Pages

Ads 468x60px

Wednesday, May 09, 2007

Hantaran tinggi dorong pasangan nikah di Thai

ALOR STAR 8 Mei – Mufti Kedah, Datuk Paduka Sheikh Hasbullah Abdul Halim tidak menafikan nilai hantaran kahwin yang terlalu tinggi mendorong segelintir pasangan Islam di negeri ini berkahwin di Thailand.

Kata beliau, gejala itu berlaku apabila pasangan kekasih yang sedang bercinta tidak dapat melangsungkan perkahwinan ekoran belanja tinggi dan mereka terpaksa mengambil jalan mudah dengan melangsungkan pernikahan di negara jiran.

"Ada pasangan pengantin yang terpaksa membuat keputusan berkahwin di Thailand kerana ia lebih murah dan berpatutan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai isu hantaran perkahwinan tinggi yang boleh menyukarkan pasangan pengantin menyebabkan sesetengah lelaki lewat mendirikan rumah tangga dan terpaksa membujang sementara menunggu masa yang sesuai untuk berkahwin.

Sehubungan itu, Sheikh Hasbullah menasihati ibu bapa pihak perempuan supaya tidak menuntut belanja hantaran kahwin yang terlalu tinggi.

Beliau berkata, nilai belanja hantaran itu hendaklah bersesuaian dengan kemampuan pihak lelaki.

Malah, katanya, ibu bapa atau penjaga pihak perempuan juga seharusnya faham bahawa melangsungkan sebuah perkahwinan bertujuan mencari keberkatan hidup dan bukannya untuk bermegah-megah dengan meletakkan nilai hantaran yang tinggi.

"Pihak perempuan tidak sepatutnya membebankan pihak lelaki. Mereka seharusnya mempermudahkan perkahwinan anak mereka yang merupakan amanah Allah. Mereka juga patut bersyukur kerana anak mereka telah bertemu jodoh," katanya.

Sheikh Hasbullah berkata, ibu bapa juga perlu memikirkan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh pihak lelaki yang mungkin terpaksa meminjam semata-mata untuk memenuhi tuntutan perbelanjaan perkahwinan yang tinggi.

Menurut beliau, bagi memudahkan semua pihak dalam soal hantaran kahwin, ibu bapa atau penjaga kedua-dua belah pihak perlu saling memahami dan bertolak ansur demi kebahagiaan anak-anak mereka.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text