Pages

Ads 468x60px

Thursday, September 28, 2006

Wanita saman bekas tunang RM1,160

Wanita saman bekas tunang RM1,160

BH-28/9/2006

KANGAR: Seorang wanita menyaman bekas tunangnya menuntut ganti rugi kerana memutuskan pertunangan dan membatalkan majlis perkahwinan mereka yang sepatutnya diadakan pada 29 Disember 2001.

Sabira Ramli, 37, plaintif kedua dan ayahnya, Ramli Nopiah, plaintif pertama dari Mata Ayer dekat sini, yang memfailkan saman itu di Mahkamah Syariah di sini semalam, mendakwa pembatalan majlis perkahwinan itu mendatangkan aib dan kerugian kepada mereka.

Sabira yang kini sudah berkahwin dengan lelaki lain menuntut ganti rugi sebanyak RM1,160 daripada bekas tunangnya, Muzammir Salleh, 36, yang dinamakan defendan pertama dan bapanya, Salleh Awang, 63, defendan kedua.

Jumlah itu sebagai ganti rugi kepada barangan yang sudah dibeli sebagai persiapan perkahwinan iaitu set bilik tidur yang berharga RM450, kadar cadar (RM200), pakaian pengantin (RM250), bekas bunga telur (RM60) dan kain langsir (RM200).

Ramli, yang meninggal dunia April lalu pula menuntut ganti rugi sebanyak RM4,640 iaitu kos membeli/menempah daging dan bahan lain sebanyak RM3,900, pinggan mangkuk/khemah sebanyak RM350.

Kerugian lain yang dituntut Ramli ialah kos pakaian sebanyak RM250, sewa lori RM100 dan upah mencetak kad kahwin sebanyak RM40.

Jumlah keseluruhan tuntutan saman plaintif pertama dan kedua adalah RM5,800, tidak termasuk kos lain dan perintah yang difikirkan munasabah oleh mahkamah.

Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Zaini Abd Rahim menetapkan 20 Disember ini untuk perbicaraan.

Zaini membenarkan permohonan peguam Sabira untuk menukar nama plaintif pertama yang sudah meninggal dunia kepada nama isterinya iaitu ibu Sabira, Saadiah Hamid.

Mengikut fakta kes, Sabira yang ketika itu berumur 32 tahun bertunang dengan Muzammir, 31, pada 27 Oktober 2001 dan mereka dijadualkan berkahwin pada 29 Disember 2001.

Bagaimanapun, sembilan hari sebelum tarikh perkahwinan, Muzammir dan ayahnya, Salleh, dari Kampung Alor Tampang, Beseri, didakwa membatalkan majlis itu sehingga mendatangkan aib dan kerugian kepada keluarga Sabira.






©The New Straits Times Press (M) Berhad

Friday, September 08, 2006

Lelaki Mohon Ketepi Injunksi Isteri

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali (BH-7/9/2006)

KUALA LUMPUR: Seorang bapa berketurunan India yang memeluk Islam, semalam membuat permohonan di Mahkamah Tinggi, di sini untuk mengetepikan injunksi sebelah pihak diperoleh isterinya, melarang beliau menukarkan agama dua anak mereka.

Injunksi itu yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi pada 11 Ogos lalu, turut melarang T Saravanan atau nama Islamnya, Muhammad Shafi Abdullah, 31, daripada memulakan atau meneruskan prosiding di Mahkamah Syariah berhubung hal perkahwinan dan mengenai anak hasil perkahwinan dengan isterinya, R Subashini.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi (Bahagian Keluarga), Datuk Aziah Ali yang mendengar permohonan Muhammad Shafi, menetapkan 11 September ini bagi penyambungan hujah kedua-dua pihak.

Mahkamah Tinggi pada 11 Ogos lalu, membenarkan permohonan injunksi sebelah pihak yang dikemukakan Subashini melarang suaminya daripada menukarkan agama dua anak mereka, Dharvin Joshua, 3 dan Sharvind, 1, sehingga kes petisyen perceraian mereka diputuskan mahkamah.

Melalui afidavit yang difailkan itu, Muhammad Shafi berkata, perintah injunksi berkenaan tidak sah kerana ia bertentangan perintah dibuat Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan.

Pada 23 Mei lalu, Mahkamah Syariah itu membenarkan permohonan sementara sebelah pihak dikemukakan Muhammad Shafi, dengan memberikannya hak penjagaan sementara anak sulungnya.

Beliau berkata, injunksi itu juga tidak sah kerana ia diperoleh daripada Mahkamah Tinggi Sivil yang tidak mempunyai bidang kuasa berdasarkan kepada Seksyen 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Muhammad Shafi menegaskan, masih ada dua kes yang difailkannya di Mahkamah Syariah iaitu permohonan pembubaran perkahwinan dengan isterinya dan hak penjagaan penuh kedua-dua anak beliau.

Katanya, mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan berkenaan hak penjagaan anak sulungnya kerana Dharvin turut memeluk Islam bersamanya pada 18 Mei lalu dan menggunakan nama Muhd Shazrul.

Sementara itu, Subashini dalam permohonannya berkata, suaminya cuba untuk menyalahgunakan kuasa mahkamah dengan membuat permohonan hak penjagaan anak sulung mereka di Mahkamah Syariah.

Pasangan itu berkahwin secara sah di Jabatan Pendaftaran Negara di Petaling Jaya pada 26 Julai 2001.

Muhammad Shafi diwakili peguam Mohamad Hanif Khatri dan Zainul Rijal Abu Bakar manakala Subashini diwakili peguam Haris Mohd Ibrahim dan K Shanmuga.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

Syor Mahkamah Syariah diperkasa


KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyarankan supaya had bidang kuasa Mahkamah Syariah dikaji semula dan dipertingkatkan selaras keperluan semasa.

Katanya, sejak akhir-akhir ini, isu golongan yang cuba memperdaya orang Islam melalui ajaran yang menyeleweng daripada ajaran sebenar muncul semula.

Baginda bertitah, agensi yang bertanggungjawab khasnya bahagian penguatkuasaan, pendakwaan dan Mahkamah Syariah harus diperkasakan dan diberikan kemudahan prasarana supaya gejala dan anasir berkenaan dapat dihapuskan demi kesucian Islam.

"Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis, menubuh dan menegakkan badan kehakiman adalah tuntutan dalam Islam.

"Mahkamah yang berwibawa akan dapat menjalankan tugas dengan cekap dan berkesan," titahnya ketika merasmikan Persidangan Tahunan Pegawai Syariah Seluruh Malaysia kali kelapan di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin; dan Ketua Pengarah yang juga Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman.

Sultan Mizan bertitah, dalam konteks kewujudan kerajaan elektronik membabitkan aplikasi perdana dalam perancangan Koridor Raya Multimedia (MSC) memberi cabaran kepada pengurusan pentadbiran Mahkamah Syariah.

Titahnya, JKSM turut sama mengguna pakai aplikasi projek e-Syariah yang bertujuan mempertingkatkan mutu perkhidmatan Mahkamah Syariah di seluruh negara, di samping memperkuatkan keberkesanan dalam penyelarasan dan pemantauan agensi agar menggandakan produktiviti dan keberkesanan pengurusan.

"Melihat kepada perkembangan JKSM, beta percaya usaha kerajaan selama ini untuk mendaulatkan syariat Islam sentiasa berada pada kedudukan memberangsangkan.

"Usaha yang dilakukan selama ini mampu meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang mementingkan kemajuan umat," titahnya.

Sultan Mizan bertitah persidangan seumpama itu mendekatkan lagi hubungan antara pihak istana yang diamanahkan menjaga urusan berhubung kesucian Islam dengan Jabatan Kehakiman Syariah negeri selaku badan pentadbir dan pelaksanaan ke arah pemakaian undang-undang berkaitan di Mahkamah Syariah.

Terdahulu Abdullah dalam ucapannya berkata, institusi kehakiman syariah masih dalam proses transformasi daripada institusi tradisional peninggalan kolonial kepada sebuah institusi kehakiman Islam yang dinamis.

Beliau berkata, proses pengambilan pegawai diperkemaskan dengan mensyaratkan lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Diploma Undang-Undang dan Pentadbiran Kehakiman saja diterima menjawat jawatan Pegawai Syariah.

Katanya, Skim Perkhidmatan Gunasama Pegawai Syariah menerusi perjanjian antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan diharap menjadi pemangkin kepada badan itu untuk berada pada tahap membanggakan.



