Pages

Ads 468x60px

Friday, February 10, 2006

The Government is addressing "grey areas" in the controversial Islamic Family Law Act, following reservations among some quarters over specific sections.

NST Online-10/2/2006

A late-night meeting at Parliament yesterday discussed the possibility of part of the Act being removed to clarify the law.

It is understood that two sections that may be removed are:

• Section 52(1), which extends the wife's right of a fasakh divorce to the husband; and,

• Section 23(9)(b), which originally stated that a proposed marriage must be "just and necessary" and was amended to "just or necessary", may now read "just".

(The earlier phrases were said to make it easier for men to practise polygamy.)

Sources said the merits of retaining Section 107A, which implies that a husband can get a court order to stop his wife from disposing of her property, may also be clarified.

Attorney-General Tan Sri Abdul Gani Patail, who chaired the meeting, told reporters today that clashes of opinion had resulted in a need to clarify "certain grey areas" in the Act.

"We must make sure that these things are clarified so that there are no more disputes," he told a Press conference.

Asked whether the Act had been approved by Parliament for the specific purpose of amending it soon after, he said there had been a Cabinet decision to address the matter soon after it had been approved by the Dewan Rakyat and Dewan Negara.

Women's groups took issue with Section 52(1) which gave a husband the right to a fasakh divorce (general right to claim divorce), which used to be the prerogative of the wife.

This prerogative was extended to the husband, in addition to his existing right to pronounce the talaq.

Women, Family and Community Development Minister Datuk Seri Shahrizat Jalil, who was also present, said the problem with some sections of the Act lay in their interpretation as different parties deciphered the law differently.

Most questions, she said, were raised on issues of maintenance (nafkah) and of husbands who could not get permission to take another wife in one State seeking permission in another.

"If there is a grey area, let's look at it. I don't like it when any party undermines the purity of the Syariah law in this country," she said, stressing that the Islamic Family Law was Syariah-compliant.

"I felt very sad (that) the minds of the women in Malaysia have been poisoned into thinking that this piece of legislation is going to rob them of their money, property, dignity and rights."

Tuesday, February 07, 2006

Rumah Jadi Mahkamah Syariah


LANGKAWI: Rumah seorang lelaki berusia 73 tahun yang juga tertuduh kes syariah di Kampung Belanga Pecah, dekat Kuah, di sini, dijadikan mahkamah sementara semalam, berikutan dia tidak dapat ke mahkamah kerana sakit.

Hakim, pegawai pendakwa dan kakitangan Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) yang terbabit dalam prosiding kes berkenaan, terpaksa ke rumah lelaki terbabit untuk mendengar sebutan kes itu.

Mereka tiba kira-kira jam 9.45 pagi dan perbicaraan dijalankan di ruang tamu rumah berkenaan.

Tertuduh, Mat @ Ahmad Salleh, dibicarakan atas tuduhan bernikah di Narathiwat, Selatan Thailand pada 6 September 1989 dengan Nhaoumaly Khor, 38, warganegara Thailand tanpa mendapat kebenaran Pendaftar Nikah, Rujuk dan Cerai Negeri Kedah.

Difahamkan, ini kes pertama yang membabitkan perbicaraan kes syariah dilakukan di rumah tertuduh.

Sepanjang hampir satu jam prosiding berlangsung, tertuduh hanya berbaring manakala hakim, pendakwa dan kakitangan Jaik duduk bersila di depan tertuduh.

Kira-kira 10 penduduk kampung juga hadir untuk mendengar perbicaraan itu.

Pendakwa Syarie, Sheikh Zainul Mukhtar Abdullah Sirajuddin ketika membentangkan fakta kes berkata, Mat dituduh mengikut Seksyen 32(2) Enakmen Jenayah Syariah Kedah 1979 kerana bernikah di negara jiran tanpa kebenaran.

Katanya, tertuduh bernikah dengan wanita terbabit selepas berpisah dengan isteri pertamanya, enam tahun lalu dan memperoleh dua anak hasil perkahwinan kedua.

Bagaimanapun, Hakim Syarie, Sheikh Baharuddin Che Nen kemudian mengarahkan tertuduh dibebaskan mengikut Seksyen 99(2)(b) Enakmen Keluarga Syariah Kedah 1979 kerana masalah kesihatan.

Sheikh Baharuddin kemudian mengarahkannya berkelakuan baik mengikut Seksyen 6 Enakmen Aturcara Jenayah Syariah 1988.

"Mahkamah berbuat demikian memandangkan tertuduh sedang sakit dan terpaksa mengharapkan ihsan isterinya yang bekerja sebagai pengutip tin aluminium dengan tidak pendapatan seberapa," katanya.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

Monday, February 06, 2006

Murtad: Mahkamah Tolak Permohonan Tangguh

UM 6/2/2006
KUALA TERENGGANU 5 Feb. - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menolak permohonan peguam bela bekas seorang ustazah yang dituduh murtad, untuk menangguhkan perbicaraan bagi membolehkannya mengemukakan usul perisytiharan bahawa wanita terbabit tidak lagi mengamalkan ajaran Islam.

Hakim Mohammad Abdullah ketika menolak permohonan Saadiah Din, peguam yang mewakili Kamariah Ali, 55, berkata, keputusan itu dibuat kerana proses itu mungkin mengambil masa yang lama sekali gus melambatkan perbicaraan kes berkenaan.

Selain itu, menurut beliau, sekiranya kes itu ditangguhkan begitu lama, ia tidak memberikan keadilan kepada tertuduh dan pihak pendakwa.

``Tertuduh tidak tahu apa keputusan terhadapnya dan bagi pihak pendakwa, kekuatan kes itu akan pudar kerana sebagai manusia, keterangan saksi adalah berdasarkan ingatan dan pihak pendakwa juga mungkin hilang saksi (jika kes ini memakan masa terlalu lama).

``Dengan ini, mahkamah membuat keputusan menolak permohonan usul yang dikemukakan oleh peguam bela dan perbicaraan kes ini diteruskan,'' katanya.

Kamariah, seorang pengikut kumpulan ajaran sesat Ayah Pin, didakwa mengikut Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana mengaku bukan Islam.

Bekas ustazah itu dituduh membuat kenyataan keluar daripada Islam di hadapan Hakim Wan Abdul Malik Wan Sidek pada 12.50 tengah hari 21 Julai tahun lalu di bilik bicara Mahkamah Rendah Syariah Besut.

Mengikut Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, dia boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Pada perbicaraan hari ini, Hakim turut menegur Saadiah, yang baru dilantik sebagai peguam bela Kamariah bagi menggantikan Wan Mohamed Haidi Wan Jusoh, kerana gagal menyediakan usul bertulis mengenai status wanita itu sedangkan usul itu telah dimaklumkan sebelum ini.

Hakim Mohammad berkata, tindakan menggantikan peguam bela di tengah-tengah perbicaraan akan menyebabkan sesuatu perbicaraan terganggu.

Pada 14 September tahun lepas, mahkamah membenarkan Wan Mohamed Haidi menyediakan usul bertulis bagi mengesahkan sama ada Kamariah masih beragama Islam atau sebaliknya.

Mahkamah mengeluarkan arahan sedemikian kerana perbicaraan kes itu tidak boleh dijalankan di mahkamah tersebut terhadap tertuduh yang bukan beragama Islam.

``Kalau sudah tahu status tertuduh, ia akan menjimatkan masa mahkamah (daripada meneruskan perbicaraan terhadap tertuduh yang bukan Islam),'' kata Hakim Mohammad.

Sementara itu, pada perbicaraan hari ini, Ketua Pendakwa Syarie, Mustafar Hamzah yang menjalankan pendakwaan terhadap kes itu berkata, pihaknya mempunyai bukti yang kukuh bahawa Kamariah masih beragama Islam.

``Kita mempunyai bukti yang jelas. Sebab itu kita dakwa tertuduh di mahkamah ini,'' kata Mustafar.

Peguam tertuduh, Saadiah pula dalam hujahnya berkata, beliau tidak mengetahui bahawa satu usul bertulis mengenai status Kamariah perlu dikemukakan hari ini.

Sehubungan itu, beliau memohon mahkamah menangguhkan perbicaraan bagi membolehkannya menyediakan satu usul berhubung perisytiharan Kamariah bahawa wanita itu telah keluar daripada Islam.

Hakim Mohammad kemudian menetapkan 1 dan 2 April ini untuk perbicaraan kes itu disambung.

Permohonan Pengikut Ayah Pin Ditolak

BH Online 6/2/2006

 
KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam menolak permohonan pengikut ajaran sesat Ayah Pin, Kamariah Ali, 55, yang juga bekas ustazah untuk mengkaji status agamanya yang didakwanya bukan lagi Islam.

Hakim Mohamad Abdullah, berkata ia adalah fakta yang perlu dibangkitkan pendakwa dan menjadi tanggungjawab pendakwa membuktikannya.

"Selepas diteliti, apa yang dibangkitkan adalah fakta kes yang perlu dibuktikan pihak pendakwaan dan jika usul yang dikemukakan itu diterima, ia akan menjadi tertangguh.

