Pages

Ads 468x60px

Tuesday, April 03, 2007

Wanita mahu Mahkamah Persekutuan tentukan beri penceraian sivil

Wanita mahu Mahkamah Persekutuan tentukan beri penceraian sivil

PUTRAJAYA 2 April – Seorang suri rumah, yang diminta merujuk ke Mahkamah Syariah untuk menuntut hak perkahwinannya, mahu Mahkamah Persekutuan membuat keputusan sama ada Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk memutuskan penceraian sivil jika melibatkan seorang daripada pasangan itu yang telah memeluk Islam.

Ini adalah antara sembilan persoalan undang-undang terkandung dalam permohonan R. Subashini untuk meminta kebenaran Mahkamah Persekutuan membuat penentuan.

Subashini telah memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran merayu dari Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan majoriti 2-1 oleh Mahkamah Rayuan pada 13 Mac lepas mengarahkannya untuk menuntut pembubaran perkahwinan dan dakwaan hak jagaan anak di Mahkamah Syariah.

Pada hari berkenaan, Mahkamah Rayuan menolak rayuan bekas setiausaha itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 25 September tahun lepas, mengetepikan perintah injunksi sebelah pihak bagi menghalang T. Saravanan, 31, daripada memulakan prosiding pembubaran perkahwinan mereka dan mengislamkan anak keduanya di Mahkamah Syariah.

Wanita berusia 28 tahun itu memfailkan permohonan kebenaran bersama perakuan segera menerusi firma guaman Kanesalingam & Co pada Jumaat lepas menggesa mahkamah mendengar permohonan itu secepat mungkin.

Ia akan menjadi jalan terakhir bagi Subashini jika gagal memperoleh kebenaran merayu dari Mahkamah Persekutuan. Jika ini berlaku, keputusan Mahkamah Rayuan adalah muktamad.

Jumaat lepas, Subashini mendapat injunksi sementara dari Mahkamah Rayuan bagi menghalang Saravanan memulakan atau menyambung sebarang prosiding di Mahkamah Syariah atau mengislamkan anak kedua mereka sementara menunggu permohonan kebenarannya.

Antara alasan memohon perbicaraan awal ialah isu-isu yang dibangkitkan dalam permohonan kebenaran berkait dengan penggunaan undang-undang Islam terhadap warga bukan Islam yang pada dasarnya menjejaskan kehidupan semua masyarakat bukan Islam di negara ini.

Beliau juga berkata bahawa permohonan kebenaran itu telah membangkitkan isu-isu berkaitan hubungan antara Mahkamah Tinggi Sivil dan Makhamah Syariah yang dibentuk melalui pelbagai badan perundangan negeri yang mempunyai kesan bermakna atau fungsi sebenar sayap kehakiman kerajaan dan kedaulatan undang-undang di Malaysia.

Satu lagi persoalan yang dicadangkan untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan ialah sama ada terdapat penyalahgunaan proses untuk salah seorang pasangan dalam perkahwinan sivil menukar agama secara unilateral seorang kanak-kanak bawah umur tanpa persetujuan pasangannya.

Pasangan tersebut, yang belum memutuskan penceraian mereka, mempunyai dua anak lelaki, Dharvin Joshua, 3, dan Sharvin, 1 tahun.

Saravanan, yang nama Islamnya Muhammad Shafi Abdullah, mendakwa anak sulungnya itu telah memeluk Islam bersamanya pada Mei tahun lepas.

– Bernama

 

Sample text

Sample Text

Sample Text