Pages

Ads 468x60px

Tuesday, February 06, 2007

Apa nak jadi?

Angkara siapa?

Oleh Ainol Amriz Ismail-UM 6-02-2007


MENYAYAT HATI... Mayat seorang bayi lelaki terdampar di atas rumput dan dipercayai meninggal dunia dalam tempoh lebih 24 jam di Flat Lobak, Seremban, Negeri Sembilan, semalam.


SEREMBAN 5 Feb. – Bayi siapakah ini? Kalau mereka benar-benar manusia, bayi yang cukup sempurna sifatnya ini tidak akan dibuang seperti ini.

Siapa yang melihat gambar bayi ini pasti akan berlinang air mata. Insan yang baru bernafas untuk hidup dinafikan haknya - mungkin oleh ibu yang melahirkannya sendiri.

Fenomena yang membimbangkan ini semakin menjadi-jadi.

Bayi itu ditemui terdampar di Flat Lobak di sini pagi ini, dengan kepala dan hidung yang masih berlumuran darah serta tali pusat yang masih terlekat dan dipercayai meninggal dunia dalam tempoh lebih 24 jam di satu lokasi lain.

Menurut jurucakap polis, mereka percaya suspek cuba membuang bayi itu di kawasan tong sampah dan apabila bertemu dengan orang ramai yang lalu di kawasan itu, bayi itu ditinggalkan di situ sebelum suspek menghilangkan diri.

"Mayat bayi ini ditemui penduduk kira-kira 11.45 pagi dan jika dilihat pada fizikal mayat, bayi itu bukan dibuang dari tingkat atas flat berkenaan, sebaliknya ditinggalkan di situ oleh suspek.

"Keadaan mayat bayi, kita lihat sudah ada kesan biru pada kaki dan kita percaya dia meninggal lebih dari 24 jam. Mungkin, suspek cuba membuang bayi ini di tong sampah berhampiran dan tidak sempat berbuat demikian kerana kawasan itu sering kali digunakan oleh penduduk.

"Daripada pengamatan awal, kita syak bayi ini berketurunan Cina. Mayat bayi itu, kita hantar ke Hospital Tuanku Ja'afar dan bedah siasat mungkin dilakukan hari ini atau esok. Bayi itu mungkin sudah meninggal semasa dilahirkan," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, suasana hiba dan pilu jelas terbayang pada wajah orang ramai yang menyaksikan bayi berkenaan ketika mayatnya diangkat oleh anggota polis, malahan ada yang mengalirkan air mata melihat kekejaman yang dilakukan oleh manusia tidak bertanggungjawab itu.

Mereka berkata, ini bukan kerja manusia tetapi manusia yang bertopeng 'binatang'.

Gan Xie Hua, berusia 50-an yang mula-mula menemui mayat bayi berkenaan berkata, dia terkejut dengan kejadian ini dan sebaik terlihat objek di atas rumput belakang flat berkenaan, hatinya sudah tergerak apa yang dilihat itu memang seorang bayi yang telah dibuang.

"Apabila saya menghampirinya, saya menggigil dan ia mayat bayi lelaki yang cukup sifat. Saya bergegas ke rumah seorang jiran dan memberitahunya. Apabila saya menjelaskan kepadanya, dia tidak percaya.

"Tetapi selepas menghampiri mayat itu, dia percaya itu adalah bayi lelaki yang sudah meninggal dunia. Kami terus menghubungi polis," katanya.

Rahmi Bustamam, 21, yang tinggal di flat berkenaan terkejut dan kesal apabila ada manusia yang sanggup membuang bayi yang dilahirkan begitu sahaja.

"Saya sedang membasuh baju pada pukul 11.30 pagi apabila seorang jiran bergegas memaklumkan yang dia menemui seorang bayi di atas rumput, belakang flat ini.

"Apabila saya turun, saya hampir menangis apabila bayi itu cukup sifatnya, tali perut masih terlekat dan lebih menyayat hati, dia mati dan ditinggalkan di atas rumput dan sudah dihampiri lalat. Darah di muka dan hidungnya masih ada," katanya.




Friday, February 02, 2007

Video JAKESS (lama)

Penghakiman mesti adil

Rencana - UM 2/2/2007

Oleh: SITI SHAMSIAH MD. SUPI

TIDAK dinafikan bahawa kehakiman sangat penting dalam pembangunan perundangan sekalipun undang-undang tersebut telah mengandungi peruntukan-peruntukannya sendiri yang menjadi panduan kepada sebarang penghakiman.

Di dalam Turuq Al-Hukmiyyah, Ibn Al-Qayyim menegaskan bahawa hakim seharusnya memiliki pengetahuan yang tinggi dan memahami 'untuk membezakan apa yang boleh dipercayai daripada si penipu, dan kejujuran daripada pemalsu'.

Dalam perundangan syariah, kehakiman menjalankan peranannya dengan melibatkan aspek kerohanian dan intelektual. Iaitu, sebagai pelaksanaan tanggungjawab yang juga amanah daripada Allah s.w.t. sebagaimana firman-Nya di dalam surah an-Nisaa' ayat empat.

Sekalipun keadilan itu merupakan puncak matlamat sistem perundangan dan kehakiman, tetapi kebijaksanaan seharusnya mengiringi pelaksanaannya.

Ada ketikanya hakim yang diberi tugas mengadili pertikaian antara pihak-pihak yang terlibat, perlu melakukan muslihat tertentu untuk menemui kebenaran yang hakiki. Contoh yang boleh kita jadikan teladan adalah kisah Nabi Sulaiman a.s. mengadili dua orang wanita yang berebut seorang bayi dan masing-masing mengaku bahawa merekalah ibu sebenar kepada bayi tersebut.

Perbicaraan ini adalah kes rayuan kerana sebelumnya keputusan telah pun dibuat oleh Nabi Daud a.s. yang memihak kepada wanita yang lebih tua. Demi mencapai keadilan memandangkan kedua-dua wanita ini enggan mengalah antara satu sama lain, maka Baginda a.s. pun mengarahkan supaya sebilah pisau diberikan kepada Baginda untuk membelah dua bayi tersebut, dan seterusnya kedua-dua pihak yang bertelagah mendapat bahagian secara saksama. Hairannya, wanita yang lebih tua tersebut menerima cara pengadilan Nabi Sulaiman, sedangkan dia sebelum itu telah pun memenangi kes tersebut dengan keputusan yang dibuat oleh Nabi Daud a.s. juga tidak memikirkan kesan yang akan berlaku sekiranya pembahagian tersebut benar-benar dilakukan. Sebaliknya wanita yang lagi satu bersungguh-sungguh membantah keputusan yang dibuat oleh Nabi Sulaiman a.s. dan menyatakan kesanggupannya supaya bayi itu diserahkan kepada wanita yang lebih tua untuk dipelihara. Melihat kepada tindakan balas yang diterima oleh kedua-dua belah pihak, Nabi Sulaiman a.s. membuat anggapan bahawa naluri seorang ibu akan menjadikan si ibu sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan anaknya. Dia lebih rela tidak memiliki semula asal sahaja kelangsungan hidup anaknya terpelihara. Seterusnya Nabi Sulaiman membuat keputusan bahawa wanita yang muda itulah ibu sebenar kepada bayi tersebut.

Walaupun muslihat seperti ini tidak lagi sesuai untuk digunakan pada hari ini dengan adanya peralatan canggih yang boleh membantu hakim membuat keputusan yang tepat dan adil, akan tetapi ia menggambarkan adanya keperluan supaya hakim mampu melihat keterangan terbaik yang dihadapkan semasa perbicaraan.

Pengkanunan undang-undang barangkali mengurangkan keperluan untuk berijtihad yang kita tidak nafikan penting dalam pembangunan perundangan Islam. Walaupun demikian, undang-undang yang telah dikanunkan tidak sewajarnya dianggap sebagai rujukan tunggal, juga pada masa yang sama hukum syarak kekal sebagai rujukan yang muktamad. Dalam undang-undang negara, hukum syarak telah ditafsirkan sebagai undang-undang yang mengikuti empat mazhab yang utama sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam. Peruntukan yang diadakan ini telah memberi ruang kepada badan kehakiman untuk mengamalkan kuasa budi bicara dalam perkara-perkara yang keadilan tidak dapat ditegakkan dengan hanya memakai undang-undang secara harfiah semata-mata. Dan keadaan ini tidak mencapai tujuan syariah (maqasid syariah).

Dalam konteks perundangan Malaysia ia boleh ditinjau melalui keputusan terhadap kes Syed Abdullah Shateri. Ia adalah pertikaian mengenai kuasa bapa sebagai wali mujbir yang mengahwinkan anak perempuannya tanpa kerelaan si anak. Calon yang dipilih adalah sekufu dan ia secara zahirnya tidak menghalang si bapa untuk mengahwinkan anaknya secara ijbar. Walaupun demikian ketidakrelaan si anak untuk hidup bersama lelaki tersebut sementelah beliau sendiri sudah mempunyai pilihan, maka ia turut menjadi pertimbangan dalam perbicaraan tersebut.

Dalam keputusannya, Lembaga Rayuan menyatakan bahawa pernikahan tersebut adalah sah tetapi ia bukanlah satu perkahwinan yang mampu untuk diteruskan dengan sebab keengganan di pihak perempuan. Lembaga Rayuan juga menyebut bahawa mereka bersimpati dan memahami perasaan pihak bapa yang mahukan anaknya menerima perkahwinan tersebut, akan tetapi kepentingan masyarakat juga perlu sama-sama diambil kira dan ia melangkaui perasaan bapa tersebut.

Hanyalah satu impian kosong jika terus berkeras supaya perkahwinan tersebut diteruskan sedangkan anak gadis ini telah pun menentukan dengan siapa dia hendak berkahwin. Maka dengan melihat bahawa tujuan syariah tidak akan tercapai sekiranya perkahwinan dipaksa untuk diteruskan, maka mereka dipisahkan dengan persetujuan bersama. Dalam kes ini, sekiranya kehendak si bapa diterima oleh pihak mahkamah kerana kuasanya sebagai wali mujbir, ia akan menjejaskan kepentingan pihak-pihak lain yang sebenarnya sama-sama terlibat dalam permasalahan ini; si anak gadis, teman lelakinya yang memang berhasrat mengahwininya dan suami gadis ini sendiri yang tidak memiliki isterinya secara hakiki.

Meminjam kata-kata Ibn Al-Qayyim bahawa asas kepada syariah adalah kearifan dan kebijaksanaan serta perlindungan kepada kepentingan manusia duniawi dan ukhrawi. Keseluruhan undang-undang syariah adalah keadilan, ihsan dan kebijaksanaan. Maka, terpulang kepada badan kehakiman dan pegawai-pegawai perundangan di Mahkamah Syariah untuk menunjukkan kepada masyarakat bahawa perundangan Islam bukanlah hanya terbaik dari aspek teorinya, bahkan juga terbaik dalam pelaksanaannya.

- SITI SHAMSIAH MD SUPI ialah Pegawai Penyelidik Pusat Syariah, Undang-Undang dan Sains Politik Institut

Kefahaman Islam Malaysia.

Wednesday, January 24, 2007

Afidavit dan ikat jamin

Afidavit dan ikat jamin

Oleh: A. HALIM SIDEK

KITA lazim mendengar dan membaca mengenai afidavit. Namun ada kalanya timbul kekeliruan mengenai apa itu afidavit dan apakah fungsinya. Perkataan afidavit berasal daripada bahasa Latin yang bermakna he has declared upon oath atau seseorang itu telah membuat sesuatu deklarasi bersumpah.

Dalam amalan perundangan, afidavit adalah suatu pernyataan fakta bersumpah yang ditandatangani oleh seseorang pembuat afidavit dikenali sebagai "affiant". Pembuat afidavit akan menandatangani deklarasi tersebut dengan disaksikan oleh penerima afidavit seperti Pesuruhjaya Sumpah. Lazimnya suatu afidavit akan mengandungi beberapa catatan seperti tempat ia dibuat, nama pembuat afidavit, tarikh dan nama penerima afidavit.

Afidavit juga berbentuk sukarela dan dibuat tanpa paksaan daripada mana-mana pihak. Intipati afidavit adalah berdasarkan kepada pengetahuan pembuat afidavit sendiri mengenai apa-apa perkara tanpa melalui mana-mana perantaraan.

Pengetahuan persendirian ini adalah pengiktirafan mengenai sebarang fakta sama ada secara pengamatan atau pengalaman langsung. Sementara itu jika ada sebarang maklumat atau kepercayaan yang beliau yakin adalah benar walaupun tidak melalui pengetahuan sendiri juga boleh dimasukkan dalam afidavit.

Lantaran itu mahkamah tidak boleh mengarahkan sesiapa untuk membuat sesuatu afidavit kerana ia adalah suatu dokumen yang mengandungi kenyataan sukarela dan tanpa paksaan atau dorongan mana-mana pihak.

Salah satufungsi afidavit adalah bagi mengumpul sebanyak mungkin keterangan daripada berbagai pihak atau saksi-saksi yang mungkin tidak dapat hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan. Afidavit juga banyak digunakan dalam urusan seharian masyarakat tetapi dengan tujuan-tujuan tertentu, antaranya:

Afidavit bertindak sebagai keterangan bagi kes sivil dan jenayah dalam beberapa keadaan. Ia dianggap sebagai bahan keterangan paling lemah lantaran tidak dibuat di dalam mahkamah.

