Periksa semua bangunan -- Arahan PM kepada JKR ekoran insiden terbaru siling mahkamah runtuh
Oleh Fauzi Jaafar dan Saifulizam Mohamad
KUALA LUMPUR 30 April – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) memeriksa serta-merta semua bangunan kerajaan di seluruh negara selepas kejadian siling runtuh berlaku di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini.
Perdana Menteri yang marah dan malu dengan kejadian itu – iaitu insiden ketiga siling runtuh melibatkan bangunan kerajaan dalam tempoh tiga minggu – mahu kontraktor-kontraktor yang cuai dalam pembinaan bangunan-bangunan tersebut dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi.
Kompleks Mahkamah Jalan Duta dibina dengan kos RM270 juta, manakala kejadian siling runtuh akibat paip pecah di ibu pejabat Jabatan Imigresen dan Dewan Serbaguna Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi di Putrajaya juga berlaku di bangunan baru milik kerajaan yang dibina dengan kos beratus-ratus juta ringgit.
‘‘Apa yang boleh saya buat, saya marah... saya malu. Apa dah jadi ni. Baru sangat jadi begini... tiba-tiba dengar lagi.
‘‘Mesti ada sesuatu (yang tidak kena) dan kita perlu tahu,’’ tegas beliau pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Abdullah memberikan reaksi tersebut ketika mengulas kejadian terbaru siling runtuh di Bilik Setiausaha Mahkamah Tinggi Sivil 6 di Kompleks Mahkamah Jalan Duta awal pagi ini.
Bangunan itu, yang dikatakan kompleks mahkamah yang kedua terbesar di dunia, dijangka memulakan operasi pada 3 Mei ini.
Satu lagi kejadian siling runtuh berlaku di Dewan Serbaguna Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi di Putrajaya pada Sabtu lalu.
Tujuh belas hari sebelum itu, ibu pejabat Jabatan Imigresen di Putrajaya turut mengalami kebocoran paip hingga menyebabkan siling runtuh dan memaksa semua urusan di pejabat itu dihentikan buat sementara.
Menurut Perdana Menteri, punca siling runtuh di Kompleks Mahkamah Jalan Duta hari ini masih belum diketahui dan kerajaan memerlukan maklumat lanjut sebelum tindakan boleh diambil.
‘‘Adakah ini kerana kontraktor tidak buat kerja dengan betul atau cuai? Adakah kesan reka bentuk bangunan menyebabkan siling runtuh?
‘‘Adakah ia dilakukan oleh kontraktor yang sama. Kalau ini dilakukan oleh kontraktor yang sama atas sebab-sebab tertentu, tindakan boleh diambil,’’ kata beliau.
Dalam kejadian di Kompleks Mahkamah Jalan Duta kira-kira pukul 10.30 pagi ini, lampu dalam sebuah bilik di bangunan itu jatuh kerana siling tempat ia dipasang tidak dapat menahan berat lampu tersebut.
Selain meminta JKR membuat pemeriksaan serta-merta, Perdana Menteri turut mengarahkan penyenggaraan bangunan kerajaan dilakukan secara lebih kerap supaya sebarang kerosakan dapat dikesan dengan segera.
‘‘Penyenggaraan amat penting. Saya selalu kata penyenggaraan... penyenggaraan...penyenggaraan. Tetapi selagi tak kena (tak runtuh), orang tidak kisah,’’ kata Abdullah.
Mengenai insiden kebocoran paip di ibu pejabat Jabatan Imigresen, Putrajaya, yang berlaku pada pertengahan bulan ini, beliau berkata, ia terjadi disebabkan penyambung paip di bangunan itu dibuat secara tidak betul dan dengan kualiti kerja yang tidak begitu baik.
Kejadian tersebut menyebabkan urusan kaunter di ibu pejabat Jabatan Imigresen tidak beroperasi selama beberapa hari.
Kejadian siling runtuh kedua pula melibatkan Dewan Serbaguna Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi di Putrajaya yang runtuh selepas paip perenjis air di siling bangunan itu pecah kira-kira pukul 7.10 pagi Sabtu lepas.
Siasatan sedang dijalankan untuk mencari punca kejadian tersebut.
No comments:
Post a Comment