Pages

Ads 468x60px

Thursday, April 12, 2012

Kerajaan kaji tingkat taraf Mahkamah Syariah

NILAI - Kerajaan sedang mengkaji untuk meningkatkan taraf sistem perundangan syariah negara ini dengan menambah peringkat mahkamah syariah daripada tiga kepada lima setaraf dengan sistem mahkamah sivil.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata langkah itu juga bagi memperkasakan lagi perundangan syariah di negara ini.

"Mahkamah syariah yang ditubuhkan sejak 1998 ketika ini hanya mempunyai tiga peringkat iaitu mahkamah rendah syariah, mahkamah tinggi syariah dan mahkamah rayuan syariah, sedangkan mahkamah sivil mempunyai lima peringkat.

"Maka sebab itu, kita kini sedang berusaha untuk melakukan perubahan dengan meneliti selain mendapatkan persetujuan di peringkat negeri terlebih dahulu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Penyelarasan Penguatkuasaan Fatwa Malaysia di sini hari ini.

Jamil Khir berkata bagi merealisasikan hasrat itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dipertanggungjawab meneliti dan mengkaji cadangan tersebut yang telah dipersetujui Pejabat Peguam Negara, sebelum dapat dilaksanakan.

"Jakim juga telah menjalankan jelajah ke lima buah negeri bagi mengadakan perbincangan berhubung perkara tersebut iaitu ke Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Wilayah Persekutuan dan Sarawak berkenaan hal ini dan akan meneruskannya ke beberapa buah negeri," katanya.

Sementara itu, Jamil Khir berkata pihaknya sedang giat menjalankan usaha untuk menyelaras pewartaan fatwa di semua negeri bagi membolehkan undang-undang syariah dijalankan dengan lebih sempurna, efisen dan selaras.

Katanya langkah itu  dapat mengelakkan perselisihan dan persoalan yang timbul apabila penguatkusaan atau pendakwaan dijalankan. - Bernama

sumber : Sinar Harian
12 April 2012 

Thursday, September 15, 2011

100 pasangan Malaysia nikah di Siam sebulan

2011/09/14-Berita Harian

NARATHIWAT: Majlis Agama Islam Narathiwat (MAIN) menganggarkan 100 rakyat Malaysia menggunakan perkhidmatan majlis itu setiap bulan bagi melangsungkan perkahwinan termasuk berpoligami.

Pendaftar Nikah MAIN, Bahagian Luar Negeri, Ishak Mohamed, berkata kajian menunjukkan daripada enam pasangan bernikah dalam sehari menggunakan perkhidmatan majlis berkenaan, dianggarkan empat daripadanya adalah pasangan Malaysia.

Thursday, April 08, 2010

Pelajar mengaku cuba berzina

SHAH ALAM 7 April - Seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan pelajar tingkatan empat mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini atas tuduhan membuat persediaan untuk melakukan zina dua tahun lalu.

Hakim Abu Bakar Mohd. Daud menetapkan 19 Mei ini untuk mendengar rayuan kedua-dua tertuduh yang masing-masing berusia 19 dan 16 tahun itu sebelum dijatuhkan hukuman.

Beliau turut membebaskan mereka dengan ikat jamin RM3,000 berserta seorang penjamin setiap seorang sementara menunggu hukuman dijatuhkan.

Saturday, February 20, 2010

kes mal tertunggak

Berita Harian Online
105,300 kes mal masih tertunggak
Oleh Zanariah Abd Mutalib
zanariah@bharian.com.my

Kesalahan khalwat sebanyak 12,984 pula catat jumlah tertinggi di Mahkamah Syariah 2009

PUTRAJAYA: Sebanyak 105,300 daripada 176,305 kes mal iaitu membabitkan aspek kekeluargaan Islam masih tertunggak di Mahkamah Syariah seluruh negara sehingga hujung tahun lalu, dengan kes tuntutan cerai mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 18,264 kes.

Friday, January 22, 2010

Mahkamah Persekutuan sekat pemindahan tanah secara penipuan

PUTRAJAYA 21 Jan. - Kepentingan pemilik asal tanah kini terjamin berikutan keputusan bersejarah Mahkamah Persekutuan hari ini yang menyekat aktiviti pemindahan hak milik tanah melalui penipuan dan pemalsuan dokumen daripada berleluasa.

Keputusan yang menjadi nas undang-undang itu turut memberi kesan bahawa hak milik pembeli tanah kini boleh disangkal jika terbukti wujud unsur-unsur penipuan dalam urusan pemindahan kepada pihak lain meskipun harta itu dibeli atas niat baik.

Panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi memutuskan demikian sebulat suara ketika membenarkan dengan kos rayuan kes pajakan tanah melibatkan ahli perniagaan, Tan Ying Hong selaku perayu dan tiga responden.

Saturday, April 25, 2009

Lawatan ke Baitul Ehsan, Sabak Bernam

pada 24/4/2008 saya berasama 14 ahli AKRAM JAKESS (Rakan Pembimbig Perkhidmatan Awam) membuat lawatan ke Baitul Ehsan (BE) di Sabak Bernam Selangor. Kami sampai jam 10.00 pagi dan disambut oleh Peguasa BE al-Fadhil Ustaz Mohd. Khairee bin Solehan. Baitul Ehsan ialah sebuat Pusat Prlindungan Wanita yang di kelolakan oleh Majlis Agama Islam Selangor.  Dengan ber'moto'kan slogan "Iltizam Membimbing Sahsian Insan" Ust. Khairee bersama 38 orang kakitangan nyata bersungguh-sungguh untuk membantu memberi sinar baru kepada insan yang dijangkiti masalah sosial hari ini. yang menariknya pelatih di sini bukan hanya terddiri dari mereka yg diperintahkan ditahan/dilindungi oleh Mahkamah Syariah malah ramai lagi yg memohon menjadi pelatih di sini secara sukarela.

Bincang dengan Majlis Mufti

IPOH 24 April - Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, sebarang keputusan membabitkan agama Islam sepatutnya dibincangkan dengan Majlis Mufti-Mufti Malaysia terlebih dahulu.

Sambil menyatakan dukacitanya dengan keputusan Kabinet berkaitan isu anutan anak-anak apabila ibu atau bapa mereka menukar agama, beliau berkata, jika keputusan itu dikekalkan, ia menimbulkan kekeliruan kerana bertentangan dengan ajaran Islam.

''Dalam agama Islam, mana-mana bapa atau ibu bukan Islam memeluk Islam, anak mereka dengan sendirinya menganut Islam kecuali jika anak itu berumur lebih 15 tahun,'' katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan Kabinet berhubung isu pertikaian agama anak-anak apabila ibu atau bapa memeluk agama lain.

Semalam, Kabinet memutuskan bahawa anak kepada pasangan yang menukar agama yang masih di bawah umur hendaklah dibesarkan mengikut agama asal ibu bapa mereka semasa melangsungkan perkahwinan.

Keputusan itu merujuk kepada mana-mana pasangan yang memeluk Islam harus menyelesaikan isu berkaitan perceraian dan penjagaan anak-anak di mahkamah sivil dan bukannya Mahkamah Syariah.

Harussani berkata, agama Islam tidak seharusnya dikorbankan hanya kerana mahu memuaskan kehendak pihak-pihak tertentu.

''Jangan korbankan agama, akidah dan kepercayaan kita untuk hanya melayan atau menyenangkan orang lain dalam perkara ini,'' katanya.

Dalam pada itu, Harussani memberitahu, banyak pihak meminta kerajaan negeri membantah penganjuran program Jom Heboh di pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut mulai esok.

Bagaimanapun, katanya, program berkenaan dibuat oleh TLDM dan tidak melalui kerajaan negeri.

''Saya tidak bersetuju dengan sebarang program berbentuk hiburan yang melalaikan,'' katanya.

Pada 2004, Majlis Mufti-Mufti Malaysia memutuskan bahawa konsert Jom Heboh adalah haram kerana ia melalaikan dan menggalakkan maksiat di kalangan anak muda.



Penentuan status perlu ikut hukum, perundangan

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan isu berkaitan penentuan status agama anak apabila ibu atau bapa memeluk agama Islam perlu dilihat dari aspek hukum syarak dan perundangan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata mengikut Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan, agama seseorang di bawah 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa atau penjaganya.

"Berdasarkan peruntukan itu, persetujuan salah satu pihak saja adalah memadai dalam penentuan agama seseorang kanak-kanak kerana perkataan yang digunakan dalam Perkara 12(4) itu adalah `parent or guardian' bukan `parents or guardian' yang mana ia bermaksud `ibu atau bapa atau penjaga," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini lewat petang semalam.

Katanya, mengikut Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993, seseorang kanak-kanak yang belum mencapai usia 18 tahun boleh memeluk Islam jika ibu atau bapa atau penjaga mengizinkan.