FAKTA

-----

* 213 pegawai syariah di seluruh negara

* 30 peratus pegawai syariah wanita



tamat


©The New Straits Times Press (M) Berhad

Sunday, September 03, 2006

Tiga tegahan transaksi ikat pewakaf, semua pihak

Tiga tegahan transaksi ikat pewakaf, semua pihak

BH - 3/9/2006

HARTA adalah suatu keperluan yang amat dekat dengan manusia pada setiap masa dan ketika tidak kira di mana mereka berada. Ia dapat menyelamatkan manusia daripada kelaparan, kesengsaraan dan pelbagai masalah lain. Atas dasar ini juga Islam menetapkan pemeliharaan harta (hifdz al-mal) sebagai salah satu daripada maqasid syariah (matlamat atau objektif syariah) yang perlu diambil perhatian oleh manusia.


Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa manusia juga sanggup bermati-matian kerana harta. Fenomena jenayah ragut dan curi yang kininya banyak berlaku di negara kita boleh membuktikan kenyataan ini.

Pergaduhan mendapatkan harta pusaka si mati juga tidak ketinggalan dalam hal ini sehingga ada yang melarat ke tahap membawa tuntutan ke mahkamah demi mempertahankan hak dalam harta masing-masing. Hal ini turut melanda keluarga si mati yang meninggalkan harta untuk diwakafkan, sama ada membabitkan wakaf am atau wakaf khas.

Pada hakikatnya masih ramai yang tidak menyedari dan memahami bahawa harta yang diwakafkan tidak akan sekali-kali tertakluk sebagai sebahagian harta pusaka si mati. Malah, ia perlu digunakan kepada tujuan/benefisiari yang dinamakan atau tujuan am yang lain.

Kenyataan ini adalah didasarkan kepada prinsip dasar undang-undang wakaf Islam iaitu sesuatu harta yang diwakafkan tidak boleh dijual, dilupuskan untuk tujuan yang lain dan tidak pula boleh diwarisi.

Dasar di atas adalah dirujuk kepada hadis riwayat Ibn Umar yang menceritakan mengenai telah diperolehnya ketika pembahagian harta di Khaybar di mana ia adalah harta yang paling berharga dan belum pernah diperolehnya sebelum ini. Umar berhasrat untuk menyedekahkan harta berkenaan yang dikenali sebagai Thamgh ke jalan Allah. Rasulullah SAW telah memberikan pendapatnya dengan bersabda: "Kalau engkau setuju, tahanlah harta berkenaan dan sedekahkanlah manfaat (hasilnya) kepada tujuan kebajikan". Maka Umar pun bersetuju lalu menyedekahkan hasilnya kepada fakir miskin, sanak-saudaranya, untuk membebaskan hamba, kepada mereka yang bermusafir, tetamu dan ke jalan Allah dengan syarat harta berkenaan tidak boleh dijual, diwarisi dan diberikan kepada orang lain."

Frasa terakhir dalam hadis di atas menggambarkan prinsip undang-undang wakaf Islam. Prinsip ini menegaskan bahawa sesuatu harta yang diwakafkan (dipanggil mawquf) tidak boleh dibabitkan dalam mana-mana transaksi atau pindah milik seperti dijual, dicagar dan sebagainya.

Apa yang penting sekali dalam hadis tadi yang berkaitan konteks perbincangan ini adalah frasa "tidak boleh diwarisi (Ia yurathu). Ini kerana, syarak mengiktiraf segala ketetapan dan syarat yang dibuat oleh seseorang pewakaf, asalkan ia tidak bertentangan dengan hukum syarak itu sendiri.

Dalam satu maksim undang-undang wakaf, terdapat peruntukan yang berbunyi "syarat (yang ditetapkan oleh) seorang pewakaf itu seperti apa yang dinaskan oleh syarak" (syart al-waqif ka nass al-syari') dan ini amat relevan dengan pengiktirafan syarak berkenaan.

Dalam hubungan ini, Seksyen 4, Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) 1999 (no. 7 tahun 1999) memperuntukkan prinsip undang-undang wakaf ini, iaitu "Sesuatu wakaf yang berkuat kuasa, tidak boleh dijual atau dihibah oleh waqif atau diwarisi oleh mana-mana orang".

Pada hakikatnya, dalam Islam ketiga-tiga tegahan transaksi di atas bukan saja mengikat pewakaf atau waqif, namun terpakai kepada semua pihak.

Justeru, anggota keluarga atau waris bagi si mati yang telah mewakafkan sebahagian hartanya ketika hidup hendaklah menyedari fakta hukum ini. Mereka hendaklah pasrah dengan ketentuan Ilahi ini kerana ia membabitkan persoalan hukum syarak.

Memakan harta yang diwakafkan atau mengambilnya tanpa hak adalah dianggap sebagai satu pencerobohan yang dikategorikan sebagai kezaliman dan akan dikenakan tindakan di akhirat nanti. Dalam hubungan ini, Allah melarang keras memakan harta milik orang lain yang dianggap sebagai suatu kebatilan seperti firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 188 bermaksud: "Dan janganlah kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil."

Saturday, September 02, 2006

Panel Hakim Tak Ikut Undang-undang

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini memutuskan panel tiga anggota Mahkamah Persekutuan yang diketuai bekas Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan, Tun Mohamed Eusoff Chin dalam kes membabitkan tuduhan salah laku seorang peguam 11 tahun lalu, tidak mengikut undang-undang dan Perlembagaan.


Hakim Datuk Mohamed Hishamudin Mohamed Yunus berkata, pembentukan panel itu bercanggah dengan undang-undang kerana hanya ada dua hakim yang layak iaitu Mohamed Eusoff dan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Zakaria Mohamed Yatim.

Katanya, hakim ketiga, Datuk Pajan Singh Gill tidak layak dari segi undang-undang untuk menganggotai panel itu kerana beliau hanya seorang hakim Mahkamah Tinggi ketika itu.

Mengikut Seksyen 74 Akta Mahkamah Keadilan, jumlah minimum hakim yang menganggotai panel Mahkamah Persekutuan ialah tiga hakim yang layak dari segi undang-undang, kata Mohamed Hishamudin.

"Mengikut Perkara 122(2) Perlembagaan Persekutuan, hanya hakim Mahkamah Rayuan boleh dicalonkan oleh Ketua Hakim untuk bersidang sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.

"Beliau tidak boleh mencalonkan hakim Mahkamah Tinggi untuk bersidang di Mahkamah Persekutuan," katanya dalam mengetepikan saman RM100 juta yang dikemukakan peguam Datuk V Kanagalingam terhadap majalah International Commercial Litigation (ICL) kerana menyiarkan sebuah rencana berunsur fitnah pada 1995, semalam.

Panel itu yang bersidang pada 1995 bertujuan membuat keputusan berhubung kes Insas Bhd & Anor melawan Ayer Molek Rubber Co Bhd & Ors (kes Air Molek) yang dilaporkan majalah itu.

Dalam kes berkenaan, panel itu membuang kenyataan buruk tertentu yang dibuat Mahkamah Rayuan bahawa Kanagalingam, peguam bagi plaintif dalam kes Ayer Molek, menyalah guna dan memanipulasi proses mahkamah dengan niat membawa keadaan tidak adil kepada defendan di Mahkamah Tinggi.

"Dalam penghakiman saya, "Mahkamah Persekutuan" yang dimaksudkan itu bukan sebuah mahkamah yang dibentuk secara sah mengikut undang-undang dan Perlembagaan negara ini. Panel hakim yang terbabit dalam perbicaran itu langsung tidak boleh dipanggil atau diiktiraf sebagai Mahkamah Persekutuan.

"Ia hanya satu panel hakim yang menggelar dirinya atau dianggap sebagai Mahkamah Persekutuan.

"Sesungguhnya, adalah adil untuk mengatakan bahawa panel itu mempunyai prima facie menghina Mahkamah Rayuan sebagai sebuah mahkamah yang dibentuk secara sah memandangkan penghakimannya mengandungi kritikan keras dan tidak boleh diterima mengenai hakim Mahkamah Rayuan, hingga ke tahap menuduh mereka bersikap berat sebelah dan memberi sokongan kepada sesuatu pihak," kata Mohamed Hishamudin.

Oleh itu, kata beliau, penghakiman Mahkamah Rayuan dalam kes Ayer Molek masih tidak terjejas sepenuhnya dan masih sah serta terpakai.

Dalam penghakimannya, Mohamed Hishamudin berkata, adalah juga sesuatu yang adil membuat kesimpulan bahawa panel dianggotai hakim kanan yang diketuai Ketua Hakim pada ketika itu, sedar tentang peruntukan Seksyen 74 akta berkenaan dan Perkara 122(2) Perlembagaan. – Bernama


©The New Straits Times Press (M) Berhad

Thursday, August 31, 2006

Mahkamah Syariah Boleh Dengar Kes Isu Murtad

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi Syariah Labuan semalam memutuskan ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan kes membabitkan isu murtad.