"Sekiranya mahkamah memberikan penangguhan, hal itu tidak memberikan keadilan kepada kedua-dua pihak. Perumpamaan menyatakan penantian itu satu penyeksaan, perkara berkenaan juga jika dibenarkan akan memberikan tekanan kepada tertuduh kerana perlu menunggu lama," katanya.

Beliau berkata, pendakwa juga tidak mendapat keadilan jika usul itu dibenarkan kerana kekuatannya pada saksi yang dikemukakan dan penilaian saksi bergantung kepada kekuatan ingatan yang mungkin terjejas jika perbicaraan berjalan dalam tempoh panjang.

Kamariah sebelum ini diwakili Wan Mohd Haidi Wan Jusoh, menukar peguam bela dengan melantik Saadiah Din dari Tetuan Saadiah, Khoo & Loo bagi mewakilinya.

Mohamad berkata, mahkamah sudah memberikan tempoh lebih empat bulan kepada peguam tertuduh terdahulu untuk menyediakan usul bertulis berhubung status tertuduh tetapi tidak menerima sebarang usul.

Pada 14 September tahun lalu, Wan Haidi Wan Jusoh memohon kepada mahkamah untuk menyediakan usul bahawa Kamariah tidak lagi beragama Islam berdasarkan nota dan rekod prosiding yang diperoleh dari Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu.

Selain itu, anak guamnya secara konsisten sejak 1998 cuba mengisytiharkan dirinya tidak lagi beragama Islam.

Mahkamah sebelum itu mendengar keterangan Saadiah yang menjelaskan isu yang cuba diketengahkan adalah isu undang-undang dan jika anak guamnya jelas tidak lagi beragama Islam, perbicaraan di mahkamah syariah tidak perlu diteruskan.

Bagaimanapun, Ketua Pendakwa Syarie, Mustafar Hamzah menegaskan bahawa pendakwa mempunyai bukti kukuh bahawa status Kamariah masih Islam berpandukan fakta kes dan bukan isu undang-undang.

Pertikaian berhubung fakta kes dan isu undang-undang menyebabkan Mohamed menangguhkan prosiding kira-kira setengah jam bagi membolehkan ia diputuskan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 2 dan 3 April ini sebagai tarikh sambung perbicaraan dan mengarahkan jaminan terhadap Kamariah dilanjutkan sehingga tarikh perbicaraan.
 

Platform Bincang Pindaan Keluarga Islam

BH-6/2/2006

 
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mewujudkan satu platform bagi membolehkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membincangkan Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini.

Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata arahan untuk mewujudkan platform itu dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengelakkan salah faham dan tidak puas hati berkaitan undang-undang itu.

"Setakat ini belum ada satu usaha atau pun platform yang mana mereka (NGO) boleh menyatakan atau menyuarakan rasa tidak puas hati atau nak memperbetulkan mana-mana yang dirasakan perlu diperbetulkan pihak kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis konvokesyen kedua Kolej Islam Antarabangsa di Gombak di sini, semalam.

Mashitah berkata, beliau dipertanggungjawabkan untuk perbincangan itu dan akan menjemput semua NGO berkaitan dalam masa terdekat sebelum rang undang-undang itu dibentangkan semula di Parlimen bulan depan.

Pada 11 Januari lalu, Kabinet menangguhkan pewartaan Rang Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 berikutan aduan terhadap beberapa peruntukan dalam pindaan undang-undang itu yang didakwa menindas dan tidak adil kepada wanita. – Bernama

Sunday, February 05, 2006

Mahkamah Syariah Tidak Tergugat

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar - 05/2/2006

KEBELAKANGAN ini ada desakan yang mahukan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan alasan kononnya ia menindas masyarakat bukan Islam di Malaysia. Ada juga tekanan yang mahukan Perkara 121(1A) ini dimansuhkan sama sekali.

Alhamdulillah, ketegasan Perdana Menteri yang mempertahankan Perkara 121(1A) ini memadam keresahan umat Islam yang gusar akan kesan pemansuhan perkara itu.

Kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu, tidak bermakna perkara sedemikian tidak akan diungkit lagi pada masa depan.

Bagi umat Islam, amat perlu kita memahami isu ini supaya tidak tergelincir daripada landasan yang diperjuangkan tokoh perundangan seperti Allahyarham Prof Tan Sri Ahmad Ibrahim.

Sejarah ketika pindaan Perkara 121(1A) ini dijadikan klausa di dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dihayati setiap rakyat Malaysia yang menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di Malaysia. Setiap undang-undang di Malaysia perlu merealisasikan hasrat Perlembagaan Persekutuan. Jika ada undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, maka undang-undang itu terbatal setakat mana ia bertentangan.

Keputusan mahkamah juga hendaklah selari dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan. Dalam erti kata lain, mahkamah tidak boleh membuat keputusan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan setiap keputusannya hendaklah didasari dan berada dalam ruang lingkup Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 121(1A), umpamanya, menegaskan Mahkamah Sivil hendaklah tidak mempunyai sebarang bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara di mana Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa yang diberikan di bawah undang-undang bertulis.

Dalam bahasa yang mudah, ia bermakna Mahkamah Sivil tidak mempunyai kuasa untuk menyemak atau membatalkan perintah Mahkamah Syariah atau tidak menghiraukan sama sekali perintah itu.

Merujuk ucapan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 1988 di Dewan Rakyat pada 17 Mac 1988 jelas menunjukkan tujuan Perkara 121(1A) ini digubal. Katanya:

"Satu perkara yang sering menjadi sungutan dan menimbulkan rasa tidak puas hati masyarakat Islam di negara ini ialah keadaan di mana mahkamah-mahkamah sivil dapat mengubah atau membatalkan sesuatu keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Syariah. Misalnya, pernah berlaku keadaan di mana seseorang yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Syariah mengenai penjagaan kanak-kanak telah membawa guaman itu ke Mahkamah Tinggi pula dan berjaya mendapat keputusan yang berlainan.

“Kerajaan berpendapat keadaan seperti itu menjejaskan kewibawaan Mahkamah Syariah dan pelaksanaan dan pentadbiran hukum syarak di kalangan umat Islam di negara ini. Sangat penting menjaga kewibawaan Mahkamah Syariah oleh kerana sudah sewajarnya Mahkamah Syariah diberi kuasa penuh untuk menentu dan memutuskan perkara yang termasuk dalam bidang kuasanya, apatah lagi perkara itu membabitkan hukum syarak."

Ketika membentangkan rang Undang-Undang yang sama di Dewan Negara pula, Dr Mahathir berucap pada 4 April 1988 seperti berikut:

"...pindaan itu dicadangkan oleh kerana pada masa-masa yang lalu seseorang yang tidak berpuas hati dengan sesuatu keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syariah dapat mencari jalan untuk membawa kes yang sama ke Mahkamah Tinggi dengan tujuan untuk mendapatkan keputusan yang berlainan daripada keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syariah. Keadaan ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan umat Islam di negara ini dan telah menjejaskan kewibawaan Mahkamah Syariah. Kerajaan berpendapat bahawa perkara yang terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah tidak seharusnya dipersoalkan lagi di Mahkamah Sivil, lebih-lebih lagi memandangkan bahawa isu yang berbangkit dalam kes seperti itu sering membabitkan perkara hukum syarak, mengenai hakim Mahkamah Syariah lebih arif daripada hakim Mahkamah Sivil. Pindaan ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan lagi kedudukan dan kewibawaan Mahkamah Syariah."

Daripada kedua-dua ucapan itu, jelas bahawa Perkara 121(1A) bertujuan meningkatkan kedudukan dan kewibawaan Mahkamah Syariah di Malaysia. Ia juga menyatakan hasrat kerajaan yang mahukan Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil saling lengkap melengkapi antara satu sama lain dan tidak berfungsi sebagai bertentangan antara kedua-duanya.

Dengan cara itu, kedua-dua mahkamah ini akan berjalan seiring di dalam memartabatkan sistem kehakiman di Malaysia. Setiap mahkamah telah diberikan bidang kuasanya melalui undang-undang bertulis dan mereka berperanan di dalam ruang lingkup bidang kuasa yang telah diberikan kepada mereka.

Perkara 121(1A) menjelaskan bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Sebenarnya ia tidaklah bermakna Mahkamah Syariah lebih tinggi kedudukannya daripada Mahkamah Sivil seperti yang digembar-gemburkan.

Mahkamah Syariah memiliki bidang kuasa yang amat terhad berbanding dengan Mahkamah Sivil. Mahkamah Syariah hanya mengikat orang Islam dan dalam perkara yang ditentukan di dalam undang-undang bertulis.

Hukuman maksimum yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah pula terlalu kecil berbanding hukuman di Mahkamah Sivil. Mungkin perkara inilah yang perlu diperhalusi lagi dalam usaha kerajaan untuk memartabatkan institusi perundangan syariah.

Sekiranya Perkara 121(1A) ini dimansuhkan, ia menandakan satu langkah ke belakang dalam kerangka meningkatkan kewibawaan Mahkamah Syariah. Bayangkanlah apabila tiap kali Mahkamah Syariah membuat keputusannya, pihak yang terkilan mampu mengubah keputusan itu di Mahkamah Sivil. Apa akan berlaku dengan keputusan Mahkamah Syariah?