Pembuat afidavit tidak tertakluk kepada proses soalan-balas (cross examination).

Penggunaannya pula terhad dan lazimnya hanya digunakan jika sudah tiada keterangan lain yang lebih baik. Jika seseorang saksi tidak dapat hadir ke mahkamah dan memberi keterangan menerusi afidavit maka dokumen tersebut boleh digunakan sebagai bahan bukti.

Ini tertakluk kepada peruntukan Seksyen 32 Akta Keterangan 1950. Afidavit juga digunakan sebagai keterangan dalam prosiding ex-parte (sebelah pihak) seperti perbicaraan a mengeluarkan perintah sekatan sementara.

Ini disebabkan permohonan ex-parte memerlukan masa yang cepat bagi memastikan keberkesanan perlaksanaannya. Sekiranya satu pihak lagi tidak berpuas hati ia boleh mencabar afidavit itu melalui soal balas ataupun memohon perintah mengetepikan afidavit tersebut.

Afidavit yang dibuat berdasarkan pengetahuan pembuatnya sendiri adalah lebih sahih daripada afidavit yang dibuat berdasarkan kepada kepercayaan atau maklumat orang lain. Bagaimanapun, jika afidavit itu diterima pakai maka ia masih lagi bukan keterangan mutlak mengenai fakta yang disebut di dalamnya.

Afidavit juga digunakan secara meluas dalam prosiding pentadbiran dan prosiding separa-kehakiman bila mana tiada sebarang bantahan terhadap penerimaan pakainya dan ada peluang untuk soal-balas.

Afidavit juga seringkali digunakan dalam permohonan bagi mendapatkan ikat jamin dari mahkamah.

Jika suspek telah dituduh dengan kesalahan yang tidak boleh diikat jamin (non-bailable offence) maka pada saat inilah pihak peguam bela akan membuat permohonan ikat jamin kepada mahkamah. Tujuannya adalah supaya anak guamnya tidak duduk dalam kurungan di penjara atau di tempat tahanan dalam kawalan polis sementara menantikan hari perbicaraan atau semasa perbicaraan berjalan.

Permohonan adalah dilampirkan bersama dengan afidavit yang menyatakan mengapa tertuduh sepatutnya diberi ikat jamin dan bebas menjalankan kehidupan seharian seperti biasa sewaktu menanti hari perbicaraan atau semasa perbicaraan berlangsung.

Hal ini adalah dibuat merujuk kepada Seksyen 388(2) Kanun Tatacara Jenayah yang menyebut:

" …bahawa pada bila-bila peringkat penyiasatan, atau perbicaraan mahkamah mendapati bahawa tiada sebab yang munasabah bagi mempercayai bahawa orang kena tuduh (OKT) telah melakukan jenayah yang tak boleh dijamin dan ada sebab yang mencukupi bagi meneruskan penyiasatan mengenai kesalahan beliau maka mahkamah hendaklah membebaskan OKT dengan menetapkan ikat jamin menurut budi bicara mahkamah……"

Antara alasan yang akan dimasukkan dalam afidavit tertuduh bagi menyokong permohonannya antara lain, pihak peguam bela akan menyebut betapa anak guamnya adalah seorang yang baik, tidak pernah berbuat sebarang kesalahan jenayah, seorang yang bertanggungjawab, amanah, berhemah, tidak ganas dan lemah lembut.

Selain itu tertuduh juga selalunya dikategorikan sebagai tidak akan mengganggu saksi-saksi, tidak akan menggugat perjalanan penyiasatan, tidak akan cuba melarikan diri ke luar negara, berjanji akan menghadirkan diri pada hari dan tarikh yang ditetapkan untuk perbicaraan, memerlukan rawatan doktor pakar yang tidak boleh diperolehi dalam penjara.

Manakala pihak pendakwa pula akan menyediakan afidavit mereka sendiri bagi menentang permohonan ikat jamin tadi dengan mengemukakan kepada mahkamah senarai sebab-bab mengapa tertuduh tidak patut dibebaskan atas ikat jamin melalui afidavit mereka sendiri. Antara lain pendakwa akan memberikan sebab bahawa tertuduh cenderung mengganggu bakal saksi-saksi, akan cuba lari ke luar negara, akan mengulangi jenayah itu jika duduk di luar, akan membahayakan masyarakat, cuba memusnahkan sebarang keterangan atau punca keterangan.

Apabila seseorang telah membuat afidavit dia adalah terikat dengan segala apa yang telah dinyatakan dalam afidavit tersebut. Pembuat afidavit tidak boleh berdolak-dalik dan mestilah membawa bukti bagi menyokong apa saja yang disebut. Jika dia cuba berkata lain daripada apa yang telah dinyatakan dalam afidavit ini bermakna dia telah cuba berbohong dan boleh diambil tindakan terhadapnya.

Sekiranya seseorang telah memasukkan suatu afidavit ke mahkamah dan mahkamah meminta tertuduh mengemukakan bukti bagi menyokong pernyataan beliau dalam afidavit, atau beliau membuat pernyataan lain daripada afidavit tersebut maka suatu tindakan "impeachment" melalui S.145 dan 155 Akta Keterangan 1950 boleh diambil terhadapnya. Jika terbukti dia berbohong maka segala kenyataannya hendaklah dinyahkan daripada rekod prosiding mahkamah dan tidak boleh diambil kira sebagai keterangan yang patut mahkamah pertimbangkan.

Perlakuan demikian juga akan mengakibatkan pihak pendakwa membawa suatu pertuduhan lain di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan kerana kesalahan memberi keterangan palsu atau "perjury" terhadap orang itu.

Dengan kata lain, pembuat afidavit akan disoal balas oleh mahkamah mengenai pernyataan beliau tadi bagi mempastikan kesahihannya. Maka semua yang terlibat seperti pesuruhjaya sumpah atau Notary Public yang menerima afidavit dan menjadi saksi akan juga dipanggil sebagai saksi di mahkamah.

Hal ini amat penting memandangkan bahawa afidavit adalah suatu dokumen bersumpah dan amat kuat implikasi keterangannya. Maka jika pembuat itu dibuktikan telah berdolak-dalik atau berbohong maka ini menimbulkan satu lagi kesalahan jenayah - memberi keterangan palsu.

Hanya pembuat afidavit sahaja yang tahu mengapa dan untuk apa muslihat dia membuat afidavit tersebut. Lantaran itu dia hendaklah bertanggungjawab terhadap implikasinya.

- DR. A. HALIM SIDEK ialah pensyarah Undang-Undang Jenayah Universiti Teknologi Mara.

Sunday, January 21, 2007

YAA Dato' Sheikh Ghazali tokoh Maal Hijrah Negara 1428h.

Muhammad Ali, Sheikh Ghazali tokoh Maal Hijrah


KUALA LUMPUR: "Sudah terlalu lama umat Islam bergantung ekonominya kepada bukan Islam dan kini dunia korporat dan perniagaan seharusnya turut sama berhijrah dan berjihad berlandaskan prinsip Islam," kata tokoh korporat, Tan Sri Muhammad Ali Hashim, yang dipilih menerima Hadiah Penghargaan Tokoh Maal Hijrah 1428 semalam.



JASA DIIKTIRAF: Dua Tokoh Maal Hijrah, Sheikh Ghazali
(dua dari kiri) dan Muhammad Ali bersama isteri masing-masing,
Datin Hanan Bakar (kiri) dan Puan Sri Noorzilah
Mohammed Ali selepas menerima anugerah pada sambutan
Maal Hijrah 1428 di PWTC, semalam.

Beliau bersama seorang lagi tokoh yang terpilih menerima anugerah itu, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman menerimanya daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, sempena sambutan Maal Hijrah 1428, di Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam.

Penerima Penghargaan Maal Hijrah menerima hadiah wang tunai RM30,000 sumbangan kerajaan dan RM10,000 sumbangan Yayasan Ubaidi serta plak, pingat dan sijil penghargaan.

Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi,;Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid.

Muhammad Ali yang juga Ketua Eksekutif Johor Corporation berkata, penghargaan itu untuk semua yang banyak berjasa kepada negara dan pembangunan umat Islam, termasuk Allahyarham Tan Sri Basir Ismail (Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia) yang meninggal dunia kelmarin.

Beliau yang memulakan kerjaya di Bank Negara sebelum beralih ke Johor Corporation pada 1985, adalah nadi utama yang merubah wajah Pasir Gudang dari sebuah perkampungan nelayan kepada pusat kegiatan ekonomi di selatan tanah air.

"Saya terkejut dengan anugerah ini tetapi berterima kasih. Pada saya, jihad tidak hanya terbatas kepada pengorbanan jiwa raga," katanya.

Mengingatkan kebanyakan warga Johor masih berdepan dengan banjir, Muhammad Ali berkata, beliau berhasrat menyerahkan sebahagian wang penghargaan yang diterimanya kepada mereka.

"Wang hadiah yang saya dapat sebahagiannya akan saya sedekahkan kepada mangsa banjir di Johor kerana mereka lebih memerlukan," katanya.

Seperti tahun lalu, tahun ini tiada Tokoh Maal Hijrah selepas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memperkenalkan anugerah Penghargaan Maal Hijrah Tahun 1427 Hijrah.

Sementara itu, Sheikh Ghazali berkata, setiap umat Islam harus bertanggungjawab dan ikhlas dalam perjuangan Allah.

"Jati diri umat Islam juga harus kuat supaya ia sentiasa berkekalan. Jika kita sudah tiada, generasi selepas kita akan memperjuangkannya,"

Sheikh Ghazali berkata, jika semua umat Islam menjalani kehidupan berpandukan Islam Hadhari, pada ciri-ciri Islam sebenar, mereka akan berjaya dalam kehidupan.

INFO: Tokoh Maal Hijrah Negeri
Kelantan: Hashim Abu Bakar, 84, (Pengerusi Pondok Terusan, Pasir Tumbuh)
Kedah: Datuk Syeikh Zainol Embon, 66, (Hakim Mahkamah Rayuan Syariah)
Negeri Sembilan: Mejar (B) Ahmad @ Ahmad Labib Md Yusoff, 74
Perak: Napisah Ariffin, 69, (Bekas Penolong Nazir Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Perak)
Pulau Pinang: Syed Mohd Mohayudin Anuar Ayed Akil, 66, (bekas pemangku Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Mashoor)
Terengganu: Datuk Abdul Rahman Mohd, 70, (Pegawai Hal Ehwal Islam Istana Negara)

Friday, January 12, 2007

Hakim syarie - beri wanita peluang sewajarnya

Hakim syarie - beri wanita peluang sewajarnya

Oleh SITI SHAMSIAH MD SUPI

SEJAK dahulu lagi ulama berbahas mengenai pelantikan hakim syarie di kalangan kaum wanita. Mazhab Shafie, Maliki dan Hanbali sebulat suara menyatakan bahawa wanita tidak perlu menanggung tanggungjawab untuk membuat tugas-tugas kehakiman.

Atau dengan kata lain, wanita tidak layak untuk diberi jawatan sebagai hakim untuk menyelesaikan pertikaian yang berlaku di antara pihak-pihak. Beberapa dalil naqli telah dijadikan sandaran mereka untuk menafikan kelayakan wanita berserta alasan-alasan yang dianggap bersifat mantiqi.

Pendapat mereka bersandarkan kepada dalil-dalil yang antaranya ialah firman Allah s.w.t. dalam surah an-Nisaa', ayat 11, yang antaranya bermaksud, "Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita oleh sebab Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) ke atas sebahagian yang lain (wanita)."

Akal fikiran yang kurang cerdik pada tanggapan mereka juga dijadikan sebagai sebahagian daripada alasan untuk tidak membenarkan wanita dilantik sebagai hakim.

Mazhab Hanafi pula membenarkan wanita dilantik sebagai hakim dengan bersandarkan kepada hujah bahawa wanita boleh mengeluarkan fatwa dan menjadi saksi dalam perbicaraan di mahkamah. Bagaimanapun menurut mazhab Hanafi, wanita yang dilantik sebagai hakim hanya dibenarkan untuk menguruskan hal ehwal mengenai perkara-perkara selain hudud dan qisas.

Manakala Imam Al-Tabari dan Ibn Hazm berpendapat bahawa harus melantik wanita sebagai hakim dalam semua kes secara mutlak. (Al-Mawardi, Al-Ahkam Al-Sultaniyyah wa Al-Wilayah Al-Diniyyah, Beirut: Dar Al-Kutub Al-'Ilmiah, 1985, hlm. 830). Mereka berhujah dengan merujuk kepada ayat-ayat al-Quran yang menyamakan lelaki dan wanita seperti dalam surah al-Baqarah, "Dan kaum wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang makruf."

Sehubungan dengan perkara ini juga satu kenyataan telah dibuat oleh Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan selepas Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan iaitu, "ketetapan bahawa muzakarah tersebut memutuskan bahawa wanita boleh dilantik menjadi hakim syarie dengan syarat memiliki kebolehan, kewibawaan, kelayakan dan pengalaman diperlukan. Bagaimanapun, katanya hakim syarie wanita tidak boleh mengadili kes hudud dan kes qisas."

