Pages

Ads 468x60px

Sunday, May 28, 2006

“Kalau boleh selesai masalah, kenapa halang?”

MINGGUAN: Apa reaksi awal Puan?

UM-28/5/2006

MAIMUNAH: Perkara ini sebenarnya telah lama bermain-main dalam fikiran saya. Saya lihat ia banyak berlaku kepada kenalan wanita, saudara-mara dan ahli keluarga saya sendiri yang berkahwin dengan suami berpendapatan rendah daripada mereka. Hal ini juga berlaku kepada dua anak perempuan saya yang berbahagia dengan rumah tangga masing-masing. Mereka semua memberitahu saya bahawa soal pendapatan suami tidak penting tetapi apa yang mereka mahukan adalah perlindungan daripada lelaki yang matang dan bertanggungjawab.

Adakah masalah wanita yang sukar mendapat jodoh sehingga menjadi andartu begitu serius sekarang?

MAIMUNAH: Sekarang mungkin belum sampai ke tahap itu tetapi berdasarkan apa yang saya baca dalam buku Hamka, pada dunia akhir zaman, nisbah wanita kepada lelaki ialah 50:1. Pada zaman itu, ujian yang kita hadapi membabitkan wanita yang sukar mendapat pasangan akan lebih besar.

Persoalan yang perlu ditanya apabila sampai ke tahap itu, sanggupkah keluarga membenarkan poligami; sanggupkah keluarga menerima menantu berpendapatan rendah; sanggupkah kita ada anak-anak perempuan yang tidak berkahwin sepanjang hayat?

Sekarang ini pun ramai wanita yang berpendidikan tinggi dan berkarier semakin sukar mendapat jodoh kerana susah mendapat lelaki-lelaki yang 'berkualiti'. Kita lihat betapa ramai anak muda Melayu yang terbabit dengan dadah, menganggur dan sebagainya sehingga mengurangkan populasi lelaki Melayu yang layak dikahwini.

Tetapi alim ulama, mufti membantah?

MAIMUNAH: Prof. Dr. Mahmud Zuhdi juga cendekiawan Islam dan beliau mungkin ada membuat kajian sebelum mengeluarkan cadangan. Bagi saya, kalau kita lihat misyar itu salah satu cara untuk mengatasi masalah kesukaran wanita mendapatkan jodoh, kenapa kita perlu halang?

Kalau kita sekat, mungkin akan berlaku bencana. Ini sama seperti jika kita bersikap negatif terhadap poligami, akhirnya kita dapat lihat sekarang masalah lebih besar berlaku seperti perceraian dan pertambahan jumlah andartu. Bagi saya, pertambahan jumlah andartu itu satu bencana dan kita perlu berusaha membaiki keadaan itu.

Puan bersetuju dengan cadangan itu?

MAIMUNAH: Kalau kita masih di takuk pemikiran lama dan menganggap kaum lelaki saja yang perlu mencari pendapatan kepada keluarga, memang masalah tidak akan selesai. Tetapi jika kita anggap kehidupan berumah tangga satu perkongsian dan muafakat, insya- Allah, kita akan dapat mengatasi masalah membabitkan ramai wanita yang sukar mendapat jodoh.

Kenapa gadis-gadis sekarang sukar mendapat teman hidup?

MAIMUNAH: Salah satu faktor yang menjadi penentu adalah pelajaran, rata-rata anak perempuan lebih tekun dan berjaya sampai ada sarjana dan Ph.D. Mereka kemudian mendapati semakin sukar mendapat teman lelaki yang sebaya usianya atau setaraf dengan kelayakan mereka. Jika tidak dicarikan jodoh oleh keluarga, mereka yang berpelajaran tinggi dan bergaji besar itu mungkin akan menjadi andartu sepanjang hayat.

Kalau Puan ada anak perempuan yang andartu, apa perasaannya sebagai ibu?

MAIMUNAH: Ini bukan soal cakap-cakap masyarakat sekitar. Masyarakat sekarang boleh menerima andartu. Persatuan Ibu Tunggal sendiri ada banyak ahli di kalangan andartu kerana andartu yang berusia 40 tahun ke atas dan ada anak angkat, kita terima sebagai ibu tunggal.

Tetapi memang banyak ibu bapa yang risau. Baru-baru ini seorang rakan saya yang ada anak perempuan melahirkan kebimbangannnya dengan berkata, "Selagi anak perempuan tidak lepas, selagi itulah susah nak pejam mata kalau mati."

Ada orang kata ramai wanita sudah boleh berdikari dan soal kahwin itu hak peribadi?

MAIMUNAH: Tidak banyak wanita yang mahu hidup membujang. Itu fitrah manusia. Walau berjawatan tinggi sekalipun, mereka masih memerlukan lelaki sebagai pelindung dan teman untuk berkongsi masalah. Masalahnya, bagi gadis berkarier dan bergaji besar yang telah menginjak usia lebih 30 tahun, mereka lama-kelamaan akan menjadi tawar hati.

Hendak kahwin dengan lelaki lebih berusia, kebanyakannya sudah beristeri. Hendak kahwin dengan lelaki muda, susah, jarang ada wanita yang mahu. Ramai juga kaum lelaki yang berusia 40-an atau 50-an, masih berhasrat mencari gadis-gadis muda, manakala, lelaki muda pula biasanya akan mencari gadis lebih muda daripada mereka.

Adakah masyarakat bersedia untuk perkahwinan misyar?

MAIMUNAH: Pokok pangkalnya, ego seseorang itu. Ada wanita yang mahukan lelaki yang setaraf dengannya, begitu juga sebaliknya. Mereka yang saya tahu berkahwin dengan suami berpendapatan rendah mengakui bahawa suami mereka masih ada perasaan rendah diri.

Rasa rendah diri itu sebenarnya menjadi semangat kepada suami untuk lebih gigih bekerja menambah pendapatannya. Menantu saya misalnya jadi usahawan berjaya hasil dorongan dan muafakat dengan anak saya. Muafakat dan saling memahami antara suami isteri apalagi isteri tidak memandang rendah kepada kemampuan suami menjadi kunci kejayaan lelaki.

Bolehkah masalah andartu boleh dikurangkan dengan perkahwinan misyar?

MAIMUNAH: Saya tidak pasti. Tetapi wanita berkerjaya dan berpendapatan tinggi, tentunya ada keinginan mahu berkahwin dan menimang anak. Jika masyarakat lebih bersikap terbuka dan kaum lelaki tidak mengambil kesempatan, saya rasa ramai wanita tidak keberatan.

Apa kesan jangka panjang kalau ramai wanita Melayu dibiarkan tidak berkahwin?

MAIMUNAH: Bukan saja ramai wanita yang sukar mencari jodoh, lelaki Melayu juga ramai yang lambat kahwin atas pelbagai faktor terutama kewangan dan pekerjaan belum mantap. Kos perkahwinan pun terlalu tinggi sehingga ada yang tidak berkahwin terus.

Dengan ramai wanita dan lelaki Melayu tidak berkahwin, ditambah pula ratusan ribu lelaki Melayu terbabit dengan penagihan dadah, kesannya adalah zuriat Melayu dan lelaki Melayu 'berkualiti' akan berkurangan dari tahun ke tahun. Jika ini berterusan, ia akan memberi kesan kepada kuasa politik orang Melayu.

Selain itu, saya khuatir akan berlaku kehidupan yang menyimpang daripada agama seperti perempuan simpanan, bertambahnya pelacuran dan kehidupan bebas tanpa nikah. Bencana itu mungkin tidak nampak sekarang tetapi tunggulah suatu hari kelak. Itu sebab saya begitu yakin dengan ayat dalam surah Hud, "Jika kamu baiki, tidak datang bencana."

“Kahwin Misyar Isu Remeh Temeh”

Mukadimah -(UM-28/5/2006)

KETUA Pengarah Institut Kefahaman Islam (IKIM), Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas cukup hairan melihat perbahasan yang hangat mengenai cadangan perkahwinan misyar yang berbangkit dalam Utusan Malaysia sejak Khamis lalu.

Sepanjang wawancara dengan wartawan NOOR AZAM SHAIRI di pejabatnya petang Jumaat lalu, beliau berulang-ulang kali bertanya apa mustahaknya ia dibahaskan sekarang ketika masyarakat Islam berhadapan dengan banyak isu lain yang penting.

Ketika tokoh-tokoh pembentuk pandangan umum terbelah dua antara menyokong dan membantah cadangan itu, Dr. Syed Ali Tawfik, 42, memberikan satu pandangan yang lain. Beliau merenung kepada punca cadangan dan bertanya apakah masalah-masalah itu dapat diselesaikan dengan perkahwinan misyar?

"Kita tidak tahu cara berfikir dengan betul. Kita hanya memikirkan soal nafsu," katanya, yang bakal genap setahun menerajui pusat keintelektualan Islam itu, 1 Jun ini.

Syor perkahwinan misyar itu dilontarkan oleh pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Dr. Mahmud Zuhdi Abdul Majid sebagai jalan keluar mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin. Ia juga dikatakan mampu mengurangkan perlakuan maksiat dalam masyarakat.

Dalam perkahwinan yang banyak diamalkan di kalangan wanita berkedudukan tinggi negara-negara Arab itu, suami tidak lagi perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir tetapi cukup hanya memenuhi nafkah batin isteri.

Presiden Persatuan Ibu Tunggal Malaysia, Maimunah Omar kuat menyokong cadangan itu. Beliau memberikan hujah berdasarkan kepada pengamatannya bergaul dengan wanita-wanita yang tidak kisah bersuamikan lelaki berpendapatan rendah.

"Kalau ini salah satu cara mengatasi masalah kesukaran wanita mendapatkan jodoh, kenapa kita perlu halang," katanya dalam satu interviu bersama MARZUKI YUSOFF di Kuala Terengganu.

MINGGUAN: Apakah pandangan pertama Dr. mengenai cadangan itu?

DR. SYED ALI TAWFIK: Saya tertanya kenapa perkara ini dibesarkan sekarang, apa tujuan dan matlamatnya? Inilah yang mesti ditanya sebelum perkara sebegini dibawa ke persada masyarakat. Adakah isu ini patut dibahaskan sekarang? Ini hanya menunjukkan kekeliruan orang Muslim sekarang yang tidak tahu apakah perkara-perkara yang sewajarnya dibahaskan.

Cadangan ini dikatakan boleh mengatasi masalah wanita tidak berkahwin.

DR. SYED ALI TAWFIK: Kita harus bertanya adakah itu satu masalah atau sememangnya mereka memilih untuk tidak berkahwin? Hanya selepas kita tahu puncanya, barulah kita boleh cari penyelesaiannya. Wanita yang tidak berkahwin itu bukan hanya dalam lingkungan umur antara 18 hingga 35 tetapi juga kumpulan 35 tahun ke atas.

Secara amnya wanita 35 tahun ke atas itu sudah ada kerjaya sendiri, sudah mewah dan tidak memerlukan sebarang pertolongan. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat barubaru ini ada membuat kajian tentang hal ini. Menurut faham saya daripada membaca laporan tersebut, mereka ini tidak dapat mencari lelaki yang sesuai. Mereka mencari lelaki yang boleh menjaga mereka dengan cara yang mereka mahu.

Ia juga dikatakan mampu mengurangkan perlakuan maksiat dalam masyarakat.

DR. SYED ALI TAWFIK: Ini seolah-olah mahu mengatakan bahawa hanya perkahwinan misyar mampu menyelesaikan masalah maksiat dalam masyarakat tetapi bukan perkahwinan biasa. Ini seolah-olah menunjukkan kita menghalalkan perbuatan keji hawa nafsu kita, dan menggunakan Islam untuk menghalalkannya. Adakah wajar kita mempermainkan Islam begitu? Ini hanya melibatkan soal seks, soal nafsu.

Kenapa Dr. kata begitu?

DR. SYED ALI TAWFIK: Sebagai manusia, kita ada dua sifat dalam diri, haiwaniah dan rohaniah. Sifat haiwan itu perlu dalam diri manusia untuk mengekalkan kehidupan kita, makan, tidur, membuang air dan sebagainya. Dari segi rohaniah pula, dalam diri manusia itu ada tiga tingkat nafsu. Tingkat yang terendah ialah nafsu amarah iaitu dorongan jasmani yang juga dimiliki oleh haiwan. Isu ini memberi faham bahawa nafsu amarah itu telah menguasai kita. Kita telah membiarkan aspek haiwaniah dan nafsu syahwat mengawal hidup kita.

Tingkat nafsu yang lebih tinggi daripada itu ialah nafsu lawammah. Ia menunjukkan kita masih berusaha untuk mengawal aspek haiwaniah tetapi kita sudah boleh mengatasinya. Tingkat yang teratas ialah nafsu mutmainnah iaitu apabila kita sudah berjaya mengawal nafsu haiwaniah itu secara keseluruhan. Kita tiada lagi perasaan hendak berbuat maksiat. Inilah yang dikatakan jihad melawan nafsu. Dalam faham Islam, inilah kefahaman benar tentang jihad. Inilah jihad yang tertinggi, yang paling sukar untuk diatasi – lebih sukar daripada pergi berperang dan menuntut ilmu.

Jadi dalam hal ini, apakah yang telah kita lakukan? Kalau kita menggunakan alasan untuk membanteras maksiat, seolah-olahnya kita hanya mahu melepaskan nafsu. Orang akan berkahwin untuk menghalalkan perasaan mahu melepaskan nafsu. Apakah sebagai insan kita sudah lagi tidak boleh mengawal diri sendiri?

