KANGAR: Seorang gadis berusia 26 tahun disyaki mempunyai dua suami pada suatu masa, termasuk seorang lelaki yang pernah dikahwininya secara rahsia di Selatan Thailand, ketika masih menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA), empat tahun lalu.
Status gadis berasal dari Langkawi, Kedah itu terbongkar selepas dia hadir ke Mahkamah Rendah Syariah, di sini, Februari lalu, untuk memfailkan pengesahan nikah bersama seorang lelaki yang dikahwininya juga di negara jiran, hujung tahun lalu.
Hakim Zaini Abdul Rahim, bagaimanapun terpaksa menangguhkan permohonan itu selepas Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) menerima laporan berhubung status gadis berkenaan yang disyaki masih bersuami.
Difahamkan, gadis itu pernah berkahwin dengan seorang lelaki yang juga rakan sekampungnya secara rahsia di Songkhla, pada Disember 2003 dan pasangan itu juga memiliki surat nikah yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP).
Sebaik perkara itu disedari keluarga, satu permohonan pembatalan nikah dibuat di Pejabat Konsul Besar Malaysia di Songkhla pada 12 September 2004.
Bagi menutup kes berkenaan, gadis itu kemudian dikatakan dikahwinkan dengan seorang lelaki lain juga di Songkhla, pada 30 November tahun lalu.
Difahamkan, urusan perkahwinan kedua itu terpaksa dilakukan di Songkhla, berikutan Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), gagal meluluskan permohonan dibuat, berikutan terdapatnya keraguan pada status perkahwinan pertama.
Sumber JAIPs berkata, satu permohonan pengesahan nikah dibuat di Mahkamah Rendah Syariah, di sini pada Februari lalu, bagaimanapun terpaksa ditangguhkan selepas pihaknya menerima laporan gadis terbabit masih bersuami.
Malah, perkara itu turut diakui gadis terbabit ketika ditanya Zaini sewaktu hadir memfailkan permohonan terbabit di mahkamah.
Musykil dengan keterangan itu, hakim kemudian memutuskan permohonan terbabit ditangguhkan sehingga status perkahwinan pertama disahkan.
Berikutan keputusan itu, sumber berkata satu permohonan lagi dibuat pihak gadis terbabit untuk membatalkan status pernikahan pertama, bulan lalu. Hakim bagaimanapun memutuskan Isnin ini sebagai tarikh sebutan pertama kes.
BH-20/5/2007
Powered by ScribeFire.
No comments:
Post a Comment