Pages

Ads 468x60px

Saturday, April 14, 2007

Beri keistimewaan hakim Mahkamah Syariah

Beri keistimewaan hakim Mahkamah Syariah

Oleh: WAN SYAMSUL WAN SEADEY

KUALA LUMPUR 13 April – Hakim Mahkamah Syariah seharusnya diberi keistimewaan yang setaraf dengan hakim Mahkamah Sivil untuk menarik lebih ramai menceburi bidang syariah.

Langkah itu dilihat dapat mengelakkan perasaan 'terpinggir' hakim Mahkamah Syariah yang seolah-olah dianaktiri dari segi gaji, protokol dan pelbagai keistimewaan lain.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar berkata, hakim kedua-dua mahkamah itu sepatutnya tidak dibezakan dalam apa segi sekalipun kerana taraf mereka adalah sama.

''Sehingga hari ini masih ada hakim di Mahkamah Syariah yang menaiki kenderaan awam seperti perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) atau memandu sendiri ke tempat kerja.

''Fenomena ini tidak berlaku pada hakim Mahkamah Sivil yang kebanyakannya diambil dan dihantar pemandu untuk ke tempat kerja serta ke rumah,'' ujarnya.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Tan Sri Abu Talib Othman yang hairan mengapa hakim Mahkamah Syariah tidak mendapat keistimewaan setaraf hakim di Mahkamah Sivil sedangkan status kedua-dua mahkamah itu adalah sama.

Dari segi perkhidmatan dan protokol seperti dalam majlis rasmi pun, kata bekas Peguam Negara itu, hakim Mahkamah Syariah tidak diberi layanan seperti rakan setugas di Mahkamah Sivil.

Dalam sistem perundangan negara ini, jelasnya, kedudukan Mahkamah Syariah bukan lebih rendah daripada Mahkamah Sivil.

Mengulas lanjut, Zainul menegaskan, perkara berhubung keistimewaan yang dinikmati hakim Mahkamah Sivil tidak sepatutnya dibangkitkan jika hakim Mahkamah Syariah diberi 'layanan' sama sejak dari dahulu.

"Tiada pihak yang akan merasa dibezakan jika kedua-dua mereka diberi layanan sama rata," katanya.

Bekas Presiden Majlis Peguam, Kutubul Zaman Bukhari berkata, kelebihan yang dimiliki hakim Mahkamah Sivil sepatutnya sudah lama dinikmati oleh hakim Mahkamah Syariah.

"Saya menyokong penuh apa yang diperkatakan Tan Sri Abu Talib demi kebaikan dan kelebihan hakim Mahkamah Syariah yang sepatutnya sudah lama diselaraskan," katanya.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datin Paduka Zaiton Othman pula berkata, isu itu tidak seharusnya timbul kerana penilaian seseorang hakim sebenarnya terletak kepada prestasi kerja seseorang.

"Jadi tidak timbul soal mendapat pangkat 'Datuk' atau tidak kerana semuanya diberikan oleh Sultan di setiap negeri.

"Tidak perlu hendak dibezakan kerana kedua-dua bidang sivil dan syariah mempunyai kelebihan dalam bidang penghakiman yang sudah ditetapkan.

"Pindaan perlembagaan Artikel 121 mungkin menjadi punca kehakiman syariah menjadi lebih 'popular' dan banyak diperkatakan masyarakat," jelasnya.

Menurutnya, pindaan itu menyebabkan bidang kuasa syariah di negara ini semakin besar dan disegani oleh masyarakat.

Zaiton tidak menolak ramai hakim Mahkamah Syariah, mufti atau timbalan mufti dikurniakan pelbagai anugerah kerana baktinya dalam kerjaya.

"Apa yang penting keikhlasan dan kecemerlangan mereka dalam tanggungjawab yang dipikul," katanya

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text