Pages

Ads 468x60px

Saturday, May 26, 2007

Keputusan rayuan Lina Joy diketahui 30 Mei

Keputusan rayuan Lina Joy diketahui 30 Mei

PUTRAJAYA 25 Mei – Penghakiman rayuan wanita Melayu yang mengaku murtad, Lina Joy terhadap keputusan dua mahkamah yang menolak permohonannya untuk memadamkan perkataan Islam dalam kad pengenalan MyKadnya akan diketahui pada 30 Mei ini.

Perkara itu disahkan oleh peguam Benjamin Dawson yang merupakan salah seorang daripada barisan peguam mewakili wanita tersebut.

Rayuan Lina Joy atau Azlina Jailani selesai didengar Julai tahun lalu di hadapan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Richard Malanjum dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Alauddin Mohd. Sheriff.

Pada rayuan itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dinamakan pihak responden pertama, Kerajaan Malaysia (responden kedua) dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (reponden ketiga).

Lina Joy, 43, diwakili peguam Datuk Dr. Cyrus Das, merayu terhadap penghakiman majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan pada 19 September 2005 yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonannya untuk memadamkan perkataan Islam daripada kad pengenalan.

Beliau yang mengaku bukan lagi penganut Islam, mendakwa bahawa pihak responden enggan membuat deklarasi mengenai haknya untuk mengamalkan agama pilihan iaitu Kristian.

Pada 13 April 2006, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada Lina Joy untuk merayu di mahkamah itu berhubung permohonannya yang hendak memadamkan perkataan Islam daripada kad pengenalannya (kini MyKad).

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text