Kita boleh mengawal diri, dan itulah yang membezakan insan dengan haiwan. Martabat kita lebih tinggi daripada haiwan tetapi kita melakukan perkara-perkara yang dilakukan oleh haiwan tanpa rasa bersalah sebaliknya, dengan akal fikiran kononnya kita cuba menghalalkan perbuatanperbuatan yang kita tahu hanya untuk melepaskan nafsu. Lagi pula adakah dalam hukum-hukum hendak berkahwin yang mengatakan perkahwinan itu adalah untuk melepaskan nafsu? Tidak, ia bukan satu daripadanya. Itu tidak termasuk dalam matlamat perkahwinan.

Apakah tuntutan perkahwinan?

DR. SYED ALI TAWFIK: Islam menuntut keadilan. Kalau hendak berkahwin, seseorang itu harus ada tanggungjawab. Ada tanggungjawab, baru berkahwin. Perkahwinan misyar ini sebaliknya mahu melepaskan tanggungjawab. Apa gunanya? Sebagai contoh, kalau seseorang itu mahu membeli kereta dan memandu di jalan raya, dia mesti terlebih dahulu belajar memandu dan mendapatkan lesen; bukannya beli kereta dahulu, bawa kereta dan selepas itu ambil ujian memandu.

Ini samalah juga dengan soal kahwin; harus minta izin daripada wali yang akan memastikan sama ada lelaki itu beramanah, bertanggungjawab, mampu berlaku adil kepada isteri dan keluarga atau tidak.

Apakah matlamat perkahwinan?

DR. SYED ALI TAWFIK: Untuk melengkapkan kehidupan manusia. Ada hadis yang mengatakan bahawa wanita itu adalah kembar kepada lelaki. Kalau begitu, apabila wanita dan lelaki itu bersama mereka menjadi satu. Perkahwinan juga digalakkan untuk melengkapkan Islam seseorang itu. Ini bukan bermakna seseorang yang tidak berkahwin, Islamnya tidak lengkap. Perkahwinan bukan sesuatu yang diwajibkan tetapi hanya digalakkan.

Sebelum ini, orang membangkitkan soal poligami. Itu pun satu lagi. Kenapa kita membahaskannya sekarang? Adakah sampai majoriti daripada masyarakat kita berpoligami? Saya membaca dalam akhbar tentang seorang lelaki yang berkahwin tiga kerana katanya, nafsunya tinggi sangat dan dia mahu mengelak daripada zina. Adakah itu tujuan perkahwinan, untuk melepaskan hawa nafsu? Perkahwinan bukan hanya untuk seks.

Perkahwinan adalah untuk menyambung zuriat, menjadi bertanggungjawab dan menyambungkan ilmu kepada generasi yang akan datang. Saya tidak faham kenapa orang Islam sekarang membangkitkan perkara-perkara yang tiada kaitan langsung dengan hal-hal ini, yang remeh-temeh, yang mengundang kebimbangan dan kekeliruan kepada masyarakat. Ini sangat tidak baik.

Ini bukan peranan ulama. Ulama diangkat menjadi ulama kerana dia mampu membawa masyarakat kepada jalan atau faham yang bermakna. Jika masyarakat itu dibawa kepada kekeliruan, itu bukan ulama namanya. Tetapi dalam laporan itu Prof. Dr. Mahmud Zuhdi ada mengatakan jika perkahwinan misyar ini diamalkan hendaklah dibuat dengan jujur dan tidak disalahgunakan untuk menganiaya kaum wanita. Hal ini mesti ditekankan kerana saya khuatir ramai orang tidak membaca hal itu, hanya baca separuh saja.

Perlukah perkahwinan misyar ini dibenarkan?

DR. SYED ALI TAWFIK: Tidak perlu langsung. Apa yang mesti dititikberatkan ialah penyelesaian kepada isu sebenar yang kita hadapi. Mereka yang menyokong hujah itu mengatakan kaum wanita muda sukar mencari lelaki bujang yang berkualiti kerana banyak lelaki Melayu terlibat dalam penagihan dadah atau gejala sosial lain.

Kalau itu masalahnya, kita selesaikanlah masalah itu dahulu. Salah satu sebab lain kenapa wanita tidak mahu berkahwin ialah kerana tidak ada calon yang sesuai. Dalam perkahwinan mesti ada kufu (dari segi pendirian, pemahaman agama dan keturunan). Itulah sunnah Nabi. Tidak bolehlah kalau lelaki itu seorang jaga tetapi wanita itu puteri raja; tidak sekufu dan hanya akan mendatangkan masalah.

Tetapi orang kata cinta itu buta?

DR. SYED ALI TAWFIK: Bagaimana cinta boleh buta? Itu pemikiran Barat yang keliru antara cinta dengan nafsu dan berahi. Dalam Islam, apabila kita bercakap tentang cinta ia tidak semestinya bermaksud habb (cinta sesama manusia). Ada kalanya ia bermakna asyq (cinta kepada Allah). Itu tingkat cinta yang sangat tinggi, keasyikan. Kalau cinta itu buta, bagaimanakah kita merasakan cinta? Kalau asyq itu buta, adakah kita mahu mengatakan Tuhan itu buta? Bukankah sifat-sifat Allah itu Maha Melihat, Maha Mengetahui dan sebagainya?

Apakah yang Dr. rasa melihat perbahasan hal ini?

DR. SYED ALI TAWFIK: Saya sangat sedih dengan nasib orang Islam kerana inilah perkara yang suka mereka bahaskan. Ini isu yang tidak berbaloi untuk dibahaskan. Kalau cadangan ini benar-benar wujud, kita mesti lihat apakah keadaan zaman yang membenarkannya dan apakah ia boleh dipakai dalam keadaan sekarang? Hal ini tidak ada pada zaman Rasulullah, ia datang kemudian.

Sebagai contoh, pada akhir kurun ke-19 misalnya, mufti di Mesir mengharamkan kopi kerana remaja di Mesir suka membuang masa siang malam bermain backgammon, sambil merokok dan minum kopi sehingga mengabaikan solat. Pengabaian kepada solat itu yang membuatkan mufti mengharamkan kopi untuk menakutkan mereka, bukan kerana kopi itu sendiri.

Dalam hal ini, kalau kita tidak tahu keadaan yang menyebabkan perkahwinan misyar itu dibenarkan dahulu, kenapa kita harus membahaskannya? Adakah kita betul-betul memerlukannya? Saya tidak fikir begitu. Ia seolah-olah mahu mengatakan bahawa perkahwinan biasa tidak mencukupi dan kita memerlukan misyar kerana ia melepaskan tanggungjawab. Mufti Johor, Datuk Noh Gadot baru-baru ini ketika mengulas isu suami tidak bekerja juga menekankan tentang tanggungjawab suami sebagai penyara keluarga. Beliau bukannya mengatakan wanita dilarang keluar bekerja.

Adakah isu ini juga telah disalah tafsir?

DR. SYED ALI TAWFIK: Ini bukan soal salah tafsir. Isu ini tidak sepatutnya dibangkitkan pun. Ada banyak lagi isu lain menyentuh orang Islam. Kadar perceraian di kalangan orang Islam meningkat. Kes perceraian di mahkamah juga banyak yang belum diselesaikan; ada kes sampai 15 tahun tidak selesai-selesai. Remaja Muslim banyak yang ponteng sekolah dan di universiti, wanita lebih ramai daripada lelaki. Wanita lebih berminat mencari ilmu berbanding lelaki.

Inilah isu-isu yang sepatutnya kita lihat. Ini tidak, kita tidak cuba menyelesaikan masalah sebaliknya mencetuskan lebih banyak masalah.

Apakah yang ditunjukkan oleh isu ini tentang keadaan kita?

DR. SYED ALI TAWFIK: Ia menunjukkan kita sangat jahil. Laporan seperti ini hanya membesarkan ketandusan pemikiran kita. Kita terkebelakang, tidak tahu isu sebenar dalam masyarakat Islam pada hari ini. Kita ada krisis dalam hal ini. Kami di IKIM selalu menyuarakan bahawa masalah umat Islam pada hari ini ialah kekurangan ilmu. Isu perkahwinan misyar ini, kepada saya, perkara remeh-temeh.

Kalau kita selalu menyempitkan faham Islam hanya kepada hukum, halal dan haram, kita akan jadi seolah-olah macam orang Yahudi Talmud yang menginstitusikan hukum; semuanya hukum, hukum dan hukum sehingga tiada ijtihad. Ini yang orang Islam sudah buat sejak sekian lama iaitu menutup pintu ijmak dan ijtihad. Kita bukan saja tutup tetapi kita kunci.

Kalau orang melihat ini proses untuk ijtihad?

DR. SYED ALI TAWFIK: Ijtihad hanya untuk perkara-perkara yang ada keperluannya dan kalau ada matlamat yang jelas. Kalau tidak ada matlamat, bagaimana hendak berijtihad. Dalam hal ini, apa niatnya? Kalau niatnya mahu mengurangkan masalah wanita tidak berkahwin, kita cari dulu puncanya kenapa mereka tidak berkahwin. Bagi wanita yang berumur 18 hingga 35 tahun, hujahnya ialah banyak lelaki terlibat dengan penagihan dadah dan tidak sekufu kerana wanita lebih tinggi kedudukannya daripada lelaki. Jadi, ini masalah remaja lelaki, bukan wanita. Kenapa lelaki melepaskan tanggungjawabnya, tidak mahu meningkatkan diri sendiri? Ini menunjukkan ada kehampaan dalam diri mereka.

Apakah kita patut hentikan perbahasan ini?

DR. SYED ALI TAWFIK: Ya. Kita harus berbincang isu-isu yang sebenar. Isu ini langsung tidak membantu perkembangan ummah. Bahawa dengan membangkitkannya saja, akhbar saudara sudah menyebabkan orang keliru. Ada yang mengatakan perkahwinan misyar itu boleh dijadikan jalan keluar kepada masalah ibu tunggal. Apakah masalah mereka? Kalau tidak ada pendapatan dan tidak ada kerja, kita perlu bertanya apakah yang dilakukan oleh badan-badan kebajikan Islam untuk membantu ibu-ibu tunggal?

Maksud Dr. masalah yang menjadi punca kepada cadangan itu ada jalan penyelesaian lain, dan bukan perkahwinan misyar?

DR. SYED ALI TAWFIK: Ya, itu maksud saya. Apabila kita mengatakan sesuatu itu sebagai puncanya, kita mesti membahaskannya dengan hujah yang sah dan kukuh. Mereka mungkin ada hujah yang sah tetapi tidak kukuh. Hujah yang sah tetapi tidak kukuh tidak boleh dijadikan hujah. Apa-apa saja hujah boleh menjadi hujah yang sah tetapi ia tidak semestinya kukuh.

Itu sebabnya kalau isu ini mahu dibangkitkan, kita harus bertanya apakah kita memang ada masalah sehingga memerlukan kepada penyelesaian ini? Saya pun mahu tahu berapakah jumlah wanita yang tidak berkahwin, dan adakah mereka mahu kepada perkahwinan misyar? Adakah mereka meminta ia dibenarkan? Adakah mereka mahu berkahwin dengan lelaki yang tidak perlu ada tanggungjawab, yang tidak payah membayar nafkah? Nafkah itu wajib, bukan sesuatu yang harus. Bolehkah lelaki mengelak daripada bertanggungjawab?


komen sendiri....

IKIM ni nak jawab soalan ke nak tanya...baik jadi wartawan je. boleh tanya macam-macam, kalau penjawab asyik bertanya lagi orang keliru..tuan2 macamana?

alamkita


‘Kahwin misyar bukan keperluan’

BH-28/5/5006
SUBANG JAYA: Perkahwinan misyar bukan penyelesaian terbaik untuk menangani masalah ramai wanita Islam tidak berkahwin di negara ini kerana keadaan tidak kritikal, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.


Sebaliknya, beliau berpendapat, konsep perkahwinan mengikut ajaran Islam yang meletakkan tanggungjawab dipikul bersama antara suami dan isteri paling sempurna.

"Ada cara lain untuk menangani gejala wanita tidak berkahwin, biarlah konsep tanggungjawab bersama dalam perkahwinan menjadi amalan yang kekal di negara ini.

"Mungkin dalam darurat, perkahwinan misyar boleh dipertimbangkan, tetapi ketika ini kita tidak berada dalam keadaan darurat," katanya selepas perasmian Persidangan Antarabangsa Pendidikan Awal Kanak-Kanak di sini, semalam.

Kelmarin, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju dengan cadangan supaya lelaki dibenar mengamalkan perkahwinan misyar kerana ia dibenarkan Islam.

Bagaimanapun, Mursyidul Am Pas itu berkata, perkahwinan itu boleh dilaksanakan dengan syarat mendapat keizinan wanita yang akan dikahwini dan diadakan perjanjian bertulis antara kedua-dua pihak.

Isu berkenaan ditimbulkan seorang pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Mahmud Zuhdi Abdul Majid, yang mencadangkan supaya kaum lelaki dibenarkan mengamalkan perkahwinan misyar bagi mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin.

Mahmud Zuhdi berkata, perkahwinan itu juga mampu mengurangkan pelakuan maksiat dalam masyarakat dan perkahwinan misyar bermaksud, suami tidak perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir seperti wang ringgit dan pakaian, tetapi cukup hanya dengan memenuhi nafkah batin terhadap isteri.

Shahrizat berkata, beliau tidak menghalang mana-mana pihak meneruskan perbincangan terbuka berhubung isu berkenaan yang dianggap sebagai satu perdebatan sihat.



Mengenai kewujudan majalah Playboy versi Malaysia, Shahrizat mahu Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) meningkatkan usaha untuk mengesan penerbit majalah yang ketika ini dijual dekat Tanah Merah, Kelantan itu.

"Tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan majalah seumpama itu tidak berada di pasaran negara, termasuk pasaran gelap kerana kita tidak perlukan majalah seperti itu di negara ini," katanya.

Beliau berpendapat, hanya wanita tidak berpendidikan agama, menghadapi tekanan hidup dan tidak waras akan merelakan dirinya dirakam untuk disiarkan dalam majalah sedemikian.

Shahrizat juga akan berbincang dengan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad untuk mendapatkan perkembangan terkini berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

Saturday, May 27, 2006

Perkahwinan misyar upaya bendung maksiat?

Fri | May 26, 06 | 03:35:34 PM
Oleh Saidatul Amani

Sebut sahaja perkataan poligami kebanyakan wanita akan `panas telinga'. Sukar bagi kebanyakan wanita terutama yang bergelar isteri untuk menyebut perkataan tersebut dengan hati yang ikhlas dan reda.

Tetapi jika ia dikaitkan dengan hukum yang jelas dalam al-Quran, kelantangan bantahan sebilangan besar wanita ini akan terhenti. Pendek kata masalah poligami itu tidak akan selesai selagi ada golongan lelaki dan wanita di dunia ini.

Kini timbul pula isu baru tentang perkahwinan misyar. Pada mulanya, penulis juga terkejut dengan maksud perkahwinan tersebut kerana baru pertama kali mengetahui akan maksudnya.

Perkahwinan misyar bermaksud, suami tidak perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir seperti wang ringgit dan pakaian, tetapi cukup dengan memenuhi nafkah batin terhadap isteri.

Ah! bertuah suami yang menikmati perkahwinan misyar. Penulis tidak berhajat membantah cadangan tersebut tetapi pihak berkenaan perlu memperhalusi cadangan itu. Apakah perkahwinan misyar itu realisitik dengan fenomena wanita di Malaysia?

Sehari selepas laporan itu, Dewan Muslimat PAS menolak cadangan supaya perkahwinan misyar dibenarkan kerana ia tidak bersesuaian dengan masyarakat negara ini.

Ketuanya, Azizah Khatib Mat berkata, masalah wanita tidak berkahwin di negara ini masih terkawal dan tidak perlu diatasi melalui cara tersebut.

"Cara itu tidak sesuai dipratikkan di negara ini dan kita tidak perlu mengikutinya walaupun ia sudah lama dipraktikkan di negara-negara Arab," katanya.

Masalahnya, mengapa perlu kepada perkahwinan misyar? Apakah rata-rata wanita yang berstatus janda dan andartu amat menyusahkan negara atau bersikap keterlaluan sehingga menggadaikan maruah agama dan diri?

Penulis tidak menyanggah cadangan daripada Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Dato' Dr Mahmud Zuhdi Abdul Majid yang mendakwa perkahwinan misyar dapat mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin.

Selain itu, ia juga dianggap mampu mengurangkan perlakuan maksiat dalam masyarakat.

Ada benarnya alasan tersebut. Tetapi apakah jaminan perkahwinan misyar itu boleh menyelamatkan iman dan ketaatan para isteri terhadap suaminya?

Suami tidak perlu memberi nafkah zahir tetapi cukup memenuhi nafkah batin terhadap isteri.

Ok, mungkin para isteri masih boleh tersenyum dengan keistimewaan suami hasil daripada perkahwinan misyar.

Tetapi, siapa pula yang perlu bertanggungjawab menunaikan nafkah zahir terhadap anak-anak? Apakah ini juga menjadi tanggungjawab isteri? Perbelanjaan lampin, susu, pakaian, persekolahan, makan, perbelanjaan harian dan sebagainya.

Penulis yakin, sejauh mana kasih sayang dan ketaatan isteri terhadap suaminya, jika semua masalah dibebankan ke atas kepala isteri, sudah pasti kesabaran dan ketaatan seorang isteri akan tercabar.

Bibit-bibit kasih sayang akan mula tercalar apabila hati sudah mula berkata-kata - daripada aku menanggung semua ini lebih baik aku tak payah kahwin!

Mulalah episod bermasam muka dengan suami, mengata sikap suami, tak puas hati, dendam dan sebagainya. Walhal masa nak kahwin dulu, `I Love U, I sanggup buat apa sahaja asalkan I dapat U'. Tapi apabila setiap hari terpaksa keluar duit menanggung diri sendiri dan anak-anak, hilang Love U yang tinggal menyampah I tengok muka U'.

Lama kelamaan berlaku perceraian. Anak-anak yang masih kecil yang masih tidak tahu erti penderitaan dan kesengsaraan, tetap menagih kasih sayang daripada ibu bapa mereka.

Jika mereka tidak mendapat belaian dan kasih sayang daripada ibu bapa, sudah tentu mereka akan mencari kasih sayang itu di luar. Maka terjebaklah mereka dalam kancah gejala sosial.

Jika begini jadinya, apakah perkahwinan misyar benar-benar dapat mengurangkan perlakuan maksiat?

Sistem negara

Penulis beranggapan masalah wanita yang ramai tidak berkahwin mungkin berpunca daripada diri sendiri berikutan sistem negara yang tidak berlandaskan al-Quran dan Sunnah.

Dengan pangkat tinggi, gaji besar, kuasa, harta banyak siapa berani dekat wanita seperti ini. Tentu lelaki yang mahu menjadikan mereka isteri, mempunyai harta kalau tak sebukit mesti sebusut.

Wanita itu sendiri mungkin memandang rendah kepada golongan lelaki yang setakat gaji RM3,000 hingga RM4,000 sebulan, apatah lagi yang hanya bergaji tiga angka saja. Ini mungkin antara punca mengapa wanita ramai yang masih tidak berkahwin.

Sekilas pandang di mana-mana jabatan kerajaan, swasta dan korporat peratus wanita yang bekerja mengatasi golongan lelaki.

Ini juga menimbulkan masalah terhadap lelaki. Daripada jawatan buruh hingga setinggi-tinggi jawatan, pengurus, pengarah urusan, setiausaha sulit, canselor semuanya telah diteroki oleh wanita.

Begitu juga dengan jawatan yang mencabar seperti juruterbang, kapten, inspektor, komander, pengawai bomba, pemandu bas wanita sudah menceburinya. Di sinilah kerusi untuk diisi oleh lelaki sudah hilang peratusnya. Siapa yang harus dipersalahkan?

Wanita, lelaki atau sistem negara? Jika sistem negara kita berpandukan al-Quran dan sunnah sudah tentu perkara seperti ini tidak akan berlaku. Alangkah cantiknya, jika tugas wanita hanya dikhususkan kepada jiwa dan sentimen wanita sahaja seperti jururawat, guru, kerani, pakar sakit puan.

Kerjaya yang mencabar difokuskan kepada lelaki. Rasanya jika perkara ini dilaksanakan tidak ramai lelaki atau suami yang menganggur. Masalahnya, dalam sesi temu duga golongan wanita lebih diminati untuk diambil bekerja. Kalau alasan wanita lebih rajin bekerja, tak kurang juga lelaki yang hebat apabila menjalankan tugas.

Penulis yakin lelaki tidak ramai yang menganggur jika peluang kerja itu diberikan seluas-luaskan kepada mereka. Begitu juga janda atau andartu tidak akan terjerumus dalam kancah maksiat jika negara melaksanakan sistem berpandukan al-Quran dan sunnah.

Penulis juga yakin perkahwinan misyar itu tidak wujud jika sistem negara dilaksanakan mengikut lunas-lunas Islam sebagaimana yang ditetapkan dalam al-Quran dan sunnah.

Apa kata kalau pencadang melaksanakan dahulu perkahwinan misyar, buktikan bahawa cadangan ini akan mengurangkan perlakuan maksiat dalam masyarakat. Belum cuba belum tahu! - lanh

Maksiat di kampus mengejutkan, 10,000 kes setahun!

Fri | May 19, 06 | 05:47:57 PM
Oleh Roslan SMS

Dalam pada kita heboh berbahas berkenaan 'Moral Policing'  serta perlakuan sumbang dan lucah di khlayak ramai, dengan takdir Allah SWT terkeluar pula satu angka baru yang sungguh memeranjatkan dan seharusnya menjadi iktibar kepada kita semua.

Menurut Berita Harian: "KHALWAT dan berdua-duaan adalah kes yang paling tinggi dikenakan tindakan tatatertib mengikut Akta Universiti dan kolej Universiti (Auku) 1971.

"Setiausaha Parlimen Kementerian Pengajian Tinggi, Dato' Dr Adham Baba, berkata sejak 1971 hingga awal tahun ini sebanyak 381,735 kes membabitkan khalwat dan berdua-duaan dikenakan tindakan tatatertib."

Bermakna sepanjang tempoh 35 tahun iaitu dari 1971 sehingga 2006 terdapat 381,735 kes maksiat ini yang dikenakan tindakan tatatertib. Itu tidak termasuk kes-kes yang terlepas pandang. Bermakna juga secara average terdapat 10, 906 kes seumpama ini setiap tahun di IPTA kita!

Ini sudah pasti melibatkan pelajar-pelajar cemerlang kerana pelajar-pelajar yang lemah tidak dapat melangkahkan kaki ke IPT. Dalam erti kata lain perlakuan maksiat ini diperlakukan oleh anak-anak yang cerdik yang berpendidikan, bayangkan bagaimana pula angkanya bagi mereka yang di luar, yang tiada peraturan dan kawalan!

Kesimpulannya isu maksiat dan kemungkaran ini sudah sampai ke tahap di luar kawalan. Maka wajarlah kita khasnya mereka yang berkuasa mengambil langkah mengawal dan menyekat perkara ini dari terus berleluasa.

Kerana itulah 'Moral Policing', pendidikan akhlak dan agama perlu diberi perhatian dan penekanan yang serius. Jika tidak maka kita akan mengundang keruntuhan bangsa dan agama kita sehingga hilanglah nilai maruah dan harga diri buat selama-lamanya.

Jangan dilayan dan diraikan mereka yang menuntut hak dan kebebasan dalam perkara-perkara yang melibatkan akhlak, kononnya mahu bebas seperti Barat, kerana ianya akan hanya meruncingkan lagi keadaan.

Apa guna kita melaung sehingga serak-serak anak tekak 'BELIA BOLEH, BELIA BOLEH' tetapi hakikatnya akhlak belia kita sedang teruk terkikis menunggu masa untuk runtuh dan ranap.

Karyawan Bantah Perkahwinan Misyar

Karyawan bantah (UM-27/5/2006)

KUALA LUMPUR 26 Mei - Lelaki yang mendirikan rumahtangga menerusi perkahwinan misyar dinasihatkan supaya jangan menjadi parasit kepada isteri sepanjang tempoh perkahwinan sebaliknya saling membantu mengikut kemampuan.

Penulis dan aktivis filem, Sujiah Salleh berkata, dalam perkahwinan misyar, suami memang tidak berkemampuan daripada segi zahir untuk memberi nafkah zahir kepada isteri dan keluarga.

Bagaimanapun katanya, ia tidak bermakna suami dibenarkan melepaskan tanggungjawab dan menjadi parasit kepada isterinya.

``Terdapat suami yang menjadi parasit, dengan menyerahkan segala tanggungjawab kepada isteri.

``Dia sanggup membebankan isteri yang turut membantunya membeli segala keperluan diri,'' kata Sujiah ketika dihubungi di sini hari ini.

Sujiah berkata, sebelum memilih lelaki yang tidak berkemampuan untuk memberi nafkah zahir, wanita itu hendaklah mengetahui haknya selepas berkahwin.

``Apakah wanita itu berhak meminta perceraian setelah berkahwin kerana awal-awal lagi dia telah mengetahui tentang kedudukan suaminya yang tidak berkemampuan dari segi zahir,'' tanya Sujiah.

Menurutnya, jika perkahwinan misyar ini dibenarkan secara rasmi di negara ini, hendaklah disediakan undang-undang yang berpihak kepada wanita.

Katanya, mengikut hukum syarak, hanya suami yang berhak menceraikan isterinya.

``Bagaimana pula dengan perkahwinan misyar, apakah isteri tidak mempunyai hak untuk meminta perceraian,'' kata beliau.

Menurut beliau, selalunya suami begini agak sukar untuk menceraikan isterinya, terutama mereka yang mempunyai kedudukan dan kemewahan.

Sujiah berkata, di negara ini, terdapat sebilangan wanita berkahwin dengan lelaki pilihan mereka semata-mata untuk mendapatkan zuriat.

``Jika seseorang wanita itu memerlukan lelaki hanya untuk memberikannya zuriat, dia hendaklah cerdik agar tidak diperalatkan oleh suaminya untuk perlakuan seksual semata-mata,'' katanya.

Isu Perkahwinan Misyar

Artis sokong
KUALA LUMPUR 26 Mei - Amalan perkahwinan misyar perlu dilihat dari sudut positif kerana ia boleh membawa kebaikan kepada golongan wanita profesional yang berkemampuan tetapi hidup sendirian.

Penyanyi terkenal, Asmawi Ani (gambar) atau Mawi secara peribadi menyifatkan perkahwinan misyar boleh diamalkan di negara ini jika mendapat persetujuan bersama pihak lelaki dan perempuan.

Menurut juara Akademi Fantasia 3 (AF3) itu, apa yang penting ialah sebarang masalah selepas bergelar suami isteri perlu ditangani dengan bijak.

``Saya tidak pandai hendak beri komen tetapi sebagai lelaki, tanggungjawab menyara isteri adalah wajib walaupun isteri memiliki pendapatan yang tinggi.

``Namun kalau isteri tidak kisah, ia bukanlah satu masalah. Semuanya bergantung kepada budi bicara mereka,'' katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semuanya, jelas penyanyi sensasi itu terletak kepada pasangan yang ingin mengamalkan perkahwinan misyar itu.

