Pages

Ads 468x60px

Sunday, February 05, 2006

Mahkamah Syariah Tidak Tergugat

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar - 05/2/2006

KEBELAKANGAN ini ada desakan yang mahukan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan alasan kononnya ia menindas masyarakat bukan Islam di Malaysia. Ada juga tekanan yang mahukan Perkara 121(1A) ini dimansuhkan sama sekali.

Alhamdulillah, ketegasan Perdana Menteri yang mempertahankan Perkara 121(1A) ini memadam keresahan umat Islam yang gusar akan kesan pemansuhan perkara itu.

Kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu, tidak bermakna perkara sedemikian tidak akan diungkit lagi pada masa depan.

Bagi umat Islam, amat perlu kita memahami isu ini supaya tidak tergelincir daripada landasan yang diperjuangkan tokoh perundangan seperti Allahyarham Prof Tan Sri Ahmad Ibrahim.

Sejarah ketika pindaan Perkara 121(1A) ini dijadikan klausa di dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dihayati setiap rakyat Malaysia yang menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di Malaysia. Setiap undang-undang di Malaysia perlu merealisasikan hasrat Perlembagaan Persekutuan. Jika ada undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, maka undang-undang itu terbatal setakat mana ia bertentangan.

Keputusan mahkamah juga hendaklah selari dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan. Dalam erti kata lain, mahkamah tidak boleh membuat keputusan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan setiap keputusannya hendaklah didasari dan berada dalam ruang lingkup Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 121(1A), umpamanya, menegaskan Mahkamah Sivil hendaklah tidak mempunyai sebarang bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara di mana Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa yang diberikan di bawah undang-undang bertulis.

Dalam bahasa yang mudah, ia bermakna Mahkamah Sivil tidak mempunyai kuasa untuk menyemak atau membatalkan perintah Mahkamah Syariah atau tidak menghiraukan sama sekali perintah itu.

Merujuk ucapan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 1988 di Dewan Rakyat pada 17 Mac 1988 jelas menunjukkan tujuan Perkara 121(1A) ini digubal. Katanya:

"Satu perkara yang sering menjadi sungutan dan menimbulkan rasa tidak puas hati masyarakat Islam di negara ini ialah keadaan di mana mahkamah-mahkamah sivil dapat mengubah atau membatalkan sesuatu keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Syariah. Misalnya, pernah berlaku keadaan di mana seseorang yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Syariah mengenai penjagaan kanak-kanak telah membawa guaman itu ke Mahkamah Tinggi pula dan berjaya mendapat keputusan yang berlainan.

“Kerajaan berpendapat keadaan seperti itu menjejaskan kewibawaan Mahkamah Syariah dan pelaksanaan dan pentadbiran hukum syarak di kalangan umat Islam di negara ini. Sangat penting menjaga kewibawaan Mahkamah Syariah oleh kerana sudah sewajarnya Mahkamah Syariah diberi kuasa penuh untuk menentu dan memutuskan perkara yang termasuk dalam bidang kuasanya, apatah lagi perkara itu membabitkan hukum syarak."

Ketika membentangkan rang Undang-Undang yang sama di Dewan Negara pula, Dr Mahathir berucap pada 4 April 1988 seperti berikut:

"...pindaan itu dicadangkan oleh kerana pada masa-masa yang lalu seseorang yang tidak berpuas hati dengan sesuatu keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syariah dapat mencari jalan untuk membawa kes yang sama ke Mahkamah Tinggi dengan tujuan untuk mendapatkan keputusan yang berlainan daripada keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syariah. Keadaan ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan umat Islam di negara ini dan telah menjejaskan kewibawaan Mahkamah Syariah. Kerajaan berpendapat bahawa perkara yang terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah tidak seharusnya dipersoalkan lagi di Mahkamah Sivil, lebih-lebih lagi memandangkan bahawa isu yang berbangkit dalam kes seperti itu sering membabitkan perkara hukum syarak, mengenai hakim Mahkamah Syariah lebih arif daripada hakim Mahkamah Sivil. Pindaan ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan lagi kedudukan dan kewibawaan Mahkamah Syariah."

Daripada kedua-dua ucapan itu, jelas bahawa Perkara 121(1A) bertujuan meningkatkan kedudukan dan kewibawaan Mahkamah Syariah di Malaysia. Ia juga menyatakan hasrat kerajaan yang mahukan Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil saling lengkap melengkapi antara satu sama lain dan tidak berfungsi sebagai bertentangan antara kedua-duanya.

