Pages

Ads 468x60px

Saturday, April 25, 2009

Isteri Ridzuan fail saman pemula hak penjagaan

 

IPOH: Isteri kepada Mohd Ridzuan Abdullah atau K Patmanathan, 40, bekas penganut Hindu yang kini memeluk Islam memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Ipoh di sini, semalam, bagi mendapatkan hak penjagaan tetap ke atas tiga anaknya.

Pesuruhjaya Kehakiman, Ridwan Ibrahim memutuskan M Indira Ghandhi, 34, diberi hak penjagaan sementara bagi tiga kanak-kanak itu dan menetapkan 12 Mei untuk kes disebut semula.

Indira yang diwakili peguam, M Kulasegaran, A Sivanesan, Augustine Anthony dan D Lalithaa turut memfailkan permohonan injunksi melarang Mohd Ridzuan daripada membawa keluar tiga anak mereka, iaitu Tevi Darsiny, 12; Karan Dinish, 11, dan Prasana Diksa, setahun tanpa kebenaran bertulis melainkan melalui perintah mahkamah.

Selain itu, responden juga dihalang daripada memasuki kediaman pemohon di 39, Lorong 2B, Taman Permata, di sini. Indira turut meminta hak jagaan, pemeliharaan dan kawalan bagi tiga kanak-kanak itu diserahkan kepadanya dengan memberikan hak penjagaan undang-undang yang sah.

Anthony berkata, Ridwan juga memutuskan responden tidak dibenarkan mendekati pemohon dan Mohd Ridzuan diminta memulangkan anak bongsu pasangan itu, Prasana Diksa kepada Indira secepat mungkin.

Kelmarin, kerajaan memutuskan kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas salah seorang pasangan itu menukar agama.

Keputusan itu yang dibuat dalam mesyuarat Kabinet, Rabu lalu adalah langkah penyelesaian jangka panjang berhubung isu pertikaian status agama kanak-kanak apabila ibu atau bapa mereka menukar agama.

Dalam afidavit yang dikemukakan semalam, Indira berkata dia berkahwin dengan Mohd Ridzuan pada 10 April 1993 di Jabatan Pendaftaran Perak dan dikurniakan tiga anak.

Beliau yang bekerja sebagai guru di Taman Bimbingan Kanak-Kanak Seri Sedaya di sini, mendakwa awal tahun ini, dia dan suaminya mengalami masalah perkahwinan sehingga suaminya melarikan Prasana Diksa dengan kekerasan pada 1 April lalu.



No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text