Kuasa melantik hakim syarie adalah kuasa negeri di tempat mereka bertugas. Atau dengan kata lain, kuasa melantik hakim syarie terletak atas kuasa raja atau sultan negeri, ataupun Yang di-Pertuan Agong bagi negeri yang tidak mempunyai raja atau sultan. Berdasarkan kepada peruntukan-peruntukan yang terdapat di dalam akta mahupun enakmen, tidak terdapat halangan yang jelas bagi golongan wanita dilantik sebagai hakim syarie. Kenyataan daripada Majlis Fatwa Kebangsaan pula mengukuhkan, malah secara jelas membenarkan penglibatan wanita dalam penghakiman, walaupun tidak seluas yang dibenarkan oleh Imam Al-Tabari dan Ibn Hazm. Dalam hal ini Majlis Fatwa Kebangsaan cenderung untuk mengambil pendapat mazhab Hanafi berkenaan pelantikan wanita menjadi hakim untuk diamalkan di Malaysia.

Pada pendapat penulis, persoalan ijtihad ini jika diambil kira dengan suasana semasa di Malaysia akan memihak kepada keadaan yang membenarkan pelantikan wanita sebagai hakim syarie. Pada hari ini pun para hakim tidak lagi memiliki bidang kuasa dan bidang tugas yang luas seperti yang dimiliki oleh para hakim pada zaman lampau yang memerlukan ijtihad yang berat sifatnya. Bidang tugas dan bidang kuasa telah pun ditentukan dan dihadkan di mahkamah syariah tertentu sahaja. Keadaan yang sistematik ini lebih mudah sifatnya tanpa mengira hakim tersebut lelaki mahupun wanita. Pada hari ini hukum-hakam telah pun disediakan dan disusun dengan bentuknya yang mudah dicari atau ditemui. Sebahagiannya juga telah dikanunkan dalam bentuk status sama ada enakmen ataupun akta. Apa yang dipentingkan bagi jawatan ini ialah kepakaran di bidang perundangan, mampu bersifat adil, arif dengan hukum-hakam yang berkaitan syarak, ikhlas dan amanah. Kesemua ciri ini mampu dimiliki oleh semua orang lelaki mahupun wanita.

Wanita Islam pada hari ini bukan sekadar diminta sumbangannya sebagai saksi, malah mereka diterima dan diiktiraf sebagai pendakwa mahupun peguam. (Prof. Madya Dr. Siti Zalikhah, "Pelantikan Wanita Sebagai Hakim Syarie: Pro dan Kontra" dalam Muzakarah Pakar Pelantikan Hakim Syarie Wanita, Shah Alam: Dewan Undangan Negeri Selangor, 16 November 2006). Sedangkan kesemuanya, iaitu hakim, pendakwa dan peguam, adalah bahagian-bahagian penting dalam memastikan kehakiman dapat menjalankan peranannya yang sebenar, iaitu memberi keadilan kepada pihak-pihak yang bertikai.

Kita juga sewajarnya melihat pengalaman mahkamah sivil yang memberi haluan kepada wanita berperanan sebagai hakim ataupun majistret. Mengikut kepada peringkat mahkamah dan bidang kuasa yang telah ditentukan wanita yang dilantik untuk menjawat jawatan sebagai hakim ataupun majistret mampu menjalankan tugas-tugas kehakiman. Berdasarkan kepada pengalaman mahkamah sivil, boleh dikatakan bahawa tidak cerdiknya fikiran yang dijadikan sebagai alasan untuk menghalang pelantikan wanita sebagai hakim syarie adalah tidak tepat.

Pengalaman Sudan dan Pakistan juga perlu diambil kira jika mahkamah syariah di Malaysia tidak mahu memberi peluang kepada wanita daripada dilantik sebagai hakim syarie. Kedua-dua negara yang berpegang kepada mazhab Hanafi ini mengiktiraf wanita dalam memberikan sumbangan kepada bidang kehakiman negara masing-masing. Malah Indonesia yang berpegang kepada mazhab Shafie sebagaimana negara kita juga telah lama membolehkan wanita menjadi hakim di Pengadilan Agama yang sama tarafnya dengan mahkamah syariah di Malaysia.

Sementelah kebanyakan pelanggan mahkamah syariah di Malaysia daripada kalangan wanita, maka adalah wajar untuk memberikan peluang tersebut dengan suci hati kepada kaum wanita. Bukanlah menjadi sebab sekiranya pada hari ini masih belum terdapat wanita yang berkelayakan untuk mewujudkan peluang tersebut. Menyediakan dahulu jawatan tersebut adalah usaha yang proaktif berbanding menunggu terlebih dahulu wujudnya calon yang bersesuaian kerana ia akan menguntungkan semua pihak yang terlibat.

* SITI SHAMSIAH MD SUPI ialah Pegawai Penyelidik Pusat Syariah, Undang-Undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia.

Sunday, January 07, 2007

Undang-undang tidak seragam punca kes cerai tidak selesai

Undang-undang tidak seragam punca kes cerai tidak selesai

KUALA LUMPUR 6 Jan. – Ketidakseragaman pentadbiran kehakiman syariah dan beberapa undang-undang di negeri-negeri Semenanjung menyebabkan banyak kes perceraian gagal diselesaikan sehingga ada sesetengahnya melewati 10 tahun.

Mufti Terengganu, Datuk Ismail Yahya berkata, keadaan itu menyebabkan perintah perceraian dari Mahkamah Syariah hanya menjadi 'perintah di atas kertas' yang tidak dilaksanakan langsung.

Beliau berkata, pelaksanaan undang-undang syariah bergantung kepada pihak berkuasa negeri walaupun terdapat juga undang-undang yang telah diselaraskan.

Menurut beliau, sebagai contoh, perintah mahkamah di Terengganu tidak boleh dilaksanakan di Kedah dan begitu juga dengan negeri-negeri lain.

''Undang-undang syariah menjadi milik negeri dan kerana itu sekiranya tertuduh dari negeri lain dan perintah dikeluarkan oleh mahkamah di negeri lain maka ia tidak dapat dilaksanakan,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas membentangkan kertas kerja ''Hak Wanita Dalam Hal Nafkah Dan Harta Waris Menurut Pandangan Fiqah Dan Perundangan Islam' pada forum ''Ketahui Hak Anda: Pengurusan Harta Dalam Perkahwinan'' anjuran Sisters in Islam (SIS) di sini hari ini.

Ismail menjelaskan, berikutan itu banyak yang berpendapat, Mahkamah Syariah lemah dan tidak berani melaksanakan hukuman penjara kepada lelaki yang enggan membayar nafkah anak.

Bagaimanapun menurutnya, semasa menjadi Ketua Hakim Mahkamah Syariah Terengganu, beliau pernah menjatuhkan hukuman penjara selama 14 hari kepada seorang lelaki yang enggan membayar nafkah kepada anak-anaknya.

''Lelaki berkenaan membayar nafkah anak-anaknya selepas hanya dua hari dimasukkan ke penjara,'' katanya.

Mengenai pelantikan wanita menjadi hakim Mahkamah Syariah yang telah diluluskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan tahun lalu, beliau berkata, setakat ini belum ada negeri yang melantik hakim wanita.

Katanya, di bawah perkhidmatan negeri, tiada hakim Mahkamah Syariah wanita yang dilantik.

77 peratus berpoligami kerana takut berzina

77 peratus berpoligami kerana takut berzina

Oleh: NORILA DAUD

KUALA LUMPUR 6 Jan. – Sebanyak 77 peratus daripada lelaki yang mengamalkan poligami berkata, mereka mengahwini lebih daripada seorang wanita bagi mengelak melakukan zina.

Perkahwinan kali kedua dan seterusnya selalunya terjadi akibat jatuh cinta terhadap wanita yang dikenali sama ada di pejabat atau ketika bertemu di seminar, mesyuarat dan di luar negara.

Prof. Norani Othman yang merupakan penyelidik bagi Projek Tinjau Nasional Sisters in Islam (SIS) berkata, dalam projek rintis itu, sebanyak 11 lelaki yang mengamalkan poligami diwawancara dan mengatakan mereka terpaksa berkahwin setelah jatuh cinta dengan wanita terbabit bagi mengelakkan perbuatan zina.

Beliau berkata, daripada 11 lelaki tersebut, sebanyak 55% daripada mereka tidak langsung memikirkan tentang tuntutan kewangan yang akan dilakukan oleh isteri dan anak-anak daripada isteri pertama.

''Sebanyak 73% daripada isteri pertama tidak mengetahui suami mereka berkahwin lain manakala 90% daripada mereka hanya mengetahui suami mereka berkahwin lain selepas setahun,'' jelasnya.

Norani memberitahu demikian ketika menerangkan kesimpulan kajian rintis Projek Tinjau Nasional SIS tentang kesan poligami terhadap institusi keluarga sempena forum ''Ketahui Hak Anda: Pengurusan Harta Dalam Perkahwinan'' di sini hari ini.

Menurut beliau, objektif kajian itu ialah bagi mendalami pemahaman dan pengetahuan masyarakat mengenai kehidupan dalam institusi perkahwinan dan keluarga poligami.

Bagaimanapun katanya, tujuan utama kajian itu dilakukan adalah bagi membantu memperlengkapkan undang-undang keluarga Islam sedia ada.

Beliau berkata, dalam kajian rintis itu juga didapati sejak 10 tahun kebelakangan ini, sebanyak 1.5% daripada perkahwinan yang didaftar mengamalkan poligami.

Bagaimanapun kata beliau pada hakikatnya, amalan poligami yang tidak berdaftar adalah sebanyak dua kali ganda daripada itu.

Beliau menjelaskan, dalam kajian itu didapati isteri-isteri lelaki berpoligami kebanyakannya mengalami tekanan emosi sehingga tidak sanggup lagi bermesra dengan rakan-rakan sepejabat dan juga rakan-rakan suami mereka.

Sementara itu katanya, lelaki berpoligami memilih isteri bekerja dan kebanyakan mereka tidak menyedari dengan perbuatan itu, mereka telah menjejaskan gaya hidup isteri pertama dan juga peruntukan kewangan kepada anak-anak mereka.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya memerlukan 2,500 hingga 3,000 responden bagi kajian tersebut yang dibahagikan kepada zon utara, selatan dan tengah Semenanjung selain Sabah dan Sarawak.

Kajian itu katanya, memerlukan perbelanjaan yang besar dan memohon kerjasama dan sokongan orang ramai untuk menyumbang kepada dana kajian anjuran SIS itu.

Thursday, January 04, 2007

Nabi Palsu Cabar JAIS


Utusan Malaysia
4 Januari 2007

Tuesday, December 05, 2006

Balu A. Rayappan tuntut perisytiharan

KUALA LUMPUR 4 Dis. - Balu kepada pemandu van, A. Rayappan yang mayatnya menjadi rebutan antara keluarganya dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini memfailkan saman bagi mendapatkan perisytiharan bahawa Rayappan beragama Kristian dan mengikuti ajaran agama itu sebelum kematiannya pada Rabu lalu.

Lourdes Mary a/p Maria Soosay, 69, turut memohon perisytiharan bahawa dia adalah isteri yang sah kepada Rayappan yang mati pada usia 70 tahun.

Saman pemula itu difailkan oleh Lourdes Mary melalui firma guaman, Tetuan A. Sivanesan & Co. di Mahkamah Tinggi Sivil di sini.

Wanita itu hadir di mahkamah ditemani ahli keluarga, para peguam yang mewakilinya dan pemimpin-pemimpin parti DAP termasuk Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang.

Saman tersebut dijadualkan didengar oleh Hakim Datuk Kang Hwee Gee pada 11 Disember ini setelah plaintif turut memfailkan sijil perakuan segera bagi membolehkan kes itu didengar secepat mungkin.

Dalam saman itu, Lourdes Mary selaku plaintif menamakan Ketua Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL) defendan pertama dan kerajaan Malaysia defendan kedua.

Menuntut

Selain perisytiharan tersebut, balu itu menuntut perintah mengarahkan defendan pertama atau HKL melalui ejen, pekerja atau wakil mereka menyerah, melepas atau memberikan serta-merta mayat Rayappan kepadanya untuk upacara pengkebumian.

Plaintif juga menuntut perintah injunksi melarang defendan pertama daripada terus menyimpan mayat Rayappan dan menahan defendan itu daripada menghalangnya untuk menuntut mayat suaminya dengan apa jua cara sekalipun.

Sementara itu Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam hari ini menetapkan esok untuk mendengar keterangan dan penjelasan daripada waris Rayappan setelah sapina dikeluarkan kepada waris tersebut.

Sapina tersebut dikeluarkan oleh Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad atas permohonan MAIS kira-kira pukul 3 petang ini.

Terdahulu MAIS melalui wakilnya, Juraish Kamaruddin memaklumkan kepada mahkamah mengenai kesukaran yang dihadapi oleh pihaknya walaupun mahkamah itu telah mengeluarkan perintah pada Jumaat lalu, di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003.

Perintah tersebut yang ketika itu belum disahkan, menyatakan hak MAIS menguruskan jenazah Rayappan.

Thursday, November 09, 2006

Pendaftaran kahwin wanita asing meningkat

BH-9/11/2006

Semakin ramai lelaki bukan Melayu di negara ini memilih untuk berkahwin dengan wanita warga asing dan wanita Indonesia menjadi pilihan utama mereka.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Tan Chai Ho, berkata statistik menunjukkan sejak 2001 hingga Jun tahun ini, sejumlah 33,995 perkahwinan lelaki tempatan dengan wanita warga asing didaftarkan.