Dengan cara itu, kedua-dua mahkamah ini akan berjalan seiring di dalam memartabatkan sistem kehakiman di Malaysia. Setiap mahkamah telah diberikan bidang kuasanya melalui undang-undang bertulis dan mereka berperanan di dalam ruang lingkup bidang kuasa yang telah diberikan kepada mereka.

Perkara 121(1A) menjelaskan bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Sebenarnya ia tidaklah bermakna Mahkamah Syariah lebih tinggi kedudukannya daripada Mahkamah Sivil seperti yang digembar-gemburkan.

Mahkamah Syariah memiliki bidang kuasa yang amat terhad berbanding dengan Mahkamah Sivil. Mahkamah Syariah hanya mengikat orang Islam dan dalam perkara yang ditentukan di dalam undang-undang bertulis.

Hukuman maksimum yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah pula terlalu kecil berbanding hukuman di Mahkamah Sivil. Mungkin perkara inilah yang perlu diperhalusi lagi dalam usaha kerajaan untuk memartabatkan institusi perundangan syariah.

Sekiranya Perkara 121(1A) ini dimansuhkan, ia menandakan satu langkah ke belakang dalam kerangka meningkatkan kewibawaan Mahkamah Syariah. Bayangkanlah apabila tiap kali Mahkamah Syariah membuat keputusannya, pihak yang terkilan mampu mengubah keputusan itu di Mahkamah Sivil. Apa akan berlaku dengan keputusan Mahkamah Syariah?

Hilanglah hormat dan gerun masyarakat terhadap keputusan Mahkamah Syariah. Hal ini sering berlaku sebelum 1988 ketika Perkara 121(1A) ini belum berkuat kuasa lagi.

Jika diteliti secara objektif tujuan Perkara 121(1A) ini, kita akan mendapati bahawa peruntukan itu jelas. Matlamat penggubalannya tercapai dan banyak berjasa kepada masyarakat Islam di Malaysia.

Beberapa pindaan lain mungkin perlu dibuat bagi memanifestasikan kesungguhan kerajaan memartabatkan serta menjadikan Mahkamah Syariah suatu institusi yang berwibawa.

Antara perkara yang perlu dilakukan ialah membenarkan masyarakat bukan Islam hadir di Mahkamah Syariah memberi keterangan atau menjadi pihak di dalam prosiding yang mana mereka mempunyai kepentingan.

Bidang kuasa maksimum Mahkamah Syariah menghukum sesuatu kesalahan jenayah juga boleh ditingkatkan bagi mengelak keputusan mahkamah syariah diperlekehkan dengan membayar denda yang begitu kecil berbanding kesalahan yang dilakukan.

Di samping itu, beberapa perkara lain berkaitan dengan syariah yang kini diadili di Mahkamah Sivil boleh diserapkan ke Mahkamah Syariah seperti probet untuk orang Islam dan perbankan Islam. Mahkamah Syariah adalah forum yang lebih layak mengadili kes sebegini kerana hakimnya terlatih di dalam hukum-hakam dan syariah.

Dengan cara ini matlamat keadilan di dalam Islam itu akan dapat dicapai di Mahkamah Syariah.

Sekiranya kerajaan berhasrat untuk memberi kuasa ini kepada Mahkamah Syariah, Mahkamah Syariah sendiri hendaklah bersedia dari sekarang untuk mengadili kes sebegini pada masa akan datang.

Persediaan itu hendaklah dibuat dari sekarang bagi memastikan keadilan yang dianjurkan oleh Islam itu dapat dilihat dilakukan oleh Mahkamah Syariah. Mahkamah Syariah selama ini hanya dibebani dengan kes kekeluargaan dan jenayah syariah yang terhad saja.

Tiba masanya bagi Mahkamah Syariah membuat anjakan paradigma bagi mengadili kes yang lebih mencabar, lagi sesuai dengan namanya sebagai Mahkamah Syariah. Dengan cara ini juga ia dapat menghakis tanggapan masyarakat bahawa Mahkamah Syariah ini adalah mahkamah kelas kedua.

INTI PATI


Perkara 121(1A) bertujuan meningkatkan kedudukan dan kewibawaan Mahkamah Syariah di Malaysia.


Mahkamah Sivil hendaklah tidak mempunyai sebarang bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara di mana Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa terutama mengenai Hukum Syarak


Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil saling lengkap melengkapi antara satu sama lain dan tidak berfungsi sebagai bertentangan antara kedua-duanya.


Setiap undang-undang di Malaysia dan keputusan mahkamah perlu selari dengan Perlembagaan Persekutuan.



Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text