Menantu, isteri mungkir janji halau pasangan dari rumah dipindah milik
SEREMBAN: Sepasang suami isteri warga emas memfailkan enam tuntutan termasuk nafkah sepanjang hayat daripada anak perempuan dan menantunya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam kerana didakwa memungkiri janji dan mengusir mereka dari rumah yang dipindah milik kepada anak dan menantunya itu.
Pesara, Kassim Othman, 72, dan isterinya, Fatimah Salleh, 64, memfailkan tuntutan itu dengan menamakan anak perempuan mereka, Raja Suzana, 37, serta suaminya, Zulazli Hashim, 41, sebagai defendan pertama dan kedua.
Dalam pernyataan tuntutan mereka, plaintif pertama, iaitu Kassim dianugerahkan sebidang tanah oleh kerajaan negeri di Kampung Jiboi Baru, Ampangan, di sini sekitar Ogos 1971.
Plaintif pertama dan kedua mendakwa mereka mendirikan sebuah rumah di atas tanah itu dan membesarkan lapan anak mereka, termasuk defendan pertama.
Dalam pernyataan tuntutan itu yang dikemukakan dua minggu lalu, mereka turut menyebut defendan pertama dan kedua mendirikan rumah tangga pada 1993.
Pada 2002, plaintif pertama bersetuju untuk memindah pemilikan tanah itu kepada defendan selepas mereka berjanji, antara lain menanggung nafkah plaintif selagi mereka hidup serta membenarkan kedua-dua plaintif tinggal di rumah itu.
Bagaimanapun, defendan memungkiri janji dan mengabaikan kebajikan plaintif. Pada mulanya, plaintif dibenarkan tinggal di rumah itu tetapi layanan defendan amat mengecewakan sebelum plaintif diusir keluar oleh defendan pada akhir Ramadan 1425 Hijrah.
Pernyataan tuntutan itu turut menyatakan berlaku kejadian defendan pertama melakukan kekasaran terhadap plaintif kedua menyebabkan dia cedera. Satu laporan polis dibuat ekoran kejadian itu.
Plaintif kini tidak tinggal lagi bersama defendan, tetapi dengan seorang anak mereka.
Pernyataan berkenaan turut menyebut, keadaan itu menunjukkan defendan gagal, abai atau cuai untuk memenuhi janji selepas tanah itu dipindah milik dan gagal, abai atau cuai untuk melaksanakan tanggungjawab menafkahi plaintif iaitu nafkah furu'.
Sehubungan itu, plaintif menuntut defendan menafkahi mereka selama hayat dan plaintif dibenarkan tinggal di dalam rumah di Kampung Jiboi Baru selama hayat mereka; plaintif diberi kebebasan untuk bergerak secara munasabah dan melakukan aktiviti masing-masing dalam rumah itu serta kawasan persekitaran.
Plaintif turut menuntut diberi kebebasan untuk dilawati anak lain dan bersama dengan anak lain di rumah itu pada bila-bila masa yang munasabah selama hayat mereka; defendan menghormati dan menjaga kebajikan mereka serta relif yang difikir sesuai oleh mahkamah.
Peguam plaintif, Haniff Hassan, berkata anak guamnya dan defendan bersetuju mengadakan perbincangan sulh semalam.
Jika kedua-dua pihak gagal mencapai sebarang persetujuan, tuntutan itu akan dibicarakan di mahkamah.
©The New Straits Times Press (M) Berhad
No comments:
Post a Comment