Daripada jumlah itu, perkahwinan dengan wanita warga Indonesia meningkat dari 1,386 kepada 2,036, diikuti wanita dari China iaitu 351 (2001) kepada 1,711 (2005), wanita Vietnam dari 28 (2001) kepada 1,185 (2005) dan wanita Thailand dari 681 (2001) kepada 931 (2005), katanya.

Tan menjawab soalan Dr Mohamed Hayati Othman (PAS-Pendang) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah rakyat Malaysia yang berkahwin dengan warga asing sejak lima tahun lalu dan dari negara mana.

Tan berkata, statistik itu bagaimanapun menunjukkan trend yang berbeza bagi perkahwinan di kalangan wanita tempatan dan warga asing yang didapati semakin menurun.

Bagi tempoh sama, katanya, jumlah wanita tempatan yang mengahwini warga asing mencatatkan 11,112 perkahwinan iaitu menurun 33.8 peratus.

"Dalam kes wanita, lelaki Britain menjadi pilihan utama wanita Malaysia. Pada 2001 sejumlah 149 perkahwinan didaftarkan, manakala pada 2005 sejumlah 169 perkahwinan," katanya.

Ini diikuti perkahwinan wanita tempatan dengan warga India yang mencatatkan 71 perkahwinan (2001) berbanding 86 (2005), Singapura 994 (2001) berbanding 191 (2005), dan China 71 (2001) berbanding 86 (2005).

Statistik berkenaan, katanya, hanya tertakluk kepada warga negara ini yang bukan beragama Islam kerana statistik bagi pasangan Islam terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam di setiap negeri.

Monday, October 30, 2006

Ramai suami mangsa keganasan rumah tangga

Ramai suami mangsa keganasan rumah tangga

Oleh YULPISMAN ASLI

SUBANG JAYA 29 Okt. – Ramai suami di negara ini menjadi mangsa keganasan rumah tangga tetapi tidak melaporkannya kepada polis kerana malu.

Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, keengganan mangsa membuat laporan menyebabkan kementerian dan pihak berkuasa lain sukar untuk mengenal pasti bilangan sebenar kes suami yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

''Saya tahu ada lelaki yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga, tetapi mereka malu untuk tampil dan membuat laporan kepada polis,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan ceramah literasi undang-undang terhadap wanita di Hotel Summit di sini, hari ini.

Ceramah sehari yang disertai 300 peserta itu dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bertujuan mendedahkan para peserta tentang undang-undang berkaitan keganasan seksual.

Mei Fun berkata, keengganan lelaki terbabit membuat laporan mungkin disebabkan bilangan mereka yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga tidak ramai jika dibandingkan dengan wanita.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan mangsa-mangsa keganasan rumah tangga supaya tampil membuat laporan bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Katanya, Akta Keganasan Rumah Tangga yang digubal oleh kerajaan bertujuan untuk memberikan perlindungan kepada kedua-dua pihak.

''Tetapi malangnya kaum lelaki bila mereka menghadapi masalah keganasan rumah tangga berasa malu untuk membuat laporan polis,'' katanya.

Selain itu, kata beliau, pihak kementerian juga berdepan dengan masalah kurangnya penyertaan di kalangan lelaki untuk menyertai seminar atau program yang dianjurkan.

Katanya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menggalakkan pemimpin lelaki mengambil inisiatif menganjurkan seminar atau program mengenai hak-hak asasi lelaki dan wanita bagi meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat.

Mei Fun memberitahu, kementeriannya telah mendapat peruntukan sebanyak RM20 juta untuk menganjurkan pelbagai program meningkatkan kesedaran di kalangan wanita sejak dua tahun lalu.

Katanya, peruntukan tersebut akan ditambah kepada RM30 juta pada tahun hadapan kerana kerajaan begitu mengambil berat masalah wanita di negara ini dan mahu kesedaran mengenai hak mereka ditingkatkan.

UM-30/10/2006


---------

Selamat Hari Raya , Maaf Zahir Batin



alamkia

Monday, October 09, 2006

Suami guna identiti orang lain

Suami guna identiti orang lain


ROHIDA Mohammad menunjukkan dua salinan dokumen pengenalan diri Mazli Ahmad dan Abdul Razak Walit di rumah ibunya di Taman Selasih, Kulim, Kedah, semalam.

KULIM 8 Okt. – Setelah 14 tahun berkahwin dan dikurniakan tiga anak, Rohida Mohammad, 42, menyedari suaminya yang kini telah menghilangkan diri, menggunakan identiti orang lain semasa mengahwininya pada 1992.

Wanita itu mendakwa suaminya menggunakan nama dan pengenalan diri Abdul Razak Walid yang sebenarnya dimiliki oleh lelaki lain yang bertugas sebagai seorang pekerja am di sebuah sekolah di Telok Intan, Perak.

"Saya dan keluarga mengesan lelaki yang nama dan indentitinya tercatat pada sijil nikah yang dikeluarkan Pejabat Agama Pulau Pinang pada tahun 1992 itu. Saya sedih apabila mendapat tahu perkara sebenar," katanya kepada Bernama di Taman Selasih dekat sini hari ini.

Rohida yang tinggal bersama tiga anaknya iaitu Amirul Asri,13, Afifah, 8, dan Mohammad Raif, 1 1/2 tahun di rumah keluarganya di sini berkata, kisahnya hampir sama seperti yang telah menimpa seorang wanita, Norizah Harun, 27, dari Johor baru-baru ini.

Bezanya, dalam kes Norizah, selepas suaminya yang nama sebenar Nor Rizal Ahmad meninggal dunia, barulah dikesan identiti sebenarnya yang selama ini berselindung di sebalik nama lelaki lain iaitu Mohd. Syarizal Wahab.

Rohida berkata, dia mungkin tidak menyedari masalah itu jika tidak ke Pejabat Agama Daerah Kulim untuk memohon cerai taklik setelah suaminya menghilangkan diri.

"Permohonan saya ditolak kecuali dengan kehadiran suami. Saya diminta mencarinya", katanya.

Selepas pencarian itu, nama suaminya dikesan berada di Perak tetapi lelaki yang menggunakan nama itu sebenarnya adalah bukan suaminya.

Usaha mengesan suaminya diteruskan dengan kerjasama Abdul Razak yang sebenar dan akhirnya berjaya mengesan nama sebenarnya suaminya iaitu Mazli Ahmad dengan alamat asalnya di Kampung Degong, Langkap, Perak.

Bagaimanapun, Rohida yang pertama kali bertemu bapa mentuanya selepas berkahwin 14 tahun lalu diberitahu bahawa Mazli tidak pulang ke kampung selama hampir 20 tahun lalu.

Rohida berkata, mentuanya memberitahu bahawa Mazli adalah seorang bekas anggota tentera dan semasa dihubungi Kementerian Pertahanan berkata lelaki itu pernah berkhidmat sebagai prebet di Kem Lok Kawi, Sabah pada akhir 80-an tetapi menghilangkan diri selepas itu.

Mengimbau detik bersama suaminya sepanjang perkahwinan, Rohida berkata, beliau tidak pernah dibawa berjumpa mentuanya walaupun didesak berbuat demikian terutama menjelang hari raya.

Bapa Rohida, Mohammad Noor, 66, merayu orang ramai yang mengenali menantunya yang bernama Mazli tetapi masih menggunakan nama Abdul Razak Walid supaya menghubunginya melalui talian 04-4907364 atau telefon bimbit 019-4612870.

Ditanya bagaimana perkahwinan Mazli dengan anaknya itu berlaku menggunakan pengenalan diri orang lain, Mohammad berkata, beliau tidak menduga salinan pengenalan diri itu milik orang lain.

– Bernama

Monday, October 02, 2006

Pertembungan Undang-undang Syariah, Common Law

Pertembungan Undang-undang Syariah, Common Law

PERDANA Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-61 di Ibu Pejabat PBB di New York menjelaskan beliau percaya kewujudan prejudis terhadap orang Islam berpunca daripada kekurangan fahaman terhadap ciri sebenar Islam dan makna yang dibawanya.

Beliau memberi contoh kekurangan penghargaan di Barat terhadap peranan agama dalam kehidupan orang Islam.

Secara peribadinya, Perdana Menteri juga merasa amat terganggu bahawa banyak masalah dalam dunia adalah disebabkan oleh tindakan tidak rasional yang berpunca daripada prejudis dalam sikap manusia.

Masalah yang wujud adalah disebabkan oleh kegagalan untuk berdialog, berkomunikasi dan berhubung antara satu sama lain sebagai manusia yang sama- sama hidup dalam planet yang sama.

Abdul Manan Ismail melalui artikel "Hak bukan Islam ke atas mayat menurut perspektif syariah" menjelaskan perebutan atau tuntutan ke atas mayat untuk dikebumikan menurut agama masing-masing kini melibatkan beberapa kes di negara. Jika ini berlaku apakah persoalan hak saudara-mara si mayat itu?

Artikel ini adalah salah satu artikel yang menarik untuk dibaca dalam Proceeding ISCOL2006 (International Seminar On Syariah & Common Law 2006) Islam amat menitikberatkan persoalan kehormatan walaupun selepas berlakunya kematian. Berkaitan dengan isu hak bukan Islam ke atas mayat menurut perspektif syariah, penulis artikel yang juga merupakan seorang pensyarah di Fakutli Syariah dan Undang- Undang di KUIM menjelaskan Islam sebenarnya tidak akan membenarkan tuntutan ke atas mayat yang tidak diyakini keislamannya untuk disempurnakan pengurusan jenazahnya menurut syarak.

Dengan kata lain, tidak timbul isu bahawa Islam akan merampas hak orang bukan Islam untuk menguruskan jenazah orang bukan Islam bahkan Islam akan memastikan bahawa jenazah mereka akan dikebumikan menurut ajaran agama masing-masing.

Tentu sekali dalam kes mengurus jenazah orang bukan Islam, tidak timbul isu bahawa Islam akan merampas hak orang bukan Islam untuk menguruskan jenazah orang bukan Islam bahkan Islam akan memastikan bahawa jenazah mereka akan dikebumikan menurut ajaran agama masing-masing sekiranya berlaku kesanggupan untuk berdialog dan mendengar secara betul dan jujur dalam hubungan antara satu sama lain dan disertai dengan tindakan yang betul.

Artikel ini adalah antara 41 jumlah artikel yang amat menarik yang terdapat dalam Proceeding ISCOL2006 (International Seminar On Syariah & Common Law 2006) yang lahir dari International Seminar On Syariah and Common Law 2006 (ISCOL2006) anjuran Fakuliti Syariah dan Undang-Undang, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara pada 20 dan 21 September lalu.

ISCOL2006 ini bermatlamat antara lainnya untuk mengalakkan persefahaman yang lebih kukuh mengenai isu and etika, prinsip-prinsip undang-undang dan amalan yang wujud dalam undang- undang syariah dan Common Law.

Menggalakkan persefahaman yang lebih kukuh antara undang-undang syariah dan common law adalah selari dengan tema seminar ISCOL2006 iaitu "Bridging the Gaps: Towards Bettter Understanding".

Ini juga mempunyai hubung kait dengan saranan Perdana Menteri dalam ucapannya di PBB iaitu tujuan perbincangan dan rundingan yang jujur adalah bagi membolehkan menggubal dasar-dasar yang rasional dan berkesan.

Dalam usaha ke arah itu, semua orang perlu mendengar secara betul dan jujur dalam hubungan antara satu sama lain.

Banyak dialog yang berlaku sekarang hanya menghasilkan pihak-pihak terlibat mengata antara satu sama lain daripada bercakap sesama sendiri.

Satu artikel yang amat menarik hati penulis ialah Conflict of Civil and Shariah Law: Issues and practical Solutions in Malaysia yang ditulis oleh Datuk Abdul Hamid Mohamad, Hakim Mahkamah Pesekutuan.

Secara jujur saya akui bahawa artikel ini berjaya memaku saya untuk membaca sehingga habis dan sebagai orang yang bukan berlatar belakang undang- undang telah berjaya memahami apa yang ingin disampaikan.

Seseorang pernah berkata kepada saya, hasil tulisan yang baik ialah bila mana orang menulis boleh membuat orang yang membaca memahami apa yang ingin disampaikan tanpa mengira latar belakang si pembaca.

Tajuk : Proceeding ISCOL2006 (International Seminar On Syariah & Common Law 2006)

Suntingan : Dina Imam Supaat, Zahari Mahad Musa dan Maheran Mohamed

Penerbit : Fakulti Syariah dan Undang-undang, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM).

Tahun: 2006

Pengulas : SAPORA SIPON

Sunday, October 01, 2006

Cerai artis, VIP jadi ikutan

Cerai artis, VIP jadi ikutan


KUALA LUMPUR: Perceraian pasangan artis dan orang kenamaan atau VIP yang semakin meningkat membimbangkan kerana boleh mempengaruhi masyarakat sehingga mereka beranggapan perceraian adalah perkara biasa, kata Presiden Majlis Peguam Syarie Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar.

Beliau berkata, apabila masyarakat membuat tanggapan sedemikian, maka mereka tidak lagi memandang perceraian sebagai satu perkara yang dibenci atau buruk.

"Ini mungkin salah satu faktor berlaku peningkatan perceraian di kalangan orang Melayu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Zainul berkata, media tidak sepatutnya menggembar gemburkan perceraian pasangan artis dan VIP secara berlebihan kerana mungkin boleh mempengaruhi masyarakat.

