Pages

Ads 468x60px

Friday, April 13, 2007

Suhakam persoal perbezaan taraf hakim Syariah dengan sivil

Suhakam persoal perbezaan taraf hakim Syariah dengan sivil

KUALA LUMPUR 12 April — Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Tan Sri Abu Talib Othman berkata, beliau hairan kenapa hakim Mahkamah Syariah tidak mendapat keistimewaan setaraf hakim di Mahkamah Sivil sedangkan status kedua-dua mahkamah itu adalah sama.

Beliau berkata, dari segi perkhidmatan, malahan dari segi protokol seperti dalam majlis rasmi pun, hakim Mahkamah Syariah tidak diberi layanan seperti rakan setugas di Mahkamah Sivil.

"Saya hairan mengapa hakim Mahkamah Syariah tidak diberi keistimewan yang sama, sedangkan kedua-dua pihak itu menjalankan tugas yang sama iaitu melaksanakan keadilan dan kedudukan kedua-dua cabang kehakiman itu adalah setaraf," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Hak Kepada Perbicaraan Segera Dan Adil Di Mahkamah Syariah Ke Arah Penyelesaian Yang Praktikal, di sini hari ini.

Abu Talib, yang juga bekas Peguam Negara, berkata, kerajaan harus meneliti perkara itu dan mencari jalan penyelesaian kerana memang terdapat persepsi seolah-olah kedudukan hakim Mahkamah Syariah lebih rendah.

Katanya, Mahkamah Syariah merupakan satu cabang badan kehakiman negara, cuma yang berbeza ialah dari segi aspek kuasa kerana ia mentadbir hukum Syariah, manakala Mahkamah Sivil mentadbir undang-undang sivil.

"Jelaslah bahawa Mahkamah Syariah adalah setaraf dan tidak rendah daripada Mahkamah Sivil dalam sistem perundangan negara ini.

"Sepatutnya kedudukan adalah setaraf antara kedua cabang mahkamah itu, supaya tidak akan timbul persepsi yang kedudukan Hakim Mahkamah Syariah lebih rendah," katanya.

Mengenai satu perkara lain, Abu Talib berkata orang bukan Islam boleh memberi keterangan saksi pada perbicaraan di Mahkamah Syariah supaya mahkamah dapat mencari keadilan.

Katanya, peruntukan Akta Mahkamah Syariah membolehkan orang bukan Islam memberi keterangan di Mahkamah Syariah.

Ketua Hakim Syarie, Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman pula berkata, sejak bilangan hakim ditambah dan perbicaraan di Mahkamah Syariah dipercepatkan, tidak banyak lagi kes yang tertangguh.

"Malahan kes yang didaftarkan dapat diselesaikan dalam masa kurang setahun dan ada yang dapat diselesaikan dalam masa tiga bulan," katanya. - Bernama

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text