Pages

Ads 468x60px

Saturday, May 19, 2007

Pasangan lebih 10 tahun kahwin paling ramai cerai


SHAH ALAM 18 Mei – Kira-kira 1,000 pasangan Islam di Selangor yang
berumur 45 hingga 60 tahun dan sudah lebih 10 tahun berumahtangga,
bercerai dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat,
Datuk Abdul Rahman Palil berkata, jumlah itu menjadikan mereka sebagai
antara kumpulan umur yang paling tinggi bercerai di negeri itu.


Katanya, daripada jumlah tersebut, Shah Alam merupakan daerah paling
tinggi merekodkan pasangan lama berkahwin bercerai iaitu apabila 300
hingga 400 pasangan.


"Berdasarkan kajian yang dibuat, antara punca penceraian kumpulan
umur itu disebabkan masalah ekonomi, kesibukan bekerja, kehadiran orang
ketiga serta kekurangan ilmu kekeluargaan.


"Angka ini dilihat agak serius kerana ia melibatkan pasangan yang
telah lama berkahwin, bukannya daripada pasangan muda,’’ katanya di
sini hari ini.


Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelancaran wajah baru
Al-Hidayah, sebuah program berunsurkan dakwah terbitan Sistem
Televisyen Malaysia Berhad (TV3).


Sehubungan itu, kata Abdul Rahman, kerajaan negeri akan
memperkenalkan program pemantapan keluarga kepada kumpulan umur
tersebut terutama yang mempunyai masalah dalam perkahwinan.


Katanya, kursus khas kepada pasangan lama berkahwin juga mungkin
akan diperkenalkan supaya ikatan perkahwinan mereka terus kukuh.


Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman menasihatkan pemilik bangunan
serta premis yang menyediakan surau di negeri itu supaya memeriksa
semula arah kiblat bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan umat Islam.


"Walaupun kita tidak meletakkan syarat serta peraturan mengenai
perkara itu tetapi pemilik premis boleh merujuk kepada pejabat agama di
daerah masing-masing sekiranya terdapat keraguan.


"Ini kerana arah kiblat akan berubah sedikit dari semasa ke semasa mengikut kedudukan bumi dan matahari," katanya.


Sebelum ini, media melaporkan terdapat sesetengah surau di negeri
itu yang tidak mengikut arah kiblat yang kerana ia ditentukan
berpandukan kepada kompas serta arah kiblat surau yang berdekatan.






Powered by ScribeFire.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text