Katanya, antara kes yang boleh dirujuk berkenaan hak penentuan agama anak ialah kes Subashini Rajasingam lawan Saravanan Thangathoray yang mana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa bapa kanak-kanak itu mempunyai kuasa mengislamkan anaknya berdasarkan perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

"Ini adalah kerana berdasarkan kepada Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan, agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan ibu atau bapa atau penjaganya.

"Oleh itu, dalam kes ini suami adalah berhak mengislamkan anaknya walaupun isterinya tidak bersetuju dengan pengislaman anaknya itu," katanya.

Wan Mohamad berkata, mengikut hukum syarak pula, mereka yang berhak menjaga dan memelihara anak mesti seorang Islam kerana jika yang menjaga itu bukan Islam, dikhuatiri akan memberi fitnah kepada agama kanak-kanak di bawah jagaannya

Isteri Ridzuan fail saman pemula hak penjagaan

 

IPOH: Isteri kepada Mohd Ridzuan Abdullah atau K Patmanathan, 40, bekas penganut Hindu yang kini memeluk Islam memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Ipoh di sini, semalam, bagi mendapatkan hak penjagaan tetap ke atas tiga anaknya.

Pesuruhjaya Kehakiman, Ridwan Ibrahim memutuskan M Indira Ghandhi, 34, diberi hak penjagaan sementara bagi tiga kanak-kanak itu dan menetapkan 12 Mei untuk kes disebut semula.

Indira yang diwakili peguam, M Kulasegaran, A Sivanesan, Augustine Anthony dan D Lalithaa turut memfailkan permohonan injunksi melarang Mohd Ridzuan daripada membawa keluar tiga anak mereka, iaitu Tevi Darsiny, 12; Karan Dinish, 11, dan Prasana Diksa, setahun tanpa kebenaran bertulis melainkan melalui perintah mahkamah.

Selain itu, responden juga dihalang daripada memasuki kediaman pemohon di 39, Lorong 2B, Taman Permata, di sini. Indira turut meminta hak jagaan, pemeliharaan dan kawalan bagi tiga kanak-kanak itu diserahkan kepadanya dengan memberikan hak penjagaan undang-undang yang sah.

Anthony berkata, Ridwan juga memutuskan responden tidak dibenarkan mendekati pemohon dan Mohd Ridzuan diminta memulangkan anak bongsu pasangan itu, Prasana Diksa kepada Indira secepat mungkin.

Kelmarin, kerajaan memutuskan kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas salah seorang pasangan itu menukar agama.

Keputusan itu yang dibuat dalam mesyuarat Kabinet, Rabu lalu adalah langkah penyelesaian jangka panjang berhubung isu pertikaian status agama kanak-kanak apabila ibu atau bapa mereka menukar agama.

Dalam afidavit yang dikemukakan semalam, Indira berkata dia berkahwin dengan Mohd Ridzuan pada 10 April 1993 di Jabatan Pendaftaran Perak dan dikurniakan tiga anak.

Beliau yang bekerja sebagai guru di Taman Bimbingan Kanak-Kanak Seri Sedaya di sini, mendakwa awal tahun ini, dia dan suaminya mengalami masalah perkahwinan sehingga suaminya melarikan Prasana Diksa dengan kekerasan pada 1 April lalu.



Anak ikut agama asal ibu bapa bercanggah syarak

Oleh Nor Azma Laila dan Haspaizi Mohd Zain
bhnews@bharian.com.my




Mufti minta kerajaan tarik balik keputusan elak kekeliruan

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan bahawa kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas seorang daripada pasangan itu menukar agama, bercanggah dengan hukum syarak, kata beberapa mufti semalam.

Sehubungan itu, mereka meminta kerajaan menarik balik keputusan itu bagi mengelak kekeliruan, terutama di kalangan umat Islam.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, berkata dalam Islam, mana-mana bapa atau ibu menganut Islam, anak mereka dengan sendirinya beragama Islam kecuali yang sudah berumur lebih 15 tahun boleh memilih agamanya sendiri.

"Soal Islam tidak boleh dipermainkan, begitu juga dalam masalah hukum tidak boleh dibincang atau dipinda sewenang-wenangnya, sebaliknya perlu mendapat pandangan ulama, mufti dan pakar agama supaya tidak timbul kekeliruan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, berkata Kabinet membuat keputusan itu sebagai langkah penyelesaian jangka panjang berhubung isu pertikaian status agama kanak-kanak apabila ibu atau bapa mereka menukar agama.

