Pages

Ads 468x60px

Tuesday, May 22, 2007

‘Buat kerja ikut ketetapan tugas’



PUTRAJAYA: Semua pegawai dan kakitangan Jabatan Peguam Negara diingatkan supaya tidak mempedulikan percakapan negatif berhubung tugas mereka, sebaliknya memastikan keadilan dilaksana dalam setiap kes mahkamah yang dikendalikan.



Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, berkata walaupun pihak pendakwaan kalah dalam beberapa kes, kadar sabitan tetap tinggi, iaitu 76 peratus termasuk melalui pengakuan salah tertuduh dan penyelesaian luar mahkamah bagi kes sivil.



"Jangan peduli apa kata orang, buat kerja anda untuk memastikan keadilan dilaksana," katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Khidmat Cemerlang dan Jasamu Dikenang di Dewan De' Seri Endon, Puspanitapuri di sini, malam kelmarin.



Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, dan Peguam Cara Negara, Datuk Idrus Harun.



Abdul Gani berkata, peratusan sabitan kes yang dicapai jabatan itu juga adalah lebih tinggi berbanding di United Kingdom, sekali gus membuktikan kakitangan terbabit menjalankan tugas dengan baik.



Sehubungan itu, katanya, mereka tidak perlu bertindak balas secara beremosi terhadap tanggapan sesetengah pihak kononnya pendakwa dan peguam persekutuan tidak menjalankan tugas dengan baik sehingga menyebabkan kekalahan beberapa kes.



"Tak apalah jika seluruh Malaysia beranggapan demikian terhadap anda semua. Selagi kita menjalankan kerja mengikut ketetapan tugas, tak perlulah kita jadi kurang ajar di mahkamah, kepada rakan setugas atau pun kepada peguam," katanya.



Abdul Gani berkata, analisis Laporan Penilaian Prestasi Tahunan (LNPT) 2006 Jabatan Peguam Negara menunjukkan 98 peratus daripada modal insan jabatan ini berjaya mencapai prestasi cemerlang dengan markah 85 peratus ke atas.



Sambil berharap pencapaian itu akan ditingkatkan lagi, beliau berkata dua peratus atau 74 kakitangan yang mendapat markah kurang daripada 85 perlu membuat penilaian terhadap kelemahan masing-masing.



"Mereka perlu mengambil tindakan segera bagi memperbaiki kelemahan itu," katanya.



Abdul Gani berkata, pelbagai inisiatif disediakan kerajaan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan awam dan kakitangan kerajaan perlu bersedia untuk ditegur bagi membantu mengenal pasti kelemahan masing-masing.



Katanya, usaha pengukuhan nilai murni seperti amanah, telus, bijaksana, adil dan bersyukur adalah satu kemestian bagi mempertahankan kewibawaan jabatan pada tahap tertinggi.



"Nilai negatif seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa adalah antara gejala yang boleh melemah dan memberikan imej buruk kepada jabatan jika tidak dikawal," katanya.



Powered by ScribeFire.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text