Bagaimanapun, katanya, sebab utama meningkat perceraian adalah kerana kurang pegangan agama sehingga suami isteri tidak faham hak dan tanggungjawab masing-masing.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar New Straits Times semalam yang menyatakan kes perceraian di kalangan umat Islam semakin bertambah dan membimbangkan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan undang-undang keluarga Islam membabitkan perceraian dipinda bagi membolehkan hukuman denda dinaikkan.

Katanya, mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) dan Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan), mereka yang disahkan melafazkan cerai tanpa kebenaran mahkamah boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.

"Hukuman denda ini perlu dinaikkan bagi menghalang berlaku perceraian di luar mahkamah secara berleluasa," katanya.

Zainul berkata, bagi pasangan Islam yang ingin bercerai, mereka akan dibawa berjumpa dengan Jawatankuasa Pendamai sebelum dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah bagi mengelakkan perceraian.

Beliau juga mengingatkan pihak yang menjalankan kaunseling terhadap pasangan terbabit tidak menyalahkan wanita apabila masalah rumah tangga berlaku.

"Sepatutnya kaunseling mempunyai etika dan tata cara ketika menjalankan tanggungjawab mereka," katanya.

Thursday, September 28, 2006

Wanita saman bekas tunang RM1,160

Wanita saman bekas tunang RM1,160

BH-28/9/2006

KANGAR: Seorang wanita menyaman bekas tunangnya menuntut ganti rugi kerana memutuskan pertunangan dan membatalkan majlis perkahwinan mereka yang sepatutnya diadakan pada 29 Disember 2001.

Sabira Ramli, 37, plaintif kedua dan ayahnya, Ramli Nopiah, plaintif pertama dari Mata Ayer dekat sini, yang memfailkan saman itu di Mahkamah Syariah di sini semalam, mendakwa pembatalan majlis perkahwinan itu mendatangkan aib dan kerugian kepada mereka.

Sabira yang kini sudah berkahwin dengan lelaki lain menuntut ganti rugi sebanyak RM1,160 daripada bekas tunangnya, Muzammir Salleh, 36, yang dinamakan defendan pertama dan bapanya, Salleh Awang, 63, defendan kedua.

Jumlah itu sebagai ganti rugi kepada barangan yang sudah dibeli sebagai persiapan perkahwinan iaitu set bilik tidur yang berharga RM450, kadar cadar (RM200), pakaian pengantin (RM250), bekas bunga telur (RM60) dan kain langsir (RM200).

Ramli, yang meninggal dunia April lalu pula menuntut ganti rugi sebanyak RM4,640 iaitu kos membeli/menempah daging dan bahan lain sebanyak RM3,900, pinggan mangkuk/khemah sebanyak RM350.

Kerugian lain yang dituntut Ramli ialah kos pakaian sebanyak RM250, sewa lori RM100 dan upah mencetak kad kahwin sebanyak RM40.

Jumlah keseluruhan tuntutan saman plaintif pertama dan kedua adalah RM5,800, tidak termasuk kos lain dan perintah yang difikirkan munasabah oleh mahkamah.

Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Zaini Abd Rahim menetapkan 20 Disember ini untuk perbicaraan.

Zaini membenarkan permohonan peguam Sabira untuk menukar nama plaintif pertama yang sudah meninggal dunia kepada nama isterinya iaitu ibu Sabira, Saadiah Hamid.

Mengikut fakta kes, Sabira yang ketika itu berumur 32 tahun bertunang dengan Muzammir, 31, pada 27 Oktober 2001 dan mereka dijadualkan berkahwin pada 29 Disember 2001.

Bagaimanapun, sembilan hari sebelum tarikh perkahwinan, Muzammir dan ayahnya, Salleh, dari Kampung Alor Tampang, Beseri, didakwa membatalkan majlis itu sehingga mendatangkan aib dan kerugian kepada keluarga Sabira.






©The New Straits Times Press (M) Berhad

Friday, September 08, 2006

Lelaki Mohon Ketepi Injunksi Isteri

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali (BH-7/9/2006)

KUALA LUMPUR: Seorang bapa berketurunan India yang memeluk Islam, semalam membuat permohonan di Mahkamah Tinggi, di sini untuk mengetepikan injunksi sebelah pihak diperoleh isterinya, melarang beliau menukarkan agama dua anak mereka.

Injunksi itu yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi pada 11 Ogos lalu, turut melarang T Saravanan atau nama Islamnya, Muhammad Shafi Abdullah, 31, daripada memulakan atau meneruskan prosiding di Mahkamah Syariah berhubung hal perkahwinan dan mengenai anak hasil perkahwinan dengan isterinya, R Subashini.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi (Bahagian Keluarga), Datuk Aziah Ali yang mendengar permohonan Muhammad Shafi, menetapkan 11 September ini bagi penyambungan hujah kedua-dua pihak.

Mahkamah Tinggi pada 11 Ogos lalu, membenarkan permohonan injunksi sebelah pihak yang dikemukakan Subashini melarang suaminya daripada menukarkan agama dua anak mereka, Dharvin Joshua, 3 dan Sharvind, 1, sehingga kes petisyen perceraian mereka diputuskan mahkamah.

Melalui afidavit yang difailkan itu, Muhammad Shafi berkata, perintah injunksi berkenaan tidak sah kerana ia bertentangan perintah dibuat Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan.

Pada 23 Mei lalu, Mahkamah Syariah itu membenarkan permohonan sementara sebelah pihak dikemukakan Muhammad Shafi, dengan memberikannya hak penjagaan sementara anak sulungnya.

Beliau berkata, injunksi itu juga tidak sah kerana ia diperoleh daripada Mahkamah Tinggi Sivil yang tidak mempunyai bidang kuasa berdasarkan kepada Seksyen 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Muhammad Shafi menegaskan, masih ada dua kes yang difailkannya di Mahkamah Syariah iaitu permohonan pembubaran perkahwinan dengan isterinya dan hak penjagaan penuh kedua-dua anak beliau.

Katanya, mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan berkenaan hak penjagaan anak sulungnya kerana Dharvin turut memeluk Islam bersamanya pada 18 Mei lalu dan menggunakan nama Muhd Shazrul.

Sementara itu, Subashini dalam permohonannya berkata, suaminya cuba untuk menyalahgunakan kuasa mahkamah dengan membuat permohonan hak penjagaan anak sulung mereka di Mahkamah Syariah.

Pasangan itu berkahwin secara sah di Jabatan Pendaftaran Negara di Petaling Jaya pada 26 Julai 2001.

Muhammad Shafi diwakili peguam Mohamad Hanif Khatri dan Zainul Rijal Abu Bakar manakala Subashini diwakili peguam Haris Mohd Ibrahim dan K Shanmuga.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

Syor Mahkamah Syariah diperkasa


KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyarankan supaya had bidang kuasa Mahkamah Syariah dikaji semula dan dipertingkatkan selaras keperluan semasa.

Katanya, sejak akhir-akhir ini, isu golongan yang cuba memperdaya orang Islam melalui ajaran yang menyeleweng daripada ajaran sebenar muncul semula.

Baginda bertitah, agensi yang bertanggungjawab khasnya bahagian penguatkuasaan, pendakwaan dan Mahkamah Syariah harus diperkasakan dan diberikan kemudahan prasarana supaya gejala dan anasir berkenaan dapat dihapuskan demi kesucian Islam.

"Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis, menubuh dan menegakkan badan kehakiman adalah tuntutan dalam Islam.

"Mahkamah yang berwibawa akan dapat menjalankan tugas dengan cekap dan berkesan," titahnya ketika merasmikan Persidangan Tahunan Pegawai Syariah Seluruh Malaysia kali kelapan di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin; dan Ketua Pengarah yang juga Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman.

Sultan Mizan bertitah, dalam konteks kewujudan kerajaan elektronik membabitkan aplikasi perdana dalam perancangan Koridor Raya Multimedia (MSC) memberi cabaran kepada pengurusan pentadbiran Mahkamah Syariah.

Titahnya, JKSM turut sama mengguna pakai aplikasi projek e-Syariah yang bertujuan mempertingkatkan mutu perkhidmatan Mahkamah Syariah di seluruh negara, di samping memperkuatkan keberkesanan dalam penyelarasan dan pemantauan agensi agar menggandakan produktiviti dan keberkesanan pengurusan.

"Melihat kepada perkembangan JKSM, beta percaya usaha kerajaan selama ini untuk mendaulatkan syariat Islam sentiasa berada pada kedudukan memberangsangkan.

"Usaha yang dilakukan selama ini mampu meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang mementingkan kemajuan umat," titahnya.

Sultan Mizan bertitah persidangan seumpama itu mendekatkan lagi hubungan antara pihak istana yang diamanahkan menjaga urusan berhubung kesucian Islam dengan Jabatan Kehakiman Syariah negeri selaku badan pentadbir dan pelaksanaan ke arah pemakaian undang-undang berkaitan di Mahkamah Syariah.

Terdahulu Abdullah dalam ucapannya berkata, institusi kehakiman syariah masih dalam proses transformasi daripada institusi tradisional peninggalan kolonial kepada sebuah institusi kehakiman Islam yang dinamis.

Beliau berkata, proses pengambilan pegawai diperkemaskan dengan mensyaratkan lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Diploma Undang-Undang dan Pentadbiran Kehakiman saja diterima menjawat jawatan Pegawai Syariah.

Katanya, Skim Perkhidmatan Gunasama Pegawai Syariah menerusi perjanjian antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan diharap menjadi pemangkin kepada badan itu untuk berada pada tahap membanggakan.



FAKTA

-----

* 213 pegawai syariah di seluruh negara

* 30 peratus pegawai syariah wanita



tamat


©The New Straits Times Press (M) Berhad

Sunday, September 03, 2006

Tiga tegahan transaksi ikat pewakaf, semua pihak

Tiga tegahan transaksi ikat pewakaf, semua pihak

BH - 3/9/2006

HARTA adalah suatu keperluan yang amat dekat dengan manusia pada setiap masa dan ketika tidak kira di mana mereka berada. Ia dapat menyelamatkan manusia daripada kelaparan, kesengsaraan dan pelbagai masalah lain. Atas dasar ini juga Islam menetapkan pemeliharaan harta (hifdz al-mal) sebagai salah satu daripada maqasid syariah (matlamat atau objektif syariah) yang perlu diambil perhatian oleh manusia.


Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa manusia juga sanggup bermati-matian kerana harta. Fenomena jenayah ragut dan curi yang kininya banyak berlaku di negara kita boleh membuktikan kenyataan ini.

Pergaduhan mendapatkan harta pusaka si mati juga tidak ketinggalan dalam hal ini sehingga ada yang melarat ke tahap membawa tuntutan ke mahkamah demi mempertahankan hak dalam harta masing-masing. Hal ini turut melanda keluarga si mati yang meninggalkan harta untuk diwakafkan, sama ada membabitkan wakaf am atau wakaf khas.

Pada hakikatnya masih ramai yang tidak menyedari dan memahami bahawa harta yang diwakafkan tidak akan sekali-kali tertakluk sebagai sebahagian harta pusaka si mati. Malah, ia perlu digunakan kepada tujuan/benefisiari yang dinamakan atau tujuan am yang lain.

Kenyataan ini adalah didasarkan kepada prinsip dasar undang-undang wakaf Islam iaitu sesuatu harta yang diwakafkan tidak boleh dijual, dilupuskan untuk tujuan yang lain dan tidak pula boleh diwarisi.

Dasar di atas adalah dirujuk kepada hadis riwayat Ibn Umar yang menceritakan mengenai telah diperolehnya ketika pembahagian harta di Khaybar di mana ia adalah harta yang paling berharga dan belum pernah diperolehnya sebelum ini. Umar berhasrat untuk menyedekahkan harta berkenaan yang dikenali sebagai Thamgh ke jalan Allah. Rasulullah SAW telah memberikan pendapatnya dengan bersabda: "Kalau engkau setuju, tahanlah harta berkenaan dan sedekahkanlah manfaat (hasilnya) kepada tujuan kebajikan". Maka Umar pun bersetuju lalu menyedekahkan hasilnya kepada fakir miskin, sanak-saudaranya, untuk membebaskan hamba, kepada mereka yang bermusafir, tetamu dan ke jalan Allah dengan syarat harta berkenaan tidak boleh dijual, diwarisi dan diberikan kepada orang lain."

Frasa terakhir dalam hadis di atas menggambarkan prinsip undang-undang wakaf Islam. Prinsip ini menegaskan bahawa sesuatu harta yang diwakafkan (dipanggil mawquf) tidak boleh dibabitkan dalam mana-mana transaksi atau pindah milik seperti dijual, dicagar dan sebagainya.

Apa yang penting sekali dalam hadis tadi yang berkaitan konteks perbincangan ini adalah frasa "tidak boleh diwarisi (Ia yurathu). Ini kerana, syarak mengiktiraf segala ketetapan dan syarat yang dibuat oleh seseorang pewakaf, asalkan ia tidak bertentangan dengan hukum syarak itu sendiri.

Dalam satu maksim undang-undang wakaf, terdapat peruntukan yang berbunyi "syarat (yang ditetapkan oleh) seorang pewakaf itu seperti apa yang dinaskan oleh syarak" (syart al-waqif ka nass al-syari') dan ini amat relevan dengan pengiktirafan syarak berkenaan.