Hakim Syarie, Husin Ahamad, dalam penghakimannya berkata, bidang kuasa itu berdasarkan peruntukan Seksyen 46 Akta Pentadbiran Agama Islam 1993 untuk mendengar, membicara serta memutuskan perkara berkaitan masuk dan keluar Islam.

Keputusan itu dibuat mahkamah itu ketika mendengar permohonan Kenneth Wong Chun Chiak, 39, untuk mendapatkan perintah pembatalan nama "Kenny bin Abdullah" daripada senarai Daftar Perakuan Masuk Islam di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (JAIWPL).

Peguam Sharie Zulkifli Che Yong dan Azmi Datuk Dr Mohd Rais mewakili pemohon dalam kenyataan di sini berkata, walaupun pemohon menyatakan dia sudah murtad berpandukan surat akuan berkanun, Mahkamah Syariah tetap memakai prinsip undang-undang untuk kes itu.

"Mahkamah merujuk kepada kes terdahulu ada orang Islam menyatakan mereka keluar Islam dan mendedahkan cara hidup bukan Islam dengan memakan babi, minum arak, mereka tidak keluar Islam secara automatik sehingga dibicarakan dan diputuskan Mahkamah Syariah," kata hakim itu.

Justeru, beliau berkata, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes ini selepas yakin bahawa pemohon memeluk Islam berdasarkan kad akuan memeluk Islam yang dikeluarkan pada 25 Januari 2001 oleh JAIWPL dengan nama Kenny bin Abdullah.

Bagaimanapun, beliau mengetepikan permohonan Kenneth@Kenny kerana ia tidak mematuhi prosedur kerana permohonan itu dibuat dalam bentuk notis permohonan dan afidavit.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

Hak Muslim: Penghasut Rumah Tangga Orang Lain Boleh Didakwa


SAYA berkahwin atas dasar saling mencintai. Saya bekerja sebagai juruwang dengan berpendapatan sekitar RM1,000 sebulan. Isteri saya adalah eksekutif di sebuah syarikat antarabangsa dengan pendapatan RM4,000 sebulan.

Kami dikurniakan seorang cahaya mata perempuan berusia dua tahun. Apa yang merunsingkan saya ialah rakan sepejabat isteri sering menghasutnya supaya meminta cerai daripada saya. Alasannya gaji isteri lebih besar daripada saya.

Mereka berkata saya tidak layak menjadi suami kepada isteri saya dan tidak perlu menanggung saya. Mereka juga berkata isteri saya masih muda dan cantik. Isteri saya pada bila-bila masa boleh mencari lelaki lain. Saya amat gusar dengan keadaan ini dan khuatir keadaan ini akan mempengaruhi isteri saya. Apakah yang perlu saya lakukan.



RAIS,

Kampung Baru, Kuala Lumpur.



Sebagai ketua keluarga, saudara hendaklah memastikan kebahagiaan rumah tangga saudara. Jangan disebabkan perkara kecil, kedudukan rumah tangga saudara mula goyah. Sebenarnya kebahagiaan sesebuah keluarga bukan terletak semata-mata atas dasar kewangan. Apa yang lebih penting ialah saling memahami dan bertolak ansur.

Rumah tangga bahagia adalah yang sentiasa dihiasi dengan kasih sayang. Suami isteri sepatutnya mengharungi segala masalah rumah tangga secara bersama.

Rundingan dan perbincangan amat penting bagi menyelesaikan sesuatu masalah. Kedua-dua pihak sama ada suami atau isteri perlu memahami hak dan tanggungjawab masing-masing dan tidak sekali-kali mengabaikannya.

Oleh yang demikian, saudara dinasihatkan agar berbincang dengan isteri masalah yang dihadapi. Terima segala teguran dengan hati yang terbuka demi kebahagiaan rumah tangga saudara.

Perkara penting di sini bukan mencari kesalahan atau kelemahan sesiapa, tetapi sikap bertoleransi dan saling memahami itu menjadi kunci keharmonian rumah tangga.

Faktor rakan sekerja isteri saudara yang sering menghasutnya mungkin punca perubahan sikap isteri saudara itu.

Oleh itu, saudara juga perlu bersemuka dengan mereka bagi menerangkan keadaan sebenarnya. Namun, saudara perlu bijak apabila bersemuka dengan mereka agar pertemuan itu tidak akan memalukan isteri atau mengeruhkan lagi hubungan saudara dengan isteri saudara.

Sebenarnya menghasut orang supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan adalah suatu kesalahan mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995. Seksyen 34 enakmen itu menyatakan :

"Mana-mana orang yang menghasut, memaksa atau memujuk mana-mana suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan atau tanggungjawabnya kepada isteri atau suami atau keluarganya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5, 000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya."

Ia bermakna mereka melakukan suatu kesalahan mengikut enakmen itu. Ingatkan mereka supaya tidak mencampuri urusan keluarga saudara dan sekiranya mereka masih berdegil, maka saudara boleh mengambil tindakan selanjutnya.

Sekiranya segala perundingan menemui jalan buntu, saudara boleh membuat aduan kepada pegawai penguat kuasa agama berhubung perkara itu. Pegawai penguat kuasa agama akan membuat siasatan dan sekiranya didapati bukti mencukupi, maka perkara ini boleh dipanjangkan kepada Ketua Pendakwa Syarie untuk pendakwaan di mahkamah.

Selain tindakan undang-undang, yang lebih penting ialah hasrat saudara dan isteri untuk memulihara perkahwinan itu. Mungkin ada baiknya isteri saudara bertukar tempat kerja dan mendapat suasana kerja baru yang tidak menimbulkan tekanan kepadanya.

Saudara juga perlu berusaha untuk meningkatkan keupayaan kewangan supaya tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada gaji isteri. Saudara boleh melakukan kerja lebih masa atau bekerja sambilan di tempat lain dengan tidak mengabaikan keluarga.

Saudara juga perlu bijak menghargai jasa dan pengorbanan isteri dan jangan terlalu berat untuk memuji pengorbanannya.

Lazimnya isteri tidak meminta balik segala wang perbelanjaan yang dikeluarkannya tetapi hanya mahu pengorbanan mereka dihargai suami.

Dengan cara ini, isteri akan tahu bahawa pengorbanan mereka dihargai oleh suami dan akan menambahkan semangat mereka untuk memulihara keluarga mereka.

Saudara dan isteri juga perlu memikirkan kebajikan anak sekiranya sesuatu berlaku kepada rumah tangga saudara. Anak saudara akan kehilangan seorang daripada ibu bapanya sekiranya berlaku perceraian.

Justeru, saudara perlu berusaha untuk menyelamatkan rumah tangga demi anak. Tentunya isteri saudara juga tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku kepada anaknya.

Oleh kerana perkahwinan saudara adalah atas pilihan sendiri, imbaukan kenangan di antara saudara dan isteri sebelum perkahwinan, pada awal perkahwinan dan ingatkan isteri saat kebahagiaan yang dilalui bersama.

Kenangan itu perlu diperbaharui supaya saudara dan isteri sentiasa menghayati keindahan bersama itu.

Saudara juga jangan lupa untuk berdoa kepada Allah supaya memberikan hidayah dan kekuatan kepada saudara dan isteri dalam mengharungi segala onak dan duri dalam mempertahankan rumah tangga.

Sesungguhnya manusia berusaha dan Allah yang menentukan segala-galanya. Selepas berusaha dan berdoa, bertawakallah kepada-Nya, Allah akan menentukan perkara yang terbaik kepada saudara. Insya-Allah.





Zinul Rijal ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Pandangan dan persoalan kemukakan kepada PGSM pada admin@pgsm.org.my, faksimile 03-80259495 atau layari http://www.pgsm.org.my/v2


©The New Straits Times Press (M) Berhad

Mahkamah Ketepi Permohonan Keluar Islam

LABUAN 30 Ogos – Mahkamah Syariah hari ini mengetepikan permohonan seorang lelaki mualaf untuk keluar daripada agama Islam kerana tidak mematuhi prosedur Akta Tatacara Mal Wilayah Persekutuan.

Ketua Hakim Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Husin Ahamad semasa menyampaikan penghakimannya berkata, Kenneth Wong Chun Chiak atau nama Islamnya, Kenny Abdullah, 39, telah membuat permohonan dalam bentuk Notis Permohonan dan Afidavit.

Menurut beliau, sepatutnya permohonan itu dilakukan dalam bentuk Saman dan Pernyataan Tuntutan sebagaimana yang ditetapkan di bawah Seksyen 7 Akta Tatacara Mal Wilayah Persekutuan.

