Kompleks beri semangat baru
Oleh: NORAZLITA MOHD. SIES (WARTAWAN UTUSAN)
|
KOMPLEKS Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta. |
MELANGKAH sahaja masuk ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur yang gah tersergam dengan seni bina yang begitu indah dan membanggakan telah memberikan seribu harapan kepada sesiapa sahaja yang berurusan dengannya.
Jika melihat kulitnya (reka bentuk luaran), persoalan yang bermain di fikiran ialah pembinaan kompleks yang menelan kos RM270 juta sudah semestinya telah melalui tempoh perancangan yang panjang dan begitu teliti sekali.
Kompleks mahkamah itu merupakan sebuah projek di bawah Rancangan Malaysia ketujuh, yang terletak di Mukim Batu, Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Ia adalah ilham lima arkitek dan jurutera-jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) berdasarkan kehendak pelanggan mereka iaitu Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri.
Namun, indah lagi menawan sahaja dan ditambah pula dengan kelengkapan peralatan yang serba canggih serta sofistikated, sebenarnya masih belum mencukupi. Ini kerana, ia perlu digilap agar mempamerkan perkhidmatan yang cemerlang demi mencapai aspirasi, tiada lagi lambakan kes atau dalam bahasa yang paling lembut bilangan kes tertunggak dapat dikurangkan.
Yang paling mustahak sekali, diharap juga dengan keluasan tanah 30 ekar atau 13 hektar dan menempatkan 77 buah mahkamah, tertuduh terutamanya yang berada dalam tahanan reman, tidak perlu meringkuk di penjara bertahun lamanya, hanya untuk menunggu tarikh perbicaraan.
Justeru, pihak atasan juga perlu bersiap sedia memikul tugas dan tanggungjawab yang diberikan supaya bangunan yang indah tidak 'tercemar' dek kekurangan mahupun kecekapan pegawai-pegawai mahkamah dipersoalkan.
Biarlah nanti, kecekapan dan kehebatan mereka menjalankan tugas, diperbualkan dan bukannya menjadi cacian.
Masalah 'lapuk' misalnya kekurangan hakim dan pesuruhjaya kehakiman juga perlu dipantau dari semasa ke semasa bagi mengelakkan daripada timbulnya fenomena 'hakim popular' hinggakan diari mereka kehabisan tarikh perbicaraan seperti pisang goreng panas.
Memetik apa yang disuarakan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim ketika lawatannya ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 4 April lalu, sekiranya penambahan hakim tidak berjaya mencapai sasaran, beliau akan mengambil pendekatan lain termasuk menggaji pesuruhjaya kehakiman secara kontrak.
Sebanyak 77 buah bilik bicara yang disediakan, diharap dapat beroperasi dengan lancar dan digunakan secara maksimum, seiring dengan kepesatan kadar jenayah yang semakin berleluasa kini.
Sebelum terbinanya kompleks mahkamah kedua terbesar di dunia selepas India itu, pihak-pihak yang terlibat dalam perancangannya telah melakukan lawatan ke beberapa kompleks mahkamah termasuk Shah Alam, Ipoh dan Sarawak demi untuk mengkaji serta menangani segala kelemahan dan kekurangan yang ada di mahkamah terbabit. Tujuannya supaya kelemahan yang sama tidak berulang lagi dan dapat dijadikan teladan.
Misalnya, tempat untuk menyimpan kenderaan yang menjadi bahan bukti (eksibit mahkamah) pula perlu dipantau bagi mengelakkan daripada terjadinya 'limpahan' barang kes (kereta buruk, kereta terbakar), seperti fenomena yang berlaku di sebuah mahkamah di Selangor yang hanya menempatkan (eksibit) di tempat parkir kereta. Ini secara tidak langsung telah membazirkan ruang parkir awam yang sememangnya terhad selain merosakkan nilai estetika (keindahan) bangunan mahkamah.
Kehadiran kenderaan-kenderaan buruk (barang eksibit) umpama hendak ditelan mati emak, hendak diluah mati bapa (serba salah). Ini disebabkan ia amat mustahaknya kerana menjadi bahan bukti perbicaraan.
Kesukaran menempatkan fail-fail mahkamah juga dijangka tidak akan berlaku di kompleks mahkamah baru ini memandangkan terdapat lebih 20 bilik fail disediakan. Ini secara tidak langsung dapat menidakkan desas-desus yang kedengaran mengenai kekurangan bilik-bilik untuk menempatkan fail.
Meninjau pula setiap kamar mahkamah (bilik bicara) yang agak lapang dan selesa, semuanya dilengkapi dengan alat pembesar suara. Justeru, tiada lagi masalah kurang dengar atau 'tercicir' fakta perbicaraan kerana prosiding boleh didengar dengan jelas.
Bagi menjamin prosiding berjalan lancar dalam kes melibatkan keterangan vulnerable witness (saksi terancam) misalnya mangsa jenayah seksual, mahkamah juga menyediakan perbicaraan menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) yang diselenggara melalui electrical monitering control system (EMCS).
Dengan kompleks sebesar itu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, telah memikirkan dengan terperinci dan menimbangkan beberapa faktor dari segenap sudut misalnya, berapakah lif yang diperlukan.
Masalah kerosakan lif yang sering berlaku di sesetengah mahkamah juga telah dijadikan iktibar dan diberikan pertimbangan sewajarnya agar Mahkamah Kuala Lumpur tidak menerima nasib yang sama seperti beberapa buah mahkamah lain.
Misalnya, sudahlah terpaksa berjalan mendaki bukit yang tinggi selepas meletakkan kereta di sekitar kawasan perumahan (akibat kekurangan parkir), peguam-peguam terpaksa pula menaiki tangga dengan mengheret beg mereka yang berat untuk ke bilik bicara kerana lif mengalami kerosakan.
Namun fenomena kerosakan dan kesesakan atau terpaksa menunggu lif untuk beberapa minit umpama menunggu bas, semestinya tidak akan berlaku di kompleks Mahkamah Kuala Lumpur memandangkan terdapat 24 bilangan lif dan dua dumwaiter (lif khas untuk mengangkut fail) yang beroperasi.
Pengguna lif malahan akan merasa lebih selesa dan selamat kerana adanya konsep pengasingan antara lif hakim, kakitangan, orang kena tuduh (OKT), lif orang awam dan barang.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri juga turut peka kepada maruah orang yang dituduh (OKT) melakukan kesalahan. Ini kerana, prinsip seseorang tertuduh tidak bersalah selagi belum terbukti kesalahannya begitu dijaga dan terpelihara.
Buktinya, dari penjara tertuduh akan dibawa masuk ke dalam mahkamah melalui laluan khas tanpa wajah mereka menjadi tontonan ramai mahupun menjadi buruan pihak media. Langkah ini secara langsung mampu mengurangkan tekanan yang ditanggung oleh tertuduh dan keluarga mereka.
Pendek kata, segala kemudahan dan kelengkapan yang disediakan di kompleks tersebut memenuhi keperluan pengguna demi menjamin keselesaan bersama.
Adalah diharapkan dengan adanya kompleks yang indah dan perkhidmatan yang cemerlang daripada pihak atasan hinggalah kakitangan sokongan mampu menaikkan prestasi dan imej Badan Kehakiman negara ini di peringkat global.