Penyanyi Kumpulan KRU, Norman Abdul Halim pula berkata, perkahwinan berkenaan dilihat dari satu sudut dapat membantu golongan tertentu seperti ibu tunggal yang berkerjaya.

``Itu pendapat saya sebelum sebarang fatwa dikeluarkan dan kalau fatwa mengatakan boleh, maka ia perlu diterima semua masyarakat dan menganggapnya sebagai sesuatu yang positif.

``Tetapi kalau fatwa kata tidak boleh jangan hendak pandai-pandai buat sendiri,'' katanya ketika dihubungi hari ini.

Namun katanya, perlu dipastikan tiada sebarang paksaan serta tiada golongan yang akan tertindas kesan dari pelaksanaan perkahwinan misyar.

Perkahwinan misyar dicadangkan oleh Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi Abdul Majid, untuk diamalkan oleh kaum lelaki di negara ini.

Bagaimanapun cadangan beliau itu mendapat tentangan hebat oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kerana dikhuatiri akan mendatangkan implikasi negatif.

Perkahwinan misyar bermaksud, suami tidak perlu memberi nafkah zahir kepada isteri, sebaliknya hanya mencukupi dengan pemberian nafkah batin.

Ia banyak diamalkan di kalangan wanita berkedudukan tinggi dan berpendapatan lumayan di negara-negara Arab.

Sementara itu, artis wanita popular Umie Aida (gambar) berkata, amalan misyar mungkin boleh diterima bagi seorang wanita yang kaya dan hanya memerlukan zuriat bagi melengkapkan hidupnya.

``Saya sendiri pun kalau sudah jadi jutawan mungkin akan fikir sampai ke tahap itu tetapi lelaki jangan pula ambil kesempatan sebab wanita juga akan menilai layanan yang diberikan.

``Mesti kena tunjuk juga sikap tanggungjawab. Mungkin perempuan itu sudah kaya tetapi sekurang-kurangnya kalau lelaki bagi sedikit duit untuk beli barang dapur pun sudah cukup,'' katanya.

Bagaimanapun katanya, konsep perkahwinan itu perlu diperjelaskan bagi menjaga kepentingan wanita kerana secara dasarnya ia tetap melibatkan hati dan perasaan.

Jakim `Keliru'

KUALA LUMPUR 26 Mei - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini mengakui tidak dapat menentukan status perkahwinan misyar dari segi hukum syarak.

Sehubungan itu Ketua Pengarahnya, Datuk Mustafa Abdul Rahman berkata, beliau akan merujuk perkara itu ke panel syarak jabatan itu bagi menentukan kedudukan sebenar perkahwinan tersebut.

Beliau sendiri tidak dapat menentukan hukuman sebenar perkahwinan tersebut dan oleh itu isu itu amat memerlukan pandangan daripada mereka yang arif mengenainya.

``Kita memerlukan pandangan daripada para ulama yang menganggotai panel syarak Jakim memandangkan perkahwinan misyar ini melibatkan soal hukum.

``Yang pasti dalam isu ini, wanita sudah pasti menentang manakala golongan lelaki sudah tentu menyokong,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Ketika ditanya sama ada isu terlibat akan dirujuk ke Majlis Fatwa Kebangsaan Mustafa berkata: ``Tengok keadaan.

Perkahwinan Bukan Taruhan

BANTAH -UM-27/5/2006
Oleh NORAINI ABDUL RAZAK (Wartawan Utusan)
APA sudah jadi dengan lelaki? Soalan ini ditanya oleh seorang kawan lelaki. Sedikit hari dulu heboh cerita lelaki nak jadi suri rumah dan dua tiga hari ini kecoh pula mereka menyokong nikah misyar.

Seperti biasa mereka menggunakan alasan mematuhi hukum syarak untuk 'menghalalkan' isu-isu berkaitan nikah kahwin. Fatwa yang dikeluarkan oleh ulama Arab diterima tanpa segan silu sehingga sanggup mengetepikan maruah apatah lagi harga diri golongan yang sering mendabik dada sebagai 'gagah dan berani' ini.

Tanpa penyelidikan mengenai fatwa itu, kenapa ia dikeluarkan, siapa yang mengeluarkannya, isu nikah misyar tiba-tiba dikaitkan dengan agenda membantu golongan wanita yang lewat berkahwin dan mengelak maksiat berleluasa.

Ia seolah-olah merujuk salah satu punca bertambahnya maksiat ialah kerana wanita lewat berkahwin, oleh itu mereka perlu dikahwinkan tidak kiralah apa caranya asalkan halal di sisi agama.

Ada yang bertanya terdesak sangatkah wanita-wanita di Malaysia terutama yang berpelajaran tinggi untuk berkahwin sehingga sanggup membiarkan diri mereka dijadikan tempat memuaskan nafsu lelaki semata-mata.

Sementelah nikah misyar itu sendiri tidak mensyaratkan tanggungjawab dalam sebuah perkahwinan, pastinya lelaki memukul kompang meraikan impian yang terbayang di benak fikiran masing-masing.

Sememangnya pelik apabila menyentuh bab nikah kahwin, ada saja alasan yang tidak logik cuba dirasionalkan oleh kaum lelaki menunjukkan kedangkalan fikiran mereka apabila berhujah tentang seks dan kehidupan.

Atau adakah umat Islam kini telah menyempitkan objektif murni sebuah perkahwinan kepada hubungan seks semata-mata sedangkan hakikatnya pernikahan itu mempunyai maksud yang terlalu luas.

Terlalu menyedihkan apabila wanita bersuara mempertahankan hak mereka, ada saja suara yang melabelkan golongan 'lemah' ini sebagai sarat dengan emosi dan menolak hukum Tuhan.

Sedangkan dalam banyak hal berkaitan wanita ditindas, tidak diberi nafkah dan ditinggalkan begitu sahaja, kurang pula lelaki yang mahu tampil membela nasib kaum Hawa ini. Tidak mahu pula mereka memetik ayat al-Quran dan hadis yang menyentuh mengenai tanggungjawab dan sebagainya.

Saya sendiri tidak tahu jika ada lelaki yang bergelar bapa sanggup menyerahkan anaknya untuk dinikahinya secara misyar.

Islam adalah agama suci yang tidak pernah membataskan tanggungjawab kepada wanita semata-mata, hakikatnya wanita itu sendiri sering ditonjolkan sebagai insan lemah yang perlu dilindungi.

Ikatan perkahwinan yang berlangsung di antara Nabi Muhammad s.a.w dengan Saidatina Khadijah amat wajar dijadikan renungan di sebalik kegawatan isu nikah misyar ini.

Walaupun Rasulullah mengahwini seorang wanita kaya yang lanjut usia tetapi baginda tidak melepaskan tanggungjawab begitu sahaja. Baginda berniaga dan menunaikan tanggungjawab sebagai suami.

Bukankah indah jika amalan Rasulullah ini dijadikan panduan untuk memastikan perkahwinan menepati objektifnya dan tidak tersasar daripada matlamat asalnya.

*Tanggungjawab

Jika dalam hal berpoligami, Rasulullah sering menjadi rujukan kenapa tidak dalam hal memikul tanggungjawab sebagai seorang suami baik bagi lelaki yang telah beristeri mahu pun yang masih bujang dan teringin untuk bernikah misyar.

Mengapa perlu ditonjolkan soal perlunya nikah misyar dibenarkan di negara kita sedangkan hakikatnya kaum lelaki lebih gemar menjadi penghuni pusat serenti sehingga tidak mampu bertanggungjawab kepada diri sendiri.

Di Barat yang menghalalkan pasangan tinggal serumah pun meletakkan tanggungjawab kepada lelaki jika pasangan itu memperoleh anak luar nikah.

Bukan mahu mengagungkan Barat tetapi sekadar membuat perbandingan mengenai objektif perkahwinan itu sendiri yang bukan semata-mata berlandaskan seks sebaliknya mengajar suami dan isteri erti tanggungjawab.

Saya percaya banyak lagi perkara yang perlu dirisaukan oleh kaum lelaki di negara kita, usah pening kepala memikirkan kaedah untuk menarik minat wanita supaya berkahwin kerana tiada statistik yang tepat boleh membuktikan wanita ramai tidak berkahwin.

Akhir kata, sanggupkah wanita yang lembut hatinya dan sarat dengan kasih sayang berdiam diri jika suami yang dikahwininya atas nama nikah misyar meninggalkannya begitu sahaja.

Sanggupkah wanita-wanita intelek ini menahan kesayuan hati dan air matanya jika suami yang dikahwininya hanya untuk berkongsi katil. Fikirkanlah!

Jangan Terlalu Emosi Kerana Misyar

SOKONG-27/5/2006
Oleh: ZULKIFLEE BAKAR (Wartawan Utusan)

JIKA Gunung Merapi di Yogjakarta baru menghembuskan asapnya tetapi di Malaysia ini sebahagian kaum wanita ibarat 'sudah memuntahkan lavanya'.

Segalanya berikutan kenyataan Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr.Mahmud Zuhdi Abdul Majid yang mencadangkan supaya kaum lelaki dibenarkan mengamalkan perkahwinan misyar bagi mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin.

Sudah pastilah sesetengah kaum lelaki terutamanya yang sudah berkahwin akan tersenyum dengan 'pendedahan' perkahwinan ini kerana ia 'bagai pucuk dicita ulam mendatang'.

Jika sebelum ini syarat untuk berpoligami memerlukan mereka yang berkemampuan sahaja boleh menikmatinya tetapi dalam perkahwinan misyar semua itu tidak perlu.

Dalam misyar jika wanita atau gadis yang mempunyai sumber ekonominya sendiri bersetuju untuk bernikah dengan seseorang lelaki tanpa perlu menerima sebarang nafkah zahir, maka ia boleh dilaksanakan.

Maknanya bagi kaum lelaki, isteri mereka tidak boleh marah kerana 'dia tidak kurang apa-apa' malah mungkin akan lebih untung lagi.

Itu tafsiran lelaki tetapi tidak bagi wanita, mereka 'bangkit" melahirkan penentangan dan seperti biasa isu penganiayaan menjadi 'senjata' kepada kaum Hawa untuk menentang habis-habisan biarpun perkahwinan misyar bukanlah sesuatu yang bertentangan dengan Islam.

Sebenarnya, janganlah terlalu awal kita membuat rumusan bahawa perkahwinan ini akan mendatangkan keburukan, masih banyak perkara yang perlu kita perdebat dan pertimbangkan.

Sesuatu yang dibenarkan oleh Allah itu pasti ada kebaikannya, justeru isu seumpama ini perlu diperbincangkan dengan waras.

Mungkin sudah menjadi adat bagi kaum wanita, dia bersetuju jika suaminya ingin membeli rumah, dia akan tersenyum jika suaminya ingin menambah kereta dan dia juga akan masih mampu ketawa jika suami memendam cita-cita untuk bergambar dengan Aishwarya Rai, tetapi kalau menyentuh soal kahwin lagi, percayalah taufan Katrina pun tidak sekuat kemarahan mereka.

Apa pun, kita perlu rasional dalam soal misyar ini, sesungguhnya setiap manusia itu mempunyai hati dan perasaan.

Kahwin misyar bukan hanya melibatkan soal lelaki yang sudah berkahwin sahaja tetapi juga lelaki bujang.

Kita perlu ingat sesebuah perkahwinan tidak akan terbentuk tanpa persetujuan.

Jika seseorang gadis itu rela berkahwin biarpun ia tidak mendapat apa-apa nafkah zahir kerana dia berkemampuan kenapa perlu pihak-pihak lain mewakili emosinya.

Begitu juga jika seorang isteri bersedia membenarkan suaminya melakukan misyar, kenapa pihak lain pula yang berkobar-kobar untuk menghalang 'persetujuan' itu.

Soal sama ada gadis atau wanita berkenaan akan teraniaya atau tidak ia adalah sebahagian risiko yang perlu mereka tanggung kerana persetujuan yang diberikan.

*'Suratan atau kebetulan'

Tetapi persoalannya, berapa ramai sangatkah kita akan bertemu dengan gadis dan isteri seumpama itu?

Kadang-kala kita terlupa, bak lirik lagu Suratan atau kebetulan nyanyian Kenny, Remmy dan Martin iaitu, "sesuatu yang tidak disangka sering kali mendatangi kita, itukah suratan dalam kehidupan atau sekadar satu kebetulan."

Justeru bagi kaum wanita, mereka perlu sedar bahawa perkahwinan bukanlah penamat kepada sebuah perasaan cinta seorang lelaki bergelar suami.

Mereka mungkin boleh menghalang dan membantah suami mereka berkahwin lain, tetapi mereka tidak akan terdaya untuk menghalang tercetus sekali lagi perasaan cinta di hati suami.

Percayalah tidak ada cinta abadi selagi kita bernama hamba Allah, cinta abadi hanya untuk Allah justeru terimalah hakikat kehidupan.

Begitulah juga dalam soal misyar ini, kenapa perlu kita menolak perkara yang dihalalkan oleh Islam sedangkan kita hanya menilainya dari satu sudut negatif sahaja.

Simpatilah kepada sesetengah kaum wanita atau gadis yang rela dimadukan atau bersedia berkorban apa sahaja demi cinta mereka kepada seorang lelaki.

Fikirkanlah bagaimana jika kita berada pada kedudukan mereka? Apakah ketika itu kita akan berhujah berdasarkan 'matlamat menghalalkan cara?'

Justeru janganlah kita terlalu emosi dan membangkitkan banyak prasangka mengenai misyar kerana prasangkalah yang seringkali memporak-perandakan kehidupan dan memutuskan silaturahim sesama manusia.

