NILAI - Kerajaan sedang mengkaji untuk meningkatkan taraf sistem
perundangan syariah negara ini dengan menambah peringkat mahkamah
syariah daripada tiga kepada lima setaraf dengan sistem mahkamah sivil.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom
berkata langkah itu juga bagi memperkasakan lagi perundangan syariah di
negara ini.
"Mahkamah syariah yang ditubuhkan sejak 1998 ketika ini hanya mempunyai
tiga peringkat iaitu mahkamah rendah syariah, mahkamah tinggi syariah
dan mahkamah rayuan syariah, sedangkan mahkamah sivil mempunyai lima
peringkat.
"Maka sebab itu, kita kini sedang berusaha untuk melakukan perubahan
dengan meneliti selain mendapatkan persetujuan di peringkat negeri
terlebih dahulu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar
Kebangsaan Penyelarasan Penguatkuasaan Fatwa Malaysia di sini hari ini.
Jamil Khir berkata bagi merealisasikan hasrat itu, Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (Jakim) dipertanggungjawab meneliti dan mengkaji cadangan
tersebut yang telah dipersetujui Pejabat Peguam Negara, sebelum dapat
dilaksanakan.
"Jakim juga telah menjalankan jelajah ke lima buah negeri bagi
mengadakan perbincangan berhubung perkara tersebut iaitu ke Negeri
Sembilan, Melaka, Johor, Wilayah Persekutuan dan Sarawak berkenaan hal
ini dan akan meneruskannya ke beberapa buah negeri," katanya.
Sementara itu, Jamil Khir berkata pihaknya sedang giat menjalankan
usaha untuk menyelaras pewartaan fatwa di semua negeri bagi membolehkan
undang-undang syariah dijalankan dengan lebih sempurna, efisen dan
selaras.
Katanya langkah itu dapat mengelakkan perselisihan dan persoalan yang
timbul apabila penguatkusaan atau pendakwaan dijalankan. - Bernama
sumber : Sinar Harian
12 April 2012