Hilanglah hormat dan gerun masyarakat terhadap keputusan Mahkamah Syariah. Hal ini sering berlaku sebelum 1988 ketika Perkara 121(1A) ini belum berkuat kuasa lagi.

Jika diteliti secara objektif tujuan Perkara 121(1A) ini, kita akan mendapati bahawa peruntukan itu jelas. Matlamat penggubalannya tercapai dan banyak berjasa kepada masyarakat Islam di Malaysia.

Beberapa pindaan lain mungkin perlu dibuat bagi memanifestasikan kesungguhan kerajaan memartabatkan serta menjadikan Mahkamah Syariah suatu institusi yang berwibawa.

Antara perkara yang perlu dilakukan ialah membenarkan masyarakat bukan Islam hadir di Mahkamah Syariah memberi keterangan atau menjadi pihak di dalam prosiding yang mana mereka mempunyai kepentingan.

Bidang kuasa maksimum Mahkamah Syariah menghukum sesuatu kesalahan jenayah juga boleh ditingkatkan bagi mengelak keputusan mahkamah syariah diperlekehkan dengan membayar denda yang begitu kecil berbanding kesalahan yang dilakukan.

Di samping itu, beberapa perkara lain berkaitan dengan syariah yang kini diadili di Mahkamah Sivil boleh diserapkan ke Mahkamah Syariah seperti probet untuk orang Islam dan perbankan Islam. Mahkamah Syariah adalah forum yang lebih layak mengadili kes sebegini kerana hakimnya terlatih di dalam hukum-hakam dan syariah.

Dengan cara ini matlamat keadilan di dalam Islam itu akan dapat dicapai di Mahkamah Syariah.

Sekiranya kerajaan berhasrat untuk memberi kuasa ini kepada Mahkamah Syariah, Mahkamah Syariah sendiri hendaklah bersedia dari sekarang untuk mengadili kes sebegini pada masa akan datang.

Persediaan itu hendaklah dibuat dari sekarang bagi memastikan keadilan yang dianjurkan oleh Islam itu dapat dilihat dilakukan oleh Mahkamah Syariah. Mahkamah Syariah selama ini hanya dibebani dengan kes kekeluargaan dan jenayah syariah yang terhad saja.

Tiba masanya bagi Mahkamah Syariah membuat anjakan paradigma bagi mengadili kes yang lebih mencabar, lagi sesuai dengan namanya sebagai Mahkamah Syariah. Dengan cara ini juga ia dapat menghakis tanggapan masyarakat bahawa Mahkamah Syariah ini adalah mahkamah kelas kedua.

INTI PATI


Perkara 121(1A) bertujuan meningkatkan kedudukan dan kewibawaan Mahkamah Syariah di Malaysia.


Mahkamah Sivil hendaklah tidak mempunyai sebarang bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara di mana Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa terutama mengenai Hukum Syarak


Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil saling lengkap melengkapi antara satu sama lain dan tidak berfungsi sebagai bertentangan antara kedua-duanya.


Setiap undang-undang di Malaysia dan keputusan mahkamah perlu selari dengan Perlembagaan Persekutuan.



Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

``Seragamkan dulu undang-undang syariah''

Rencana- UM-5/2/2006
 
Mukadimah

TUMPUAN masyarakat kepada dua kes melibatkan isu status agama serta kontroversi pindaan ke atas Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 yang berbangkit baru-baru ini secara tidak langsung mencetuskan perbincangan mengenai kewibawaan Mahkamah Syariah.

Orang mengulang-ulang pandangan yang lama bahawa institusi kehakiman itu dilihat sebagai mahkamah kelas kedua, kalau dibandingkan dengan Mahkamah Sivil. Pandangan itu bagaimanapun tidak dipersetujui oleh banyak orang termasuk para peguam syarie dan ahli akademik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Mohd. Zain juga tidak bersetuju dengan pandangan yang negatif itu. Katanya, pandangan-pandangan tersebut timbul kerana orang tidak mendapat maklumat yang betul mengenai institusi kehakiman itu.

``Kita perlu memberikan masa untuk memantapkan Mahkamah Syariah,'' katanya kepada wartawan NOOR AZAM SHAIRI dan SAIFULIZAM MOHAMAD, baru-baru ini.

Abdullah mengingatkan tentang Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang masih agak muda, ditubuhkan tidak sampai 10 tahun lalu.

Wawancara ini adalah komen panjang lebar menyeluruh Abdullah sejak isu-isu ini tercetus beberapa minggu lalu. Sepanjang wawancara itu beberapa orang pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) duduk bersama mengelilingi beliau.

Sungguhpun diajak berbual dengan lebih mendalam mengenai isu-isu dan cadangan-cadangan yang berbangkit dalam tempoh beberapa minggu ini, Abdullah nyata agak keberatan.

``Tidak usahlah kita mengeruhkan keadaan,'' katanya.

Beliau juga beberapa kali menegaskan bahawa apa yang harus diberikan tumpuan sekarang ialah untuk memastikan penyeragaman undang-undang Islam terlaksana seperti yang dicita-citakan oleh kerajaan.

MINGGUAN: Apakah yang boleh dipelajari daripada episod ini?

ABDULLAH: Ini semua ada kaitan dengan undang-undang Islam secara keseluruhan, termasuk kedudukan mahkamah syariah di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Dakwaan sesetengah pihak bahawa Mahkamah Syariah tidak ada tempat untuk orang bukan Islam terbukti tidak betul kerana itu tidak berlaku dalam kes Nyonya Tahir. Kes itu malah memihak kepada warisnya yang bukan Islam.

Ini menunjukkan bahawa mahkamah memutuskan berdasarkan bukti. Tetapi masalahnya orang mempunyai pandangan yang prejudis menganggap Mahkamah Syariah sebagai mahkamah kelas dua, tidak menjalan tugas dengan baik dan sebagainya.

Kepada saya, kes Nyonya Tahir itu menunjukkan keadilan dalam Islam. Apa yang berlaku ini menunjukkan bahawa Mahkamah Syariah juga mempunyai wibawa.

Kenapa orang ada pandangan bahawa ini mahkamah kelas kedua?

ABDULLAH: Itu pandangan orang, saya tidak boleh hendak marah. Mereka membuat pandangan itu mungkin kerana tidak mendapat maklumat yang betul.

Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), saya ditanya soalan di Parlimen mengenai banyaknya kes-kes yang tertunggak di Mahkamah Syariah. Tetapi apabila saya check tiada banyak kes tertunggak, serupa juga dengan Mahkamah Sivil.

Kes tertunggak itu kita takrifkan sebagai sesuatu kes yang tidak diusik walaupun selepas setahun ia dikemukakan untuk mendapat keadilan. Sebenarnya angka kes-kes yang semacam itu serupa saja dengan (Mahkamah Sivil) yang lain, cuma apa yang menjadi perhatian ialah kes-kes yang apabila dibicarakan memakan masa yang panjang kadang-kadang sampai tiga bulan, enam bulan atau setahun.

Ini sesuatu yang biasa di mahkamah. Saya percaya tanggapan seperti ini mungkin timbul kerana ada kes sebelum ini yang diberikan tumpuan oleh media. Tetapi kepada saya apa yang berlaku ini adalah sesuatu yang biasa.

JKSM ditubuhkan pada tahun 1998 untuk menyeragamkan pentadbiran undang-undang syariah. Ia masih baru, belum sampai 10 tahun pun. Kita perlu memberikannya masa untuk memantapkan mahkamah syariah, dan penyeragaman undang-undang syariah itu adalah sesuatu yang sangat mustahak.

Kenapa susah sangat hendak menyeragamkan undang-undang ini, sedang ia telah diluluskan oleh Majlis Raja-Raja?

ABDULLAH: Setakat ini sembilan buah negeri telah meluluskan undang-undang keluarga yang seragam di Dewan Undangan Negeri masing-masing telah menguatkuasakannya.

Kepada saya, ini adalah satu kejayaan besar dalam usaha penyeragaman. Saya tidak memandang negatif negeri-negeri yang belum melulus atau menguatkuasakannya kerana mereka tentu akan mengikut kemudian.

Apa yang paling penting dalam penyeragaman ini selepas ini ialah undang-undang pentadbiran Islam yang menyentuh soal penguatkuasaan saman atau perintah mahkamah antara negeri-negeri.

Ini isu yang selalu ditimbulkan: Kenapa tidak boleh dikuatkuasakan perintah mahkamah?

ABDULLAH: Saya sedar tentang ini. Saya tahu orang selalu bertanya kenapa saman atau perintah mahkamah tidak diendahkan. Hal ini berlaku kerana kita tidak ada perintah bersaling di antara satu negeri dengan satu negeri yang lain.

Apabila ada penyeragaman nanti, insya-Allah, saman dan perintah mahkamah itu akan menjadi lebih kuat. Ini membolehkan kita menyelesaikan masalah orang Islam dengan lebih mudah.

