Pages

Ads 468x60px

Wednesday, May 16, 2007

Hakim Pertikai Fakta Kes Culik



Oleh AMIRUDDIN HARUN



KUALA LUMPUR 15 Mei – Seorang Hakim Mahkamah Tinggi di sini hari ini mempertikaikan fakta kes culik seorang wanita empat tahun lalu yang tidak mengaitkannya dengan tiga lelaki yang mengaku salah terhadap kejadian tersebut.



Hakim Datuk Wira Abu Samah Nordin berkata, menurut fakta kes yang dibentangkan oleh pihak pendakwa di hadapannya, ketiga-tiga tertuduh itu hanya ditangkap semasa mengira wang tebusan sedangkan dua lelaki lain yang menculik mangsa masih bebas dan gagal dihadapkan ke mahkamah.



‘‘Mereka bertiga ditahan semasa mengira wang, jadi apa penglibatan mereka dalam melarikan mangsa? Pertuduhan tidak mencerminkan penglibatan mereka,’’ katanya.



Timbalan Pendakwa Raya, Yaacub Chik yang mengendalikan pendakwaan menyatakan bahawa tuduhan tersebut dibaca dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan itu dilakukan secara bersama-sama.



Berikutan perkara yang ditimbulkan oleh hakim itu, pihak pendakwaan bersama pembelaan bersetuju menangguhkan kes itu sehingga Khamis ini sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman.



Mengikut tuduhan pilihan, ketiga-tiga tertuduh, Chong Wai Keong, 28, mekanik; Soh Kee Chai yang berkerusi roda, 46, kontraktor; dan Ng Kim Leong, 48, pekerja di kedai peralatan logam didakwa bersama-sama dua orang yang masih bebas telah melarikan secara paksa Wong Yoon Far, 43, dengan niat untuk menahannya.



Kesalahan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan itu yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama didakwa berlaku pada pukul 8.30 pagi, 5 Disember 2003 di tempat letak kereta berdekatan kedai Diamond Marble, Jinjang, Sentul, di sini.



Ketiga-tiga mereka juga menghadapi satu lagi tuduhan pilihan iaitu dalam milikan mereka wang RM84,950 yang diketahui merupakan sebahagian daripada wang yang diserahkan sebagai wang tebusan atas penculikan Yoon Far.



Bagi kesalahan mengikut Seksyen 5 Akta Culik 1961 ini, mereka didakwa melakukannya pada pukul 3.35 petang, hari yang sama di Restoran Kan Lon Tai, tingkat 2, Selayang Mall, Taman Selayang Utama, Batu Caves.



Ketiga-tiga mereka yang ditangkap pada 5 Disember 2003 mengaku bersalah atas kedua-dua tuduhan pilihan itu.



Mengikut fakta kes, mangsa bersama anak lelakinya berusia 17 tahun ketika itu, Yap Zhen Ming telah pergi ke kedai jubin milik mangsa pada hari kejadian dengan menaiki kereta Mercedes Benz dan selepas menurunkan anaknya di kedai, mangsa telah menuju ke tempat letak kereta.



Di situ, mangsa melihat dua lelaki (yang kini masih bebas) berada di belakang keretanya. Mangsa yang keluar dari kereta telah dihampiri oleh seorang daripada mereka yang bersenjatakan pistol dan dia kemudiannya ditolak masuk ke dalam kereta.



Kedua-dua lelaki itu turut menaiki kereta mangsa dan dibawa ke Rawang.



Anak mangsa yang sempat dihubungi oleh ibunya sebelum keluar dari kereta dan melihat kejadian itu telah menelefon Balai Polis Jinjang untuk membuat laporan polis dan juga kepada bapanya, Yap Sim Lan.



Semasa di kedai, Sim Lan telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki meminta wang tebusan dan dengan bantuan polis, dia berjaya memujuk mereka menetapkan wang tebusan sebanyak RM100,000.



Selepas mengeluarkan wang tunai dari sebuah bank, Sim Lan sempat membuat salinan fotokopi bagi setiap wang tersebut.



Powered by ScribeFire.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text