Nik Aziz Setuju Lelaki Dibenar Kahwin Misyar

Oleh: NIZAM YATIM- UM-27/5/2006

KOTA BHARU 26 Mei - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (kiri) bersetuju dengan cadangan supaya kaum lelaki dibenar mengamalkan perkahwinan misyar bagi mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin.

Beliau berkata, Islam membenarkan perkahwinan seumpama itu tetapi dengan syarat mendapat keizinan wanita yang akan dikahwini dan diadakan perjanjian bertulis antara kedua-dua belah pihak.

``Mesti ada pengakuan bertulis daripada perempuan dalam perjanjian yang menyatakan bahawa saya izinkan suami tidak beri duit serta nafkah zahir lain dan tidak cukup giliran pun tidak apa,'' katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan Jumaat di pejabat Pas negeri di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi Abdul Majid kelmarin supaya perkahwinan itu dibenarkan kerana membawa pelbagai kebaikan termasuk mengurangkan perlakuan maksiat dalam masyarakat.

Perkahwinan misyar bermaksud, suami tidak perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir seperti wang ringgit dan pakaian, tetapi cukup hanya dengan memenuhi nafkah batin terhadap isteri.

Perkahwinan seumpama ini banyak berlaku di kalangan wanita yang berkedudukan tinggi dan berpendapatan lumayan di negara-negara Arab.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata, perjanjian bertulis hanyalah satu keperluan dari segi teknikal bagi memastikan tidak timbul sebarang masalah sekiranya isteri yang dikahwini secara misyar berubah fikiran dan membuat tuntutan untuk mendapatkan nafkah zahir di mahkamah.

Mengenai bantahan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil semalam - termasuk oleh Dewan Muslimat Pas sendiri - dengan alasan masalah wanita tidak berkahwin tidak harus dilayan sebagai kes kebajikan, Nik Abdul Aziz berkata:

``Golongan wanita tidak sepatutnya rasa terhina kerana ia dibuat hanya setelah mendapat keizinan bakal isteri.

``Nak hina macam mana, dia sendiri izin, orang nak kahwin dengan saya dan saya hendak beri rumah sebuah, mari dua kali seminggu pun tak apa,'' ujarnya.

Tambah Nik Abdul Aziz, pandangan beliau itu bukan sahaja merujuk kepada rakyat Kelantan malah untuk semua orang kerana Islam itu untuk seluruh dunia.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak pasti sama ada pelaksanaan perkahwinan misyar itu akan melibatkan pindaan enakmen agama Islam di negeri-negeri.

Ketua Muslimat Pas, Azizah Khatib Mat semasa menolak cadangan kahwin misyar itu semalam berkata, cara itu tidak sesuai dipraktikkan di negara ini.

‘Nikah Misyar Dibenar Agama Islam’

Oleh Nasir Hassan-BH 27/5/2006

KOTA BHARU: Perkahwinan misyar dibenarkan agama dan tidak bercanggah dengan hukum Islam, kata Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Malah, Mursyidul Am Pas itu berkata, ia terletak pada persetujuan seseorang wanita yang hendak dikahwinkan mengikut cara berkenaan.

"Yang penting, Islam tidak menghalang umatnya berkahwin mengikut kaedah misyar. Jika perempuan yang dikahwinkan itu bersetuju suaminya tidak perlu memberi nafkah zahir kerana cukup dengan apa yang ada padanya, maka tiada masalah nak kahwin cara misyar itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu, di sini, semalam.

Nik Abdul Aziz diminta mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Shahrizat Abdul Jalil bahawa perkahwinan misyar tidak sesuai dilaksanakan di negara ini.

Bagaimanapun, Nik Abdul Aziz menasihatkan pasangan yang ingin berkahwin misyar supaya membuat perjanjian bertulis mengenai kesediaan wanita yang ingin dikahwini bagi mengelak timbul kesan pada masa depan.

"Wanita perlu membuat pengakuan bertulis bahawa dia sanggup tidak diberi nafkah zahir atau melakukan giliran kerana bersedia menanggung risiko cukup apa yang ada padanya," katanya.

Pokok pangkalnya, katanya, ia terletak pada kesediaan seseorang perempuan yang hendak dikahwinkan itu sendiri.

Ditanya perkahwinan cara demikian memberi gambaran menghina wanita kerana cara itu dilihat sebagai lebih mementingkan kepuasan seks semata-mata, Nik Abdul berkata:

"Perkara itu tidak berbangkit kerana wanita itu sendiri yang bersetuju berkahwin cara begitu. Ia tidak salah dari segi hukum.

"Hina macam mana kalau perempuan sendiri izin. Itu hak perempuan. Kalau perempuan itu nak bagi duit, nak bagi rumah (kepada suaminya) kerana dia kaya... tak jadi masalah. Itu hak dia," katanya.

Wanita Pas Anggap Tidak Sesuai Di Negara Ini


Oleh: NORIZAN ABDUL MUHID-27/5/2006

KUALA LUMPUR 25 Mei - Dewan Muslimat Pas menolak cadangan supaya perkahwinan misyar dibenarkan kerana ia tidak bersesuaian dengan masyarakat negara ini.

Ketuanya, Azizah Khatib Mat (gambar) berkata, masalah wanita tidak berkahwin di negara ini masih terkawal dan tidak perlu diatasi melalui cara tersebut.

``Cara itu tidak sesuai dipratikkan di negara ini dan kita tidak perlu mengikutinya walaupun ia sudah lama dipratikkan di negara-negara Arab.

``Saya menetap lama di negara tersebut dan mendapati masalah wanita tidak berkahwin memang ketara. Kaum lelaki takut berkahwin kerana tidak mampu membayar wang hantaran,'' katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu diminta mengulas cadangan Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi Abdul Majid yang mendakwa perkahwinan misyar dapat mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin.

Selain itu, ia juga dianggap mampu mengurangkan perlakuan maksiat dalam masyarakat.

Menurut Azizah, sekiranya amalan itu dilaksanakan, ia hanya akan merendahkan maruah dan harga diri wanita kerana dianggap sebagai tempat melepaskan nafsu oleh kaum lelaki.

``Lagi pun, apa guna wanita berkenaan berkahwin jika semuanya ditanggung oleh dirinya sedangkan dia sepatutnya dilindungi dan dijaga dengan baik oleh lelaki.

``Saya juga tidak percaya melalui perkahwinan misyar ini dapat membantu wanita memperoleh jodohnya, saya rasa ia lebih tepat menambah masalah kepada dirinya sahaja,'' katanya.

Debat Kahwin Misyar

Debat kahwin misyar -- * Menteri, mufti tolak * Persatuan Ibu Tunggal, pensyarah sokong

Oleh: NORIZAN ABDUL MUHID dan WAN MOHD. HAFIZ WAN HAMZAH-27/5/2006

KUALA LUMPUR 25 Mei - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menolak cadangan supaya lelaki dibenar mengamalkan perkahwinan misyar dengan alasan tidak sesuai dengan keperluan masyarakat negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pihaknya tidak mahu mempromosikan perkahwinan misyar kepada masyarakat negara ini kerana dikhuatiri akan mendatangkan implikasi negatif.

Bagaimanapun dalam reaksi berbeza, Ketua Jabatan Dakwah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Madya Mohd. Kamil Abdul Majid dan Persatuan Ibu Tunggal Terengganu (PITT) menyokong pelaksanaan perkahwinan itu.

Ketika menegaskan pendirian kementeriannya, Shahrizat berkata, umat Islam Malaysia hari ini tidak memerlukan perkahwinan misyar.

``Kenapa perlu, jika diikutkan nisbah antara wanita dan lelaki, ia tidak ketara perbezaannya.

``Malah, isu wanita tidak berkahwin bukan satu masalah dan mereka ini tidak sepatutnya dilayan sebagai kes kebajikan, golongan ini harus dihormati.

``Jangan layan golongan ini seperti itu, sebenarnya mereka ini lebih bahagia daripada memilih untuk berkahwin,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Shahrizat mengulas cadangan Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi Abdul Majid semalam supaya golongan lelaki dibenar mengamalkan perkahwinan misyar bagi mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin.

Malah, Mahmud Zuhdi berpendapat, perkahwinan tersebut juga mampu mengurangkan perlakuan maksiat di dalam masyarakat.

Perkahwinan misyar bermaksud, suami tidak perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir seperti wang ringgit dan pakaian, tetapi cukup hanya dengan memenuhi nafkah batin terhadap isteri.

Perkahwinan seumpama ini banyak berlaku di kalangan wanita yang berkedudukan tinggi dan berpendapatan lumayan di negara-negara Arab.

Shahrizat berkata, syarat asas perkahwinan menetapkan bahawa suami berperanan memberi nafkah zahir dan batin kepada wanita.

Malah, katanya, berdasarkan kajian kementerian mendapati, kira-kira 711,000 keluarga pada 1994 menunjukkan wanita menjadi penyumbang utama kepada pendapatan keluarga.

Beliau juga menegaskan walaupun perkahwinan misyar dipraktikkan di negara Islam lain, ia tidak semestinya wajib diamalkan di negara ini.

``Ini kerana, kita mempunyai cara dan budaya berbeza, tidak sama dengan negara-negara Arab terbabit,'' katanya.

Sementara itu, ketika mempertahankan hujahnya mengenai kebenaran perkahwinan misyar, Mohd. Kamil berkata, amalan itu boleh menjadi satu alternatif untuk membantu golongan wanita yang berdepan dengan masalah atau situasi tertentu.

Katanya, perkahwinan tersebut juga boleh dijadikan jalan keluar bagi menyelesaikan masalah ibu tunggal atau andartu yang berharta.

Beliau menjelaskan amalan perkahwinan misyar ini tidak melanggar hukum syarak, asalkan ia dibuat berdasarkan persetujuan di antara pihak lelaki dan wanita.

``Namun, perkara ini perlu dibincangkan dengan lebih serius serta ditetapkan beberapa peraturan atau garis panduan supaya tidak ada pihak yang teraniaya,'' katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd. Kamil berharap, semua pihak dapat memandang isu itu dari aspek positif dan tidak hanya melihat dari sudut negatif sahaja.

Di samping itu, beliau turut menyentuh pemahaman umat Islam di negara ini mengenai definisi nafkah batin yang digunakan dalam bab nikah kahwin.

Menurutnya, apabila disebut nafkah batin, ramai yang memikirkan ia hanya berkisar perlakuan seksual semata-mata.

``Seks hanya salah satu cabang bagi maksud nafkah batin. Selain seks, berkongsi masalah, mendengar luahan isteri, berbual dan bermesra serta mendidik ajaran agama terhadap isteri juga termasuk dalam definisi nafkah batin,''katanya.

Thursday, May 25, 2006

'Sure Heboh', 'Jom Heboh', 'Fiesta Hurra' tetap haram - Mufti Perak

Thu | May 25, 06 | 10:57:43 AM
Oleh Sahar Abdul Majid

KOTA KINABALU, 25 Mei (Hrkh) - Mufti Perak, Dato' Seri Dr Harussani Zakaria berkata, program konsert 'Sure Heboh' yang dianjurkan oleh sebuah stesen televisyen swasta di negara ini tetap haram walaupun selepas ia ditukar nama menjadi 'Jom Heboh'.

Sebuah akhbar tempatan di sini melaporkan, Harussani menyifatkan  program itu tetap haram kerana ia boleh melalaikan umat Islam dengan hiburan serta pergaulan bebas.

"Saya bersedih program itu masih diteruskan dan kini timbul pula Fiesta Hurra yang diterbitkan oleh televisyen milik kerajaan sendiri" katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Keluarga Islam di Masjid Negeri Perak baru-baru ini.

Menurutnya, program yang diadakan bagi kempen pesta bola sepak Piala Dunia itu sudah bertukar menjadi pesta hiburan dan tarian tanpa mempunyai batas pergaulan lelaki dan perempuan.

Beliau berkata, sebagai Mufti dan pemimpin Islam, beliau bertanggungjawab untuk membuat kenyataan seperti ini demi menjaga kehormatan umat Islam.

Katanya ketika orang lain sibuk membincangkan masa depan ekonomi, pendidikan dan kebudayaan masing-masing, umat Islam negara ini pula asyik memikirkan tentang hiburan.

Majlis Mufti Malaysia dua tahun lepas memutuskan bahawa konsert 'Sure Heboh' adalah haram di sisi Islam kerana ia melalikan umat dan menggalakkan maksiat di kalangan generasi muda.

Majlis Mufti berpendapat konsert itu merupakan sesuatu yang melalaikan oleh itu ia wajar dihentikan.

Dalam perkembangan lain, Harussani berkata,  umat Islam negara ini juga perlu serius dalam usaha menangani isu murtad kerana ia dikatakan telah membabitkan lebih 100,000 orang terutama remaja Melayu.

Harussani juga berkata, pihaknya juga baru-baru ini menerima surat daripada sebuah badan Kristian dari Amerika Syarikat yang mendakwa 40,000 orang Islam warganegara Malaysia telah memeluk agama mereka.

Umat Islam tidak boleh memandang remeh perkara ini atau bimbang untuk membicangkannya dengan alasan ia sebagai isu sensitif, lapor akhbar berkenaan.

Datuk K, bekas isteri selesai kes rujuk secara sulh

Datuk K, bekas isteri selesai kes rujuk secara sulh

25/5/2006
KUALA LUMPUR: Tokoh korporat Datuk Khalid Mohamad Jiwa yang lebih popular sebagai Datuk K dan bekas isterinya Tengku Zawyah Tengku Izham akan berbincang untuk menyelesaikan kes tuntutan rujuk mereka secara sulh (penyelesaian pertikaian secara damai), di luar mahkamah.