Keputusan itu dibuat berikutan kes bekas penganut Hindu yang kini memeluk Islam, Mohd Ridzuan Abdullah, 40, menukar agama tiga anaknya kepada Islam, walaupun ibu mereka masih beragama Hindu.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut, pula menegaskan, bapa lebih berhak dan anak-anak mesti mengikut agama yang dianuti bapa.

"Apabila baligh mereka boleh menentukan agama yang ingin dianutinya, sama ada kekal dalam Islam atau sebaliknya.

"Bagi saya kes ini membabitkan masalah manusia, bukannya hukum. Walaupun anak itu memeluk agama lain, hubungan mereka dengan ibunya tidak akan putus. Dalam Islam adalah haram sekiranya memutuskan hubungan persaudaraan, walaupun berlainan agama," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie, Mohamad Isa Abd Rolip, berkata sebarang perubahan yang ingin dibuat perlu mengambil kira undang-undang sedia ada serta pandangan semua pihak supaya tidak menimbulkan kebimbangan masyarakat Islam.

"Keputusan itu seolah-olah satu dasar atau undang-undang baru yang perlu diikut, sekali gus menimbulkan kerisauan di kalangan umat Islam terutama saudara baru," katanya.

Setiausaha Agung, Yayasan Maklumat dan Perkhidmatan Islam, Sabariah Abdullah, berkata sebarang keputusan atau kenyataan berkaitan isu pindaan atau perubahan dalam hukum Islam tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya.

Peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi, Ikbal Salam, pula menyarankan bahagian khas syariah yang menguruskan isu penentuan hak jagaan anak-anak yang mana ibu atau bapanya memeluk Islam perlu ditubuhkan di Mahkamah Sivil.

"Mahkamah Sivil juga perlu diberi kuasa menguruskan kes sebegini dengan melantik hakim yang terlatih dalam bidang sivil dan syariah bagi mengetuai bahagian khas itu supaya kepentingan pasangan yang memeluk Islam juga terbela," katanya.



Kerajaan tunggu cadangan Jakim

Oleh Saufi Hamzah
sofeeham@bharian.com.my


Jamil Khir Baharom

Kajian dilakukan bagi perkasa undang-undang jenayah syariah: Jamil Khir

PUTRAJAYA: Kerajaan masih menunggu cadangan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum membuat keputusan mengenai langkah memperkasakan undang-undang jenayah syariah menerusi pindaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, berkata kajian akan dilakukan kerana persepsi umum beranggapan hukuman dilaksanakan mahkamah syariah ringan.

"Sering kali hukuman diputuskan berbentuk denda saja. Oleh itu, ia menjadi faktor penyumbang kepada peningkatan kesalahan jenayah syariah kerana masyarakat menganggap undang-undang syariah sebagai remeh," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Hukuman Sebat Jenayah Syariah anjuran Jakim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.




Hukuman sebat bagi kes takzir elak penjara sesak

 

HUKUMAN sebat bagi kesalahan takzir, iaitu kesalahan selain hudud, boleh mengurangkan masalah kesesakan dalam penjara jika dilaksanakan di seluruh negara, kata Ketua Hakim Syarie Negeri Kelantan, Datuk Daud Muhammad.

Malah, beliau berkata, keistimewaan hukuman sebat boleh mengurangkan perbelanjaan kerajaan termasuk membiayai makan dan minum tahanan.

Beliau berkata, antara contoh hukuman takzir ialah kesalahan lalu lintas, mengedar dadah dan membuang sampah.

"Hukuman sebat ini boleh dikenakan untuk kesalahan takzir. Ia hukuman utama bagi kesalahan yang serius untuk memberi pengajaran tepat dan berkesan kepada penjenayah berbahaya yang sudah sebati dengan kesalahan.

"Keistimewaan hukuman ini tidak membebankan kerajaan dan tidak menghalang pesalah berusaha menjalankan pekerjaan selepas hukuman. Dia juga tidak pula terpaksa meninggalkan dan membiarkan ahli keluarganya menempuh pelbagai kesusahan hidup mencari nafkah," katanya membentangkan kertas kerja bertajuk Hukuman Sebat Dalam Kes Jenayah Syariah: Realiti Pelaksanaan.



