“BHAGAT tak malu, Bhagat mengandung, ada bayi di dalam perut
Bhagat.’’. Begitulah antara ejekan yang diterimanya daripada orang
kampung.
Perut Sanjay Bhagat, 36, sudah seperti wanita mengandung sembilan
bulan. Tambah malang, dia juga tidak boleh bernafas dengan lancar.
Pada suatu malam, Jun 1999, petani yang tinggal di Nagpur, India itu terpaksa dikejarkan ke hospital dengan ambulans.
Pada mulanya, doktor menyangkakan, ia tidak lebih dari kes
ketumbuhan gergasi lantas mereka mengambil keputusan untuk membedahnya.
‘‘Pada dasarnya, tumor itu terlalu besar sehingga menekan diafragma
Bhagat dan mengganggu pernafasannya,’’ kata Dr. Ajay Mehta dari Tata
Memorial Hospital di Mumbai.
Menurut Dr. Mehta, selalunya dia boleh mengenal pasti sesuatu ketumbuhan sejurus selepas memulakan pembedahan.
Bagaimanapun, semasa melakukan prosedur itu ke atas Bhagat, pakar
bedah berkenaan menjumpai sesuatu yang tidak pernah terlintas di akal
fikirannya.
Semakin dalam pisaunya menoreh perut Bhagat, bergelen-gelen cecair
tertumpah keluar sebelum sesuatu yang lebih luar biasa terjadi.
“Sungguh dahsyat. Saya boleh berjabat tangan dengan seseorang yang berada di dalam perutnya,’’ ujar beliau.
Seorang doktor lain mengimbas kembali hari berkenaan di dalam bilik
pembedahan: ‘‘Dr. Mehta menyeluk tangannya ke dalam perut pesakit dan
berkata, dia dapat merasa banyak tulang-temulang di dalamnya.
“Mula-mula, satu anggota badan keluar, kemudian keluar lagi satu
anggota badan. Berikutnya, bahagian alat sulit pula dikeluarkan,
diikuti dengan rambut, rahang, tangan, dan seterusnya,’’ katanya.
Sungguh aneh. Makhluk separuh terbentuk yang menumpang Bhagat selama
ini mempunyai kaki dan tangan yang sudah agak sempurna manakala kuku
jarinya pula panjang seperti puntianak. ‘‘Kami sangat ketakutan, keliru
dan kehairanan,’’ tambah Dr. Mehta.
Sekali pandang, Bhagat seolah-olah baru sahaja melahirkan seorang
bayi. Sedangkan sebenarnya, Dr. Mehta baru sahaja mengeluarkan tubuh
saudara kembar Bhagat daripada perutnya.
Kes Bhagat disifatkan sebagai salah satu keadaan perubatan yang paling pelik di dunia yang dikenali sebagai fetus in fetu.
Ia merupakan keganjilan yang sangat jarang berlaku di mana fetus
atau janin terperangkap di dalam tubuh badan salah seorang pasangan
kembar.
Janin yang terperangkap itu boleh hidup sebagai parasit sekalipun
selepas dilahirkan dengan membentuk struktur mirip tali pusat yang
meresap bekalan darah kembar mereka, sehingga ia menjadi begitu besar
dan menjejaskan ‘tuan rumah’.
Kurang 90 kes fetus in fetu yang pernah direkodkan dalam bidang
perubatan. Ia terjadi pada peringkat awal kehamilan kembar apabila
salah satu janin akan menyelaputi tubuh janin yang satu lagi.
Lazimnya, kedua-dua pasangan kembar itu akan mati di dalam perut
lagi dan tidak sempat dilahirkan akibat ‘pertarungan’ untuk berkongsi
uri yang membekalkan zat pemakanan.
Bagaimanapun, ada ketikanya, dalam kes-kes seperti Bhagat, kembar perumah (Bhagat) terus hidup dan dilahirkan seperti biasa.
Namun, apa yang menjadikan insiden ini sangat luar biasa, tiada
seorang pun yang mengesyaki Bhagat mengandungkan kembarnya sendiri
selama 36 tahun!
Tiada uri yang dijumpai di dalam perut Bhagat. Mungkin kerana kembar
parasitnya yang berselubung itu mempunyai kaitan secara langsung dengan
bekalan darah Bhagat.
Bhagat ternyata begitu lega selepas pembedahan itu. Dia langsung
tidak mahu ambil tahu apa yang telah Dr. Mehta lakukan ke atas dirinya
mahupun berminat untuk melihat objek yang berjaya dikeluarkan dari
dalam perutnya.
‘‘Dia enggan melihatnya kerana ia begitu mengecutkan perut,’’ kata
Dr. Mehta lagi sambil memberitahu, Bhagat kini berada dalam keadaan
yang stabil dan menjalani hidup yang normal walaupun sesekali dia masih
tidak dapat lari daripada terus dipersenda.
Glosari
Diafragma – otot nipis bermembran berbentuk kubah yang memisahkan
ruang torasik dan abdomen yang memainkan peranan penting dalam
pernafasan.
Utusan Malaysia 16/6/2007
Powered by ScribeFire.
No comments:
Post a Comment