Pages

Ads 468x60px

Tuesday, February 27, 2007

Bayi mulut bertampal pelekat plastik ditemui

Bayi mulut bertampal pelekat plastik ditemui


KUALA LUMPUR: Seorang bayi lelaki dipercayai baru beberapa jam dilahirkan, ditemui dengan mulut berpelekat plastik dalam beg pakaian atas rak kasut sebuah rumah, di Kampung Sungai Cincin, Gombak, di sini, semalam.

Bayi yang badannya masih berdarah dan mempunyai tali pusat serta uri itu ditemui jam 5.45 petang oleh pemilik rumah ketika pulang dari Pasar Chow Kit.

Ketika ditemui, bayi itu dilihat meronta-ronta dipercayai akibat mulutnya ditampal pelekat plastik dan kelaparan.

Ketua Polis Balai Gombak, Cif Inspektor Mahyuddin Abdullah berkata, bayi itu ditemui dalam beg dibalut tuala dan plastik. Polis turut menemui sebatang pen dalam beg berkenaan tetapi tiada nota ditemui.

"Pemilik rumah menemui beg pakaian itu ketika hendak membuka pintu rumahnya dan terus melaporkan kepada polis apabila melihat ada bayi dalam beg pakaian," katanya.

Sementara itu, seorang bidan klinik desa, Khalijah Jusof, dan seorang jururawat, Azirul Adilawati Mohd Zin yang dipanggil penduduk kampung terus membuka pelekat plastik pada mulut bayi.

Khalijah berkata, sebaik tiba jam 6 petang, mereka memotong tali pusat bayi dan memandikannya sebelum diberikan susu.

"Berdasarkan pengalaman kami, kemungkinan besar ibu atau bapa bayi itu sengaja melekatkan pelekat plastik bagi mengelakkan tangisan bayi kedengaran.

"Bayi itu kelaparan dan meronta-ronta. Ada sedikit kesan luka pada bibirnya, mungkin disebabkan pelekat," katanya ketika ditemui di Balai Polis Gombak.

Sehingga malam tadi, belum ada tangkapan dibuat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi talian RakanCop 03-21159999 atau khidmat pesanan ringkas (SMS) POLISSEL dan hantar kepada 32728.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text