Pages

Ads 468x60px

Sunday, February 12, 2006

Jawapan Shahrizat Kepada Lima Isu Yang Dibangkitkan Mengenai UUKIWP

Rencana - MM 12/2/2006

1. Subseksyen 23(9): Hak kepada mana-mana pihak dalam perkahwinan untuk menuntut harta sepencarian apabila suami berpoligami.

Peruntukan ini membolehkan harta sepencarian dituntut semasa suami mengemukakan permohonan untuk berpoligami. Sebelum pindaan, pembahagian harta sepencarian hanya boleh dibuat apabila berlaku perceraian atau kematian.

Pindaan ini dapat mengelakkan kekeliruan apabila harta suami bercampur dengan harta isteri yang sedia ada dengan bakal isteri.

Tafsiran harta sepencarian adalah jelas dan ia merujuk hanya kepada harta yang diperoleh atas usaha bersama pihak-pihak kepada perkahwinan.

Harta sepencarian tidak termasuk harta bawaan isteri, harta pusaka yang diterima oleh isteri atau hibah.

Kekeliruan yang timbul diakibatkan oleh salah faham mengenai konsep harta sepencarian dan masalah-masalah lain yang berbangkit dalam pentadbiran Mahkamah Syariah dan masalah tafsiran yang berbeza.

2. Subseksyen 23(9)(a)(b): Memilih nafkah atau pembahagian harta sepencarian apabila suami berpoligami.

Peruntukan ini bertujuan untuk menjamin hak nafkah isteri. Ia tidak bermaksud membolehkan suami memohon nafkah daripada isteri kerana Hukum Syarak dan Undang-Undang Keluarga Islam itu sendiri jelas menetapkan bahawa kewajipan nafkah adalah pada suami.

Perkataan ``atau'' di antara perenggan (a) dan (b) tidak bermaksud pihak-pihak hanya boleh memohon salah satu daripada perenggan (a) atau perenggan (b) kerana ia juga bermaksud kedua-duanya sekali.

Sekiranya perkataan ``dan'' digunakan ia akan menimbulkan masalah kerana pihak yang memohon mesti memohon kedua-duanya sekali kerana ada ketikanya pihak-pihak kepada perkahwinan itu tidak mempunyai harta sepencarian.

Bagi mengatasi kekeliruan tersebut, Jabatan Peguam Negara telah merangka struktur ayat yang lebih mudah difahami oleh semua pihak melalui pindaan yang akan dikemukakan kelak.

3. Subseksyen 23(3) dan 23(4): Kelonggaran untuk berpoligami.

Pindaan frasa ``patut dan perlu'' kepada ``patut atau perlu'' tidak membawa apa-apa perubahan untuk memudahkan poligami kerana syarat untuk berpoligami masih lagi termaktub di bawah perenggan (a) hingga (d) yang menjurus kepada adil.

Perenggan (a) hingga (d) di bawah subseksyen 23(4) ini selaras dengan konsep ``adil'' di dalam surah an-Nisa' (4): 129.

Bagi mengatasi kekeliruan tersebut, Jabatan Peguam Negara telah mencadangkan penggunaan perkataan ``adil'' bagi menggantikan kedua-duanya agar selaras dengan kehendak al-Quran.

4. Subseksyen 52(1): Melanjutkan hak fasakh seorang isteri kepada suaminya.

Hak fasakh bukahlah hak mutlak wanita. Ia adalah hak yang sama dan berdasarkan kepada hukum syarak. Hak fasakh ini diberikan kepada lelaki dalam empat keadaan iaitu apabila isterinya itu gila, berpenyakit kusta atau sopak, qarn dan ratq.

Pindaan ini tidak menjejaskan hak fasakh isteri terhadap suami. Frasa ``mengikut mana-mana yang berkenaan'' yang digunakan di dalam peruntukan ini menjelaskan bahawa suami atau isteri boleh memohon fasakh atas alasan yang bersesuaian dengan mereka.

5. Subseksyen 107(A): Permohonan kepada mahkamah untuk menahan/menegah isteri/suami daripada melupuskan harta masing-masing semasa prosiding.

Tujuan peruntukan ini adalah untuk menghalang pelupusan aset yang diusahakan secara bersama oleh suami isteri (harta sepencarian).

Ada ketikanya harta suami itu diletakkan atas nama tunggal isteri atas sebab-sebab yang tertentu.

Tanpa peruntukan ini ia akan mengundang pihak-pihak melupuskan harta bagi tujuan menafikan hak terhadap harta sepencarian oleh pihak yang satu lagi.

Bagi mengatasi masalah yang mungkin berbangkit akibat dari penguatkuasaan peruntukan ini, Jabatan Peguam Negara mencadangkan supaya satu peruntukan tambahan dimasukkan bagi mengambil kira keperluan hidup pihak-pihak dan nafkah anak.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text