Peguam syarie, Zulkifli Che Yong yang mewakili Tengku Zawyah memberitahu Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini, semalam, pihaknya memerlukan masa untuk mendalami kes itu dan mencari penyelesaian.

Beliau yang baru dilantik bersama peguam Syarie Azmi Mohd Rais berkata, anak guamnya sebelum ini memfailkan permohonan rujuk pada 12 April lalu berikutan kekeliruan berhubung status mereka sebagai suami isteri.

"Ini dilakukan bagi mengelak mengambil ringan hukum Allah atas status berdasarkan hukum syarak, kerana mereka pernah tinggal bersekedudukan sebagai suami isteri ketika tempoh edah, seperti yang diperuntukkan mengikut Seksyen 52 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor.

"Isu rujuk ditimbulkan apabila anak guam kami meminta khidmat nasihat daripada bahagian perundangan keluarga Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sekitar Februari 2006 mengenai hak dan tuntutan selepas perceraian," katanya.

Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 12 Mac lalu mengesahkan talak pasangan itu kerana pelanggaran taklik oleh Tengku Zawyah pada 1 Februari 2004.

Berikutan itu, Hakim Syarie Muhammad Fauzi Ismail, membenarkan kes itu ditangguhkan sehingga 14 Jun ini bagi membolehkan kedua-dua pihak mencapai persefahaman.

Datuk Khalid, yang dianugerahkan Tokoh Usahawan Kedah 2006, dan Tengku Zawyah masing-masing tidak hadir bagi prosiding semalam. Peguam Muhammad Burok mewakili Datuk Khalid.

Syor benarkan lelaki mengamalkan perkahwinan misyar

Syor benarkan lelaki mengamalkan perkahwinan misyar

Oleh: WAN MOHD. HAFIZ WAN HAMZAH-25/5/2006

KUALA LUMPUR 24 Mei - Seorang pensyarah universiti hari ini mencadangkan supaya kaum lelaki dibenarkan mengamalkan perkahwinan misyar bagi mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin.

Malah menurut Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi Abdul Majid, perkahwinan tersebut juga mampu mengurangkan perlakuan maksiat di dalam masyarakat.

Perkahwinan misyar bermaksud, suami tidak perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir seperti wang ringgit dan pakaian, tetapi cukup hanya dengan memenuhi nafkah batin terhadap isteri.

Perkahwinan seumpama ini banyak berlaku di kalangan wanita yang berkedudukan tinggi dan berpendapatan lumayan di negara-negara Arab.

Beberapa ulama termasuk Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam Fatwa Muasaraahnya berpendapat nikah misyar adalah sah.

Mereka membenarkan amalan tersebut berdasarkan situasi mashalahat berlakunya ramai janda dan gadis yang tidak berkahwin.

Perkahwinan misyar difatwakan harus oleh beberapa ulama negara Arab dan telah pun diamalkan di Arab Saudi serta beberapa buah negara Teluk.

Perbezaan antara perkahwinan misyar dengan mutaah ialah mutaah mempunyai tarikh atau tempoh tertentu bagi sesebuah perkahwinan manakala misyar tiada tempoh ditetapkan.

Isu nikah misyar mula menjadi tumpuan apabila beberapa pihak menggesa supaya Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa sama ada ia boleh dilaksanakan di negara ini atau tidak.

Ini kerana ada umat Islam di Malaysia yang berpendapat bahawa pernikahan tersebut merupakan salah satu cara bagi mengatasi masalah ramai wanita yang belum berkahwin.

Mahmud Zuhdi berkata, amalan perkahwinan misyar boleh dilaksanakan jika mendapat persetujuan daripada kedua-dua belah pihak.

``Jika pihak isteri bersetuju bahawa lelaki tidak perlu memberi nafkah zahir seperti menyediakan rumah, pakaian dan sebagainya, tetapi hanya bertanggungjawab terhadap nafkah batin saja, maka ia tidak menjadi masalah,'' tegasnya.

Apa yang menjadi masalah kata beliau, apabila timbul pertikaian berhubung siapa yang bertanggungjawab memberi nafkah dalam rumahtangga.

``Sekiranya tidak timbul soal siapa yang patut memberi nafkah atau siapa yang patut menanggung siapa, maka perkahwinan seperti itu tidak ada masalah untuk diamalkan.

``Apatah lagi dalam keadaan hari ini, wujudnya masalah ramai janda dan gadis yang tidak berkahwin,'' jelas beliau.

Mahmud Zuhdi berkata, amalan perkahwinan misyar boleh dilaksanakan jika mendapat persetujuan daripada kedua-dua pihak.

``Jika pihak isteri bersetuju bahawa lelaki tidak perlu memberi nafkah zahir seperti menyediakan rumah, pakaian dan sebagainya, tetapi hanya bertanggungjawab terhadap nafkah batin saja, maka ia tidak menjadi masalah.

``Apatah lagi dalam keadaan hari ini, wujudnya masalah ramai janda dan gadis yang tidak berkahwin,'' jelas beliau.

Mahmud Zuhdi berpendapat, perkahwinan seumpama itu sepatutnya dibenarkan, berdasarkan permasalahan yang berlaku pada masa kini.

Bagaimanapun, katanya perkahwinan ini harus dilakukan secara jujur dan tidak disalahgunakan bagi menganiaya kaum wanita.

Tuesday, May 23, 2006

'Saya dipandang serong'

Mahkamah Syariah: 'Saya dipandang serong'


SHAH ALAM: "Saya akan dipandang serong," kata seorang lelaki secara spontan di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, ketika ditanya sama dia sedar kesan atau akibat pengakuan khalwatnya dengan seorang wanita pada September, tahun lalu.

Pengakuan Mohd Awang Sulaiman, 23, itu menyebabkan orang ramai yang sedang mengikuti perbicaraan di mahkamah berkenaan tersenyum manakala tertuduh hanya menundukkan mukanya.

Dia berkata demikian apabila ditanya Hakim Syarie Abu Bakar Daud selepas mengaku bersalah berkhalwat dengan pasangannya, Nurfaizah Ashaari, 21, di sebuah rumah di Lot 397, Kampung Padang Jawa di sini, kira-kira jam 2.25 pagi, 4 September tahun lalu.

HAKIM: Kamu dengar pertuduhan yang dibacakan terhadap kamu?

MOHD AWANG: Saya faham.

HAKIM: Apa tuduhan kamu?

MOHD AWANG: Saya dituduh berkhalwat dengan seorang wanita.

HAKIM: Kamu mengaku salah atau ingin dibicarakan?

MOHD AWANG: Saya mengaku salah.

HAKIM: Ada paksaan daripada sesiapa?

MOHD AWANG: Tiada.

HAKIM: Kamu tahu kesan atau akibat daripada pengakuan salah kamu ini?

MOHD AWANG: Ya.

HAKIM: Apa kesannya?

MOHD AWANG: Saya akan dipandang serong.

HAKIM: Memang la, kamu sudah ditahan pun orang dah pandang serong. Kamu boleh dikenakan didenda atau penjara, faham?

MOHD AWANG: Faham.

Pasangan berkenaan dituduh berkhalwat mengikut Seksyen 29 (a) bagi lelaki dan (b) bagi perempuan Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1992.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Syarie, Maimun Mohd, berkata berdasarkan fakta kes, sekumpulan pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bertindak hasil maklumat awam yang melaporkan ada pasangan bukan suami isteri melakukan perbuatan tidak bermoral.

Hasil pemeriksaan di sebuah rumah mendapati, tiga lelaki tidur di ruang tamu manakala bilik pertama rumah berkenaan turut dihuni serang lelaki, juga sedang tidur.

Penguat kuasa kemudiannya mengetuk bilik kedua yang dibuka tertuduh lelaki dan meminta izin untuk memeriksa bilik berkenaan.

Hasil pemeriksaan mendapati, seorang wanita berseluar pendek dan berbaju-T keluar dari bilik berkenaan.

Hasil soal siasat terhadap pasangan terbabit mendapati mereka tidak mempunyai hubungan suami isteri sah dan bukan mahram.

Ketika rayuan, Mohd Awang berasal dari Kelantan yang bekerja sebagai polis bantuan manakala pasangannya juga berasal dari Kelantan, bekerja di sebuah kilang di sini, memohon dikurangkan denda.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda masing-masing sebanyak RM2,500 atau 10 bulan penjara sekiranya kedua-duanya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mahkamah Syariah: Mohon bayar ansuran

Mahkamah Syariah: Mohon bayar ansuran


SHAH ALAM: Seorang lelaki dan pasangannya yang ditangkap kerana berkhalwat dalam sebuah rumah merayu kepada Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam supaya dibenarkan membayar denda yang bakal dikenakan terhadap mereka secara ansuran.

Rosli Fadzil dan pasangannya, Haziatun Juliawati Shafae, masing-masing berusia 24 tahun, membuat rayuan berkenaan selepas mengaku salah berdua-duaan dalam sebuah rumah di No 201, Blok 32, Seksyen 7, di sini, kira-kira jam 11.05 malam, 13 Mei lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 29 (a) bagi lelaki dan (b) bagi perempuan, Enakmen Jenayah-Jenayah Syariah Selangor 1992.

Pegawai Pendakwa Syarie, Maimon Mohd, berkata berdasarkan fakta kes, sekumpulan pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bertindak hasil maklumat awam yang melaporkan ada pasangan bukan suami isteri melakukan perbuatan tidak bermoral.

Katanya, sekumpulan anggota Jais bergegas ke alamat diberikan sebelum memberi salam dan mengetuk pintu rumah berkenaan hampir 10 minit.

Selepas pintu dibuka tertuduh wanita, pegawai penguat kuasa melakukan pemeriksaan dan mendapati seorang lelaki berpakaian lengkap sedang duduk di ruang tamu. Ketika itu, wanita berkenaan juga berpakaian lengkap.

Hasil soal siasat mendapati mereka tidak mempunyai hubungan suami isteri sah dan bukan mahram.

Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Syarie, Abu Bakar Daud.

Rosli berasal dari Kedah dan bekerja sebagai pembantu pejabat dengan pendapatan RM350 sebulan manakala pasangannya berasal dari Pahang, tidak mempunyai pekerjaan.

Sebelum hukuman dijatuhkan, pasangan itu mengemukakan rayuan supaya dikurangkan denda selain turut memohon membayar denda berkenaan secara ansuran.

Bagaimanapun, Maimon memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada kedua-dua tertuduh dan orang ramai.

Mahkamah menetapkan 7 Jun ini sebagai tarikh menjatuhkan hukuman.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

Wednesday, May 17, 2006

Adalah bodoh untuk Nazri berkata pembantah IFC bodoh

Adalah bodoh untuk Nazri berkata pembantah IFC bodoh PDF Cetak
Tue | May 16, 06 | 05:38:17 PM
Oleh Nyza Ayob-Harakahdaily net

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Hrkh) - "Jika Nazri mengatakan pembantah sebuah forum anjuran IFC (Suruhanjaya Antara Kepercayaan/Agama) sebagai bodoh, adalah terlalu bodoh bagi Nazri untuk menuduh demikian kerana masakan dia tidak tahu motif perjuangan IFC selama ini," kata Naib Ketua Pemuda PAS, Mazlan Aliman.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keceluparan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohammad Nazri Aziz yang menyifatkan kumpulan pembantah forum anjuran IFC di Pulau Pinang Ahad lalu sebagai bodoh.

Beliau berkata Nazri sebenarnya sudah mengetahui dan banyak menerima laporan mengenai kumpulan ini (IFC) dan seharusnya menunjukkan pendiriannya yang sebenar tanpa berselindung di sebalik kumpulan yang mengaku mempertahankan hak asasi itu.

"Nazri sekarang ini kena tunjukkan pendiriannya, jangan berselindung di sebalik kumpulan tersebut (IFC). Beliau kena isytiharkan bahawa sebenarnya beliau turut bersama dalam kumpulan ini. Ini merupa provokasi dan propaganda Nazri.

"Ini bukan soal yang remeh. Ini merupakan soal yang melibatkan orang Islam. Kumpulan ini memang cuba mengancam akidah orang Islam," katanya.

Nazri dalam kenyataannya yang disiarkan akhbar tempatan hari ini mengatakan tindakan kumpulan yang membantah dan menggagalkan forum tersebut sebagai tindakan bodoh.

Beliau juga menganggap tidak menjadi satu kesalahan bagi IFC dalam mengadakan forum tersebut.

Kelmarin lebih 1,000 orang membantah forum anjuran IFC itu di pekarangan sebuah hotel di Pulau Pinang.

Bantahan aman selama dua jam bermula 8.45 pagi itu diketuai bersama Pengerusi Badan Anti-IFC (Badai) Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Hafiz Nordin dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Haji Azmi Abdul Hamid.

Mereka akhirnya berjaya membatalkan majlis mendapatkan tandatangan menyokong IFC oleh NGO dan Aliran Kesedaran Negara (Aliran).

Antara ahli panel forum terbuka bertajuk 'Federal Constitutions Protection For All' itu ialah Pengarah Eksekutif Awam, Honey Tan Lay Ban; Presiden Aliran, P Ramakrishnan; Profesor Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Shad Saleem Faruqi; Lawyer On Constitutional Matters, Malik Imtiaz dan Ahli Parlimen Kota Bharu, Zaid Ibrahim.

Sementara itu, Mazlan juga berkata, Pemuda PAS bersedia serta turut menyokong mana-mana pihak termasuk NGO yang mempertahankan Islam.

"Pemuda PAS akan menentang habis-habisan sebarang percubaan yang mewujudkan susasana tidak tenteram serta menimbulkan kesangsian pada Islam. Ini termasuklah penyebaran propaganda bagi mencabuli hak sultan sebagai ketua agama serta segala tuntutan oleh IFC ini," katanya.