Katanya, pemohon juga didapati telah membuat permohonan kepada Pendaftar Mualaf Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAIWP) Labuan dan sepatutnya kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan.

"Mahkamah Syariah sedia mendengar permohonan pemohon sekiranya berminat untuk difailkan semula," katanya semasa penghakiman di sini, hari ini.

Kenny pada 16 Mei lalu memohon Mahkamah Syariah agar membatalkan namanya dari senarai Daftar Perakuan Masuk Islam di jabatan agama tersebut.

Beliau dalam afidavitnya menyatakan tujuan permohonan itu bagi membolehkan beliau mendirikan rumah tangga dengan mana-mana wanita yang bukan beragama Islam dan bebas sebagai seorang bukan Islam.

Dia berkata, dirinya kini kembali percaya kepada agama asalnya, Kristian Roman Katholik selain memberitahu tidak pernah mengamalkan ajaran dan suruhan agama Islam atau patuh kepada hukum-hukum syarak.

Thursday, August 17, 2006

Keluhan Pemohon Sijil Peguam Syarie Selangor dijawab

SESUATU permohonan untuk diterima masuk sebagai peguam syarie Negeri Selangor adalah ditadbir mengikut Kaedah-Kaedah Peguam Syarie Negeri Selangor 1991, Kaedah 8 mengenai syarat-syarat pemohon dan sub kaedah (b) (1) menjelaskan bahawa pemohon telah mendapat latihan profesional yang diiktiraf oleh majlis dalam kehakiman Islam.

Salah satu cara bagi mendapatkan latihan profesional tersebut adalah melalui latihan amalan guaman yang dihadiri oleh pemohon.

Seterusnya Kaedah 9 pula memperuntukkan bahawa setiap permohonan setelah diakuterima secara bertulis oleh Pengerusi Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri Selangor, hendaklah menampalkan satu salinan permohonannya di papan notis setiap Mahkamah Syariah di Selangor selama satu bulan bagi membolehkan bantahan terhadap permohonan itu dibuat (jika ada) oleh mana-mana pihak.

Jelas arahan Jawatankuasa bagi menampalkan permohonan tersebut di semua lokasi Mahkamah Syariah di seluruh Selangor merupakan satu keperluan yang diperuntukkan oleh undang-undang dan bukan bertujuan untuk menyukarkan mana-mana pihak yang terlibat.

Mengenai dakwaan pengadu yang menyatakan penyediaan afidavit yang memakan masa selama dua hari, pihak kami ingin menjelaskan bahawa masalah pengadu boleh diatasi dengan merujuk kepada Seksyen 112 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Selangor 2003 yang membenarkan mana-mana orang yang tinggal di luar negeri Selangor mengikrarkan afidavit tersebut di hadapan mana-mana Hakim Syarie atau pendaftar di Mahkamah Syariah yang berhampiran dengan tempat tinggalnya.

Bentuk afidavit yang diterima pakai juga boleh dirujuk di dalam Enakmen tersebut. Adalah menjadi tanggungjawab mahkamah memastikan semua dokumen yang difailkan adalah teratur agar prosiding kes berjalan lancar.

Untuk makluman pengadu juga, semua dokumen yang didaftar masuk ke mahkamah adalah dikenakan fi (bayaran) mengikut Kaedah Fi dan Kos Negeri Selangor 1991.

Pemohon yang gagal pula akan diberi peluang kedua untuk menghadiri sesi temu duga dan mereka dikecualikan daripada melakukan proses penampalan untuk kali kedua.

Selanjutnya, maklumat mengenai latihan praktikal tidak dinyatakan di dalam borang permohonan pengadu.

Pihak kami percaya bahawa Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri Selangor mempunyai mandat untuk memastikan peguam syarie yang diterima masuk di negeri Selangor adalah benar-benar berkualiti dan berkelayakan di sisi syarak dan undang-undang kerana seorang peguam syarie adalah pegawai mahkamah yang membantu mahkamah di dalam melaksanakan proses pengurusan keadilan Islam di Negeri Selangor.

– NOOR HADINA AHMAD ZABIDI,

Ketua Pendaftar Setiausaha, Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri Selangor.

17/8/2006-UM

Saturday, August 12, 2006

Pekarangan Mahkamah Syariah ‘panas’


KUALA LUMPUR 11 Ogos – Keadaan di pekarangan Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menjadi 'panas' apabila beberapa kenalan dan anggota keluarga bekas isteri Datuk Khalid Muhamad Jiwa atau Datuk K, Tengku Zawiyah Tengku Izham dilihat cuba menghalang tugas media untuk merakamkan wajah wanita yang menjadi tumpuan itu.

Tengku Zawiyah, 43, hari ini muncul buat pertama kali di mahkamah bagi mendapatkan persetujuan perjanjian harta sepencarian yang telah ditandatangani pada 3 Julai lalu.

Kejadian itu berlaku ketika Tengku Zawiyah hadir lebih kurang pukul 9.30 pagi dengan dikawal ketat oleh tiga orang pengawal peribadi berpakaian serba hitam dan diiringi dua orang anak lelakinya; Mohd. Adib, 16 dan Mohd. Ashraf, 14.

Kesemua mereka bukan sahaja mengawal Tengku Zawiyah malahan turut membuat 'kepungan' di hadapan kamar Ketua Hakim Syarie Husin Ahamad.

Apabila prosiding tamat lebih kurang pukul 12 tengah hari, keadaan menjadi semakin tegang sehingga berlaku insiden tolak menolak di antara kesemua pihak media yang hadir dan pengawal-pengawal peribadi Tengku Zawiyah.

Keadaan itu berlarutan sehingga Tengku Zawiyah dan anak-anaknya memasuki kenderaan yang menanti mereka di hadapan mahkamah.

Khalid mendirikan rumah tangga dengan Tengku Zawyah pada 24 Disember 1985 dan disahkan bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 13 April 2005.

Hasil perkongsian hidup dengan bekas isteri, pasangan ini dikurniakan empat orang anak iaitu, Mohd. Anas, 19 (sedang belajar di Melbourne, Australia); Mohd. Adib, Mohd. Ashraf dan Mohd. Azif, 8.

Khalid bakal menamatkan zaman dudanya dengan mengahwini penyanyi terkenal, Siti Nurhaliza Tarudin, 27, di Masjid Jalan Duta, di sini pada 21 Ogos ini.

Datuk K beri bekas isteri RM9j harta sepencarian

Datuk K beri bekas isteri RM9j harta sepencarian

Oleh: SUWARNI MOKHTAR


KHALID Mohamad Jiwa berjalan menuju ke keretanya selepas tamat prosiding tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur, semalam sementara gambar kanan, bekas isteri Khalid, Tengku Zawiyah Tengku Izham ditemani oleh dua anaknya, Mohd. Adib (belakang, kanan) dan Mohd. Ashraf (kiri) ketika keluar dari kamar Ketua Hakim Syarie.

KUALA LUMPUR 11 Ogos – Ahli perniagaan, Datuk Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K mengambil masa empat jam untuk mencapai persetujuan menyerahkan dua buah rumah berkembar dan sebuah banglo empat tingkat yang kesemuanya mencecah hampir RM9 juta kepada bekas isterinya, Tengku Zawiyah Tengku Izham.

Turut dipersetujui dalam perbincangan harta sepencarian dengan bekas isterinya itu, Khalid, 47, perlu menyediakan peruntukan tambahan yang meliputi kos percutian tahunan, perbelanjaan bulanan, insurans, kos perubatan serta kos penyelenggaraan dan keperluan rumah kepada Tengku Zawiyah, 43.

Tiga buah rumah tersebut ialah dua buah rumah berkembar dua setengah tingkat di Kota Damansara dekat sini bernilai RM1.8 juta dan banglo empat tingkat di Bukit Antarabangsa, Ulu Klang bernilai RM7 juta.

Bagaimanapun, pemilikan dan kepentingan rumah banglo tersebut akan diserahkan kepada salah seorang anak mereka apabila keempat-empat anak pasangan itu mencapai usia 18 tahun.

Sementara itu, dua bidang tanah di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, sebuah kondominium di Jalan Binjai, sebuah kondominium di persimpangan Jalan Putra, di sini serta sebuah premis pejabat di Midvalley Development diserahkan kepada Khalid.

Perjanjian persetujuan yang ditandatangani pada 3 Julai lalu disahkan di hadapan Ketua Hakim Syarie, Husin Ahamad di kamar beliau di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini hari ini.

