Kes jurunikah palsu disebut semula 28 Mei
SETIU 2 April - Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini menetapkan 28 Mei ini untuk sebutan semula kes seorang lelaki berusia 54 tahun yang didakwa sebagai jurunikah palsu.
Hakim Nik Zuhaiza Ismail membuat keputusan tersebut selepas tertuduh, Mat Nor Abdullah melantik peguam belanya, Mohd. Kamaruzaman A. Wahab.
Pada 12 Februari lalu, Mat Nor mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan apabila empat pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Dia yang tinggal di Kampung Air Sejuk, Guntung Luar di sini, memakai baju kemeja merah jambu dan berseluar hitam serta berkopiah putih dilihat tenang dan bersahaja ketika kesnya disebut hari ini.
Mengikut pertuduhan, Mat Nor dituduh mengakad nikah satu perkahwinan melibatkan pasangan Tengku Abd. Raseb Tengku Yen, 46, dan Jahara Muda, 43, di sebuah rumah di Kampung Air Sejuk, Guntung Luar di sini pada pukul 11 pagi, 8 April 2004.
Dia juga didakwa melakukan perbuatan yang sama melibatkan pasangan Tengah Mamat, 55, dan Norashikin Chiranan, 21, di tempat yang sama pada pukul 10 pagi, 21 Ogos 2004.
Kesemua pertuduhan dikemukakan oleh pegawai pendakwa syarie, Mustafa Hamzah mengikut Seksyen 37 Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam 1985 dan Seksyen 38 (1)(a) akta yang sama.
Mat Nor boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1,000 atau dipenjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan jika didapati bersalah.
Terdahulu, Kamaruzaman memohon tarikh sebutan ditetapkan kerana beliau ingin meneliti kes tersebut terlebih dahulu.
''Saya baru dilantik hari ini dan saya memohon masa untuk meneliti dan mengadakan perbincangan dengan anak guam saya dahulu untuk mendapatkan sebarang arahan lanjut," katanya.
Perbuatan Mat Nor mula mendapat perhatian pihak berkuasa apabila akhbar Kosmo! mendedahkan mengenainya Jun tahun lalu.
No comments:
Post a Comment