Isteri mesti pandai pikat suami
BM-14/5/2006KUALA LUMPUR: Golongan isteri dinasihat sentiasa berusaha dan pandai menggoda suami masing-masing supaya pasangan tidak mudah tertawan dengan wanita lain, terutama apabila berada di luar rumah.
|
Isteri Menteri Luar Negara, Datin Seri Sharifah Aziah Syed Zainal Abidin, berkata sifat lelaki yang mudah tergoda menyebabkan wanita mesti mendalami dan menambahkan ilmu pengetahuan bagaimana memikat dan memenangi hati suami, sama ada di luar atau di rumah.
Beliau berkata, dalam ajaran agama Islam juga tidak menghalang isteri menggoda suami dan menasihatkan wanita supaya sentiasa menjaga penampilan diri dan wajah demi kebaikan hubungan serta menambahkan kebahagiaan antara suami dan isteri.
"Daripada membiarkan suami digoda wanita lain di luar, isteri lebih baik memainkan peranannya untuk memikat hati suami.
Wanita juga mesti ingat, suami di tempat kerja khususnya pada peringkat optimum kerjaya lazimnya di kelilingi eksekutif muda yang pintar, petah, bergaya dan manja.
"Fikirkan apa akan berlaku jika keadaan sebaliknya, apabila suami balik ke rumah dia melihat isteri tidak menguruskan diri.
Dengan sifat lelaki yang mudah digoda inilah, isteri harus berhati-hati supaya suami tidak terpikat dengan wanita lain," katanya ketika berucap pada Seminar Kekal Jelita dan Sihat di sini, semalam.
Seminar sempena sambutan Hari Ibu 2006 itu anjuran Perbadanan Produktiviti Negara (NPC) bersama majalah Jelita dan Ns Consult Sdn Bhd.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah II NPC, Jasni Abdul Aziz dan Pengurus Besar Kanan Berita Publishing Sdn Bhd, Zaini Zainuddin.
Sharifah Aziah berkata, sudah menjadi rasmi wanita, sebijak manapun di tempat kerja dan setinggi mana pun pangkat yang ada, balik ke rumah mereka adalah ratu dalam rumah tangga.
"Tidak sukar menggoda suami jika isteri tahu memainkan peranan memenangi hati suami. Isteri adalah tempat suami melepaskan nafsu dan meluahkan perasaan sama ada luaran atau dalaman," katanya.
No comments:
Post a Comment