Pages

Ads 468x60px

Tuesday, May 22, 2007

Halang keganasan suami





Oleh NORAZLITA MOHD. SIES (WARTAWAN UTUSAN)

MESKIPUN hubungan seks dalam institusi perkahwinan suatu yang sah lagi halal namun ada kalanya pasangan tersasar jauh hingga meninggalkan nilai kasih sayang yang sebenar.

Dalam usia perkahwinan yang agak lama, tidak dapat dinafikan ada kalanya kasih sayang pasangan semakin pudar dan terhakis mungkin disebabkan gangguan beberapa faktor dalaman mahupun luaran.

Walhal kasih sayang, kelembutan, belaian antara suami isteri sepatutnya berterusan dan perlu sentiasa digilap demi menjamin kelangsungan dalam sebuah perhubungan.

Masalah kerenggangan hubungan suami isteri, tanpa disedari akan memberikan impak yang mendalam termasuklah mengganggu hubungan seksual yang harmoni dan seterusnya bakal menjejaskan kewujudan sebuah keluarga yang bahagia.

Apa yang terpancar setelah melayari kehidupan berumah tangga bersama, situasi telah pun berubah. Perasaan cinta dan sayang antara mereka semakin terhakis sehingga mewujudkan jurang yang amat ketara.

Pelbagai cara dan gaya ditunjukkan termasuklah menyakiti, memukul, mendera mental dan fizikal pasangan sehinggakan pihak yang lemah terpaksa mendapatkan perlindungan walaupun mereka pada awalnya enggan berbuat demikian demi menjaga maruah serta kepentingan bersama.

Melihatkan kesan kerenggangan hubungan suami isteri, penggubal undang-undang memikirkan ada perlunya mereka membuat pembahagian baru yang lebih spesifik berhubung definisi rogol di dalam Kanun Keseksaan agar lebih jelas lagi bersistematik.

Lantaran itu, Parlimen meluluskan satu seksyen baru iaitu Seksyen 375A Kanun Keseksaan yang kini telah diwartakan iaitu suami mendatangkan kecederaan dalam usaha mendapatkan hubungan seks.

Seksyen tersebut menyatakan: Mana-mana lelaki sepanjang perkahwinan yang sah didapati mendatangkan kecederaan atau ketakutan mati atau cedera kepada isterinya atau orang lain dalam usaha mendapatkan hubungan seks dengan isterinya boleh dihukum penjara untuk tempoh sehingga lima tahun.

Pengamal undang-undang Ariff Azami Hussein melihat penambahan dalam definisi dan hukuman rogol di bawah Kanun Keseksaan sebagai suatu langkah yang positif.

Menurut peguam itu, hukuman yang diperuntukkan di bawah kesalahan ini terutama yang melibatkan elemen keganasan, tidak cukup untuk membendung jenayah ini.

Secara peribadi, ujar Ariff, beliau berpendapat pengenalan seksyen tersebut bukanlah menjadikan marital rape (rogol dalam perkahwinan) sebagai satu kesalahan. Sebaliknya ia memperuntukkan kesalahan bagi seorang suami yang menggunakan unsur keganasan untuk mendapatkan hubungan seks.

"Pada pendapat saya, ia seolah-olah satu kategori baru bagi kesalahan mendatangkan cedera dan bukannya kategori baru bagi kesalahan rogol,'' kata Ariff yang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara.

Ariff berpendapat, niat penggubal undang-undang adalah jelas iaitu biarpun hubungan seks suami isteri suatu yang halal di sisi agama, namun jika melibatkan unsur keganasan ia tetap menjadi satu kesalahan di sisi undang-undang dan agama.

Dalam lain perkataan, hubungan seks suami isteri tidak salah tetapi perbuatan atau cara dalam usaha mendapatkannya itu yang menjadi satu kesalahan.

Aplikasi Seksyen 375A Kanun Keseksaan itu, menurut Ariff, seharusnya tidak mewujudkan kekeliruan kepada orang ramai.

Ia sebenarnya diwujudkan untuk menghalang suami daripada menggunakan keganasan bagi mendapatkan hubungan seks terhadap isteri sendiri ataupun mengasari isteri dalam usaha mendorong 'mangsa' memberikan seks.

Mengimbas semula tugasnya sebagai Timbalan Pendakwa Raya suatu ketika dahulu, apabila meneliti kertas siasatan untuk tujuan pendakwaan, sekiranya terdapat unsur hubungan seksual ia dikatakan sebagai rogol.

"Tetapi jika kejadian seperti itu melibatkan pasangan suami isteri, lazimnya dikategorikan sebagai kesalahan keganasan rumah tangga sahaja yang hukumannya tidak setinggi Seksyen 375A Kanun Keseksaan'', kata Ariff.

Justeru, pengenalan seksyen tersebut, pada pendapat Ariff, jelas adalah untuk mengisi kekosongan (lakuna) dalam undang-undang.

Ini kerana, menurut beliau, sebelum ini tiada sebarang kesalahan yang terperinci dalam kesalahan yang melibatkan hubungan seks suami isteri.

Satu lagi, perincian yang dimasukkan ialah dengan memperkenalkan Seksyen 375(f) Kanun Keseksaan iaitu kategori baru melibatkan orang yang diberi amanah dan kepercayaan oleh seseorang wanita misalnya, majikan tetapi telah menyalahgunakan kepercayaan yang diberi untuk mendapatkan kepuasan seksnya.

Daripada perspektif peguam, Ariff melihat pengenalan seksyen tersebut seolah-olah mengurangkan sedikit beban pihak pendakwaan kerana elemen ketidakrelaan umpama sudah tidak perlu dibuktikan lagi. Desas-desus sesetengah pihak yang melahirkan kerunsingan bahawa kategori baru ini dikhuatiri boleh disalahgunakan.

Ariff berkata, kebimbangan juga timbul sekiranya pendakwaan berjaya membuktikan bahawa majikan (sebagai orang berkuasa) telah menggunakan kuasanya untuk mendapatkan hubungan seks dengan orang bawahannya maka isu kerelaan wanita (mangsa) seolah-olah tidak relevan lagi.

Pun begitu, dari segi praktikalnya, mahkamah tidak akan menerima sesuatu dakwaan rogol apatah lagi mensabitkan seseorang tertuduh tanpa keterangan sokongan (misalnya, keterangan perubatan, DNA, tindak tanduk mangsa yang konsisten).

Dari aplikasi undang-undang juga, mahkamah masih berpegang kepada prinsip penerimaan dan kepentingan keterangan sokongan sebelum mensabitkan seseorang tertuduh dengan tuduhan merogol.

Kesimpulannya, pindaan ataupun kemasukan definisi dan kategori baru dalam Kanun Keseksaan khususnya kesalahan membabitkan perbuatan merogol adalah suatu langkah yang wajar dan perlu dilakukan demi menjamin kepentingan dan keadilan semua pihak.

Pindaan tersebut juga menggambarkan undang-undang bukannya suatu yang statik tetapi berubah mengikut perkembangan dan keperluan semasa. Pemantauan dari semasa ke semasa terhadap definisi undang-undang perlu diperluaskan skopnya agar tidak dilabelkan sebagai ketinggalan dalam mengejar arus pembangunan.





Powered by ScribeFire.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text