Khalid hadir kira-kira pukul 9.15 pagi, ditemani oleh tiga orang kenalannya, manakala Tengku Zawiyah tiba dengan dikawal ketat oleh tiga pengawal peribadi, dua anaknya; Mohd. Adib, 16, dan Mohd. Ashraf, 14, serta empat orang rakan Mohd. Adib yang turut mengawal mereka.

Khalid dan Tengku Zawiyah bercerai secara taklik pada 1 Februari 2004 dan pengesahan dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini pada 12 Mac 2005.

Pada prosiding hari ini, Tengku Zawiyah diwakili oleh barisan tiga peguam syarie, Zulkifli Che Yong, Azmi Mohd. Rais dan Normawaddah Ramli sementara peguam syarie, Datuk Muhamad Burok, Hamirah Ab. Wahab dan Umie Zaitun Junoh mewakili Khalid.

Apabila ditanya mengenai isu mutaah, peguam kedua-dua pihak tidak mendedahkan sebarang jumlah dan hanya menyatakan hal tersebut telah selesai.

Khalid yang ketika itu sedang bergegas untuk menunaikan solat Jumaat ketika ditanya mengenai isu yang sama menyatakan: "Dah selesai.''

Bagaimanapun, Utusan Malaysia difahamkan bahawa jumlah mutaah yang dipersetujui adalah melebihi RM1 juta. Turut diberikan kepada Tengku Zawiyah ialah sebuah kenderaan MG Rover dan sebuah BMW.

Menjawab pertanyaan wartawan sama ada anak-anaknya akan menghadiri pernikahannya dengan penyanyi terkenal, Siti Nurhaliza Tarudin pada 21 Ogos ini, Khalid dengan perlahan menjawab, "Insya-Allah.''

Sementara itu, Tengku Zawiyah ketika ditemui di dalam lif memberitahu, dia gembira kerana segala perkara berkaitan tuntutan harta ini telah selesai dengan baik.

Muhamad Burok ketika ditemui selepas tamat prosiding berkata, anak guamnya (Khalid) memohon supaya mereka yang mengenalinya dan semua rakyat Malaysia mendoakan kebahagiaan beliau dalam menempuh hidup baru.

Khalid juga melalui peguamnya mengatakan bahawa beliau berjanji akan sentiasa membantu bekas isterinya dalam apa jua cara sekalipun dan akan sama-sama memastikan kebajikan anak-anak mereka terpelihara.

Ketika ditanya mengenai suasana apabila Khalid dan Tengku Zawiyah bertemu di kamar Ketua Hakim Syarie, Muhamad Burok menyatakan bahawa kedua-duanya berbual dengan begitu akrab dan harmoni.

"Mereka juga saling bertanya khabar antara satu sama lain, '' ujarnya.

Sementara itu, Zulkifli ketika ditemui menyatakan pihak responden perlu menyelesaikan segala hutang dan pinjaman dalam tempoh lima tahun.

"Datuk Khalid juga hendaklah membuat ubahsuai atau penambahan kepada rumah di Kota Damansara sebelum diserahkan kepada Tengku Zawiyah. Sekiranya ingin disewakan, hasil dari rumah tersebut juga perlu diserahkan kepada Tengku,'' ujarnya.

Beliau berkata, selepas perjanjian itu dimeterai dan dijadikan perintah, kedua-dua belah pihak mempunyai masa 14 hari untuk mematuhinya dan sebarang kegagalan akan menyebabkan kesalahan menghina mahkamah.

Pengalaman Pahit Memohon Peguam Syarie di Selangor

Pengalaman pahit memohon peguam syarie di Selangor

SAYA salah seorang pemohon jawatan peguam syarie negeri Selangor tahun ini. Pada 18 Mei 2006 Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri Selangor telah mengarahkan saya membuat penampalan borang 1 (Kaedah 9 dan 23) sebagai salah satu syarat kelayakan untuk dipanggil temuduga.

Saya yang datang dari Johor telah menampal borang tersebut di mahkamah-mahkamah syariah di Selangor (mengikut arahan) dalam masa dua hari dengan mengorbankan cuti, wang ringgit, tenaga, sesat jalan dan lain-lain.

Tempat-tempat yang terpaksa saya pergi ialah Kajang, Petaling Jaya, Rawang, Kuala Kubu Baru, Kuala Selangor, Sungai Besar, Gombak, Bandar Baru Sepang, Banting, Klang dan Shah Alam.

Bayangkanlah sukarnya perjalanan yang saya lalui dalam tempoh dua hari.

Setelah selesai, saya dikehendaki pula membacakan afidavit penampalan tersebut di Jabatan Kehakiman Syariah Selangor yang memakan masa dua hari (terpaksa cuti lagi) kerana beberapa pembetulan yang perlu diperbaiki sebelum ia ditandatangani oleh pihak yang berkenaan dengan dikenakan bayaran RM10.

Kemudian saya dipanggil menghadiri temuduga pada 2 Ogos 2006, jam 9 pagi, di Bangunan Mahkamah SAASS, Seksyen 5, Shah Alam. Saya mengambil cuti lagi dengan menaiki bas malam dan tiba di Shah Alam jam 4.30 pagi.

Apabila dipanggil temuduga, pengerusi temuduga bertanya adakah saya telah membuat praktikal di mana-mana pejabat peguam (chambering), saya menyatakan tidak. Jawabnya, saya tidak layak dan hanya boleh memohon semula selepas chambering. Saya berada di bilik temuduga lebih kurang 5 minit sahaja.

Cubalah bayangkan, setelah melalui pelbagai kesukaran, hanya di bilik temuduga saya diberitahu tidak layak. Pada hal perkara yang berkaitan telah dinyatakan lebih awal dalam borang permohonan saya.

Apa yang berlaku hanya mencerminkan mutu kerja mahkamah syariah. Tidak hairanlah kalau masyarakat memandang mahkamah syariah sebagai mahkamah kelas kedua. Saya harap pengalaman saya ini tidak akan berulang pada orang lain.

– INSAN TERANIAYA,

Johor Bahru.

Wednesday, August 09, 2006

Interaksi: Pelantikan, Kenaikan Pangkat Hakim Perlu Lebih Ttelus


ISU pelantikan hakim timbul lagi baru-baru ini apabila Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, menekankan pemilihan hakim untuk kenaikan pangkat dibuat secara profesional, berdasarkan merit, kualiti dan bukan peribadi atau kekananan. Pelantikan diambil kira hanya bagi mereka yang bekerja kuat termasuk sedia bekerja selepas waktu pejabat.


Jika mengkaji alasan itu, seolah-olah hakim kanan sama ada pada peringkat Mahkamah Tinggi, Rayuan atau Persekutuan yang 'tersangkut' lama tanpa kenaikan pangkat adalah mereka yang tidak rajin, tidak berkualiti, tiada merit dan tidak memenuhi kriteria yang diperlukan untuk menjadi hakim.

Dengan mengambil kira jumlah hakim kanan 'sangkut' maka ia membawa andaian ramai juga di kalangan hakim kita tidak sepatutnya menjadi pegawai kehakiman dan diberi tanggungjawab menentukan nasib orang kena tuduh, padahal kredibiliti mereka sendiri juga dipersoalkan.

Untuk mengatasi masalah itu dan memastikan pemilihan lebih telus dan berwibawa pelbagai cadangan dibuat. Majlis Peguam contohnya, sudah lama mengesyorkan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan dan Kenaikan Pangkat Hakim bagi memastikan kewibawaan, penghormatan dan keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman negara terus kekal.

Presidennya, Yeo Yang Poh, mencadangkan anggota suruhanjaya itu terdiri daripada Ketua Hakim Negara, Peguam Negara, bekas hakim kanan atau bekas Ketua Hakim Negara, wakil Majlis Peguam dan orang awam yang mempunyai status tinggi dalam masyarakat serta mempunyai latar belakang undang-undang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, ketika menjawab isu itu di Parlimen baru-baru ini berkata, jika wakil Majlis Peguam boleh memilih hakim, sistem itu boleh menjurus kepada penyalahgunaan kuasa dan hakim akan rasa tertekan kerana peguam yang mengendalikan kes di depannya boleh mempengaruhi pelantikan dan kenaikan pangkatnya.

Yeo ketika ditanya mengenainya berkata, jika pandangan Nazri diterima ia juga memberi andaian hakim juga akan rasa tertekan dan takut kepada Perdana Menteri kerana beliau juga yang mempengaruhi pelantikan dan kenaikan pangkat hakim.

"Dalam sistem kehakiman yang terbaik, sekurang-kurang 99 peratus hakim mesti yang terbaik, bererti hanya ada ruang satu peratus untuk kesalahan, tetapi jika jumlah bermasalah ramai, katakan 30 atau 40 peratus, maka ia dilihat sebagai kegagalan dalam sistem itu," katanya.

