Afidavit dan ikat jamin
Oleh: A. HALIM SIDEK
KITA lazim mendengar dan membaca mengenai afidavit. Namun ada kalanya timbul kekeliruan mengenai apa itu afidavit dan apakah fungsinya. Perkataan afidavit berasal daripada bahasa Latin yang bermakna he has declared upon oath atau seseorang itu telah membuat sesuatu deklarasi bersumpah.
Dalam amalan perundangan, afidavit adalah suatu pernyataan fakta bersumpah yang ditandatangani oleh seseorang pembuat afidavit dikenali sebagai "affiant". Pembuat afidavit akan menandatangani deklarasi tersebut dengan disaksikan oleh penerima afidavit seperti Pesuruhjaya Sumpah. Lazimnya suatu afidavit akan mengandungi beberapa catatan seperti tempat ia dibuat, nama pembuat afidavit, tarikh dan nama penerima afidavit.
Afidavit juga berbentuk sukarela dan dibuat tanpa paksaan daripada mana-mana pihak. Intipati afidavit adalah berdasarkan kepada pengetahuan pembuat afidavit sendiri mengenai apa-apa perkara tanpa melalui mana-mana perantaraan.
Pengetahuan persendirian ini adalah pengiktirafan mengenai sebarang fakta sama ada secara pengamatan atau pengalaman langsung. Sementara itu jika ada sebarang maklumat atau kepercayaan yang beliau yakin adalah benar walaupun tidak melalui pengetahuan sendiri juga boleh dimasukkan dalam afidavit.
Lantaran itu mahkamah tidak boleh mengarahkan sesiapa untuk membuat sesuatu afidavit kerana ia adalah suatu dokumen yang mengandungi kenyataan sukarela dan tanpa paksaan atau dorongan mana-mana pihak.
Salah satufungsi afidavit adalah bagi mengumpul sebanyak mungkin keterangan daripada berbagai pihak atau saksi-saksi yang mungkin tidak dapat hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan. Afidavit juga banyak digunakan dalam urusan seharian masyarakat tetapi dengan tujuan-tujuan tertentu, antaranya:
Afidavit bertindak sebagai keterangan bagi kes sivil dan jenayah dalam beberapa keadaan. Ia dianggap sebagai bahan keterangan paling lemah lantaran tidak dibuat di dalam mahkamah.
Pembuat afidavit tidak tertakluk kepada proses soalan-balas (cross examination).
Penggunaannya pula terhad dan lazimnya hanya digunakan jika sudah tiada keterangan lain yang lebih baik. Jika seseorang saksi tidak dapat hadir ke mahkamah dan memberi keterangan menerusi afidavit maka dokumen tersebut boleh digunakan sebagai bahan bukti.
Ini tertakluk kepada peruntukan Seksyen 32 Akta Keterangan 1950. Afidavit juga digunakan sebagai keterangan dalam prosiding ex-parte (sebelah pihak) seperti perbicaraan a mengeluarkan perintah sekatan sementara.
Ini disebabkan permohonan ex-parte memerlukan masa yang cepat bagi memastikan keberkesanan perlaksanaannya. Sekiranya satu pihak lagi tidak berpuas hati ia boleh mencabar afidavit itu melalui soal balas ataupun memohon perintah mengetepikan afidavit tersebut.
Afidavit yang dibuat berdasarkan pengetahuan pembuatnya sendiri adalah lebih sahih daripada afidavit yang dibuat berdasarkan kepada kepercayaan atau maklumat orang lain. Bagaimanapun, jika afidavit itu diterima pakai maka ia masih lagi bukan keterangan mutlak mengenai fakta yang disebut di dalamnya.
Afidavit juga digunakan secara meluas dalam prosiding pentadbiran dan prosiding separa-kehakiman bila mana tiada sebarang bantahan terhadap penerimaan pakainya dan ada peluang untuk soal-balas.
Afidavit juga seringkali digunakan dalam permohonan bagi mendapatkan ikat jamin dari mahkamah.
Jika suspek telah dituduh dengan kesalahan yang tidak boleh diikat jamin (non-bailable offence) maka pada saat inilah pihak peguam bela akan membuat permohonan ikat jamin kepada mahkamah. Tujuannya adalah supaya anak guamnya tidak duduk dalam kurungan di penjara atau di tempat tahanan dalam kawalan polis sementara menantikan hari perbicaraan atau semasa perbicaraan berjalan.
