PORTAL Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mentakrifkan e-fatwa sebagai satu laman web yang menyediakan maklumat-maklumat fatwa iaitu keputusan fatwa dan fatwa yang telah diwartakan di negeri-negeri seluruh Malaysia. e-fatwa adalah aplikasi berasaskan web dan dibangunkan oleh Bahagian Perkhidmatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan dikemas kini oleh Jawatankuasa Teknikal yang terdiri daripada pegawai-pegawai di Jabatan-Jabatan Mufti di seluruh Malaysia.
Portal e-fatwa telah diusahakan oleh Jakim dan Jabatan Mufti seluruh Malaysia sejak 2001. Ia telah dilancarkan secara rasminya pada 23 Disember 2003 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Setelah lebih empat tahun digunakan, e-fatwa kini menerima 169,316 pelawat sejak 1 April 2003.
Kejayaan berikutnya pula ialah usaha memberikan komitmen dalam mempelbagaikan lagi maklumat di dalam e-fatwa ini dan menggunakan aplikasi tambahan seperti e-forum di kalangan pentadbir pengurusan istinbat dan mufti seluruh negeri. Ini sudah tentu memberikan suatu manfaat yang baik dan boleh menyelesaikan sesuatu masalah tanpa bertemu di dalam sesuatu mesyuarat. Bahkan e-forum boleh memberi peluang berbincang secara langsung sebelum sesuatu muzakarah diadakan.
Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria menggambarkan pelancaran laman web e-fatwa itu tepat pada masanya dan orang ramai terutamanya golongan muda mudah mengetahui fatwa yang dikeluarkan.
Di Malaysia, e-fatwa telah menjadi satu sumber utama yang menghubungkan masyarakat Islam dengan mufti sebagai mewakili ulama yang autoritatif dalam menjalani kehidupan harian membabitkan aspek akidah, ibadah, muamalat, munakahat dan sebagainya.
Tinjauan ke atas kandungan fatwa dalam portal e-fatwa semasa mendapati sebahagian negeri memasukkan fatwa yang diwartakan sementara sebahagian negeri tidak berbuat demikian termasuk WP, Sarawak dan Sabah. Malah terdapat juga fatwa berkaitan penggunaan hormon umpamanya diletakkan dalam klasifikasi ‘perubatan’ sementara di negeri lain diletakkan dalam klasifikasi ‘lain-lain’.
Terdapat juga perbezaan dari sudut penyediaan maklumat keterangan kepada hujah sesuatu fatwa. Keterangan ini adalah sesuatu yang amat penting kepada masyarakat dalam memahami ketelusan sesuatu fatwa yang dikeluarkan. Didapati sebahagian negeri memasukkan ruang keterangan manakala sebahagian besarnya tidak. Keputusan fatwa semata-mata tanpa keterangan jelas bakal mengundang seribu satu perbahasan selanjutnya.
Dari sudut maklumat semasa fatwa yang dipaparkan dalam e-fatwa, didapati kandungan fatwa yang paling terkini adalah dikeluarkan pada 2002. Secara ironisnya, tiada sebarang fatwa diputuskan atau diwartakan oleh mana-mana negeri mahupun Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan sejak 2003 sehingga kini. Rintisan pembangunan portal e-fatwa adalah seharusnya mempercepatkan penyebaran fatwa kepada masyarakat umum yang sudah tentu tidak memerlukan tempoh lama untuk tujuan percetakan dan penjilidan seperti amalan konvensional.
Memandangkan dasar dan kandungan e-fatwa boleh ditentukan oleh negeri-negeri dengan persetujuan Bahagian Penyelidikan dan Keurusetiaan & Perhubungan Antarabangsa Jakim, beberapa cadangan dikemukakan untuk dipertimbangkan bagi tujuan penyeragaman serta penambahbaikan e-fatwa.
Tinjauan evaluatif ini bukanlah dibuat secara komprehensif tetapi agak memadai untuk tujuan pemantapan portal e-fatwa yang sedia ada demi memartabatkan lagi kedudukan fatwa dan institusi mufti peringkat nasional dan global. Perhatian dan penelitian perlu ditumpukan kepada beberapa perkara yang asas iaitu:
Fatwa yang tertera dalam e-fatwa hendaklah sentiasa dikemas kini memandangkan masyarakat Islam memerlukan fatwa bagi tujuan rujukan kes
atau permasalahan yang berlaku dari semasa ke semasa.
Jenis klasifikasi yang digunakan hendaklah seragam dan konsisten antara setiap negeri agar tidak mengelirukan pengguna dan memudahkan carian maklumat fatwa oleh masyarakat Islam.
Kaedah klasifikasi hendaklah ditentukan oleh mufti atau jawatankuasa instinbat berdasarkan dominasi hukum yang lebih cenderung kepada permasalahan akidah, ibadah, muamalat dan sebagainya.
Keupayaan carian pantas menerusi enjin carian perlu disediakan untuk lebih efisien dan efektif berdasarkan kepada klasifikasi yang seragam.
Rujukan keterangan/ulasan adalah sangat penting untuk memberi kefahaman dan keyakinan masyarakat Islam terhadap sesuatu hukum yang diputuskan. Ia juga melambangkan ketelusan institusi mufti membuat sesuatu hukum berasaskan kepada prinsip dan premis yang tepat.
Interaksi masyarakat dengan mufti menerusi e-forum juga wajar disediakan terutamanya yang membabitkan panduan kehidupan. Meskipun tidak memerlukan kepada keseluruhan panduan dan jawapan daripada mufti itu diwartakan atau disebarkan, namun panduan autoritatif daripada mufti adalah amat berharga bagi masyarakat Islam di samping mengelakkan kepelbagaian pandangan yang tidak autoritatif.
Komitmen kerajaan dalam menyebarkan sesuatu fatwa untuk kesejahteraan dan keharmonian masyarakat sudah tentu memerlukan ketekunan masyarakat untuk mengakses fatwa serta menghormatinya dalam kehidupan harian mereka. Sebagaimana pengalaman di Brunei yang penguatkuasaan fatwanya agak mudah apabila jumlah masyarakat Islam yang kecil mudah menerima dan mengakses fatwa yang disampaikan. Aspek penambahbaikan yang perlu ditekankan, bagaimana pula fatwa tersebut juga boleh menjadi rujukan global umat Islam yang lain, sekurang-kurangnya rujukan umat serantau.
Secara mudahnya, kita memahami bahawa fatwa adalah sesuatu yang amat penting untuk umat Islam selepas terhentinya wahyu, al-Quran dan hadis.
Apatah lagi dalam suasana semasa yang semakin mengelirukan dan umat Islam berada dalam ketandusan ilmu, maka fatwa adalah jalan penyelesaian kehidupan yang paling bermakna. Dengan wujudnya e-fatwa, ia menjadi sumber rujukan autoritatif mudah akses, sebagai panduan kepada kehidupan masyarakat dengan hanya klik, sebagai medan forum interaksi masyarakat-mufti secara maya, sebagai sumber ilmu autoritatif akademik yang tersedia sepanjang masa dan juga sebagai penyelesaian kekeliruan dan salah faham isu semasa pada bila-bila masa dan di mana-mana secara global. Akhirnya, adalah amat wajar e-fatwa digarap secara lebih efisien dan efektif dengan kandungan yang terkini dan
sistematik.
- PENULIS ialah Koordinator Perhubungan Korporat dan Pensyarah Kanan Pusat
Pemikiran dan Kefahaman Islam Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Powered by ScribeFire.
No comments:
Post a Comment