Sekarang ini katakan sebuah kes perceraian dibicarakan di Wilayah Persekutuan dan apabila ada perintah-perintah dikeluarkan, pihak yang berkenaan boleh lari ke negeri lain. Tetapi apabila ada penyeragaman nanti kalau mereka lari ke negeri lain pun, ia masih boleh dikuatkuasakan, jadi tidaklah `mewah' seperti dulu.

Apakah tiadanya penyeragaman itu menyebabkan orang menganggap Mahkamah Syariah ini mahkamah kelas kedua?

ABDULLAH: Itu mungkin salah satu sebabnya kerana orang merasakan tidak ada keseragaman antara satu negeri dengan negeri yang lain.

Sekarang ini katakan sesuatu kes itu sedang dibicarakan di Mahkamah Syariah di Wilayah Persekutuan misalnya, orang boleh pergi ke Selangor dan bercakap kuat (mengkritik) kes itu. Ini kerana mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa ke atas negeri lain, hanya negeri itu saja.

Itu sebabnya penyeragaman ini adalah sesuatu yang sangat penting untuk kepentingan pentadbiran undang-undang Islam di negara ini. Itu sebabnya kita perlukan kuasa untuk melaksanakan perintah bersaling, supaya apa yang diputuskan oleh mahkamah di sesebuah negeri masih boleh dikuatkuasakan di negeri lain.

Dalam pada itu, sekarang ini pun tujuh buah negeri sudah menerima pakai guna sama pegawai syariah. Apa yang dilaksanakan oleh JKSM untuk Wilayah Persekutuan sudah diikuti.

Saya meminta kita berilah sedikit masa lagi; ia (JKSM) baru tidak sampai 10 tahun. Masa untuk memantapkan Mahkamah Syariah itu masih ada, dengan kekalnya Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Tetapi dalam pada itu pun, kita akan mengusahakan proses pemantapan ini secepat mungkin. Saya hendak juga mengingatkan bahawa proses ini sentiasa berjalan dari masa ke masa.

Tanggapan negatif terhadap Mahkamah Syariah ini, kepada saya, adalah sesuatu yang bersifat sementara. Apabila ada penyeragaman nanti kita boleh menguatkuasakan perintah-perintah mahkamah, dan ini tentunya akan meningkatkan maruah Mahkamah Syariah.

Penyeragaman ini adalah untuk memberikan imej yang baik kepada pelaksanaan dan pentadbiran undang-undang syariah.

Adakah orang faham hasrat itu? Kalau kita lihat sekarang ini ada pihak yang semacam cuba menentang penyeragaman.

ABDULLAH: Saya tidak mahu berpolemik panjang dalam hal ini. Hal ini sedang cuba kita selesaikan. Saya tidak mahu nanti kita berpolemik semula.

Saya menghormati semua pandangan, mungkin ada pandangan-pandangan itu yang baik.

Orang lebih takut kepada perintah majistret berbanding hakim syarie. Kenapa?

ABDULLAH: Ini memerlukan masa, seperti yang saya katakan tadi. Pentadbiran agama Islam adalah urusan negeri. Ini realitinya, dan Kerajaan persekutuan sedar tentang perkara ini.

Kita jangan lupa bahawa usaha untuk membetulkan keadaan ini sudah lama. Ia bermula dengan penubuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Malah sejarah Jakim itu sendiri bermula daripada hanya sebuah unit kecil yang kemudiannya menjadi Bahagian Hal Ehwal Islam (Baheis) dan akhirnya Jakim.

Sekarang orang sudah memberi kepercayaan kepada Jakim yang diakui sebagai `gergasi' walaupun tidak ada kuasa yang besar. Gergasi itu maksud saya dari segi pengalaman dan kebaikan-kebaikan yang dilakukannya selama ini.

Kita tidak usahlah bercakap tentang kelemahan. Kita harus melihat bahawa proses untuk memantapkan pentadbiran undang-undang Islam ini baru saja bermula pada tahun 1998.

Saya baru menubuhkan sebuah jabatan baru iaitu Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji. Kita baru mengorak langkah. Ini adalah atas permintaan Perdana Menteri. Ini adalah sebahagian daripada usaha penyeragaman. Kita bukan hendak mengambil kuasa negeri. Kita hanya mahu menyeragamkannya saja.

Ini bukan hendak mengambil kuasa negeri?

ABDULLAH: Kita langsung tidak berhasrat untuk berbuat demikian. Kita hanya hendak menyelaraskan selepas daripada penyeragaman undang-undang itu. Pada peringkat ini kita akan terus menjadikan pentadbiran Islam di Wilayah Persekutuan sebagai contoh terbaik kepada negeri-negeri.

Sebagai misalan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mempunyai Pusat Pungutan Zakat dan baru-baru ini kita memperoleh kutipan RM126.7 juta. Negeri-negeri lain pun hendak belajar daripadanya.

Zakat ini selalu dikaitkan dengan kemiskinan atau mualaf tetapi zaman telah berubah dan wang yang kita kutip juga mencecah jutaan ringgit. Kita sekarang menawarkan biasiswa kepada anak-anak yang layak. Kita mahu menyelesaikan masalah kecemerlangan pendidikan. Ini masalah ummah. Melalui wang zakat itu juga kita boleh membantu umat Islam yang ditimpa kesusahan, termasuk kebakaran dan bencana alam.

Apa yang saya mahu tekankan ialah kita sudah mengorak langkah ke hadapan dalam soal pentadbiran Islam, dan pentadbiran Mahkamah Syariah juga begitu. Kita sentiasa berusaha untuk memartabatkannya. Kita tidak boleh buat sekali gus tetapi kita akan cuba sedaya upaya.

Ada cadangan untuk mewujudkan satu kelompok hakim yang mana jika berlaku satu-satu kes di sesebuah negeri mereka akan pergi ke negeri tersebut. Ia bertujuan untuk memastikan keputusan konsisten dan hukuman yang dikenakan itu konsisten. Apa yang dimaksudkan ada hakim yang arif di dalam bidang mal, begitu juga ada hakim yang arif di dalam bidang keluarga.

ABDULLAH: Saya suka memberitahu hakim Mahkamah Rayuan adalah di bawah negeri namun begitu kita juga ada di sini beberapa hakim Mahkamah Rayuan yang dilantik oleh negeri-negeri yang bukan negeri asal mereka. Ada juga negeri yang tidak melantik hakim Mahkamah Rayuan ini kerana mereka mempunyai hakim mereka sendiri seperti Johor.

Dalam hal ini kita cuba menyiapkan prasarana dan juga dari segi kelengkapan-kelengkapan dan jika hakim-hakim ini dikehendaki kita sedia membantu. Sebagai contoh Ketua Pengarah JKSM Yang Amat Arif Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman juga merupakan Hakim Mahkamah Rayuan di beberapa negeri tertentu. Beliau dilantik kerana kuasa masih di peringkat negeri.

Apa yang kita rancangkan ini berkait rapat dengan soal penyeragaman.

Apakah perkembangan draf Rang Undang-Undang Peguam Syarie untuk penubuhan Majlis Peguam Syarie?

ABDULLAH: Keutamaan saya sekarang ialah menyelesaikan soal penyeragaman undang-undang dahulu. Selepas itu barulah kita menuju ke arah itu.

Penyeragaman ini sepatutnya telah diselesaikan hujung tahun lalu, mengikut tarikh penetapan yang diberikan oleh Perdana Menteri dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Islam (MKI) yang lalu. Tetapi nampaknya kita terpaksa melanjutkan tarikh itu ke beberapa bulan lagi.

Fasa pertama kita ialah untuk menyeragamkan undang-undang Islam di negara ini dan setelah segala-galanya selesai barulah kita bergerak ke hal-hal yang lain pula. Kita perlu menyegerakan penyeragaman ini supaya pentadbiran Islam tersusun dan profesional.

Ada cadangan supaya ditubuhkan satu suruhanjaya untuk pembaharuan undang-undang Islam di negara ini?

ABDULLAH: Perjuangan kita sekarang ialah penyeragaman.

Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia, Datuk Kamilia Ibrahim dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia baru-baru ini mencadangkan supaya skop bidang kuasa Mahkamah Syariah perlu diperluaskan, termasuk mengadili kes-kes perbankan Islam dan takaful. Ini sebahagian daripada usaha untuk memantapkan martabat Mahkamah Syariah.

ABDULLAH: Agenda utama saya sekarang ialah penyeragaman undang-undang. Kita telah mengusahakan penyeragaman ini sejak tahun 2002 lagi dan sehingga kini telah mencapai hasil menggalakkan.

Saya terbuka dengan apa saja cadangan. Tetapi keutamaan saya sekarang ialah penyeragaman.