Permohonan adalah dilampirkan bersama dengan afidavit yang menyatakan mengapa tertuduh sepatutnya diberi ikat jamin dan bebas menjalankan kehidupan seharian seperti biasa sewaktu menanti hari perbicaraan atau semasa perbicaraan berlangsung.
Hal ini adalah dibuat merujuk kepada Seksyen 388(2) Kanun Tatacara Jenayah yang menyebut:
" …bahawa pada bila-bila peringkat penyiasatan, atau perbicaraan mahkamah mendapati bahawa tiada sebab yang munasabah bagi mempercayai bahawa orang kena tuduh (OKT) telah melakukan jenayah yang tak boleh dijamin dan ada sebab yang mencukupi bagi meneruskan penyiasatan mengenai kesalahan beliau maka mahkamah hendaklah membebaskan OKT dengan menetapkan ikat jamin menurut budi bicara mahkamah……"
Antara alasan yang akan dimasukkan dalam afidavit tertuduh bagi menyokong permohonannya antara lain, pihak peguam bela akan menyebut betapa anak guamnya adalah seorang yang baik, tidak pernah berbuat sebarang kesalahan jenayah, seorang yang bertanggungjawab, amanah, berhemah, tidak ganas dan lemah lembut.
Selain itu tertuduh juga selalunya dikategorikan sebagai tidak akan mengganggu saksi-saksi, tidak akan menggugat perjalanan penyiasatan, tidak akan cuba melarikan diri ke luar negara, berjanji akan menghadirkan diri pada hari dan tarikh yang ditetapkan untuk perbicaraan, memerlukan rawatan doktor pakar yang tidak boleh diperolehi dalam penjara.
Manakala pihak pendakwa pula akan menyediakan afidavit mereka sendiri bagi menentang permohonan ikat jamin tadi dengan mengemukakan kepada mahkamah senarai sebab-bab mengapa tertuduh tidak patut dibebaskan atas ikat jamin melalui afidavit mereka sendiri. Antara lain pendakwa akan memberikan sebab bahawa tertuduh cenderung mengganggu bakal saksi-saksi, akan cuba lari ke luar negara, akan mengulangi jenayah itu jika duduk di luar, akan membahayakan masyarakat, cuba memusnahkan sebarang keterangan atau punca keterangan.
Apabila seseorang telah membuat afidavit dia adalah terikat dengan segala apa yang telah dinyatakan dalam afidavit tersebut. Pembuat afidavit tidak boleh berdolak-dalik dan mestilah membawa bukti bagi menyokong apa saja yang disebut. Jika dia cuba berkata lain daripada apa yang telah dinyatakan dalam afidavit ini bermakna dia telah cuba berbohong dan boleh diambil tindakan terhadapnya.
Sekiranya seseorang telah memasukkan suatu afidavit ke mahkamah dan mahkamah meminta tertuduh mengemukakan bukti bagi menyokong pernyataan beliau dalam afidavit, atau beliau membuat pernyataan lain daripada afidavit tersebut maka suatu tindakan "impeachment" melalui S.145 dan 155 Akta Keterangan 1950 boleh diambil terhadapnya. Jika terbukti dia berbohong maka segala kenyataannya hendaklah dinyahkan daripada rekod prosiding mahkamah dan tidak boleh diambil kira sebagai keterangan yang patut mahkamah pertimbangkan.
Perlakuan demikian juga akan mengakibatkan pihak pendakwa membawa suatu pertuduhan lain di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan kerana kesalahan memberi keterangan palsu atau "perjury" terhadap orang itu.
Dengan kata lain, pembuat afidavit akan disoal balas oleh mahkamah mengenai pernyataan beliau tadi bagi mempastikan kesahihannya. Maka semua yang terlibat seperti pesuruhjaya sumpah atau Notary Public yang menerima afidavit dan menjadi saksi akan juga dipanggil sebagai saksi di mahkamah.
Hal ini amat penting memandangkan bahawa afidavit adalah suatu dokumen bersumpah dan amat kuat implikasi keterangannya. Maka jika pembuat itu dibuktikan telah berdolak-dalik atau berbohong maka ini menimbulkan satu lagi kesalahan jenayah - memberi keterangan palsu.
Hanya pembuat afidavit sahaja yang tahu mengapa dan untuk apa muslihat dia membuat afidavit tersebut. Lantaran itu dia hendaklah bertanggungjawab terhadap implikasinya.
- DR. A. HALIM SIDEK ialah pensyarah Undang-Undang Jenayah Universiti Teknologi Mara.