Dalam hubungan ini, Seksyen 4, Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) 1999 (no. 7 tahun 1999) memperuntukkan prinsip undang-undang wakaf ini, iaitu "Sesuatu wakaf yang berkuat kuasa, tidak boleh dijual atau dihibah oleh waqif atau diwarisi oleh mana-mana orang".

Pada hakikatnya, dalam Islam ketiga-tiga tegahan transaksi di atas bukan saja mengikat pewakaf atau waqif, namun terpakai kepada semua pihak.

Justeru, anggota keluarga atau waris bagi si mati yang telah mewakafkan sebahagian hartanya ketika hidup hendaklah menyedari fakta hukum ini. Mereka hendaklah pasrah dengan ketentuan Ilahi ini kerana ia membabitkan persoalan hukum syarak.

Memakan harta yang diwakafkan atau mengambilnya tanpa hak adalah dianggap sebagai satu pencerobohan yang dikategorikan sebagai kezaliman dan akan dikenakan tindakan di akhirat nanti. Dalam hubungan ini, Allah melarang keras memakan harta milik orang lain yang dianggap sebagai suatu kebatilan seperti firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 188 bermaksud: "Dan janganlah kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil."

Saturday, September 02, 2006

Panel Hakim Tak Ikut Undang-undang

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini memutuskan panel tiga anggota Mahkamah Persekutuan yang diketuai bekas Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan, Tun Mohamed Eusoff Chin dalam kes membabitkan tuduhan salah laku seorang peguam 11 tahun lalu, tidak mengikut undang-undang dan Perlembagaan.


Hakim Datuk Mohamed Hishamudin Mohamed Yunus berkata, pembentukan panel itu bercanggah dengan undang-undang kerana hanya ada dua hakim yang layak iaitu Mohamed Eusoff dan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Zakaria Mohamed Yatim.

Katanya, hakim ketiga, Datuk Pajan Singh Gill tidak layak dari segi undang-undang untuk menganggotai panel itu kerana beliau hanya seorang hakim Mahkamah Tinggi ketika itu.

Mengikut Seksyen 74 Akta Mahkamah Keadilan, jumlah minimum hakim yang menganggotai panel Mahkamah Persekutuan ialah tiga hakim yang layak dari segi undang-undang, kata Mohamed Hishamudin.

"Mengikut Perkara 122(2) Perlembagaan Persekutuan, hanya hakim Mahkamah Rayuan boleh dicalonkan oleh Ketua Hakim untuk bersidang sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.

"Beliau tidak boleh mencalonkan hakim Mahkamah Tinggi untuk bersidang di Mahkamah Persekutuan," katanya dalam mengetepikan saman RM100 juta yang dikemukakan peguam Datuk V Kanagalingam terhadap majalah International Commercial Litigation (ICL) kerana menyiarkan sebuah rencana berunsur fitnah pada 1995, semalam.

Panel itu yang bersidang pada 1995 bertujuan membuat keputusan berhubung kes Insas Bhd & Anor melawan Ayer Molek Rubber Co Bhd & Ors (kes Air Molek) yang dilaporkan majalah itu.

Dalam kes berkenaan, panel itu membuang kenyataan buruk tertentu yang dibuat Mahkamah Rayuan bahawa Kanagalingam, peguam bagi plaintif dalam kes Ayer Molek, menyalah guna dan memanipulasi proses mahkamah dengan niat membawa keadaan tidak adil kepada defendan di Mahkamah Tinggi.

"Dalam penghakiman saya, "Mahkamah Persekutuan" yang dimaksudkan itu bukan sebuah mahkamah yang dibentuk secara sah mengikut undang-undang dan Perlembagaan negara ini. Panel hakim yang terbabit dalam perbicaran itu langsung tidak boleh dipanggil atau diiktiraf sebagai Mahkamah Persekutuan.

"Ia hanya satu panel hakim yang menggelar dirinya atau dianggap sebagai Mahkamah Persekutuan.

"Sesungguhnya, adalah adil untuk mengatakan bahawa panel itu mempunyai prima facie menghina Mahkamah Rayuan sebagai sebuah mahkamah yang dibentuk secara sah memandangkan penghakimannya mengandungi kritikan keras dan tidak boleh diterima mengenai hakim Mahkamah Rayuan, hingga ke tahap menuduh mereka bersikap berat sebelah dan memberi sokongan kepada sesuatu pihak," kata Mohamed Hishamudin.

Oleh itu, kata beliau, penghakiman Mahkamah Rayuan dalam kes Ayer Molek masih tidak terjejas sepenuhnya dan masih sah serta terpakai.

Dalam penghakimannya, Mohamed Hishamudin berkata, adalah juga sesuatu yang adil membuat kesimpulan bahawa panel dianggotai hakim kanan yang diketuai Ketua Hakim pada ketika itu, sedar tentang peruntukan Seksyen 74 akta berkenaan dan Perkara 122(2) Perlembagaan. – Bernama


©The New Straits Times Press (M) Berhad

Thursday, August 31, 2006

Mahkamah Syariah Boleh Dengar Kes Isu Murtad

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi Syariah Labuan semalam memutuskan ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan kes membabitkan isu murtad.


Hakim Syarie, Husin Ahamad, dalam penghakimannya berkata, bidang kuasa itu berdasarkan peruntukan Seksyen 46 Akta Pentadbiran Agama Islam 1993 untuk mendengar, membicara serta memutuskan perkara berkaitan masuk dan keluar Islam.

Keputusan itu dibuat mahkamah itu ketika mendengar permohonan Kenneth Wong Chun Chiak, 39, untuk mendapatkan perintah pembatalan nama "Kenny bin Abdullah" daripada senarai Daftar Perakuan Masuk Islam di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (JAIWPL).

Peguam Sharie Zulkifli Che Yong dan Azmi Datuk Dr Mohd Rais mewakili pemohon dalam kenyataan di sini berkata, walaupun pemohon menyatakan dia sudah murtad berpandukan surat akuan berkanun, Mahkamah Syariah tetap memakai prinsip undang-undang untuk kes itu.

"Mahkamah merujuk kepada kes terdahulu ada orang Islam menyatakan mereka keluar Islam dan mendedahkan cara hidup bukan Islam dengan memakan babi, minum arak, mereka tidak keluar Islam secara automatik sehingga dibicarakan dan diputuskan Mahkamah Syariah," kata hakim itu.

Justeru, beliau berkata, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes ini selepas yakin bahawa pemohon memeluk Islam berdasarkan kad akuan memeluk Islam yang dikeluarkan pada 25 Januari 2001 oleh JAIWPL dengan nama Kenny bin Abdullah.

Bagaimanapun, beliau mengetepikan permohonan Kenneth@Kenny kerana ia tidak mematuhi prosedur kerana permohonan itu dibuat dalam bentuk notis permohonan dan afidavit.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

Hak Muslim: Penghasut Rumah Tangga Orang Lain Boleh Didakwa


SAYA berkahwin atas dasar saling mencintai. Saya bekerja sebagai juruwang dengan berpendapatan sekitar RM1,000 sebulan. Isteri saya adalah eksekutif di sebuah syarikat antarabangsa dengan pendapatan RM4,000 sebulan.

Kami dikurniakan seorang cahaya mata perempuan berusia dua tahun. Apa yang merunsingkan saya ialah rakan sepejabat isteri sering menghasutnya supaya meminta cerai daripada saya. Alasannya gaji isteri lebih besar daripada saya.

Mereka berkata saya tidak layak menjadi suami kepada isteri saya dan tidak perlu menanggung saya. Mereka juga berkata isteri saya masih muda dan cantik. Isteri saya pada bila-bila masa boleh mencari lelaki lain. Saya amat gusar dengan keadaan ini dan khuatir keadaan ini akan mempengaruhi isteri saya. Apakah yang perlu saya lakukan.



RAIS,

Kampung Baru, Kuala Lumpur.



Sebagai ketua keluarga, saudara hendaklah memastikan kebahagiaan rumah tangga saudara. Jangan disebabkan perkara kecil, kedudukan rumah tangga saudara mula goyah. Sebenarnya kebahagiaan sesebuah keluarga bukan terletak semata-mata atas dasar kewangan. Apa yang lebih penting ialah saling memahami dan bertolak ansur.

Rumah tangga bahagia adalah yang sentiasa dihiasi dengan kasih sayang. Suami isteri sepatutnya mengharungi segala masalah rumah tangga secara bersama.

Rundingan dan perbincangan amat penting bagi menyelesaikan sesuatu masalah. Kedua-dua pihak sama ada suami atau isteri perlu memahami hak dan tanggungjawab masing-masing dan tidak sekali-kali mengabaikannya.

Oleh yang demikian, saudara dinasihatkan agar berbincang dengan isteri masalah yang dihadapi. Terima segala teguran dengan hati yang terbuka demi kebahagiaan rumah tangga saudara.

Perkara penting di sini bukan mencari kesalahan atau kelemahan sesiapa, tetapi sikap bertoleransi dan saling memahami itu menjadi kunci keharmonian rumah tangga.

Faktor rakan sekerja isteri saudara yang sering menghasutnya mungkin punca perubahan sikap isteri saudara itu.

Oleh itu, saudara juga perlu bersemuka dengan mereka bagi menerangkan keadaan sebenarnya. Namun, saudara perlu bijak apabila bersemuka dengan mereka agar pertemuan itu tidak akan memalukan isteri atau mengeruhkan lagi hubungan saudara dengan isteri saudara.

Sebenarnya menghasut orang supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan adalah suatu kesalahan mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995. Seksyen 34 enakmen itu menyatakan :

"Mana-mana orang yang menghasut, memaksa atau memujuk mana-mana suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan atau tanggungjawabnya kepada isteri atau suami atau keluarganya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5, 000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya."

Ia bermakna mereka melakukan suatu kesalahan mengikut enakmen itu. Ingatkan mereka supaya tidak mencampuri urusan keluarga saudara dan sekiranya mereka masih berdegil, maka saudara boleh mengambil tindakan selanjutnya.

Sekiranya segala perundingan menemui jalan buntu, saudara boleh membuat aduan kepada pegawai penguat kuasa agama berhubung perkara itu. Pegawai penguat kuasa agama akan membuat siasatan dan sekiranya didapati bukti mencukupi, maka perkara ini boleh dipanjangkan kepada Ketua Pendakwa Syarie untuk pendakwaan di mahkamah.

Selain tindakan undang-undang, yang lebih penting ialah hasrat saudara dan isteri untuk memulihara perkahwinan itu. Mungkin ada baiknya isteri saudara bertukar tempat kerja dan mendapat suasana kerja baru yang tidak menimbulkan tekanan kepadanya.

Saudara juga perlu berusaha untuk meningkatkan keupayaan kewangan supaya tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada gaji isteri. Saudara boleh melakukan kerja lebih masa atau bekerja sambilan di tempat lain dengan tidak mengabaikan keluarga.

Saudara juga perlu bijak menghargai jasa dan pengorbanan isteri dan jangan terlalu berat untuk memuji pengorbanannya.

Lazimnya isteri tidak meminta balik segala wang perbelanjaan yang dikeluarkannya tetapi hanya mahu pengorbanan mereka dihargai suami.

Dengan cara ini, isteri akan tahu bahawa pengorbanan mereka dihargai oleh suami dan akan menambahkan semangat mereka untuk memulihara keluarga mereka.

Saudara dan isteri juga perlu memikirkan kebajikan anak sekiranya sesuatu berlaku kepada rumah tangga saudara. Anak saudara akan kehilangan seorang daripada ibu bapanya sekiranya berlaku perceraian.

Justeru, saudara perlu berusaha untuk menyelamatkan rumah tangga demi anak. Tentunya isteri saudara juga tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku kepada anaknya.

Oleh kerana perkahwinan saudara adalah atas pilihan sendiri, imbaukan kenangan di antara saudara dan isteri sebelum perkahwinan, pada awal perkahwinan dan ingatkan isteri saat kebahagiaan yang dilalui bersama.

Kenangan itu perlu diperbaharui supaya saudara dan isteri sentiasa menghayati keindahan bersama itu.

Saudara juga jangan lupa untuk berdoa kepada Allah supaya memberikan hidayah dan kekuatan kepada saudara dan isteri dalam mengharungi segala onak dan duri dalam mempertahankan rumah tangga.

Sesungguhnya manusia berusaha dan Allah yang menentukan segala-galanya. Selepas berusaha dan berdoa, bertawakallah kepada-Nya, Allah akan menentukan perkara yang terbaik kepada saudara. Insya-Allah.





Zinul Rijal ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Pandangan dan persoalan kemukakan kepada PGSM pada admin@pgsm.org.my, faksimile 03-80259495 atau layari http://www.pgsm.org.my/v2


©The New Straits Times Press (M) Berhad

Mahkamah Ketepi Permohonan Keluar Islam

LABUAN 30 Ogos – Mahkamah Syariah hari ini mengetepikan permohonan seorang lelaki mualaf untuk keluar daripada agama Islam kerana tidak mematuhi prosedur Akta Tatacara Mal Wilayah Persekutuan.

Ketua Hakim Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Husin Ahamad semasa menyampaikan penghakimannya berkata, Kenneth Wong Chun Chiak atau nama Islamnya, Kenny Abdullah, 39, telah membuat permohonan dalam bentuk Notis Permohonan dan Afidavit.