Hukum syarak penentu status agama anak

Utusan Malaysia-25/4/09

KUALA LUMPUR 24 April - Penentuan status agama anak apabila ibu atau bapanya memeluk agama Islam perlu dilihat daripada aspek syarak dan perundangan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz (gambar) berkata, Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa agama seseorang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.

''Berdasarkan pada peruntukan ini, persetujuan salah satu pihak sahaja adalah memadai dalam penentuan agama seorang kanak-kanak.

''Ini kerana perkataan yang digunakan dalam Perkara 12(4) adalah 'parent or guardian' bukannya 'parents or guardian' yang mana ia bermaksud ibu atau bapa atau penjaga,'' katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Tambah Wan Mohamad, dalam Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 Akta 505 memperuntukkan bahawa seseorang kanak-kanak yang belum mencapai umur 18 tahun boleh memeluk Islam jika ibu atau bapa mengizinkannya.

''Mengikut hukum syarak pula mereka yang berhak menjaga dan memelihara anak mestilah seorang Islam kerana jika orang yang menjaga itu bukan Islam, dikhuatiri akan memberi fitnah kepada agama kanak-kanak di bawah jagaannya.

''Hak seorang mualaf di sisi undang-undang juga perlu dipertahankan. Kita tidak sewajarnya menganggap seseorang yang memeluk Islam itu bertujuan melarikan diri daripada tanggungjawab,'' katanya.



Anak-anak kekal agama asal walaupun salah seorang ibu bapa bertukar agama

23/04/2009 2:04pm

KUALA LUMPUR 23 April – Mesyuarat Jemaah Menteri semalam telah membuat keputusan bahawa anak-anak kekal menganut agama asal walaupun salah seorang ibu atau bapa mereka memeluk agama lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, mesyuarat itu juga membuat ketetapan bahawa penceraian tidak akan berlaku secara automatik walaupun salah seorang telah memeluk agama Islam.

"Kabinet juga memutuskan segala isu berkaitan penjagaan anak-anak dan penceraian perlulah diselesaikan di mahkamah sivil dan bukannya mahkamah syariah," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Selaras dengan keputusan itu, Jabatan Peguam Negara akan diarahkan membuat pindaan terhadap undang-undang yang berkaitan bagi memastikan segala keputusan Kabinet itu dapat dikuatkuasakan dengan berkesan.

Beliau berkata, pihak peguam negara juga akan diarahkan memaklumkan perkara itu pada negeri-negeri bagi membolehkan mereka membuat pindaan yang sama terhadap undang-undang syariah. - Utusan



Friday, January 23, 2009

Tuesday, January 13, 2009

Tuntutan mutaah Siti Fairuz 2 Feb

Tuntutan mutaah Siti Fairuz 2 Feb.

SHAH ALAM 12 Jan. - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menetapkan 2 Februari depan kes tuntutan mutaah (sagu hati selepas perceraian) dan harta sepencarian penyanyi popular tahun 1980-an, Siti Fairuz (gambar) ke atas bekas suaminya yang dianggarkan bernilai RM200,000.

Hakim Syarie, Abu Bakar Mohd. Daud menangguhkan kes itu bagi memberikan peluang kepada defendan, Muhamad Zainuddin Kordi, 45, memfailkan pernyataan pembelaan berhubung permohonan Siti Fairuz Sheikh Mohamed, 44.

Dalam prosiding hari ini, Siti Fairuz diwakili peguam syarie, Fakrul Azman Abu Hasan manakala defendan diwakili peguam syarie, Wan Nureen Afiza Wan Azmi yang menyebut kes bagi pihak peguam syarie, Zuri Zabuddin.

Pada 16 Disember 2008, majlis sulh (rundingan bagi menyelesaikan kes secara baik) yang ditetapkan mahkamah gagal disebabkan defendan tidak hadir tanpa sebab.

Penyanyi itu, memfailkan permohonan pada 26 November 2008 untuk menuntut mutaah dan harta sepencarian iaitu 10 harta alih dan tidak alih yang dibeli sepanjang tempoh perkahwinan.

Penyanyi itu yang popular dengan lagu Bila Rindu Ku Sebut Namamu mendirikan rumah tangga dengan Mohamad Zainuddin yang bertugas sebagai pembantu teknik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada tahun 1988. Hasil perkongsian hidup selama 20 tahun, mereka dikurniakan lima cahaya mata.

Pada 14 Julai 2008, Siti Fairuz disahkan bercerai secara taklik dengan Muhamad Zainuddin pada Mac lalu selepas Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya mensabitkan taklik yang dilafazkan suaminya pada tahun 1993.