Beliau berpendapat jika sejumlah besar hakim tidak dinaikkan pangkat kerana pelbagai masalah, ia bukan saja boleh menjejaskan moral mereka tetapi menimbulkan persoalan mengenai keupayaan dan keputusan yang bakal mereka buat.

Untuk rekod, sebahagian besar negara maju dan sedang membangun sudah pun mempunyai suruhanjaya khas untuk mengendalikan pelantikan dan kenaikan pangkat hakim. United Kingdom contohnya, melakukan pembaharuan perlembagaan dengan menubuhkan suruhanjaya pelantikan kehakiman bagi England dan Wales di mana 15 ahli (lima ahli kehakiman, dua profesional guaman, enam orang awam, seorang hakim bersara dan seorang ahli biasa).

Begitu juga Perancis (12 ahli), Itali (33 ahli), Sepanyol (21 ahli), Portugal (17 ahli), Afrika Selatan (23) dan Belanda (lima) manakala di Amerika Syarikat, ahli suruhanjaya peringkat persekutuan dinilai Jawatankuasa Persatuan Majlis Peguam diikuti penilaian semula oleh Jawatankuasa Kehakiman Senat, sebelum undian di Senat.

Jika trend di seluruh dunia adalah untuk merangka satu sistem pelantikan dan kenaikan pangkat hakim yang lebih telus dan terbuka, mengapa Malaysia tidak melakukannya?. Pelantikan dan kenaikan pangkat hakim perlu disandarkan kepada satu kumpulan lebih besar supaya mahkamah di Malaysia akan terus dihormati dan diyakini.

Seragam Kes Syariah Masih Dibincang


GOMBAK: Usaha kerajaan menyeragamkan lima rang undang-undang Islam Mahkamah Syariah kini masih dalam perbincangan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum dilaksanakan sepenuhnya tidak lama lagi.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin, berkata perbincangan itu merangkumi perintah bersilang yang membolehkan sesuatu kes itu dibicarakan di negeri lain.

Beliau berkata, tindakan penyeragaman itu juga akan disusuli dengan melantik Peguam Negara Syarie yang bertanggungjawab mengendalikan semua kes syariah di setiap negeri.

Katanya, penyeragaman bertujuan memantapkan sistem perundangan syariah di negara ini dan proses ke arah usaha itu dilihat semakin bertambah baik dengan penyediaan Mahkamah Rayuan Syariah selain Mahkamah Rendah Syariah dan Mahkamah Tinggi Syariah.

"Bagi mengukuhkan lagi penyeragaman, kerajaan menubuhkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang bertanggungjawab memantau dan menyelaraskan undang-undang berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Perundangan Islam Maqasid Al-Shari'ah anjuran Institut Antarabangsa Uniti Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini semalam. Hadir sama, Rektor UIAM, Prof Datuk Dr Syed Arabi Aidid.

Abdullah berkata, semua negeri mencadangkan usul penyeragaman itu dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing berikutan ia tertakluk kepada kuasa kerajaan negeri dan raja kerana membabitkan urusan agama.

"Di peringkat Wilayah Persekutuan, penyeragaman itu dibawa ke Parlimen untuk proses seterusnya. Kerajaan Pusat membentuk model rang undang-undang berkenaan supaya ia dapat diguna pakai seluruh negara," katanya.

Bayaran Nafkah Automatik Bela Wanita

Oleh NIK SALIDA SUHAILA NIK SALEH


SYOR supaya bekas suami dikehendaki membayar nafkah secara automatik kepada bekas isteri dan anak-anak sebaik sahaja perceraian berlaku tanpa menunggu perintah mahkamah perlu dibentangkan ke Kabinet seberapa segera.

Ini adalah kerana terlalu banyak kes yang melibatkan keengganan suami memberi nafkah kepada anak-anak setelah menceraikan isteri. Lebih buruk pula, beban ini ditanggung sendirian oleh bekas isteri.

Statistik perceraian di Malaysia sejak sepuluh tahun yang lalu menunjukkan bahawa 146,857 kes perceraian didaftarkan berbanding 19,844 yang kembali rujuk. Sekiranya purata setiap pasangan yang bercerai mempunyai dua orang anak, maka jumlah anak yang mengharapkan nafkah daripada bapa yang bukan lagi suami ibu mereka ialah seramai 293,714 orang.

Setiap suami yang melepaskan isteri dengan talak tetapi mempunyai 'harta sepencarian'nya iaitu anak, maka suami dan isteri akan tetap mempunyai hak ke atas harta itu, cuma bezanya, suami wajib memberi nafkah sehinggalah anak itu mampu mempunyai pendapatan sendiri dan berdikari.

Dalam konteks masalah bapa tidak memberi nafkah, ia bukan sahaja berlaku kepada anak-anak yang mempunyai masalah ibu bapa yang bercerai, tetapi juga ibu bapa yang masih bersama. Tetapi cara menyelesaikan masalah terpulang kepada pasangan terbabit untuk menentukannya.

Sebenarnya, bapa harus memberikan nafkah kepada anak-anak sejak anak tersebut masih berada dalam kandungan. Keperluan perubatan dan makanan daripada ibu yang sepatutnya anak itu peroleh sewajarnya ditunaikan dan bapa bertanggungjawab untuk memastikan bahawa si ibu mempunyai keperluan tersebut.

Jika bapa memahami tanggungjawab yang mereka pikul, maka tidak timbul soal bapa tidak memberi nafkah kepada anak setelah perceraian.

Hari ini, ramai bekas isteri yang terpaksa menunggu berbulan-bulan lamanya untuk mendapatkan hak bagi anakanak dan membayar sejumlah wang kepada peguam untuk memastikan bekas suami mereka membayar nafkah bulanan untuk anak-anak.

Bapa yang bertanggungjawab sepatutnya akan membayar nafkah anakanak setiap bulan tanpa diberi arahan oleh mahkamah atau dipaksa.

Harta sepencarian perlu dinamakan sebelum poligami

Harta sepencarian perlu dinamakan sebelum poligami

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Lelaki yang ingin berpoligami mungkin dikehendaki menentukan hak pemilikan harta sepencarian dengan isteri pertama sebelum memperoleh kebenaran mahkamah untuk berkahwin lagi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, ia merupakan salah satu cadangan yang sedang dipertimbangkan oleh Peguam Negara di samping cadangan perintah pembayaran nafkah secara automatik kepada bekas isteri dan anak-anak semasa pengesahan penceraian berlaku.

''Memang tidak dinafikan bahawa suami di Malaysia masih bertanggungjawab dan penyayang kepada isteri dan anak-anak.

''Namun ada segelintir daripada 1.5 peratus yang berpoligami mengabaikan tanggungjawab dan menimbulkan ketidakadilan kepada keluarga pertama.

''Sehubungan itu, kementerian merasakan dua cadangan tersebut sebagai jalan penyelesaian terbaik bagi membela nasib isteri dan anak-anak,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Pembelaan Hak Wanita Melalui Kefahaman Tentang Harta Dalam Islam di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), di sini hari ini.

Seminar dua hari anjuran Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta IKIM itu bertujuan membincangkan hak wanita berkaitan harta menurut al-Quran dan Sunnah serta amalan pengurusan dan undang-undang berkaitan wang dan harta.

Menurut Shahrizat, kedua-dua cadangan itu dikemukakan berdasarkan maklum balas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyatakan banyak berlaku pertelingkahan dan ketidakadilan mengenai pembahagian harta serta pengabaian nafkah.

''Ramai merungut, isteri yang telah berkahwin lama tidak dapat apa, jadi untuk adil, satu perintah baru dimasukkan sebagai syarat.

''Mengikut syarat baru, harta itu tidak perlu dibahagikan pada waktu tersebut, cuma menamakan pemilikan harta semasa perkahwinan pertama secara dokumentasi iaitu mengikut proses undang-undang atas konsep siapa punya, yang mana,'' katanya.

Mengenai cadangan perintah pembayaran nafkah dikeluarkan sekali dengan pengesahan penceraian pula, Shahrizat memberitahu, ia bagi memastikan nafkah edah untuk isteri dan nafkah anak-anak dibayar seperti diperuntukkan.

''Selain itu bekas suami boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya gagal mematuhi peruntukan...sebagai contoh, sebulan tidak bayar nafkah akan dipenjara sebulan,'' katanya.

''Buat masa ini bekas isteri terpaksa turun naik mahkamah dan mencari peguam terlebih dahulu bagi memastikan bekas suami membayar nafkah bulanan untuk menyara kehidupannya bersama anak-anak,'' katanya.

