Tertuduh dibenar dapatkan dokumen saksi
PUTRAJAYA: Pindaan Kanun Acara Jenayah (KAJ) yang membenarkan tertuduh mendapatkan semua dokumen penting daripada pihak pendakwa akan mengurangkan birokrasi dan mempercepatkan perbicaraan kes, kata Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
Beliau yang menyifatkan pindaan KAJ itu sebagai inovasi berani berkata, ia juga akan memastikan perbicaraan berjalan lancar dan mengurangkan kes tertunggak tanpa dibelenggu proses dokumentasi seperti keterangan yang direkodkan daripada saksi, laporan perubatan atau DNA.
"Prosedur yang diguna pakai sekarang melambatkan prosiding sesuatu kes, terutama apabila dokumen hanya boleh dikemukakan melalui orang yang membuatnya (saksi).
"Sekarang, seorang tertuduh hanya boleh mendapat laporan polis dan percakapan beramarannya saja, manakala bagi dokumen lain, tertuduh perlu menunggu sehingga saksi yang membuat dokumen itu hadir untuk mengemukakannya secara peribadi di mahkamah ketika perbicaraan.
"Bagaimanapun, dengan peruntukan baru Seksyen 51A dalam KAJ, ia akan memastikan segala dokumen berkaitan yang dapat membantu sesuatu kes pembelaan diserahkan dengan segera kepada peguam tertuduh.
"Ini menjimatkan masa kerana pihak pembela boleh memutuskan lebih awal sama ada berbaloi untuk meneruskan perbicaraan atau memilih untuk mengaku salah atas bukti yang ada," katanya.
Ahmad Fairuz berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Ke Arah Meningkatkan Keberkesanan Mahkamah Malaysia' di Forum Pembaharuan Kehakiman Asia Pasifik di Istana Keadilan, di sini, semalam.
Forum empat hari itu disertai 60 pegawai kehakiman dan penasihat perundangan dari negara Asia Pasifik termasuk China, Australia, Tonga, Timor Leste dan Vietnam serta wakil Bank Dunia dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).
Pindaan kepada KAJ yang diluluskan Parlimen tahun lalu, bagaimanapun belum diwartakan.
Pada sidang akhbarnya sebelum itu, Ahmad Fairuz berkata, forum itu akan membincangkan secara terbuka masalah yang dihadapi sistem kehakiman di semua negara terbabit, dan mencadangkan mengenai cara untuk mengatasinya.
"Kita juga akan membincangkan kebebasan badan kehakiman di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, selain isu pelantikan dan kenaikan pangkat hakim.
"Pada masa ini, pemilihan dan kenaikan pangkat hakim dibuat melalui proses khusus, iaitu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selepas perbincangan antara Perdana Menteri dan Ketua Hakim Negara.
"Jadi, forum ini adalah tempat sesuai bagi membincangkan sama ada proses itu masih sesuai untuk memastikan kebebasan badan kehakiman," katanya sambil menegaskan perkara utama adalah memastikan keadilan untuk semua.
Sementara itu, Hakim Mahkamah Tinggi Australia, Kenneth Madison Hayne, berkata UNDP juga bersetuju untuk menyumbangkan dana bagi membantu proses pembaharuan kehakiman di rantau Asia Pasifik.
BH-29/5/2007

No comments:
Post a Comment