Pages

Ads 468x60px

Monday, May 07, 2007

Kamariah diminta bermuhasabah diri

Oleh WAN RAMLI WAN MUHAMAD

KUALA TERENGGANU 6 Mei – Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Muhamad Abdullah hari ini menasihati bekas ustazah, Kamariah Ali, 56, yang menghadapi tuduhan murtad agar bermuhasabah diri berhubung tindakannya mengisytiharkan diri keluar Islam.

Muhamad menegaskan sebagai seorang bekas ustazah lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir yang merupakan universiti tertua dunia, dia tidak sepatutnya melakukan tindakan tersebut.

Katanya, kes ini amat mengejutkan masyarakat di Malaysia kerana ia membabitkan bekas pelajar universiti yang melahirkan begitu ramai ulama dunia.

''Sebelum kes ini selesai ingat diri, asingkan diri ke tempat lain, sebab banyak orang sudah beri peluang (bertaubat), Mahkamah Kota Bharu pun sudah beri peluang tetapi masih belum berubah.

''Ingatlah kita ini mahu ke mana, kita ini dari mana," katanya semasa mendengar perbicaraan kes Kamariah yang didakwa mengaku bukan Islam bagi mengelakkan tindakan diambil ke atasnya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.

Kamariah seorang pengikut kumpulan ajaran sesat Ayah Pin didakwa mengikut Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

Pendakwaan dilakukan oleh Ketua Pendakwa Syariah, Mustapha Hamzah manakala tertuduh diwakili peguam Sa'adiah Din.

Bekas ustazah lulusan Universiti Al-Azhar itu dituduh membuat kenyataan keluar Islam di hadapan Hakim Wan Abdul Malik Sidek kira-kira pukul 12.50 tengah hari pada 21 Julai 2005 di bilik bicara Mahkamah Rendah Syariah Besut di sini.

Mengikut Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, Kamariah boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Sebelum itu, semasa soal balas oleh Mustapha, Kamariah mengakui membuat pengakuan keluar Islam dengan kerelaan sendiri.

Katanya, walaupun sebelum ini pernah menghadiri majlis taubat anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), namun dia tidak bertaubat.

''Dia (pegawai Jakim) suruh saya taubat, tetapi saya tidak bertaubat,'' katanya.

Mengenai soalan pendakwa kenapa dia tidak pernah membuat permohonan menukar perkataan agama Islam yang tercatat pada kad pengenalannya , Kamariah memberitahu, dia tidak pasti sama ada elemen Islam terdapat dalam dokumen itu.

Muhamad kemudian menetapkan 11 Julai ini untuk sambung perbicaraan.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text