Mengulas cadangan melanjutkan tempoh cuti bersalin bagi sektor awam daripada 60 hari kepada 84 hari, Shahrizat berkata, sepatutnya isu itu dibentangkan ke jemaah menteri esok, namun terpaksa ditangguhkan bagi membolehkan kementerian lain memberi pandangan.

''Biar lambat sikit tetapi saya mahu semua pihak berpuas hati, kementerian tidak mahu apabila telah lulus, ada pihak mempertikaikan,'' katanya.

Beliau juga menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa cuti bersalin 84 hari boleh menjejaskan produktiviti negara.

''Kajian mendapati cuti bersalin di negara-negara maju tidak memberi kesan kepada produktiviti malah ia sebagai pelaburan jangka panjang bagi pembentukan modal insan berkualiti,'' jelasnya.

Monday, July 24, 2006

Khir Toyo tidak puas hati tahap kecekapan Mahkamah Syariah

Khir Toyo tidak puas hati tahap kecekapan Mahkamah Syariah

22-07-2006 03:26:55 PM - The Star Online - Melayu
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo melahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap tahap kecekapan Jabatan Kehakiman Syariah negeri itu kerana terdapat banyak kes perbicaraan yang tertunggak.

Beliau berkata kes tertunggak dan kelewatan perbicaraan mendatangkan kesusahan kepada mereka yang terbabit kerana sesetengah daripadanya memakan masa sehingga bertahun-tahun.

Tanpa menyatakan jumlah kes syariah yang tertunggak di Selangor, Dr Mohamad Khir berkata hakim syarie perlu segera menyelesaikan kes yang dibicarakan untuk membolehkan pihak menuntut dan pihak dituntut meneruskan kehidupan mereka.

Beliau berkata, tidak dinafikan bahawa setiap keputusan yang dibuat tidak boleh bersifat terburu-buru dan perlu mengambil kira semua aspek secara holistik agar tidak berlaku sebarang penganiayaan atau penindasan serta sikap berat sebelah.

"Namun, sikap berhati-hati bukanlah alasan untuk kita tidak boleh menambahbaik kecekapan dalam menyelesaikan sesuatu kes," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Undang-undang Keluarga Islam anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Selangor.

Dr Mohamad Khir berkata sudah tiba masanya juga bagi keluarga Islam merujuk ke mahkamah syariah untuk menyelesaikan masalah kekeluargaan yang dihadapi dari mula dan bukan menjadikannya sebagai tempat terakhir untuk mendapatkan bantuan.

Katanya kes syariah yang sudah diselesaikan juga wajar dijadikan contoh dalam seminar atau ceramah membabitkan kefahaman Islam untuk memberi pendidikan dan rujukan kepada pengamal undang-undang mahupun orang ramai. BERNAMA

Pelaksanaan Penyitaan Selesaikan Tuntutan Harta Berjumlah Besar


Bantuan polis diperoleh sebagai sokongan aspek ketenteraman awam


BAGI memastikan suatu perintah atau penghakiman untuk sesuatu kes di Mahkamah Syariah dapat dilaksanakan, ada beberapa jenis pelaksanaan dan penguatkuasaan yang boleh dibuat iaitu:

  • Penyitaan dan Penjualan
  • Prosiding Hiwalah (Garnishee)
  • Pemilikan dan Penghantarserahan
  • Saman Penghutang Penghakiman
  • Prosiding Penghinaan Mahkamah (Pengkomitan)

    Semua jenis pelaksanaan dan penguatkuasaan ini hanya dilakukan apabila wujud kegagalan atau keingkaran daripada pihak defendan/responden untuk mematuhi perintah/penghakiman dikeluarkan mahkamah.

    Minggu ini, penulis hanya membicarakan prosiding Penyitaan dan Penjualan. Prosiding ini hanya terpakai dalam proses pelaksanaan/penguatkuasaan untuk perintah atau penghakiman bagi harta alih dan tuntutan yang berjumlah besar.

    Prosiding penyitaan dan penjualan sesuai dilaksanakan apabila pemohon/plaintif mempunyai maklumat bahawa responden/defendan mempunyai banyak barang bernilai dalam premis atau tempat tinggalnya.

    Pelaksanaan jenis ini dimulakan dengan cara memfailkan permintaan untuk mendapatkan perintah pelaksanaan yang hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar.

    Perintah bagi pelaksanaan ini hendaklah ditujukan kepada bailif dan mempunyai butir iaitu tarikh perintah atau penghakiman yang diperoleh plaintif terhadap defendan, amaun penghakiman, kos prosiding atau perbicaraan dan kos bagi perintah pelaksanaan ini.

    Perkara lain ialah amaun yang kena bayar, tarikh perintah memberikan kebenaran untuk pelaksanaan (jika berkaitan) dan cara pelaksanaan seperti penyitaan dan penjualan, prosiding hiwalah dan sebagainya.

    Pihak pemohon juga hendaklah memastikan segala perbelanjaan dan fi (yuran) pelaksanaan termasuk kos pelaksanann peguam syarie dilevikan sebagai tambahan kepada hutang penghakiman.

    Pemohon hendaklah mendepositkan wang mencukupi bagi membiayai proses penyitaan dan penjualan khususnya bagi menanggung kos pengawal keselamatan bagi barang disita dan perbelanjaan bailif dalam pelaksanaan penyitaan dan penjualan.

    Pada masa sama, pemohon boleh secara bertulis memohon kepada mahkamah supaya satu tarikh ditetapkan untuk melaksanakan penyitaan.

    Selepas pemohon memfailkan perintah untuk pelaksanaan serta membayar deposit dan selepas Pendaftar berpuas hati dengan dokumen difailkan, Pendaftar akan menetapkan satu tarikh untuk bailif dan wakil pemohon/peguam syarie untuk menjalankan penyitaan.

    Pada peringkat ini pemohon atau plaintif hendaklah bekerjasama kepada mahkamah dengan memberikan maklumat lengkap alamat terakhir defendan walaupun tanggungjawab sebenar untuk memberikan alamat terakhir adalah pada responden/defendan.

    Pihak pemohon/plaintif atau wakilnya, termasuk peguam syarie bersama pegawai mahkamah yang menjalankan pelaksanaan/penguatkauasaan iaitu bailif pada tarikh yang ditetapkan penyitaan hendaklah ke premis pihak defendan mengikut alamat ditetapkan.

    Sekiranya premis prosiding penyitaan yang hendak dijalankan boleh mendatangkan bahaya atau ancaman kepada keselamatan, maka bolehlah mendapatkan bantuan daripada polis sebagai pihak sokongan dari aspek menjaga ketenteraman awam.

    Kemudian, selepas pihak pemohon/plaintif atau wakil dengan peguam syarienya bersama bailif atau pegawai mahkamah tiba di premis atau tempat tinggal responden/defendan, bailif hendaklah memasuki premis atau tempat tinggal berkenaan dengan izin tuan premis atau tempat tinggal jika ia didiami. Seseorang bailif tidak boleh memecah masuk mana-mana premis tanpa kebenaran mahkamah.

    Selepas bailif berada dalam premis atau tempat tinggal responden/defendan, beliau akan memeriksa barang yang ada seperti televisyen, radio dan alat pendingin hawa (barang yang mempunyai nilai). Tetapi, bailif tidak boleh menyita barang keperluan asas defendan/responden seperti peralatan memasak dan katil.

    Selepas bailif mengenal pasti barang yang hendak disita dan melengkapkan senarai penyata harta, pastikan pihak defendan/responden ada bersama bagi mengelakkan sebarang tohmahan. Beberapa salinan perlu dibuat untuk tujuan penyampaian kepada responden/defendan dan pemohon/plaintif untuk ditandatangani. Ia bagi pengesahan barang yang disita. Salinan lain juga diperlukan sebagai rekod fail dan bagi penyediaan laporan kepada Pendaftar mengenai prosiding berkaitan serta proses penilaian barang yang disita bagi tujuan penjualan.

    Pada peringkat ini, jika tiada penyelesaian antara pihak-pihak, secara amalannya selepas barang disita dalam prosiding penyitaan dan penjualan, bailif akan mengguna wang yang didepositkan di mahkamah untuk melantik pengawal keselamatan swasta. Ia bagi memastikan barang yang disita dikawal dan dijaga sementara menunggu perkembangan selanjutnya.

    Bagaimanapun, barang yang disita boleh dibawa keluar untuk tujuan penyimpanan.

    Selanjutnya, bailif atau pegawai mahkamah akan pulang ke mahkamah bersama-sama senarai penyata harta. Bailif seterusnya akan membuat satu laporan kepada Pendaftar.