Tuesday, May 16, 2006

Edisi Timur : 50 VVIP nikah ekspres di Thailand

Edisi Timur : 50 VVIP nikah ekspres di Thailand
Oleh Isma Ismail dan Azlan Hafeedz-16/5/2006

KOTA BHARU: Golongan kenamaan, termasuk bergelar Tan Sri dan Datuk (VVIP) dikesan menduduki 'carta popular' dalam mendapatkan khidmat orang tengah sindiket nikah di Thailand.

Dianggarkan, kira-kira 50 VVIP pernah mendapatkan khidmat nikah secara ekspres itu sejak 2002.

Harian Metro difahamkan, mereka bukan tidak mampu untuk berkahwin di negara sendiri, tetapi sengaja memilih khidmat sindiket itu bagi mengelak rahsia berkahwin lebih daripada satu diketahui isteri pertama.

Bagi mendapatkan khidmat orang tengah sindiket terbabit, golongan VVIP itu dikatakan sanggup membayar upah hampir mencecah RM10,000.

Permintaan tinggi untuk berkahwin di Thailand juga membuka peluang kepada orang tengah memperoleh pendapatan lumayan berjumlah kira-kira RM20,000 hingga RM50,000 setahun.

Siasatan Harian Metro mendapati kebanyakan VVIP terbabit datang dari Kuala Lumpur dan beberapa bandar besar di negara ini.

Terdapat kira-kira 200 orang tengah di negeri ini bergerak aktif menjalankan khidmat kahwin ekspres di Narathiwat dan Resak di Selatan Thailand.

Kebanyakan orang tengah tinggal di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand bagi memudahkan pelanggan lama dan baru berurusan.

Mereka akan mengatur semua perkahwinan dari awal hingga pelanggan mendapatkan sijil nikah mereka.

"Kami akan bertemu pelanggan di lokasi rahsia sebelum membawa mereka masuk ke negara jiran melalui pengkalan tertentu dan selepas itu, kumpulan kami di sebelah sana membawa bakal pengantin bertemu imam sama ada di masjid di daerah Narathiwat atau Resak.

"Tidak sampai empat jam, mereka selamat diijabkabulkan tanpa perlu menyediakan wali dan saksi kerana semua sudah disediakan kami," kata seorang daripada orang tengah yang ditemui Harian Metro.

Menurutnya, secara teori, proses perkahwinan melalui khidmat sindiket hampir sama dengan proses perkahwinan biasa, kecuali dari segi amalinya.

Orang tengah itu turut mendakwa, biasanya seseorang VVIP menghantar wakil untuk berurusan bagi memastikan urusan membawa 'bos' mereka berjalan lancar serta rahsianya tidak mudah bocor.

"Kebanyakan mereka menggunakan khidmat orang tengah untuk menguruskan perkahwinan dengan teman wanita yang jauh lebih muda.

"Ada antaranya bukan berkahwin untuk isteri kedua lagi, malah bernikah untuk isteri keempat," katanya yang enggan mendedahkan identiti dan gambarnya dirakamkan.

Dia berkata, ada juga VVIP terbabit sengaja tidak datang bersama pasangan ke sempadan, dipercayai bagi mengelak dikesan pihak tertentu.

"Kami akan bawa pasangan mereka menerusi laluan rahsia ke negara jiran di Pengkalan Kubor, Tumpat kerana lebih dekat dengan lokasi urusan nikah itu," katanya.

Laluan pangkalan haram di sempadan juga digunakan berdasarkan permintaan pasangan masing-masing.

Sunday, May 14, 2006

Isteri mesti pandai pikat suami

Isteri mesti pandai pikat suami

BM-14/5/2006
KUALA LUMPUR: Golongan isteri dinasihat sentiasa berusaha dan pandai menggoda suami masing-masing supaya pasangan tidak mudah tertawan dengan wanita lain, terutama apabila berada di luar rumah.


Isteri Menteri Luar Negara, Datin Seri Sharifah Aziah Syed Zainal Abidin, berkata sifat lelaki yang mudah tergoda menyebabkan wanita mesti mendalami dan menambahkan ilmu pengetahuan bagaimana memikat dan memenangi hati suami, sama ada di luar atau di rumah.

Beliau berkata, dalam ajaran agama Islam juga tidak menghalang isteri menggoda suami dan menasihatkan wanita supaya sentiasa menjaga penampilan diri dan wajah demi kebaikan hubungan serta menambahkan kebahagiaan antara suami dan isteri.

"Daripada membiarkan suami digoda wanita lain di luar, isteri lebih baik memainkan peranannya untuk memikat hati suami.

Wanita juga mesti ingat, suami di tempat kerja khususnya pada peringkat optimum kerjaya lazimnya di kelilingi eksekutif muda yang pintar, petah, bergaya dan manja.

"Fikirkan apa akan berlaku jika keadaan sebaliknya, apabila suami balik ke rumah dia melihat isteri tidak menguruskan diri.

Dengan sifat lelaki yang mudah digoda inilah, isteri harus berhati-hati supaya suami tidak terpikat dengan wanita lain," katanya ketika berucap pada Seminar Kekal Jelita dan Sihat di sini, semalam.

Seminar sempena sambutan Hari Ibu 2006 itu anjuran Perbadanan Produktiviti Negara (NPC) bersama majalah Jelita dan Ns Consult Sdn Bhd.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah II NPC, Jasni Abdul Aziz dan Pengurus Besar Kanan Berita Publishing Sdn Bhd, Zaini Zainuddin.

Sharifah Aziah berkata, sudah menjadi rasmi wanita, sebijak manapun di tempat kerja dan setinggi mana pun pangkat yang ada, balik ke rumah mereka adalah ratu dalam rumah tangga.

"Tidak sukar menggoda suami jika isteri tahu memainkan peranan memenangi hati suami. Isteri adalah tempat suami melepaskan nafsu dan meluahkan perasaan sama ada luaran atau dalaman," katanya.

‘Pandangan mufti bukan fatwa’

'Pandangan mufti bukan fatwa'

BM-14/5/2006

PEKAN: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, hanya Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang boleh membuat keputusan rasmi dari segi hukum syarak berhubung kedudukan suami yang menjadi suri rumah dengan membenarkan isterinya keluar bekerja untuk menyara keluarga.


Timbalan Perdana Menteri berkata, pandangan yang dikemukakan mufti dengan mengatakan keadaan itu sebagai melanggar hukum syarak adalah pandangan mereka, tetapi bukannya sesuatu yang bersifat rasmi.

"Jika banyak sangat buat kenyataan, nanti akan timbul kekeliruan di kalangan masyarakat," katanya selepas melancarkan program Pembantu Pertolongan Cemas Dalam Setiap Rumah peringkat kebangsaan di Sekolah Kebangsaan Ganchong, dekat sini, semalam.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan Mufti Johor, Datuk Mohd Noh Gadut yang meminta supaya tindakan isteri bekerja, manakala suami tinggal di rumah, dihentikan segera kerana ia melanggar hukum syarak.

Mohd Noh berkata, keadaan itu jika dibiar boleh menyebabkan perkahwinan tidak mendapat keberkatan, tetapi diharuskan dalam keadaan darurat.

Rujuk majlis fatwa -- Isu suami jadi suri rumah, isteri keluar cari rezeki

Rujuk majlis fatwa -- Isu suami jadi suri rumah, isteri keluar cari rezeki

Oleh: NAZRULLAH ROSLI, NORLIZAH ABAS, AIZAWATI AHMAD dan SAHBULLAH DARWI -MM-14/5/2006

PEKAN 13 Mei - Isu suami menjadi suri rumah, manakala isteri keluar mencari rezeki perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk diputuskan kerana ia menyentuh soal hukum syarak, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu perlu kerana jika terlalu banyak kenyataan dibuat, ia dikhuatiri akan menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat.

Beliau mengulas kenyataan Mufti Johor, Datuk Noh Gadut mengenai fenomena songsang suami menjadi suri rumah, manakala isteri bekerja yang disifatkan sebagai melanggar hukum syarak.

Ketika ditanya pandangan beliau berhubung kenyataan tersebut, Najib berkata, ia hanya pandangan seorang mufti dan tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang rasmi sebagai fatwa.

``Kenyataan itu hanya merupakan pandangan daripada seorang mufti yang belum lagi menjadi fatwa kerana setiap perkara yang berhubung kait dengan hukum syarak perlu dibawa ke Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk dibincangkan terlebih dahulu.

``Jadi itulah bezanya, kita serahkan kepada mufti-mufti untuk beri pandangan mereka,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Program Pembantu Pertolongan Cemas Dalam Setiap Rumah di Sekolah Kebangsaan Ganchong, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan kenyataan Noh bahawa fenomena itu jika berterusan boleh menyebabkan sesuatu perkahwinan tidak beroleh keberkatan.

Menurutnya, tanggungjawab suami sebagai pemimpin dan pencari nafkah keluarga jelas dinyatakan dalam al-Quran, antaranya surah an-Nisa ayat 34 dan surah al-Baqarah ayat 233 serta hadis nabi, ijmak ulama dan qias.

Sementara itu, beberapa tokoh agama yang dihubungi oleh Mingguan Malaysia hari ini berpendapat, fenomena songsang ini wajar dinilai semula supaya ia tidak menjadi budaya dalam masyarakat.

Menurut mereka, jika dibiarkan berleluasa, dikhuatiri akan menghakis fungsi hakiki kaum lelaki sebagai pemimpin keluarga.

Bekas Imam Besar Masjid Negara, Datuk Pirdaus Ismail berkata, kenyataan Noh bahawa suami yang memilih menjadi suri rumah dan membiarkan isteri mencari nafkah sedangkan dia mampu bekerja sebagai melanggar hukum syarak, perlu diteliti sehalus mungkin.

``Walaupun dibolehkan jika keadaan mendesak, dikhuatiri akan membawa perubahan besar terhadap struktur sosial masyarakat dan mengubah keseimbangan dalam institusi perkahwinan,'' ujarnya.

Rektor Kolej Islam Darul Ridzwan, Ipoh, Perak, Prof. Datuk Dr. Mohd. Yusoff Hussain pula berkata, lelaki yang membiarkan isteri mencari nafkah dengan niat bersenang-lenang dengan hasil pendapatannya, haram di sisi agama.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu menjelaskan, suami diharamkan `memakan' wang gaji isteri kerana ia boleh menyebabkan mereka menjadi pemalas.

``Prinsip Islam pada asasnya mewajibkan golongan lelaki keluar mencari nafkah kerana mereka ketua keluarga,'' ujarnya.

Presiden Persatuan Ulama Malaysia, Mohd. Saleh Ahmad berpendapat, fenomena tersebut dibolehkan jika suami isteri saling meredai dengan syarat isteri menjaga maruah keluarga.

Ketua Wanita Jemaah Islam Malaysia (JIM), Dr. Harlina Halizah Siraj pula berkata, apabila suami tidak melaksanakan tanggungjawabnya dengan sempurna, pasti berlaku kepincangan dalam rumah tangga yang sering berakhir dengan penceraian.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Shabudin Yahaya berkata, pasangan Islam yang terlibat dalam fenomena songsang seperti itu terdedah kepada risiko penceraian apabila isteri berlaku nusyuz.

Saturday, May 13, 2006

Langgar syarak - Mufti -- Suami mengurus rumah, isteri keluar mencari nafkah

Langgar syarak - Mufti -- Suami mengurus rumah, isteri keluar mencari nafkah

Oleh NORLIZAH ABAS


Datuk Noh Gadut.


KUALA LUMPUR 12 Mei - Fenomena songsang suami menjadi suri rumah, manakala isteri keluar mencari rezeki wajar dihentikan kerana ia jelas melanggar hukum syarak.

Mufti Johor, Datuk Noh Gadut menegaskan, keadaan itu jika berterusan boleh menyebabkan sesuatu perkahwinan tidak beroleh keberkatan.

Menurutnya, tanggungjawab suami sebagai pemimpin dan pencari nafkah keluarga jelas dinyatakan dalam al-Quran, antaranya surah an-Nisa ayat 34 dan surah al-Baqarah ayat 233 serta hadis nabi, ijmak ulama dan qias.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu diharuskan dalam keadaan darurat seperti suami berpenyakit, tetapi ia perlu diredhai oleh isteri serta disertai tolak ansur.

``Islam memandang serius fenomena lelaki menjadi pengurus rumah tangga kerana ia didapati lari daripada fungsi sebenar suami.

``Tindakan itu tidak tepat kerana menyimpang jauh daripada hukum Islam yang akhirnya dikhuatiri menyebabkan rumah tangga tidak tenteram,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Noh mengulas rencana Wacana Islam dalam Utusan Malaysia hari ini yang menekankan bahawa suami wajib mencari nafkah keluarga, bukannya menjadi pengurus rumah tangga.

Pendapat itu yang diutarakan oleh Fellow Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Siti Fatimah Abdul Rahman menyatakan, aturan suami sebagai pengurus rumah tangga melanggar ketetapan Allah bahawa tanggungjawab memberi nafkah terletak pada bahu suami.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Perunding Wanita, Datuk Kamilia Ibrahim turut sependapat dengan Noh kerana fenomena tersebut boleh memecahbelahkan institusi kekeluargaan.

Menurutnya, jika suami tidak mampu memikul tanggungjawab sebaik mungkin, ia dibimbangi menimbulkan perasaan tidak puas hati kepada isteri yang akan berakhir dengan perselisihan faham.

Kamilia menjelaskan, tanggungjawab suami amat ditekankan dalam Islam hinggakan jika berlaku penceraian, mereka wajib memberi nafkah kepada isteri dan anak ketika masih dalam edah.