Lafaz yang berbunyi: "Kalau you nyanyi lagi, jatuh talak," itu yang dibuat kira-kira 15 tahun lalu disabitkan taklik oleh mahkamah kerana ia dibuat dengan niat menceraikan Siti Fairuz.

Penyanyi itu dikatakan melanggar taklik tersebut apabila menyanyi di Pentas Lanai Seni di sini kira-kira pukul 8.30 malam, 30 Mac 2008.

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan mengikut peruntukan Seksyen 58 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003, Siti Fairuz menyatakan, sepanjang tempoh perkahwinan dia banyak berkorban untuk kebaikan defendan dan kebahagiaan rumahtangga.

Plaintif menuntut sebuah rumah teres di Damansara, Subang Indah dan sebidang tanah setiap satunya di Tiara Beach Resort di Negeri Sembilan, Bukit Merah Laketown di Perak serta Lot 57 di Damansara.

Beliau turut menuntut sebuah apartmen dan seunit pangsapuri di Bandar Sri Damansara, sebuah rumah di Mutiara Damansara, sebidang tanah masing-masing di Sungai Buloh dan Damansara serta sebuah rumah lagi di Seksyen 24, di sini.

Sunday, August 10, 2008

Insurans adalah HARAM

Protest against Bar Council - "Memeluk Islam"

Forum awam memeluk Islam

Dari malaysiakini:

Forum awam memeluk Islam anjuran Majlis Peguam pagi ini akhirnya dihentikan ekoran bantahan umat Islam yang berhimpun di luar bangunan ibupejabat majlis tersebut.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Zulkifli Nordin memberitahu perhimpunan tersebut, bahawa beliau telah masuk ke dalam dan mendapati forum itu telah dibubarkan.

"Saya naik sendiri dan melihat forum telah dibubarkan dan saya memberitahu (mereka), tidak mahu lagi forum seperti ini diadakan.

"Kita mahu tindakan yang lebih keras diambil pada masa-masa depan," katanya kepada perhimpunan tersebut pada kira-kira jam 10.30 pagi.

"Kita memberi jaminan mereka boleh beredar dari bangunan ini," kata beliau yang juga ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) PKR.

Seramai 500 orang sedang berkumpul di depan bangunan Majlis Peguam sejak awal pagi kerana membantah penganjuran forum awam memeluk Islam anjuran majlis tersebut.

Mereka melaungkan "Hancur Bar Council", "Hidup Islam" dan "Batalkan Forum".

Mereka turut membawa sepanduk yang berbunyi "Jangan cabar Islam', "Jangan cetuskan kemarahan umat Islam demi keharmonian umat Islam" dan "Menjunjung keadilan, menyanggah kezaliman".

Tiada tangkapan

Sementara itu, Ketua Polis Dang Wangi, ACP Dzulkarnian Abdul Rahman, memberitahu sidang akhbar bahawa beliau telah berunding dengan Majlis Peguam supaya menghentikan forum tersebut.

"Semasa rundingan, mereka boleh menerima cadangan kita.

"Polis mempunyai kuasa untuk menasihatkan mereka menghentikan forum ini setelah melihat ancaman keselamatan yang kian meningkat," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang menyiasat satu botol yang dijumpai di situ.

"Saya berpuashati kerana mereka bersikap profesional. Semasa rundingan, saya menasihatkan supaya forum ini dibatalkan.

"Insya-Allah keadaan akan kembali pulih semula," tambahnya.

Menurutnya lagi, tidak ada sebarang tangkapan dibuat dan kedua-dua pihak telah memberi kerjasama kepada pasukan polis.

Pada jam 10.55 pagi, orang ramai sudah beredar dari kawasan tersebut.

Sementara itu, Bernama melaporkan forum kontroversi "memeluk Islam" anjuran Majlis Peguam ditamatkan lebih awal daripada jadual.

Kira-kira setengah jam selepas forum yang bermula jam 9 pagi itu berlangsung, Ambiga memberitahu forum itu bahawa polis telah menasihatkan agar ia ditamatkan pada jam10 pagi. Forum itu sepatutnya berakhir 1.30 tengah hari.

Pada jam 10 pagi, Ambiga mengumumkan secara rasmi bahawa forum itu ditutup.

"Kami menghormati pandangan semua pihak. Kami tidak bergaduh dengan sesiapa dan saya mengumumkan forum ini ditutup," katanya.
 

Sample text

Sample Text

Sample Text