Menurut beliau, sepatutnya permohonan itu dilakukan dalam bentuk Saman dan Pernyataan Tuntutan sebagaimana yang ditetapkan di bawah Seksyen 7 Akta Tatacara Mal Wilayah Persekutuan.

Katanya, pemohon juga didapati telah membuat permohonan kepada Pendaftar Mualaf Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAIWP) Labuan dan sepatutnya kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan.

"Mahkamah Syariah sedia mendengar permohonan pemohon sekiranya berminat untuk difailkan semula," katanya semasa penghakiman di sini, hari ini.

Kenny pada 16 Mei lalu memohon Mahkamah Syariah agar membatalkan namanya dari senarai Daftar Perakuan Masuk Islam di jabatan agama tersebut.

Beliau dalam afidavitnya menyatakan tujuan permohonan itu bagi membolehkan beliau mendirikan rumah tangga dengan mana-mana wanita yang bukan beragama Islam dan bebas sebagai seorang bukan Islam.

Dia berkata, dirinya kini kembali percaya kepada agama asalnya, Kristian Roman Katholik selain memberitahu tidak pernah mengamalkan ajaran dan suruhan agama Islam atau patuh kepada hukum-hukum syarak.

Thursday, August 17, 2006

Keluhan Pemohon Sijil Peguam Syarie Selangor dijawab

SESUATU permohonan untuk diterima masuk sebagai peguam syarie Negeri Selangor adalah ditadbir mengikut Kaedah-Kaedah Peguam Syarie Negeri Selangor 1991, Kaedah 8 mengenai syarat-syarat pemohon dan sub kaedah (b) (1) menjelaskan bahawa pemohon telah mendapat latihan profesional yang diiktiraf oleh majlis dalam kehakiman Islam.

Salah satu cara bagi mendapatkan latihan profesional tersebut adalah melalui latihan amalan guaman yang dihadiri oleh pemohon.

Seterusnya Kaedah 9 pula memperuntukkan bahawa setiap permohonan setelah diakuterima secara bertulis oleh Pengerusi Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri Selangor, hendaklah menampalkan satu salinan permohonannya di papan notis setiap Mahkamah Syariah di Selangor selama satu bulan bagi membolehkan bantahan terhadap permohonan itu dibuat (jika ada) oleh mana-mana pihak.

Jelas arahan Jawatankuasa bagi menampalkan permohonan tersebut di semua lokasi Mahkamah Syariah di seluruh Selangor merupakan satu keperluan yang diperuntukkan oleh undang-undang dan bukan bertujuan untuk menyukarkan mana-mana pihak yang terlibat.

Mengenai dakwaan pengadu yang menyatakan penyediaan afidavit yang memakan masa selama dua hari, pihak kami ingin menjelaskan bahawa masalah pengadu boleh diatasi dengan merujuk kepada Seksyen 112 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Selangor 2003 yang membenarkan mana-mana orang yang tinggal di luar negeri Selangor mengikrarkan afidavit tersebut di hadapan mana-mana Hakim Syarie atau pendaftar di Mahkamah Syariah yang berhampiran dengan tempat tinggalnya.

Bentuk afidavit yang diterima pakai juga boleh dirujuk di dalam Enakmen tersebut. Adalah menjadi tanggungjawab mahkamah memastikan semua dokumen yang difailkan adalah teratur agar prosiding kes berjalan lancar.

Untuk makluman pengadu juga, semua dokumen yang didaftar masuk ke mahkamah adalah dikenakan fi (bayaran) mengikut Kaedah Fi dan Kos Negeri Selangor 1991.

Pemohon yang gagal pula akan diberi peluang kedua untuk menghadiri sesi temu duga dan mereka dikecualikan daripada melakukan proses penampalan untuk kali kedua.

Selanjutnya, maklumat mengenai latihan praktikal tidak dinyatakan di dalam borang permohonan pengadu.

Pihak kami percaya bahawa Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri Selangor mempunyai mandat untuk memastikan peguam syarie yang diterima masuk di negeri Selangor adalah benar-benar berkualiti dan berkelayakan di sisi syarak dan undang-undang kerana seorang peguam syarie adalah pegawai mahkamah yang membantu mahkamah di dalam melaksanakan proses pengurusan keadilan Islam di Negeri Selangor.

– NOOR HADINA AHMAD ZABIDI,

Ketua Pendaftar Setiausaha, Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri Selangor.

17/8/2006-UM

Saturday, August 12, 2006

Pekarangan Mahkamah Syariah ‘panas’


KUALA LUMPUR 11 Ogos – Keadaan di pekarangan Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menjadi 'panas' apabila beberapa kenalan dan anggota keluarga bekas isteri Datuk Khalid Muhamad Jiwa atau Datuk K, Tengku Zawiyah Tengku Izham dilihat cuba menghalang tugas media untuk merakamkan wajah wanita yang menjadi tumpuan itu.

Tengku Zawiyah, 43, hari ini muncul buat pertama kali di mahkamah bagi mendapatkan persetujuan perjanjian harta sepencarian yang telah ditandatangani pada 3 Julai lalu.

Kejadian itu berlaku ketika Tengku Zawiyah hadir lebih kurang pukul 9.30 pagi dengan dikawal ketat oleh tiga orang pengawal peribadi berpakaian serba hitam dan diiringi dua orang anak lelakinya; Mohd. Adib, 16 dan Mohd. Ashraf, 14.

Kesemua mereka bukan sahaja mengawal Tengku Zawiyah malahan turut membuat 'kepungan' di hadapan kamar Ketua Hakim Syarie Husin Ahamad.

Apabila prosiding tamat lebih kurang pukul 12 tengah hari, keadaan menjadi semakin tegang sehingga berlaku insiden tolak menolak di antara kesemua pihak media yang hadir dan pengawal-pengawal peribadi Tengku Zawiyah.

Keadaan itu berlarutan sehingga Tengku Zawiyah dan anak-anaknya memasuki kenderaan yang menanti mereka di hadapan mahkamah.

Khalid mendirikan rumah tangga dengan Tengku Zawyah pada 24 Disember 1985 dan disahkan bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 13 April 2005.

Hasil perkongsian hidup dengan bekas isteri, pasangan ini dikurniakan empat orang anak iaitu, Mohd. Anas, 19 (sedang belajar di Melbourne, Australia); Mohd. Adib, Mohd. Ashraf dan Mohd. Azif, 8.

Khalid bakal menamatkan zaman dudanya dengan mengahwini penyanyi terkenal, Siti Nurhaliza Tarudin, 27, di Masjid Jalan Duta, di sini pada 21 Ogos ini.

Datuk K beri bekas isteri RM9j harta sepencarian

Datuk K beri bekas isteri RM9j harta sepencarian

Oleh: SUWARNI MOKHTAR


KHALID Mohamad Jiwa berjalan menuju ke keretanya selepas tamat prosiding tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur, semalam sementara gambar kanan, bekas isteri Khalid, Tengku Zawiyah Tengku Izham ditemani oleh dua anaknya, Mohd. Adib (belakang, kanan) dan Mohd. Ashraf (kiri) ketika keluar dari kamar Ketua Hakim Syarie.

KUALA LUMPUR 11 Ogos – Ahli perniagaan, Datuk Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K mengambil masa empat jam untuk mencapai persetujuan menyerahkan dua buah rumah berkembar dan sebuah banglo empat tingkat yang kesemuanya mencecah hampir RM9 juta kepada bekas isterinya, Tengku Zawiyah Tengku Izham.

Turut dipersetujui dalam perbincangan harta sepencarian dengan bekas isterinya itu, Khalid, 47, perlu menyediakan peruntukan tambahan yang meliputi kos percutian tahunan, perbelanjaan bulanan, insurans, kos perubatan serta kos penyelenggaraan dan keperluan rumah kepada Tengku Zawiyah, 43.

Tiga buah rumah tersebut ialah dua buah rumah berkembar dua setengah tingkat di Kota Damansara dekat sini bernilai RM1.8 juta dan banglo empat tingkat di Bukit Antarabangsa, Ulu Klang bernilai RM7 juta.

Bagaimanapun, pemilikan dan kepentingan rumah banglo tersebut akan diserahkan kepada salah seorang anak mereka apabila keempat-empat anak pasangan itu mencapai usia 18 tahun.

Sementara itu, dua bidang tanah di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, sebuah kondominium di Jalan Binjai, sebuah kondominium di persimpangan Jalan Putra, di sini serta sebuah premis pejabat di Midvalley Development diserahkan kepada Khalid.

Perjanjian persetujuan yang ditandatangani pada 3 Julai lalu disahkan di hadapan Ketua Hakim Syarie, Husin Ahamad di kamar beliau di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini hari ini.

Khalid hadir kira-kira pukul 9.15 pagi, ditemani oleh tiga orang kenalannya, manakala Tengku Zawiyah tiba dengan dikawal ketat oleh tiga pengawal peribadi, dua anaknya; Mohd. Adib, 16, dan Mohd. Ashraf, 14, serta empat orang rakan Mohd. Adib yang turut mengawal mereka.

Khalid dan Tengku Zawiyah bercerai secara taklik pada 1 Februari 2004 dan pengesahan dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini pada 12 Mac 2005.

Pada prosiding hari ini, Tengku Zawiyah diwakili oleh barisan tiga peguam syarie, Zulkifli Che Yong, Azmi Mohd. Rais dan Normawaddah Ramli sementara peguam syarie, Datuk Muhamad Burok, Hamirah Ab. Wahab dan Umie Zaitun Junoh mewakili Khalid.

Apabila ditanya mengenai isu mutaah, peguam kedua-dua pihak tidak mendedahkan sebarang jumlah dan hanya menyatakan hal tersebut telah selesai.

Khalid yang ketika itu sedang bergegas untuk menunaikan solat Jumaat ketika ditanya mengenai isu yang sama menyatakan: "Dah selesai.''

Bagaimanapun, Utusan Malaysia difahamkan bahawa jumlah mutaah yang dipersetujui adalah melebihi RM1 juta. Turut diberikan kepada Tengku Zawiyah ialah sebuah kenderaan MG Rover dan sebuah BMW.

Menjawab pertanyaan wartawan sama ada anak-anaknya akan menghadiri pernikahannya dengan penyanyi terkenal, Siti Nurhaliza Tarudin pada 21 Ogos ini, Khalid dengan perlahan menjawab, "Insya-Allah.''

Sementara itu, Tengku Zawiyah ketika ditemui di dalam lif memberitahu, dia gembira kerana segala perkara berkaitan tuntutan harta ini telah selesai dengan baik.

Muhamad Burok ketika ditemui selepas tamat prosiding berkata, anak guamnya (Khalid) memohon supaya mereka yang mengenalinya dan semua rakyat Malaysia mendoakan kebahagiaan beliau dalam menempuh hidup baru.

Khalid juga melalui peguamnya mengatakan bahawa beliau berjanji akan sentiasa membantu bekas isterinya dalam apa jua cara sekalipun dan akan sama-sama memastikan kebajikan anak-anak mereka terpelihara.

Ketika ditanya mengenai suasana apabila Khalid dan Tengku Zawiyah bertemu di kamar Ketua Hakim Syarie, Muhamad Burok menyatakan bahawa kedua-duanya berbual dengan begitu akrab dan harmoni.

"Mereka juga saling bertanya khabar antara satu sama lain, '' ujarnya.

Sementara itu, Zulkifli ketika ditemui menyatakan pihak responden perlu menyelesaikan segala hutang dan pinjaman dalam tempoh lima tahun.

"Datuk Khalid juga hendaklah membuat ubahsuai atau penambahan kepada rumah di Kota Damansara sebelum diserahkan kepada Tengku Zawiyah. Sekiranya ingin disewakan, hasil dari rumah tersebut juga perlu diserahkan kepada Tengku,'' ujarnya.

Beliau berkata, selepas perjanjian itu dimeterai dan dijadikan perintah, kedua-dua belah pihak mempunyai masa 14 hari untuk mematuhinya dan sebarang kegagalan akan menyebabkan kesalahan menghina mahkamah.

Pengalaman Pahit Memohon Peguam Syarie di Selangor

Pengalaman pahit memohon peguam syarie di Selangor

SAYA salah seorang pemohon jawatan peguam syarie negeri Selangor tahun ini. Pada 18 Mei 2006 Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri Selangor telah mengarahkan saya membuat penampalan borang 1 (Kaedah 9 dan 23) sebagai salah satu syarat kelayakan untuk dipanggil temuduga.

Saya yang datang dari Johor telah menampal borang tersebut di mahkamah-mahkamah syariah di Selangor (mengikut arahan) dalam masa dua hari dengan mengorbankan cuti, wang ringgit, tenaga, sesat jalan dan lain-lain.

Tempat-tempat yang terpaksa saya pergi ialah Kajang, Petaling Jaya, Rawang, Kuala Kubu Baru, Kuala Selangor, Sungai Besar, Gombak, Bandar Baru Sepang, Banting, Klang dan Shah Alam.

Bayangkanlah sukarnya perjalanan yang saya lalui dalam tempoh dua hari.

Setelah selesai, saya dikehendaki pula membacakan afidavit penampalan tersebut di Jabatan Kehakiman Syariah Selangor yang memakan masa dua hari (terpaksa cuti lagi) kerana beberapa pembetulan yang perlu diperbaiki sebelum ia ditandatangani oleh pihak yang berkenaan dengan dikenakan bayaran RM10.