Katanya, hukum asas yang telah ditentukan oleh Allah jika tidak dipatuhi akan menimbulkan ketidakseimbangan dalam perkahwinan dan menyebabkan rumah tangga kucar-kacir.

Friday, May 05, 2006

Mahkamah Sahkan Perceraian Noraniza

BH-5/5/2006
KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, mengesahkan perceraian di antara penyanyi, Noraniza Idris, dan suaminya Fareez yang dilafazkan di luar mahkamah pada 7 April lalu.

Fareez atau nama sebenarnya, Mohd Fauzi Mohd Tajuddin, 37, melafazkan cerai terhadap isterinya tiga hari selepas mahkamah memutuskan bahawa lafaz cerai yang dibuatnya sebelum itu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) sebagai tidak sah.

Hakim Syarie Mohd Zaim Mat Yudin mengesahkan perceraian itu dengan talak satu selepas mendapati keterangan dalam fakta kes mengenai tempat, masa dan kejadian yang diberikan kepada mahkamah adalah jelas dan tidak mempunyai percanggahan.

"Suami berada dalam keadaan sedar dan waras, lafaz cerai juga dilafazkan dengan jelas terhadap isteri. Jadi, mahkamah hari ini mengesahkan ia adalah kehendak Fareez," katanya.

Terdahulu, Peguam Syarie Zuri Zabuddin Budiman yang mewakili Noraniza, 38, memberitahu mahkamah bahawa salinan saman dan kenyataan tuntutan anak guamnya itu sudah disampaikan kepada Fareez (defendan) pada 18 April lalu.

Noraniza (plaintif) ketika disoal Zuri, berkata defendan melafazkan cerai terhadapnya di rumah abangnya, Yahya Idris, di Pangsapuri Anggerik, Desa Pandan, Jalan Kampung Pandan di sini, jam 9.30 malam, 7 April lalu.

"Ketika itu, defendan melafazkan dengan jelas: 'Aku ceraikan kau dengan talak satu' di hadapan dua saksi iaitu abang dan bapa saudara saya," katanya.

Plaintif juga memberitahu mahkamah bahawa beliau dalam keadaan tidak suci dan tidak mengandung ketika defendan melafazkan cerai terhadapnya.

Fareez dalam keterangannya berkata, tiada soal balas yang akan dikemukakan kepada mahkamah kerana semua yang dikatakan plaintif sebelum itu adalah benar.

"Saya berada dalam keadaan tenang dan sedar serta memahami apa yang dilafazkan itu," katanya.

Noraniza dan Fareez yang berpakaian sedondon hitam tiba di kawasan pekarangan mahkamah jam 8.50 pagi.

Sementara itu, Noraniza dilihat menghulurkan tangan bersalam dengan Fareez selepas mahkamah membuat keputusan mengenai kes itu.

Mereka kemudian berjalan beriringan keluar dari kamar mahkamah.

Fareez ketika ditanya wartawan, berkata sepanjang perkahwinan mereka, Noraniza seorang isteri yang baik dan tidak pernah melakukan sesuatu yang buruk terhadapnya.

"Kami masih berkawan. Jangan membuat spekulasi perceraian ini disebabkan SMS atau orang ketiga, apa yang berlaku adalah hal dalam rumah tangga kami dan jangan mereka cerita yang akan mengaibkan kami.

"Sama ada kami rujuk semula atau tidak, itu adalah ketentuan takdir," katanya.

Noraniza pula berkata beliau berasa lebih tenang semalam berbanding 4 April lalu, selepas mereka duduk bersama dan membuat perbincangan.

"Selepas ini, saya merancang untuk menumpukan perhatian kepada kerjaya di Taman Mini Malaysia," katanya yang juga Pengarah Urusan Taman Mini Malaysia & Mini Asean di Ayer Keroh, Melaka.

Suami Pemarah Punca Perceraian Di Kelantan

BH-5/5/2006
KOTA BHARU: Bukan isteri gatal, sebaliknya sikap suami yang cepat marah adalah antara punca perceraian lebih 2,300 pasangan di seluruh Kelantan sepanjang tahun lalu.

Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Muhammad, berkata selain itu tiada tolak ansur antara pasangan serta isteri suka mencetuskan kemarahan suami turut menjadi punca perceraian.

Katanya, faktor perceraian itu dikenal pasti berdasarkan keterangan pasangan suami isteri ketika merujuk dan mendaftar permohonan perceraian mereka di Mahkamah Syariah.

"Tak timbul isu gatal...banyak lagi masalah lain. Banyak perceraian disebabkan kurang persefahaman, tiada tolak ansur serta sikap suami cepat marah manakala isteri pula mudah melakukan perkara menaikkan kemarahan.

"Kes perceraian di Kelantan masih rendah. Sepanjang tahun lalu 2,307 atau 13 peratus daripada 13,943 pasangan berkahwin bagi tempoh sama. Secara purata setiap tahun itulah perangkaan perceraian," katanya kepada Berita Harian, semalam.

Beliau berkata, daripada perceraian itu, 1,595 kes dilakukan melalui Mahkamah Syariah, manakala 385 perceraian di luar mahkamah dan 327 lagi membabitkan kes cerai taklik.

Katanya, pasangan yang bercerai di luar mahkamah boleh dikenakan denda tidak lebih RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya mengikut Seksyen 125 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kelantan 2002.

"Pasangan suami isteri perlu mengisi borang bagi memohon pendaftaran untuk bercerai melalui Mahkamah Syariah dan bukan perceraian di luar mahkamah.

"Selepas kes itu didaftarkan dalam tempoh dua minggu, mahkamah memulakan perbicaraan dan jika ada persetujuan antara pasangan terbabit, perbicaraan selesai dalam tempoh sebulan dari mula dibicarakan.

Daud turut menolak kemungkinan perceraian negeri ini disebabkan faktor kemiskinan kerana katanya, perceraian turut berlaku di kalangan pasangan golongan berada dan berpunca dari sikap tidak sabar.

Mengenai tindakan pasangan suami isteri yang bernikah tanpa kebenaran di negara jiran, beliau berkata, pasangan terbabit boleh dikenakan denda dan masa sama perlu mendaftar perkahwinan bagi mengelakkan masalah berbangkit.

"Jika tidak mendaftar, Mahkamah Syariah tidak dapat menerima kes dikemukakan pasangan itu kerana mereka tidak mendaftar di dalam negeri dan ini akan menimbulkan kesulitan kepada pasangan terbabit," katanya.

AWAS: Satu Jenis Jenayah Baru Sudah Muncul

AWAS: Satu Jenis Jenayah Baru Sudah Muncul

Semoga semakin ramai orang menyedari cerita ini. Saya baru sahaja
terdengar beberapa hari lalu satu jenis jenayah yang dicipta. Kisahnya
adalah seperti ini:
Seseorang akan meletakkan fon bimbitnya dalam saku anda, dan ada kalanya
dompetnya yang lengkap mengandungi kad pengenalan beliau. Beberapa minit
kemudian si pemilik barangan ini akan mendekati anda dan menuduh anda
sebagai seorang pencuri. Dia buat hingar bangar bahawa anda sudah
mencuri barangannya . Kerana terkejut anda ditarik kesisi untuk diugut
membayar pampasan dengan ugutan dan paksaan seandaianya anda tidak
membayarnya polis akan dipanggil. Kalau anda membayar saguhati si
pemilik tadi melepaskan anda.
Yang peliknya ada sahaja orang yang sanggup menjadi saksi bahawa anda
adalah seorang pencuri. Saya diberitahu perkara begini kerap terjadi di
KLIA dan juga di stesen keretapi ataupun LRT. Saya difahamkan ada
beberapa orang yang sedang meringkuk dalam lokap kerana perkara ini
menunggukan perbicaraan. Di KLIA si pemilik fon bimbit dan dompet
mencampakkan ke dalam troli yang sedang ditolak oleh penumpang yang baru
tiba.
Kemudian bermulalah dramanya. Si pengugut berjaya meyakinkan polis untuk
menahan si mangsa (apabila si mangsa enggan membayar pampasan)
Ini adalah satu perkara serius kerana merupakan peras ugut di siang
hari. Memang ada penjenayah yang sanggup buat kerja ini dan menyusahkan
anda dengan melibatkan polis. Si penyangak dapat kembali fon bimbit dan
dompetnya. Tetapi si mangsa mungkin dimasukkan dalam lokap untuk didakwa
di mahkamah.
Berhati-hatilah kerana anda mungkin dituduh sebagai pencuri kerana tidak
mampu membuktikan yang anda tidak bersalah.

kiriman e-mail dari Tuan Kamal Bashah, JKSM

Thursday, May 04, 2006

Apabila Lelaki Terpaksa Ambil Alih Tugas Isteri

BH-4/5/2006

LAZIMNYA, urusan rumah tangga dikendalikan oleh wanita (sama ada isteri atau ibu), tapi bukan sesuatu yang pelik jika lelaki (baik suami atau bapa) diberi tanggung jawab itu ketika pasangan mencari nafkah di luar.

"Saya tidak menyalahkan orang lain yang memandang serong kerana konsep lelaki sebagai pengurus rumah tangga masih baru di Malaysia," kata Azim Johar, 45 berkelulusan akauntan yang diberi tugas mengambil alih jawatan suri rumah.

Mengikut beberapa pakar bahasa, istilah "raja rumah" mungkin perkataan yang paling sesuai untuk menggambarkan seorang suri rumah lelaki memandangkan "suri" dalam perkataan itu berasal dari perkataan "permaisuri" maka jika ia digunakan untuk lelaki istilah yang paling layak ialah "raja rumah".

Tetapi mengapa memilih untuk menjadi seorang "raja rumah" berbanding pekerjaan yang menawarkan gaji lumayan?

"Saya pulang dari Ireland dengan ijazah perakaunan pada tahun 1991 dan saya mengambil keputusan untuk berkahwin dua tahun kemudian, juga dengan seorang akauntan. Episod ini bermula apabila kami menimang cahaya mata pertama dua tahun kemudian," kata Azim sambil tersenyum.

Semuanya berjalan lancar bagi pasangan itu sehinggalah tiba hari isteri Azim terpaksa kembali bekerja.

"Dia adalah seorang wanita yang mementingkan kerjaya, dan saya percaya kepada prinsip bahawa wanita, sama ada bujang atau yang telah berkahwin seharusnya mempunyai kerjaya sendiri dan berupaya berdikari.

"Tetapi siapa yang akan menjaga bayi kami? Kami begitu terdesak kerana kedua-dua ibu bapa kami meninggal dunia dan tidak ada saudara yang tinggal berdekatan. Kami juga tidak mahu mengambil pembantu rumah kerana ia akan mengganggu 'privasi' kami. Oleh itu, kami tiada pilihan lain selain menghantar anak kami kepada seorang pengasuh.

"Bagaimanapun ia hanya untuk dua hari dan selepas berfikir sedalam-dalamnya, saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menjaga anak lelaki kami. Sejak itu, segala-galanya berjalan lancar dan saya tidak pernah kesal dengan keputusan saya untuk menjadi "raja rumah"," kata Azim yang kini mempunyai tiga orang anak.

Konsep lelaki sebagai pengurus rumah tangga bukanlah sesuatu yang baru di negara lain seperti United Kingdom dan Jepun. Satu laporan akhbar baru-baru ini yang mengatakan bahawa kemahiran keibubapaan akan dijadikan satu kursus di kolej komuniti di seluruh negara.

Menurut laporan yang diterbitkan sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris bertarikh 9 April, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed, berkata kemahiran keibubapaan akan diajar di semua kolej komuniti di Malaysia.

Adalah penting untuk mempelajari kemahiran keibubapaan, kerana generasi muda suatu hari nanti akan menjadi ibu bapa dan mereka perlu mempelajari bagaimana untuk menjadi ibu bapa yang baik.

Mustapa dilaporkan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Kolej-Kolej Komuniti Zon Utara di Dewan Wawasan, Jitra, Kedah.

Satu kajian baru-baru ini mendedahkan bahawa 189,000 lelaki di United Kingdom, negara yang mempunyai penduduk hampir 61 juta, mengambil keputusan tinggal di rumah untuk menjaga keluarga.

Sesetengahnya adalah pengurus rumah tangga penuh masa tetapi ada juga mereka yang bekerja sambilan sambil menjaga anak-anak.

Seorang pakar motivasi Abdul Zubbair Kareem berkata: "Kenapa tidak? Asalkan sesuai dengan keadaan ekonomi".

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, selepas merasmikan Persidangan Wanita 2004 di ibu negara, baru-baru ini berkata, ramai pengurus rumah tangga mempunyai kemahiran dan kelulusan akademik yang baik. Bagaimanapun kerana tanggungjawab kepada keluarga, mereka terpaksa tinggal di rumah. – Bernama

komen & soalan: yg betulnya apa? isteri ambik tugas suami ke suami terpaksa ambik tugas isteri. Bagaimana hukumnya di sisi Islam, suami sepatutnya memebri nafkah kepada isteri, bukan patut wajib, melainkan isteri nusyus, so bila suami tak kerja, syik jaga anak, tak ade duit nak sara diri dan keluarga..adakah tertunai tanggungjawab suami menafkahi isteri dan anak-anak. ..?  nanti kalau dah mula gaduh, bolehke suami tu datang jumpa mahkamah minta nafkah dari isteri yg tak beri peruntukan sepatutnya? atau bila isteri dah faham islam dan benci suami main dengan pempuan lain ke kat rumah atau suami kena fitnah, si isteri pun tuntut nafkah tertunggak yg menunnggak2.. mampu ke suami bayar?....esh macamana ni,,., Ini ke yg kementerian wanita kehendaki? kementeraian kelelakian macamana pula?
 

Sample text

Sample Text

Sample Text