa hinanya di dunia ini masih memerlukan sedikit sebanyak nikmat dunia termasuk kenikmatan seksual, mempunyai zuriat dan sebagainya yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit.

Mereka sebenarnya sedar mereka tidak mungkin mendapat rahmat dan kenikmatan melimpah sebagaimana seorang isteri lelaki bergelar hartawan, bangsawan dan sebagainya tetapi bagi setengah andartu yang berjawatan besar mungkin hanya memerlukan zuriat yang tidak boleh dibeli di pasar raya dengan wang dan pangkatnya.

Tidak ada kezaliman atau penganiayaan sekiranya wanita malang secara sukarela sanggup menerima 'seteguk air' daripada perkahwinan misyar bagi menghilang kehausan berbanding dengan 'dahaga berterusan' daripada sistem perkahwinan biasa sekarang.

Ramai lelaki sanggup menunaikan kehendak semula jadi wanita kumpulan ini jika mereka tidak diberatkan dengan pelbagai tanggungjawab zahir dan batin serta perundangan manusia yang kadang-kadang bertentangan dengan syarak.

Tidak timbul soal penganiayaan terhadap wanita kerana ia hanya untuk wanita yang tidak bernasib baik atau tidak mempunyai banyak pilihan untuk bersuami.

Bagi yang bernasib baik atau merasakan dirinya pasti akan bernasib baik, pilihlah kahwin biasa sahaja dan jangan terima pinangan misyar. Tetapi jangan halang mereka yang sanggup menerima kenikmatan Allah ini walaupun sedikit asalkan sah di sisi Allah.

Mudah-mudahan, asalnya kahwin misyar, tetapi dengan layanan yang baik, tidak hairan suatu hari nanti suami akan lebih bertanggungjawab.

Semestinya tanggungjawab tanpa paksaan terhadap isteri misyar ini akan lebih hebat daripada ikatan paksaan perundangan terutama yang tidak diwajibkan syarak.

- IHD,

Putrajaya.

TIDAK SOKONG

APAKAH wanita di Malaysia sekarang dalam keadaan memang terdesak untuk mengahwini lelaki dengan cara misyar?

Perkahwinan misyar dikatakan mampu mengurangkan maksiat.

Mengurangkan? Adakah semua yang melakukan maksiat itu orang bujang dan wanita yang belum berkahwin? Pada hal ramai juga lelaki dan wanita yang sudah berkeluarga yang ditangkap melakukan maksiat.

Perkahwinan misyar dikatakan bermaksud suami tidak perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir seperti wang ringgit dan pakaian, tetapi cukup hanya dengan memenuhi nafkah batin kepada isteri.

Adakah wanita Malaysia hanya perlukan seks? Jika syor ini diterima, pada hemat saya taraf wanita Melayu di Malaysia semakin diperlekehkan oleh lelaki.

- WANITA MELAYU BERMARUAH,

Panama,

Amerika Tengah.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text