Pages

Ads 468x60px

Saturday, April 14, 2007

Hakim syariah penjawat awam

Hakim syariah penjawat awam

Oleh

Rohaniza Idris


KUALA LUMPUR: Hakim mahkamah syariah tidak menikmati keistimewaan sama dengan hakim mahkamah sivil kerana mereka adalah penjawat awam dan perkhidmatan mereka tidak mengikut Akta Saraan Hakim.

Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang juga Ketua Hakim Syarie Malaysia, Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman, berkata status perkhidmatan berbeza menyebabkan hakim mahkamah syariah mendapat layanan berbeza termasuk gaji, elaun, imbuhan dan kemudahan tertentu.

Malah, katanya, hakim mahkamah syariah juga berada dalam kedudukan yang berbeza dengan hakim mahkamah sivil ketika menghadiri majlis rasmi kerajaan.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Tan Sri Abu Talib Othman, yang mempersoalkan mengapa hakim mahkamah syariah tidak menikmati keistimewaan sama seperti hakim mahkamah sivil, walaupun status kedua-dua institusi itu adalah sama.

Sheikh Ghazali berkata, kedudukan hakim mahkamah syariah sebagai penjawat awam menyebabkan mereka terikat dengan peraturan kerajaan sama ada Persekutuan ataupun kerajaan negeri kerana hal berkaitan agama dan undang-undang mahkamah syariah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Presiden Persatuan Peguam Syarie (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar, berkata perbezaan status antara hakim mahkamah syariah dengan hakim mahkamah sivil menyebabkan mereka tidak mendapat keistimewaan sama.

"Pelantikan hakim mahkamah syariah dan sivil juga berbeza. Hakim mahkamah sivil dilantik atas perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan cadangan Ketua Hakim Negara manakala hakim mahkamah syariah dilantik mengikut peraturan perkhidmatan awam," katanya.

Zainul Rijal berkata, perbezaan status juga menyebabkan tangga gaji dan kemudahan hakim mahkamah syariah dan mahkamah sivil berbeza.

"Contohnya, hakim mahkamah tinggi syariah tidak mendapat kemudahan pemandu dan kenderaan rasmi, malah kediaman khas juga tidak disediakan.

"Ada sesetengah kes hakim mahkamah tinggi syariah hanya menaiki komuter untuk ke mahkamah," katanya.

Beliau menjelaskan perbezaan yang ketara itu menyebabkan mereka yang berkaliber tidak berminat menjadi hakim mahkamah syariah.

Dalam perkembangan yang lain, Sheikh Ghazali bersetuju dengan pendapat Abdul Talib mengenai kebebasan beragama yang mana sesiapa saja boleh memilih agama masing-masing.

Namun, katanya, sesiapa yang sudah memeluk Islam perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuk untuk keluar daripada agama itu.

Pendapat Sheikh Ghazali dipersetujui Zainul Rijal yang menjelaskan Perlembagaan Negara memberi kebebasan kepada sesiapa saja untuk memilih agamanya tetapi mereka yang sudah menganuti sesuatu agama mesti mengikuti sistem agama berkenaan.

"Sebagai contoh, mereka yang memeluk Islam jika mahu keluar daripada agama itu perlu mengikut prosedur dan sistem ditetapkan jika mahu meninggalkan agama itu, begitu juga agama lain," katanya.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text