Saturday, February 04, 2006

`Tugas Saya Sudah selesai'

UM-04/2/2006
PUTRAJAYA 3 Feb. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin berkata, beliau tidak perlu mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berhubung isu pewartaan Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005. Ini kerana, katanya, tanggungjawab beliau telah selesai dan sebarang perkembangan mengenai isu tersebut adalah di bawah tanggungjawab Shahrizat.``Pada pihak saya, isu Rang Undang-Undang Keluarga Islam itu dah selesai dan tidak ada apa-apa lagi nak komen.``Sebab itulah apa sahaja yang berlaku pada masa ini, beliaulah (Shahrizat) jumpa saya dan bukan saya kena jumpa beliau,'' katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku Yang Tersirat... Dalam Negara Islam Membangun hasil tulisan Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Dr. Ismail Ibrahim di sini hari ini.Beliau mengulas perkembangan terkini pewartaan Rang Undang-Undang Keluarga Islam yang menimbulkan kontroversi kerana dikatakan menindas wanita.Kabinet pada 11 Januari lalu menangguhkan pewartaan undang-undang berkenaan yang diluluskan Parlimen pada 22 Disember 2005 sehingga kajian semula dilakukan.Berhubung undang-undang berkenaan juga, Kabinet menerima dua nota masing-masing daripada pejabat Peguam Negara serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.Sehubungan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu kedua-dua nota itu diteliti dan dibincangkan sebelum dikemukakan semula kepada Kabinet.Semalam, Shahrizat dilapor akan mengadakan sidang akhbar khas mengenai isu pewartaan Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 pada 9 Februari ini.Dr. Abdullah ketika ditanya tentang laporan mengatakan kemungkinan undang-undang itu akan dibentang di Parlimen pada persidangan Dewan Rakyat bulan Mac ini berkata:``Saya tidak tahu-menahu tentang soal itu. Saya tidak pernah kata apa-apa mengenai perkara itu dan jika beliau (Shahrizat) ingin lakukan pembentangan di Parlimen, saya nak dengar,'' katanya.

Isteri Disoal Kenapa Suami Nakal

Mahkamah-UM online-4/2/2006

SHAH ALAM 3 Feb. - ``Macam mana suami kamu, nakal sangat ni?'' kata seorang hakim Mahkamah Sesyen di sini hari ini kepada seorang isteri ketika hadir untuk menjamin suami yang menghadapi dua tuduhan merogol teman wanita yang berusia 14 tahun empat bulan.

Dalam kes itu, Mahsum Mahsuri, 36, yang mempunyai status penduduk tetap, pada mulanya mengaku bersalah di hadapan Hakim Suraya Othman atas tuduhan merogol mangsa yang baru dikenali dua bulan, sambil mendakwa ia berlaku atas dasar suka sama suka dan tiada paksaan.

Mahsum didakwa merogol mangsa, pelajar tingkatan dua, antara pukul 8.30 pagi dan 12.30 tengah hari, 4 Januari lalu di Riverstone Calet, Jalan Ulu Yam, Selayang dekat sini.

Dia didakwa mengulangi perbuatan yang sama pada pukul 7 pagi, 11 Januari lalu, di bengkelnya di No. 1, Jalan Melor 2, Taman Desa Melor, Serendah Hulu Selangor dekat sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Selepas pertuduhan dibacakan, Suraya menjelaskan mengenai sebab dan akibat pengakuannya.

Mahsum bagaimanapun menukar pengakuan kepada tidak bersalah atas kedua-dua tuduhan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nahra Dollah mencadangkan kepada mahkamah supaya tertuduh dibenarkan diikat jamin berjumlah RM14,000 dengan seorang penjamin kerana tertuduh dan mangsa berjiran.

Isteri Mahsum yang hadir untuk menjaminnya bagaimanapun merayu supaya jumlah tersebut dikurangkan sehingga RM2,000.

Sambil menangis di hadapan Suraya, wanita yang bekerja sebagai kerani, berjanji akan berpindah ke tempat lain dalam waktu yang terdekat dan menutup bengkel tersebut.

Setelah pelbagai soalan diajukan, Suraya kemudiannya membenarkan Mahsum dibebaskan dengan jaminan RM3,000.

Beliau juga memerintahkan supaya tertuduh melaporkan diri di balai polis terdekat dan ditegah daripada mengganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes itu pada 22 Mac ini bagi memberi peluang tertuduh melantik peguam bela.

Rang Undang-Undang Keluarga Islam Dibentang Mac 2006

UM 4/2/2006

PUTRAJAYA 3 Feb. - Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 yang ditangguhkan pewartaannya ekoran kontroversi peruntukan yang didakwa menindas wanita, akan dibentang semula dengan input-input baru pada sidang Dewan Rakyat bermula 13 Mac ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, rang undang-undang itu akan dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin, selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama.

``Sebelum pembentangan itu diadakan, beliau akan mendapatkan input-input daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang bertanggungjawab terhadap hal wanita.

``Dalam masa yang sama Shahrizat juga perlu menemui sultan-sultan untuk mendapatkan kebenaran bagi membolehkan Rang Undang-Undang Keluarga Islam diselaraskan di semua negeri,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Menurut Nazri, biarpun undang-undang itu telah diluluskan pada 22 Disember tahun lalu namun atas kuasa kerajaan, ia boleh ditangguhkan sehingga pindaan terhadapnya dilakukan.

Kabinet pada 11 Januari lalu menangguhkan pewartaan Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) Pindaan 2005 yang menimbulkan kontroversi kerana dikatakan menindas wanita.

Penangguhan pewartaan undang-undang itu dilakukan setelah mengambil kira dua nota, masing-masing daripada Pejabat Peguam Negara dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, walaupun rang undang-undang itu telah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail untuk mendapat perkenan Seri Paduka.

Sehubungan itu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu kedua-dua nota itu diteliti dan dibincangkan sebelum dikemukakan semula kepada Kabinet.

Sementara Shahrizat pula dilaporkan akan membuat pengumuman mengenai isu pewartaan undang-undang tersebut pada 9 Februari ini.

`Tugas Saya Sudah Selesai'

UM-04/2/2006

PUTRAJAYA 3 Feb. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin berkata, beliau tidak perlu mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berhubung isu pewartaan Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005.

Ini kerana, katanya, tanggungjawab beliau telah selesai dan sebarang perkembangan mengenai isu tersebut adalah di bawah tanggungjawab Shahrizat.

``Pada pihak saya, isu Rang Undang-Undang Keluarga Islam itu dah selesai dan tidak ada apa-apa lagi nak komen.

``Sebab itulah apa sahaja yang berlaku pada masa ini, beliaulah (Shahrizat) jumpa saya dan bukan saya kena jumpa beliau,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku Yang Tersirat... Dalam Negara Islam Membangun hasil tulisan Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Dr. Ismail Ibrahim di sini hari ini.

Beliau mengulas perkembangan terkini pewartaan Rang Undang-Undang Keluarga Islam yang menimbulkan kontroversi kerana dikatakan menindas wanita.

Kabinet pada 11 Januari lalu menangguhkan pewartaan undang-undang berkenaan yang diluluskan Parlimen pada 22 Disember 2005 sehingga kajian semula dilakukan.

Berhubung undang-undang berkenaan juga, Kabinet menerima dua nota masing-masing daripada pejabat Peguam Negara serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Sehubungan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu kedua-dua nota itu diteliti dan dibincangkan sebelum dikemukakan semula kepada Kabinet.

Semalam, Shahrizat dilapor akan mengadakan sidang akhbar khas mengenai isu pewartaan Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 pada 9 Februari ini.

Dr. Abdullah ketika ditanya tentang laporan mengatakan kemungkinan undang-undang itu akan dibentang di Parlimen pada persidangan Dewan Rakyat bulan Mac ini berkata:

``Saya tidak tahu-menahu tentang soal itu. Saya tidak pernah kata apa-apa mengenai perkara itu dan jika beliau (Shahrizat) ingin lakukan pembentangan di Parlimen, saya nak dengar'' katanya.

Friday, February 03, 2006

Pasangan Bogel Mati Dalam Kereta Kancil

BH - 3/2/2006

SHAH ALAM: Sepasang kekasih ditemui mati dalam keadaan bogel dipercayai lemas kerana terhidu gas karbon monoksida dalam sebuah kereta Perodua Kancil di garaj sebuah pusat mencuci kenderaan di Seksyen 17 di sini, kelmarin.

Mayat pasangan itu ditemui seorang rakan mereka yang menetap di kontena berdekatan pusat mencuci kenderaan, dalam keadaan enjin dan penghawa dingin kereta terpasang, kira-kira jam 9 pagi.

Lelaki itu bekerja di pusat mencuci kenderaan berkenaan dan berasal dari Pahang manakala pasangannya dari Kuala Selangor dekat sini. Kedua-duanya berusia awal 20 tahun.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Abdul Wahab Embong ketika dihubungi Berita Harian, semalam, mengesahkan kejadian itu dan menolak sebarang perbuatan khianat.

"Kita mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut," katanya tetapi beliau enggan mengulas lanjut.

Pengarah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Dr Yahya Baba ketika dihubungi, mengesahkan kematian pasangan berkenaan disebabkan terhidu gas karbon monoksida.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam melalui talian 03-55102222 atau balai polis terdekat.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

Peringatan :

Ya Allah matikanlah aku dalam husnul Khatimah dan janganlah sekali-kali ya Allah kau matikan aku dalam suu'ul khatimah. ameen.

Enakmen Hudud Mampu Bendung Gejala Murtad - Peguam

Fri | Feb 03, 06 | 06:22:22 PM Oleh Mazlan Jusoh

RANTAU PANJANG, 3 Feb (Harakah) – Biar pun mempunyai kuasa penuh, namun kerajaan Persekutuan tidak serius mengubal undang-undang bagi membendung gejala murtad. Namun di Kelantan keadaan sebaliknya berlaku apabila ada undang-undang khas digubal mengenainya.

