KUALA TERENGGANU: Pengantin baru dari Shanghai, China, mencatat sejarah apabila menjadi pasangan pertama melangsungkan perkahwinan di dasar laut pada kedalaman 12 meter di kawasan Teluk Tiji, Pulau Redang, iaitu kira-kira 100 meter dari Laguna Redang Island Resort, semalam.
Jurujual, syarikat Oracle IT, Shanghai, Louis Loi, 36, dan pasangannya, kakitangan Kedutaan Ireland di Shanghai, Reneee Wu, 33, melafazkan ikrar perkahwinan dalam bahasa Inggeris di depan paderi dikenali sebagai Lim.
Majlis perkahwinan berlangsung selama sejam apabila pasangan terbabit turun ke dalam air dari sebuah bot khas yang dihias indah jam 11.45 pagi dengan di kelilingi 30 penyelam profesional.
Pengantin lelaki yang memakai kot hitam, manakala pasangannya bergaun putih mendapat idea melangsungkan perkahwinan di dasar laut selepas tertarik dengan keindahan perairan Terengganu, terutama terumbu karang.
Perkahwinan membabitkan belanja kira-kira RM20,000 itu mempunyai tempat khas untuk disaksikan pelancong, termasuk dari luar negara.
Louis yang berasal dari Kajang, Selangor berkata, dia berhijrah ke Shanghai sejak 1989 dan berkenalan dengan Renee, empat tahun lalu.
"Kami cukup kagum dengan kecantikan Pulau Redang dan pihak resort memberi kesanggupan untuk menyediakan lokasi perkahwinan kami," katanya.
Renee pula berkata, dia terus bersetuju apabila Louis membuat cadangan itu dan keluarganya datang bagi memeriahkan majlis perkahwinan itu.
Pasangan itu tiba di Pulau Redang sejak Rabu lalu dan menjalani latihan menyelam bagi memastikan majlis perkahwinan berjalan lancar.
No comments:
Post a Comment