Pages

Ads 468x60px

Monday, April 30, 2007

Pasangan Islam bercerai meningkat

Pasangan Islam bercerai meningkat

Oleh AZRAN FITRI RAHIM

SEREMBAN 29 April – Kadar perceraian pasangan Islam di negeri ini mencatatkan peningkatan mendadak dalam tempoh tiga tahun ini berbanding pasangan bukan Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Norhayati Omar berkata, pada tahun lepas sebanyak 866 pasangan beragama Islam bercerai berbanding hanya 86 pasangan melibatkan pasangan bukan Islam.

Beliau berkata, pada tahun 2005 pula sebanyak 824 kes dicatatkan dan ia menunjukkan peningkatan sebanyak 176 kes berbanding tahun sebelumnya.

"Bagaimanapun untuk pasangan bukan Islam, jumlah perceraian amat rendah iaitu 73 kes pada tahun 2005 dan hanya 50 kes pada tahun sebelumnya,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Norhayati, berdasarkan statistik, kadar perceraian paling tinggi bagi pasangan beragama Islam adalah mereka yang berumur antara 30 dan 40 tahun.

Selain itu, katanya, pasangan paling muda yang bercerai ialah 16 tahun dan paling tua pada usia 87 tahun,

Beliau menambah, statistik mengenai kes perceraian bagi pasangan bukan beragama Islam di negeri ini adalah berdasarkan Dikri Nisi Mutlak yang diterima daripada Mahkamah Tinggi Seremban.

Jelasnya, masalah keruntuhan rumah tangga bagi pasangan beragama Islam di negeri ini agak serius dan pihaknya telah merangka pelbagai program untuk membendung masalah tersebut.

"Kajian kita mendapati kebanyakan pasangan bercerai pada pertengahan usia perkahwinan mereka dan berumur sekitar 30-an.

"Kebanyakan pasangan mengalami masalah pada pertengahan usia perkahwinan mereka kerana pada permulaan perkahwinan mereka melalui saat-saat bahagia dan selepas usia 40 tahun, mereka telah mencapai tahap kematangan.

"Justeru itu, usia di sekitar 30 sehingga 40 tahun merupakan saat-saat getir yang perlu ditempuhi oleh setiap pasangan dan mereka perlu bertindak bijak bagi memastikan rumahtangga selamat," katanya.

Ujar Norhayati, semua pihak perlu bekerjasama untuk mengatasi masalah tersebut bagi memastikan institusi kekeluargaan akan terus utuh.

Tambah beliau, pihaknya juga meminta Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (JAINS) supaya mempertingkatkan lagi program sedia ada bagi mengatasi masalah perceraian yang kian meningkat saban tahun.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text