Kesalahan itu terkandung Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) atau dikenali juga sebagai hudud, diluluskan pada persidangan DUN Kelantan pada 1993. Enakmen hudud menetapkan secara jelas hukuman bagi penganut Islam yang murtad (riddah atau irtidad).

Fasal 23, Bahagian 1 bagi kesalahan-kesalahan hudud menyebut sesiapa yang disabitkan melakukan kesalahan irtidad, hendaklah sebelum dijatuhkan hukuman ke atasnya dikehendaki oleh mahkamah supaya bertaubat dalam tempoh yang tidak kurang daripada tiga hari setelah dia didapati salah.

Perkara 4 fasal itu menjelaskan sekiranya dia enggan bertaubat dan masih lagi berterusan dengan pendiriannya terhadap perbuatan yang dilakukan atau perkataan yang disebutkan itu, maka mahkamah hendaklah mengisytiharkan hukuman bunuh ke atasnya dan memerintah supaya hartanya sama ada diperolehi sebelum atau selepas dia melakukan kesalahan hendaklah dirampas untuk dipegang bagi keperluan Baitul Mal.

Seorang peguam, Nordin Noor berkata, enakmen hudud diluluskan di Kelantan adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan kes-kes murtad. Bagaimanapun malangnya ia tidak dapat dilaksanakan kerana tidak mendapat keizinan kerajaan Persekutuan.

“Kelantan telah lama berusaha bagi menyelesaikan masalah tersebut. Lagi pun kes murtad dilaporkan serius di Wilayah Persekutuan sekarang, difahamkan terdapat sebanyak 20 permohonan menukar agama di kalangan orang Melayu dibuat setiap hari.

“Malah setakat tahun 2000 difahamkan terdapat lebih 5,000 permohonan orang Islam mahu menukar agama di negeri terbabit. Namun tidak ada orang yang mahu mengambil berat mengenainya.

“Sepatutnya Perdana Menteri yang menjaja Islam Hadhari berusaha mengatasi masalah itu secara serius,” katanya pada ceramah isu semasa di Markaz PAS Rantau Panjang, malam tadi.

Isu murtad kembali diperkatakan apabila seorang nenek, Nyonya Tahir yang meninggal dunia baru-baru ini disahkan murtad setelah berkahwin dengan lelaki Cina dan meninggalkan ajaran Islam sejak sekian lama.

Nordin turut mencadangkan kerajaan Kelantan mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji semula Undang-undang Keluarga Islam di negeri ini untuk menjelaskan secara terperinci setiap isu.

Kata beliau, dokumen undang-undang yang ada sekarang harus dikembangkan dengan mentafsirkan secara lebih terperinci setiap isu berkaitan.

“Kita sebenarnya mempunyai ramai pakar undang-undang yang boleh dilibatkan dengan jawatankuasa itu antaranya Prof Dr Aziz Bari, peguam Haji Sulaiman Abdullah, Ustaz Yahya Othman dan Ustaz Mohamed Daud.

“Jawatankuasa itu akan mentafsirkan setiap bab berkaitan Undang-undang Keluarga Islam. Biar pun negeri lain belum melakukannya, Kelantan seharusnya boleh mencetus usaha ke arah itu,” katanya.

Wednesday, February 01, 2006

Hukum Berat Pasangan Buat Maksiat

Forum-Utusan Online - 1/2/2006

TANGKAPAN 14 pasangan dalam `Ops Hijrah' oleh pihak Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (JAINS) di kawasan pantai peranginan Port Dickson, Negeri Sembilan adalah satu peringatan bahawa di Negeri Sembilan bukanlah tempat untuk pasangan melakukan maksiat sama ada di hotel atau di tempat rekreasi lain.

Mereka yang melakukan kesalahan berkhalwat atau melakukan perbuatan terkutuk seperti persetubuhan haram hendaklah dihukum seberat-beratnya kerana hukuman seperti denda dan kadangkala hanya diberikan teguran atau nasihat sahaja tidak memadai kerana seperti yang dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia bahawa ada antara pasangan beragama Islam seolah-olah cuba mempersendakan kewibawaan penguat kuasa JAINS seperti ketawa atau senyum sinis apabila dicekup.

Nama mereka yang melakukan perbuatan terkutuk ini elok didedahkan sahaja jika didapati bersalah. Kakitangan kerajaan yang terbabit selain dikenakan hukuman maksimum, hendaklah juga dipecat, manakala kes yang melibatkan pelajar perlu digantung pengajian mereka supaya menjadi iktibar kepada semua umat Islam bahawa melakukan perkara keji adalah tidak berbaloi di Negeri Sembilan.

Diharap pihak JAINS sentiasa memantau semua tempat yang menjadi lubuk maksiat tidak kira sama ada di hotel murah atau hotel lima bintang dan begitu juga di taman rekreasi di negeri ini.

Saya juga ingin syorkan kepada pihak penguat kuasa JAINS supaya memerhatikan juga tempat-tempat seperti kedai yang menyediakan bilik untuk home theatre atau bilik karaoke kerana di sinilah juga para remaja boleh melakukan maksiat.

- ABDULLAH OSMAN JAMALULLAIL,

Seremban, Negeri Sembilan.

Ada Kes 25 Tahun Tidak Disentuh - Ketua Hakim Negara

UM Online - 1/2/2006

PUTRAJAYA 31 Jan. - Usaha badan kehakiman menyelesaikan kes-kes tertunggak di mahkamah, mendedahkan kewujudan kes-kes lapuk lebih 25 tahun yang selama ini tidak disentuh dan terbiar dalam fail mahkamah.

Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim bagaimanapun berkata, kewujudan kes-kes tertunggak lebih suku abad ini tidak bermakna pegawai mahkamah `tidur' atau tidak mengambil pendekatan menanganinya.

``Apa yang saya mahu tegaskan, apabila kita memutuskan untuk menghapuskan kes-kes yang didaftarkan sebelum 2000, kita menyelongkar bilik Mahkamah Tinggi di seluruh negara.

``Kita membuka semua bilik simpanan bagi mendapatkan fail lama yang kemudian dikenal pasti dan diberi keutamaan (untuk diselesaikan). Oleh itu, timbullah kes-kes berusia 15, 18 dan 25 tahun, seperti yang dilaporkan oleh media.

``Kalau kita tidak geledah dan cari fail lama, perkara ini tidak akan timbul dan masyarakat tidak akan tahu bahawa ada kes yang sudah 25 tahun tidak diselesaikan,'' katanya ketika ditemui di sini.

Beliau mengulas mengenai kewujudan kes-kes lapuk yang mencapai usia lebih 20 tahun yang pernah dilaporkan oleh media massa dan menarik perhatian masyarakat awam.

Akhir tahun lalu, Utusan Malaysia pernah melaporkan mengenai seorang lelaki, Chang Kui Hin @ Ong Nga, 76, dari Sri Aman, Sarawak yang dibebaskan selepas 44 tahun ditahan di penjara kerana menghadapi tuduhan membunuh isterinya pada 1961.

Kesnya mula disebut di Mahkamah Sri Aman pada Februari 1962 yang mana dia diperintah menjalani pemeriksaan mental di Hospital Sentosa, Kuching.

Ong Nga diletakkan di bawah pengawasan atas perkenan Yang di-Pertua Negeri sejak Oktober 1967.

Ahmad Fairuz berkata, sejak menerajui badan kehakiman, beliau mengambil pendekatan sistematik untuk mengatur dan menyelesaikan kes pra 2000 supaya yang tinggal cuma kes-kes berusia lima tahun.

``Keputusannya sungguh memberangsangkan, cuma tinggal 27 peratus kes lama yang belum selesai di Mahkamah Tinggi. Apabila ia diselesaikan tahun ini, akan timbul lagi kes-kes yang berusia 20 tahun atau lebih,'' ujarnya.

Ketua Hakim Negara berkata, beliau juga telah mengeluarkan arahan supaya kes-kes didengar mengikut tarikh pendaftaran dan bukan mengikut peruntukan sivil yang mengarahkan kes didengar apabila semua pihak telah bersedia.

Katanya, dengan kerjasama para hakim, pada 2004 dan 2005, mahkamah berjaya menyelesaikan 75 peratus kes-kes pra 2000 tanpa mengetepikan tugas untuk mendengar dan memutuskan kes-kes semasa yang segera dan mudah.

``Dalam hal ini, para hakim, pegawai mahkamah dan peguam telah mengambil langkah proaktif untuk menentukan tahap kelajuan kes-kes masing-masing.

``Mahkamah tidak mahu lagi terikat dengan peruntukan sivil yang lapuk dan perlu dipinda,'' tegasnya.

Mualaf Disaran Kemas Kini Data MyKad

UM Online 1/2/2006

MELAKA 31 Jan. - Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Abd. Halim Tawil menasihatkan golongan mualaf di negeri ini agar mengemaskini data peribadi mereka pada MyKad masing-masing di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri.