    Pada masa sama, pihak bailif dikehendaki melalui undang-undang untuk membuat penyata bailif yang mengandungi levi yang dibayar pemohon atau plaintif, butir mengenai harta yang disita dan maklumat penjualan harta yang disita, perbelanjaan pelaksanaan atau sebagainya.

    Sebelum penjualan melalui lelongan dilakukan, jika nilai harta yang disita adalah kecil, penilaian boleh dibuat bailif sendiri atau menghantarnya kepada pihak berkuasa berkaitan. Oleh itu, sekiranya harta yang disita mempunyai penilaian tinggi, bailif hendaklah merujuk kepada mahkamah supaya melantik jurunilai bebas dengan persetujuan pihak berkaitan.

    Selepas penilaian dibuat, bailif hendaklah memastikan notis pengiklanan dibuat dengan penampalan di tempat awam seperti pada papan notis semua mahkamah syariah, masjid, dewan orang ramai dan akhbar tempatan. Orang ramai yang berminat boleh menyertai lelongan awam serta membuat penawaran dan harga tertinggi akan melayakkan penawar memiliki item yang dilelong dengan syarat bayaran dibuat secara tunai atau draf bank.

    Hasil lelongan dikumpul dan dimasukkan ke dalam akaun mahkamah. Penyata bailif akan dilengkapkan di mana hasil penjualan lelongan bersama deposit pemohon dijumlahkan. Seterusnya ditolak dengan jumlah perbelanjaan yang ditanggung ketika prosiding penyitaan dan penjualan dilaksanakan seperti kos pengawal keselamatan, bailif, jurunilai dan pelelong dilantik.

    Sebelum mahkamah membuat bayaran hasil penyitaan dan penjualan, Pendaftar hendaklah memastikan semua wang yang perlu dibayar kepada kerajaan dibayar atau dipotong daripada wang itu. Pendaftar juga perlu memastikan orang yang memohon pembayaran itu adalah orang yang berhak atau diberi kuasa untuk menerima pembayaran itu.

    Sekiranya wang itu tidak dituntut dalam tempoh 15 tahun kecuali orang yang berhak adalah kurang siuman atau tidak cukup umur, wang berkenaan hendaklah dibayar kepada Baitulmal. Jika ada tuntutan dibuat terhadap wang berkenaan selepas itu, mahkamah mempunyai budi bicara untuk memerintahkan jumlah tuntutan itu dibayar atau nilainya kepada pemohon atau plaintif.

    Namun, bagi harta alih selain wang seperti sekuriti dan barang kemas yang disimpan oleh mahkamah, ia tidak boleh dikeluarkan tanpa kebenaran mahkamah.


    Artikel ini dengan kerjasama Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).Pandangan dan persoalan kemukakan kepada PGSM pada admin@pgsm.org.my, faksimile 03-80259495 atau layari http://www.pgsm.org.my/v2
  • Umat Islam Diminta Pertahan Kedudukan Agama Dalam Perlembagaan

    KUALA LUMPUR 23 Julai – Sebuah forum hari ini meminta umat Islam mempertahankan kedudukan istimewa agama Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan menentang sebarang usaha pihak tertentu untuk menggugat kedudukan itu atas nama demokrasi atau platform yang lain.

    Ini merupakan antara resolusi yang dicapai pada forum itu - 'Syariah dan Cabaran Semasa' - anjuran Persatuan Ulama Malaysia dan Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

    Pengerusi Mesyuarat Pembela, yang juga Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Yusri Mohamad berkata satu memorandum hasil resolusi forum itu akan disediakan oleh Pembela, yang dianggotai lebih 70 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mengenai beberapa perkara yang menggugat kestabilan umat Islam di Malaysia pada masa kini.

    Memorandum itu akan diserahkan kepada Raja-Raja Melayu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta pemimpin kerajaan negeri yang beragama Islam, katanya kepada pemberita selepas forum itu yang dihadiri lebih 2,000 orang.

    Katanya antara perkara yang akan dikemukakan ialah meminta kerajaan tidak berkompromi terhadap perbuatan mana-mana pihak yang cuba mempengaruhi umat Islam supaya murtad.

    Mereka juga meminta agar semua kes murtad yang dibicarakan di Mahkamah Sivil dirujuk kepada Mahkamah Syariah seperti yang termaktub dalam Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan mengenai bidang kuasa Mahkamah Syariah.

    Yusri berkata memorandum itu tidak menyentuh sama sekali mengenai hak dan kekebasan bangsa lain menjalankan kegiatan agama masing-masing tetapi hanya menyentuh hak agama Islam sebagai agama rasmi negara.

    Forum hari ini turut mengingatkan umat Islam supaya sedar mengenai ancaman yang cuba menggugat kedudukan orang Melayu serta agama Islam sebagai agama rasmi negara, katanya.

    "Justeru itu, kedudukan kuasa-kuasa Mahkamah Syariah hendaklah dipertahankan, kita tidak mahu mana-mana pihak cuba mengganggu gugat kedudukan mahkamah itu," katanya.

    - Bernama

    Umat Islam Perlu Sensitif Isu Murtad


    SAYA ingin mengulas mengenai isu murtad yang telah menjadi satu masalah besar di negara kita sekarang yang perlu diselesaikan dengan segera.


    Pegangan akidah umat Islam di Malaysia kini semakin goyah sebagaimana yang dinyatakan oleh Mufti Negeri Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria dalam satu kenyataannya bahawa hampir 100,000 di Malaysia memohon untuk keluar dari agama Islam.

    Perkara yang harus dilihat secara serius dan terperinci adalah mengapa ada umat Islam yang sanggup meninggalkan agama yang syumul ini yang telah dibawa oleh nabi dan sahabat terdahulu.

    Adakah umat Islam kini sudah lupa dan tidak yakin agama yang mereka anuti ini? Hanya agama Islam saja yang diterima Allah dan agama ini telah Allah nukilkan dalam firmanNya, 'Sesungguhnya agama (yang diredhai) Allah SWT hanya Islam'. (Surah Ali-Imran: 19).

    Sheikh Ahmad Mustafa al-Maraghi dalam menghuraikan ayat ini berpendapat bahawa agama Islam adalah satu kebenaran mutlak dan tidak perlu diragui. Agama ini hanya satu ajaran yang diterima oleh Allah SWT yang menjadi penyuluh kepada kehidupan manusia dan seharusnya menjadi pegangan yang kukuh.

    Adalah jelas sekali umat Islam dilarang untuk menyamakan ajaran Allah SWT dengan mana-mana agama selain daripada ajaran-Nya. Menurut Profesor Syed Muhamad Naquib al-Attas, agama Islam adalah cahaya yang terang lagi suci.

    Adalah tidak wajar umat Islam yang berada dalam cahaya terang ini terjun ke kawasan yang gelap dan tidak bercahaya.

    Saya ingin mengajak pembaca memahami kenapa isu murtad ini amat penting dari konteks undang-undang negara kita. Isu Lina Joy misalnya, yang memohon untuk menggugurkan perkataan Islam dalam MyKadnya semakin hangat diperkatakan.

    Ini kerana wujudnya serangan yang melaungkan kebebasan individu dalam beragama.

    Ini jelas dilihat dengan tersiarnya berita tentang seorang doktor dan bekas isterinya yang berbeza agama untuk mendapatkan penjagaan dua anak mereka.

    Kes ini tidak dapat diputuskan oleh Hakim Mahkamah Rayuan kerana menunggu keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kes Lina Joy.

    Sekiranya isu ini tidak ditangani dengan berkesan, maka ia boleh membawa implikasi yang buruk kepada institusi di bawah naungan Raja-Raja Melayu. Antaranya ia akan mencabar dan menghakis kedaulatan dan kuasa Raja Melayu dan Majlis Agama Islam Negeri.

    Ini secara tidak langsung akan menjejaskan Kuasa Mahkamah Syariah di negara ini berhubung dengan agama Islam. Apa yang lebih membimbangkan kelak, sekiranya institusi kehakiman Syariah lumpuh, adalah dikhuatiri seseorang Islam bebas menganuti dan mengamalkan Islam mengikut kehendak mereka tanpa ada penguasaan daripada pihak berwajib.

    Sebagai umat Islam kita seharusnya mempunyai rasa sensitif terhadap perkara yang membabitkan akidah umat Islam. Kita seharusnya bersatu dan bersama-sama melindungi agama Islam yang tercinta ini.



    MOHD REZWAN ALIAS,

    Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Jalan Gombak, Kuala Lumpur.
     

    Sample text

    Sample Text

    Sample Text