Kemudian saya dipanggil menghadiri temuduga pada 2 Ogos 2006, jam 9 pagi, di Bangunan Mahkamah SAASS, Seksyen 5, Shah Alam. Saya mengambil cuti lagi dengan menaiki bas malam dan tiba di Shah Alam jam 4.30 pagi.

Apabila dipanggil temuduga, pengerusi temuduga bertanya adakah saya telah membuat praktikal di mana-mana pejabat peguam (chambering), saya menyatakan tidak. Jawabnya, saya tidak layak dan hanya boleh memohon semula selepas chambering. Saya berada di bilik temuduga lebih kurang 5 minit sahaja.

Cubalah bayangkan, setelah melalui pelbagai kesukaran, hanya di bilik temuduga saya diberitahu tidak layak. Pada hal perkara yang berkaitan telah dinyatakan lebih awal dalam borang permohonan saya.

Apa yang berlaku hanya mencerminkan mutu kerja mahkamah syariah. Tidak hairanlah kalau masyarakat memandang mahkamah syariah sebagai mahkamah kelas kedua. Saya harap pengalaman saya ini tidak akan berulang pada orang lain.

– INSAN TERANIAYA,

Johor Bahru.

Wednesday, August 09, 2006

Interaksi: Pelantikan, Kenaikan Pangkat Hakim Perlu Lebih Ttelus


ISU pelantikan hakim timbul lagi baru-baru ini apabila Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, menekankan pemilihan hakim untuk kenaikan pangkat dibuat secara profesional, berdasarkan merit, kualiti dan bukan peribadi atau kekananan. Pelantikan diambil kira hanya bagi mereka yang bekerja kuat termasuk sedia bekerja selepas waktu pejabat.


Jika mengkaji alasan itu, seolah-olah hakim kanan sama ada pada peringkat Mahkamah Tinggi, Rayuan atau Persekutuan yang 'tersangkut' lama tanpa kenaikan pangkat adalah mereka yang tidak rajin, tidak berkualiti, tiada merit dan tidak memenuhi kriteria yang diperlukan untuk menjadi hakim.

Dengan mengambil kira jumlah hakim kanan 'sangkut' maka ia membawa andaian ramai juga di kalangan hakim kita tidak sepatutnya menjadi pegawai kehakiman dan diberi tanggungjawab menentukan nasib orang kena tuduh, padahal kredibiliti mereka sendiri juga dipersoalkan.

Untuk mengatasi masalah itu dan memastikan pemilihan lebih telus dan berwibawa pelbagai cadangan dibuat. Majlis Peguam contohnya, sudah lama mengesyorkan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan dan Kenaikan Pangkat Hakim bagi memastikan kewibawaan, penghormatan dan keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman negara terus kekal.

Presidennya, Yeo Yang Poh, mencadangkan anggota suruhanjaya itu terdiri daripada Ketua Hakim Negara, Peguam Negara, bekas hakim kanan atau bekas Ketua Hakim Negara, wakil Majlis Peguam dan orang awam yang mempunyai status tinggi dalam masyarakat serta mempunyai latar belakang undang-undang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, ketika menjawab isu itu di Parlimen baru-baru ini berkata, jika wakil Majlis Peguam boleh memilih hakim, sistem itu boleh menjurus kepada penyalahgunaan kuasa dan hakim akan rasa tertekan kerana peguam yang mengendalikan kes di depannya boleh mempengaruhi pelantikan dan kenaikan pangkatnya.

Yeo ketika ditanya mengenainya berkata, jika pandangan Nazri diterima ia juga memberi andaian hakim juga akan rasa tertekan dan takut kepada Perdana Menteri kerana beliau juga yang mempengaruhi pelantikan dan kenaikan pangkat hakim.

"Dalam sistem kehakiman yang terbaik, sekurang-kurang 99 peratus hakim mesti yang terbaik, bererti hanya ada ruang satu peratus untuk kesalahan, tetapi jika jumlah bermasalah ramai, katakan 30 atau 40 peratus, maka ia dilihat sebagai kegagalan dalam sistem itu," katanya.

Beliau berpendapat jika sejumlah besar hakim tidak dinaikkan pangkat kerana pelbagai masalah, ia bukan saja boleh menjejaskan moral mereka tetapi menimbulkan persoalan mengenai keupayaan dan keputusan yang bakal mereka buat.

Untuk rekod, sebahagian besar negara maju dan sedang membangun sudah pun mempunyai suruhanjaya khas untuk mengendalikan pelantikan dan kenaikan pangkat hakim. United Kingdom contohnya, melakukan pembaharuan perlembagaan dengan menubuhkan suruhanjaya pelantikan kehakiman bagi England dan Wales di mana 15 ahli (lima ahli kehakiman, dua profesional guaman, enam orang awam, seorang hakim bersara dan seorang ahli biasa).

Begitu juga Perancis (12 ahli), Itali (33 ahli), Sepanyol (21 ahli), Portugal (17 ahli), Afrika Selatan (23) dan Belanda (lima) manakala di Amerika Syarikat, ahli suruhanjaya peringkat persekutuan dinilai Jawatankuasa Persatuan Majlis Peguam diikuti penilaian semula oleh Jawatankuasa Kehakiman Senat, sebelum undian di Senat.

Jika trend di seluruh dunia adalah untuk merangka satu sistem pelantikan dan kenaikan pangkat hakim yang lebih telus dan terbuka, mengapa Malaysia tidak melakukannya?. Pelantikan dan kenaikan pangkat hakim perlu disandarkan kepada satu kumpulan lebih besar supaya mahkamah di Malaysia akan terus dihormati dan diyakini.

Seragam Kes Syariah Masih Dibincang


GOMBAK: Usaha kerajaan menyeragamkan lima rang undang-undang Islam Mahkamah Syariah kini masih dalam perbincangan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum dilaksanakan sepenuhnya tidak lama lagi.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin, berkata perbincangan itu merangkumi perintah bersilang yang membolehkan sesuatu kes itu dibicarakan di negeri lain.

Beliau berkata, tindakan penyeragaman itu juga akan disusuli dengan melantik Peguam Negara Syarie yang bertanggungjawab mengendalikan semua kes syariah di setiap negeri.

Katanya, penyeragaman bertujuan memantapkan sistem perundangan syariah di negara ini dan proses ke arah usaha itu dilihat semakin bertambah baik dengan penyediaan Mahkamah Rayuan Syariah selain Mahkamah Rendah Syariah dan Mahkamah Tinggi Syariah.

"Bagi mengukuhkan lagi penyeragaman, kerajaan menubuhkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang bertanggungjawab memantau dan menyelaraskan undang-undang berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Perundangan Islam Maqasid Al-Shari'ah anjuran Institut Antarabangsa Uniti Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini semalam. Hadir sama, Rektor UIAM, Prof Datuk Dr Syed Arabi Aidid.

Abdullah berkata, semua negeri mencadangkan usul penyeragaman itu dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing berikutan ia tertakluk kepada kuasa kerajaan negeri dan raja kerana membabitkan urusan agama.

"Di peringkat Wilayah Persekutuan, penyeragaman itu dibawa ke Parlimen untuk proses seterusnya. Kerajaan Pusat membentuk model rang undang-undang berkenaan supaya ia dapat diguna pakai seluruh negara," katanya.

Bayaran Nafkah Automatik Bela Wanita

Oleh NIK SALIDA SUHAILA NIK SALEH


SYOR supaya bekas suami dikehendaki membayar nafkah secara automatik kepada bekas isteri dan anak-anak sebaik sahaja perceraian berlaku tanpa menunggu perintah mahkamah perlu dibentangkan ke Kabinet seberapa segera.

Ini adalah kerana terlalu banyak kes yang melibatkan keengganan suami memberi nafkah kepada anak-anak setelah menceraikan isteri. Lebih buruk pula, beban ini ditanggung sendirian oleh bekas isteri.

Statistik perceraian di Malaysia sejak sepuluh tahun yang lalu menunjukkan bahawa 146,857 kes perceraian didaftarkan berbanding 19,844 yang kembali rujuk. Sekiranya purata setiap pasangan yang bercerai mempunyai dua orang anak, maka jumlah anak yang mengharapkan nafkah daripada bapa yang bukan lagi suami ibu mereka ialah seramai 293,714 orang.

Setiap suami yang melepaskan isteri dengan talak tetapi mempunyai 'harta sepencarian'nya iaitu anak, maka suami dan isteri akan tetap mempunyai hak ke atas harta itu, cuma bezanya, suami wajib memberi nafkah sehinggalah anak itu mampu mempunyai pendapatan sendiri dan berdikari.

Dalam konteks masalah bapa tidak memberi nafkah, ia bukan sahaja berlaku kepada anak-anak yang mempunyai masalah ibu bapa yang bercerai, tetapi juga ibu bapa yang masih bersama. Tetapi cara menyelesaikan masalah terpulang kepada pasangan terbabit untuk menentukannya.

Sebenarnya, bapa harus memberikan nafkah kepada anak-anak sejak anak tersebut masih berada dalam kandungan. Keperluan perubatan dan makanan daripada ibu yang sepatutnya anak itu peroleh sewajarnya ditunaikan dan bapa bertanggungjawab untuk memastikan bahawa si ibu mempunyai keperluan tersebut.

Jika bapa memahami tanggungjawab yang mereka pikul, maka tidak timbul soal bapa tidak memberi nafkah kepada anak setelah perceraian.

Hari ini, ramai bekas isteri yang terpaksa menunggu berbulan-bulan lamanya untuk mendapatkan hak bagi anakanak dan membayar sejumlah wang kepada peguam untuk memastikan bekas suami mereka membayar nafkah bulanan untuk anak-anak.

Bapa yang bertanggungjawab sepatutnya akan membayar nafkah anakanak setiap bulan tanpa diberi arahan oleh mahkamah atau dipaksa.

Harta sepencarian perlu dinamakan sebelum poligami

Harta sepencarian perlu dinamakan sebelum poligami

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Lelaki yang ingin berpoligami mungkin dikehendaki menentukan hak pemilikan harta sepencarian dengan isteri pertama sebelum memperoleh kebenaran mahkamah untuk berkahwin lagi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, ia merupakan salah satu cadangan yang sedang dipertimbangkan oleh Peguam Negara di samping cadangan perintah pembayaran nafkah secara automatik kepada bekas isteri dan anak-anak semasa pengesahan penceraian berlaku.

''Memang tidak dinafikan bahawa suami di Malaysia masih bertanggungjawab dan penyayang kepada isteri dan anak-anak.

''Namun ada segelintir daripada 1.5 peratus yang berpoligami mengabaikan tanggungjawab dan menimbulkan ketidakadilan kepada keluarga pertama.

''Sehubungan itu, kementerian merasakan dua cadangan tersebut sebagai jalan penyelesaian terbaik bagi membela nasib isteri dan anak-anak,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Pembelaan Hak Wanita Melalui Kefahaman Tentang Harta Dalam Islam di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), di sini hari ini.

Seminar dua hari anjuran Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta IKIM itu bertujuan membincangkan hak wanita berkaitan harta menurut al-Quran dan Sunnah serta amalan pengurusan dan undang-undang berkaitan wang dan harta.

Menurut Shahrizat, kedua-dua cadangan itu dikemukakan berdasarkan maklum balas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyatakan banyak berlaku pertelingkahan dan ketidakadilan mengenai pembahagian harta serta pengabaian nafkah.

''Ramai merungut, isteri yang telah berkahwin lama tidak dapat apa, jadi untuk adil, satu perintah baru dimasukkan sebagai syarat.

''Mengikut syarat baru, harta itu tidak perlu dibahagikan pada waktu tersebut, cuma menamakan pemilikan harta semasa perkahwinan pertama secara dokumentasi iaitu mengikut proses undang-undang atas konsep siapa punya, yang mana,'' katanya.

Mengenai cadangan perintah pembayaran nafkah dikeluarkan sekali dengan pengesahan penceraian pula, Shahrizat memberitahu, ia bagi memastikan nafkah edah untuk isteri dan nafkah anak-anak dibayar seperti diperuntukkan.

''Selain itu bekas suami boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya gagal mematuhi peruntukan...sebagai contoh, sebulan tidak bayar nafkah akan dipenjara sebulan,'' katanya.

''Buat masa ini bekas isteri terpaksa turun naik mahkamah dan mencari peguam terlebih dahulu bagi memastikan bekas suami membayar nafkah bulanan untuk menyara kehidupannya bersama anak-anak,'' katanya.

Mengulas cadangan melanjutkan tempoh cuti bersalin bagi sektor awam daripada 60 hari kepada 84 hari, Shahrizat berkata, sepatutnya isu itu dibentangkan ke jemaah menteri esok, namun terpaksa ditangguhkan bagi membolehkan kementerian lain memberi pandangan.

''Biar lambat sikit tetapi saya mahu semua pihak berpuas hati, kementerian tidak mahu apabila telah lulus, ada pihak mempertikaikan,'' katanya.

Beliau juga menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa cuti bersalin 84 hari boleh menjejaskan produktiviti negara.

''Kajian mendapati cuti bersalin di negara-negara maju tidak memberi kesan kepada produktiviti malah ia sebagai pelaburan jangka panjang bagi pembentukan modal insan berkualiti,'' jelasnya.

 

Sample text

Sample Text

Sample Text