Menurutnya, ia perlu dilakukan kerana kad pengenalan merupakan dokumen rasmi yang amat penting dalam melakukan sebarang urusan.

Selain itu, katanya, status agama seseorang itu juga dapat ditentukan secara jelas bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

``Saya harap mereka yang memeluk Islam segera menukar MyKad masing-masing, pihak MAIM sedia membantu mereka bagi memudahkan urusan penukaran itu.

``Jangan bersikap acuh tak acuh tentang perkara ini, ia perlu dilakukan bagi mengelak timbul masalah di kemudian hari,'' katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, isu-isu berkaitan kesahihan orang bukan Islam yang menukar agama kepada Islam timbul apabila mereka tidak menukar status itu pada MyKad masing-masing.

Tambahnya, perkara yang sama berlaku kepada seorang lelaki berketurunan India, N.Anthonysamy atau nama Islamnya, Mohd. Sani Abdullah, 71, yang meninggal dunia semalam apabila keluarganya yang beragama Kristian datang menuntut jenazahnya di Hospital Melaka kerana tidak tahu dia telah memeluk Islam.

Anthonysamy Dikebumi Cara Islam

UM Online - 1/2/2006

MELAKA 31 Jan. - Jenazah bekas pekerja ladang tembikai, N. Anthonysamy atau nama Islamnya, Mohd. Sani Abdullah 71, selamat dikebumikan mengikut hukum syarak tanpa bantahan daripada keluarganya di Tanah Perkuburan Islam Ayer Keroh, di sini kira-kira pukul 12.40 tengah hari ini.

Ini berikutan pengesahan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bahawa lelaki berketurunan India itu telah memeluk Islam pada 1 Julai 1992.

Pengkebumian disempurnakan oleh JAIM yang menuntut jenazah Allahyarham di Hospital Melaka (HM) setelah ahli keluarganya berpuas hati bahawa Anthonysamy adalah seorang Islam selepas melihat dokumen berkaitan.

Ini adalah kes pertama membabitkan isu tuntutan jenazah Islam oleh keluarga bukan Islam yang diselesaikan secara aman tanpa kekecohan mahupun melibatkan pihak mahkamah selepas kes pendaki Everest, M. Moorthy dan Nyonya Tahir, 89, di Negeri Sembilan.

Jenazah Anthonysamy dimandi dan disembahyangkan di HM pagi ini sebelum dibawa keluar dari rumah mayat dengan kereta jenazah kira-kira pukul 11.30 pagi untuk dikebumikan.

Hadir sama di HM ialah ahli keluarga Anthonysamy termasuk anak lelakinya, Henry Anthonysamy, 38, yang kelihatan tenang dan bersalam dengan beberapa pegawai JAIM, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Melaka sebaik sahaja jenazah bapanya dibawa keluar dari rumah mayat.

``Kami (JAIM) uruskan jenazah ayah awak ya,'' kata Setiausaha MAIM, Abd. Halim Tawil sambil bersalam dengan Henry yang kelihatan mengangguk-anggukkan kepalanya.

Anthonysamy mengalami keracunan dan meninggal dunia kira-kira pukul 1.30 pagi semalam setelah dimasukkan ke HM pada 12.30 tengah malam semalam.

Henry yang ditemui kemudian berkata, ahli keluarganya menerima kenyataan bahawa bapanya telah memeluk Islam selepas melihat dokumen berkaitan malam tadi dan tidak bercadang membawa kes ke mahkamah.

``Kami sekeluarga memang tidak tahu tentang perkara ini (Anthonysamy memeluk Islam) kerana sudah lebih 15 tahun tidak berhubung dengan bapa.

``Kami terima semua ini kerana sudah ada bukti dan pengesahan dari Jabatan Agama, buat apa panjangkan kes ini dengan bawa ke mahkamah, tak perlulah,'' katanya yang merupakan anak kelima daripada tujuh orang adik beradik.

Anthonysamy telah lama bercerai dengan isterinya dan tidak lagi berhubung dengan ahli keluarganya yang beragama Kristian sejak 15 tahun lalu.

Menurut Henry, dia datang ke HM hari ini bersama ahli keluarga yang lain untuk memberi penghormatan terakhir kepada bapanya.

Menurut Abd. Halim, sejak memeluk Islam, arwah tinggal bersama keluarga angkatnya, Mohd. Said Mat Desa, 47, di Merlimau.

Maim urus jenazah

Oleh Misiah Taib

BH Online -1/2/2006
MELAKA: Keluarga lelaki yang ditemui mati di tepi jalan di Merlimau kelmarin, setuju bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Melaka (Maim) menguruskan pengebumian jenazahnya berikutan pengesahan statusnya sebagai seorang Islam.

Waris kepada Mohd Sani Abdullah, 71 yang nama asalnya Anthonysamy a/l Naiagam, juga berpuas hati dengan dokumen yang membuktikan Allahyarham sudah memeluk Islam, seperti yang dikemukakan oleh Maim.

Anak lelaki Mohd Sani, A Henry, 38, berkata pihaknya berpuas hati dengan dokumen yang dikemukakan Maim bahawa bapanya sudah sah memeluk Islam di Pejabat Perkim Melaka pada 1 Julai 1992 dengan nombor pendaftaran Islam 114/92.

Henry yang ditemui di rumah mayat Hospital Melaka pagi semalam berkata, mereka sekeluarga berpuas hati dengan bukti bahawa bapanya sudah memeluk Islam dan sedia menyerahkan kepada Maim menguruskan pengebumiannya .

Mohd Sani ditemui mati di tepi jalan di Merlimau awal pagi kelmarin dan jenazahnya tidak dibenarkan dituntut oleh waris yang datang ke rumah mayat Hospital Melaka kelmarin, selepas Maim percaya dia sudah memeluk Islam.

Henry berkata, keluarganya menghormati keputusan bapa mereka untuk memeluk Islam dan Maim juga sudah mengemukakan bukti untuk membolehkan mereka menerima keputusan itu dengan hati terbuka.

Beliau berkata, keluarganya yang berada di rumah mayat itu sepanjang hari kelmarin, menerima panggilan Maim pada jam 10 malam yang mengatakan bukti sudah ditemui dan meminta supaya satu perjumpaan diadakan malam itu juga.

Setiausaha Maim, Halim Tawil, yang turut berada di rumah mayat bersyukur kerana ahli keluarga mangsa memberi kerjasama penuh dan isu berkenaan dapat diselesaikan dalam tempoh kurang 24 jam.

"Alhamdulillah kita dapat mengenal pasti jenazah Mohd Sani Abdullah. Dia memeluk Islam pada 1 Julai 1992. Soalnya cuma dia tidak menukar kad pengenalan selepas memeluk Islam," katanya.

Beliau juga berkata, Allahyarham yang berpisah dengan keluarganya sejak bercerai dengan isterinya 15 tahun yang lalu, tinggal bersama keluarga angkat, Mohd Said Mohd Desa.

Jenazah Allahyarham dimandi, dikapan dan disembahyangkan di rumah mayat hospital berkenaan pagi semalam dengan turut disaksikan sendiri oleh ahli keluarganya, sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Setempat Ayer Keroh, pada jam 11.30 pagi.

Kenyataan Radzi: Perkara 121 (1A) Belum Selesai

Tue Jan 31, 06 12:12:46 PM

TAIPING, 31 Jan (Hrkh)-Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Awang mengingatkan umat Islam isu Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan belum selesai lagi dengan penarikan memo oleh 9 menteri bukan Islam berikutan kenyataan Setiausaha Agung Umno perkara itu akan dikaji oleh Kabinet.

"Yang ditarik hanya surat, tapi isinya tidak," kata beliau ketika ditemui Harakahdaily di Balai Kuliah Tasawwur Islamiah, (Bakti) Simpang Empat, Semanggol semalam.

Baru-baru ini, sembilan menteri Kabinet bukan Islam menghantar memorandum meminta kerajaan mengkaji balik Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan keputusan Mahkamah Syariah tidak boleh dikaji balik oleh mahkamah lain di negra ini.

Bagaimanapun, memo itu ditarik balik oleh mereka selepas bertemu dengan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet

"Yang kita kesalnya, ketika semua pihak kata memo itu tidak baik, Dato' Seri Rafidah boleh kata ia satu pandangan yang konstruktif," kata Ustaz Ahmad Awang yang juga Pesuruhjaya PAS Perak

"Tindakan menghantar memo ini, kata beliau, bolehlah dianggap satu penghinaan kepada Majlis Raja-Raja kerana sepatutnya berunding dulu sebab Raja-Raja adalah Ketua dan Panaung kepada Hal Ehwal Adat dan Agama Islam di negara ini.


Apa yang berlaku ini, kata beliau disebabkab kelemahan kerajaan Barisan Nasional dan pimpinan Umno. - zs

Tuesday, January 31, 2006

PENJENAMAAN SEMULA MAHKAMAH SYARIAH

Maal Hijrah 1427 menimbulkan kenangan manis dan pahit di zaman silam


Salleh Buang


Dua dekad yang lalu, ketika masyarakat Islam di negara ini menyambut Maal Hijrah 1407, saya baru bertugas setahun dua di Kulliyyah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa, Petaling Jaya. Antara tugas saya sebagai Timbalan Dekan pada masa itu ialah membantu Dekan (sahabat saya Prof Dr Razali Nawawi) dan Sheikh Kulliyyah (Prof Tan Sri Ahmad Ibrahim) mentadbir dan menyelenggara program lepasan ijazah Diploma Kehakiman Islam. Pada masa itu, kumpulan perintis (pertama) yang mengambil program itu masih lagi sebuk menghadiri kuliah dan menyiapkan kertas projek mereka, sambil bersiap sedia menghadapi peperiksaan akhir.


Kini, setelah dua dekad berlalu, ramai di antara siswazah program lepasan ijazah itu (kumpulan perintis dan kumpulan lain selepas itu) yang telah mengukir nama dan berjasa besar kepada institusi kehakiman Islam di negara ini. Antaranya, yang boleh saya sebutkan di sini, adalah Dato’ Sheikh Ghazali Abd. Rahman (kini Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, JKSM), Dato’ Sheikh Hasbullah (bekas Ketua Hakim Syarie Kedah, kini Mufti Negeri Kedah), Dato’ Asri Hj Abdullah (bekas Ketua Hakim Syarie Perak, kini bertugas sebagai Hakim Mahkamah Rayuan di JKSM), Dato’ Ismail Yahya (kini Ketua Hakim Syarie Terengganu), Dato’ Sheikh Abu Naim (bekas Ketua Hakim Syarie Selangor dan Hakim Mahkamah Rayuan JKSM), Dato’ Johdi (Ketua Hakim Syarie Selangor), Dato’ Ali (Ketua Hakim Syarie Johor), Hj Awang Pon (bekas Ketua Hakim Syarie Sarawak), dan ramai lagi.


Kata orang, satu-satunya kebanggaan seorang guru adalah kejayaan dan kecemerlangan “anak didik” mereka. Pastinya kebanggaan Prof Tan Sri Ahmad Ibrahim dan ahli tenaga pengajar program lepasan ijazah ini adalah kejayaan dan kesungguhan semua ”pelajar” yang namanya telah saya sebutkan di atas (dan ramai lagi yang tidak sempat saya sebutkan secara satu persatu) yang telah terus gigih dan bersemangat memperbaiki, meningkatkan dan memartabatkan Mahkamah Syariah di seluruh negara.


Dua dekad lalu, Mahkamah Syariah negeri masih daif lagi. Prasarananya menyedihkan. Infrastruktur perundangannya masih kucar kacir. Profesionalisma kerja masih di tahap paling rendah. Akhbar tempatan, termasuk yang berbahasa ibunda, seringkali memanggilnya (secara salah dan tidak adil) sebagai ”kangaroo court”. Pada waktu itu, mahkamah syariah masih lagi terletak di bawah bayang-bayang mahkamah sivil. Ia belum mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan mahkamah sivil.


Kini, dalam tempoh masa 2 dekad (yang pada saya amat singkat sekali), banyak perubahan telah berlaku. Ia tidak daif lagi. Prasarananya sudah bertambah baik. Infrastruktur perundangannya sudah banyak diperbaiki, walaupun belum sempurna. Profesionalism kerja sudah meningkat. Pun begitu, walau sudah jauh berjalan, hakikatnya perjalanan masih jauh lagi. Pada hemat saya, kesempurnaan mungkin mengambil masa satu dua dekad lagi.


Salah satu peristiwa penting yang berlaku pada ketika itu ialah penghakiman Dato’ Lim Beng Choon dalam satu kes keluarga yang difailkan di Mahkamah Tinggi (sivil) di Kuala Lumpur. Keputusan hakim bicara ini menggemparkan seluruh tenaga pengajar program lepasan ijazah ini di universiti tempat saya mengajar. Kes ini merupakan kes paling mutakhir (pada masa itu) dalam rentetan kes-kes lain yang serupa di mana mahkamah sivil terus mempertahankan kuasanya mendengar semua kes, walaupun melibatkan kes-kes keluarga di kalangan warga Islam di negara ini.


Ramai warga Islam di negara ini yang tidak tahu apa yang berlaku di sebalik tabir dalam kes ini selepas itu, terutamanya tentang usaha gigih yang dilakukan oleh sekumpulan peguam sivil beragama Islam (dengan bantuan tenaga pengajar di universiti saya pada ketika itu) semasa persediaan dijalankan untuk merayu keputusan Dato’ Lim itu ke Mahkamah Agung. Hasil usaha gigih yang dijalankan ini, seluruh masyarakat Islam negara ini akhirnya dihadiahkan oleh Mahkamah Agong dengan keputusannya yang bersejarah dalam kes Habibullah lwn Faridah [1992] 2 MLJ 793.


Kes Habibullah ini menempatkan Mahkamah Syariah di landasannya yang betul, sekali gus memberi nafas baru kepada perjuangan memartabatkan semula institusi kehakiman Islam di negara ini. Tindakan bersejarah Mahkamah Agong ini akhirnya menjadi penggerak dan pemangkin yang kuat kepada badan eksekutif negara mengusulkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.


Akibatnya, pada 10 Jun 1988, Parlimen meminda Perlembagaan, dengan mewujudkan Fasal (1A) kepada Perkara 121. Mulai detik itu, Mahkamah Syariah negeri menempah satu lembaran sejarah yang baru dan paling mencabar.


Kini, hanya disebabkan satu dua kes yang mendapat liputan sensasi oleh akhbar tempatan, sudah timbul cadangan liar oleh beberapa pihak agar Perlembagaan Persekutuan disemak semula, pastinya dengan harapan agar Perkara 121 Fasal (1A) ini dipinda, dan kalau boleh, dimansuhkan terus. Andainya tuntutan pihak-pihak ini dituruti oleh kerajaan, ia merupakan bukan hanya satu tindakan yang kebelakangan yang sekali gus menjadikan segala-galanya yang telah diusahakan selama ini sebagai sia-sia sahaja, bahkan menjadi satu mala petaka besar kepada institusi kehakiman Islam di negara ini.


Dalam pada itu, walaupun kita membantah segala saranan untuk memansuhkan peruntukan Perlembagaan yang keramat ini, ini tidak bermakna perundangan negara ini sekarang sudah sempurna. Perlu ditegaskan, ia belum lagi.


Kita masih lagi belum berjaya menyelesaikan masalah konflik bidangkuasa. Hakikatnya, kita masih lagi berdepan dengan situasi di mana Mahkamah Syariah tidak boleh mendengar kes dan memberi remedi kerana pihak yang memohon (menjadi pihak kepada pertikaian) adalah bukan Islam, dan dalam masa yang sama Mahkamah Sivil tidak boleh mendengar kes kerana pertikaian itu melibatkan undang-undang keluarga Islam yang terletak dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah. Satu mekanisma untuk menyelesaikan masalah konflik bidangkuasa ini mesti diwujudkan segera.


Dua dekad yang lalu saya telahpun mensarankan agar satu Mahkamah Keluarga Khas ditubuhkan. Pada saya, jika kerajaan boleh menubuhkan satu Mahkamah Khas untuk menyelesaikan masalah imuniti raja, kenapa tidak boleh satu Mahkamah Khas untuk kes-kes keluarga melibatkan pihak-pihak yang berlainan agama? Mengikut saranan saya itu, mahkamah ini boleh dianggotai ahli panelnya yang terdiri dari hakim-hakim mahkamah sivil dan hakim-hakim mahkamah syariah, dan diberi kuasa di bawah undang-undang bertulis untuk mendengar apa jua kes di mana pihak-pihak yang bertikai adalah berlainan agama. Malangnya, cadangan ini tidak mendapat sambutan.


Akhir-akhir ini, ada pula cadangan agar ditubuhkan satu Mahkamah Perlembagaan (Constitutional Court), yang mana bidangkuasanya adalah seumpama yang disebutkan dalam saranan awal dulu itu. Pada saya, apa juga nama yang hendak diberi adalah kurang penting. Yang penting adalah mahkamah itu wujud. Soalnya, apakah cadangan terbaru ini juga akan menerima nasib yang sama?


Maal Hijrah 1427 merupakan peringkat awal zaman kedewesaan Mahkamah Syariah di negara ini. Zaman berkhidmat untuk kumpulan perintis pelajar program lepasan ijazah yang saya sebutkan di atas itu (termasuklah diri saya sendiri) akan segera berlalu. Kumpulan pelapis, yang datang selepas ini, perlu faham sejarah silam untuk meneruskan kerja kita.


Tanpa mengetahui dan mengambil pengajaran dari sejarah silam, tidak mustahil kita nanti akan kecundang dalam perjalanan, yang masih jauh lagi.


Jika kumpulan perintis telah berjaya menempatkan Mahkamah Syariah ke landasannya yang betul, kumpulan pelapis perlu merangka penjenamaan semula institusi kehakiman Islam di negara ini untuk 2 dekad yang mendatang. Penjenamaan bukan suatu gimik. Ia telah menjadi satu alat (tool) yang nyata berjaya digunakan dalam zaman moden yang serba canggih dan berteknologi tinggi ini.
 

Sample text

Sample Text

Sample Text